AL- IMAM AL-AKBAR SHAYKH MAHMUD SHALTUT (1893-1936): ULAMA’ KEBANGGAAN AL -AZHAR

AL- IMAM AL-AKBAR SHAYKH MAHMUD SHALTUT (1893-1936): ULAMA’ KEBANGGAAN AL -AZHAR

oleh: Dr. Mohamad Kamil bin Hj Ab Majid

Mahmud Shaltut dianggap Imam Fiqh semasa pada pertengahan abad 20. Tidak seperti fuqaha’ lain yang hanya melihat dari kaca mata hukum, tetapt fekahnya berjejak pada realiti semasa dan cuba menyelesaikan persoalan-persoalan semasa.

Beliau dilahirkan pada 06 Shawwal 1310H/ 23 April 1893 di sebuah kampung bernama Munyiah Bani Mansur di daerah al-Buhairah, Mesir. Menghafal al-Qur’an sejak kecil dan menyambung pelajaran di Ma’ahad Agama Iskandariyah al-Azhar pada tahun 1906. Menjadi pelajar cemerlang sepanjang pengajiannya di peringkat rendah, menengah, dan tinggi di al-Azhar sehingga mencapai tahap kesarjanaan ‘Alimiyah pada tahun 1918. Bertugas pada awalnya di Sekolah Menengah Agama Iskandariah. Beliau juga berperan serta dalam demonstrasi melawan penjajahan Inggeris pada tahun 1919M.

Meskipun tidak berguru secara langsung dengan Shaykh Muhammad ‘AbduÍ, tetapi Mahmud Shaltut menjadi antara pelopor aliran kebangkitan dan tajdid bersama-sama dengan Shaykh Muhammad Mustafa al-Maraghi (1881-1945), Mustafa ‘Abd al-Raziq (1885-1946) dan murid-murid Muhammad ‘AbduÍ yang lain. Dijemput oleh Shaykh Muhammad Mustafa al-Maraghi, Shaykh al-Azhar untuk memberi kuliah di Universiti Kaherah yang ketika itu dipimpin oleh Shaykh ‘Abd al-Majid Salim. Kemudian melangkah ke hadapan menjadi pensyarah bidang fiqh di al-Azhar al-Sharif.

Apabila berlaku krisis antara Shaykh Muhammad Mustafa al-Maraghi dengan Raja Ahmad Fu’ad atas isu pembaharuan terhadap al-Azhar, Shaykh Mahmud Shaltut orang yang berdiri teguh di belakang al-Marighi. Dengan perlucutan jawatan al-Maraghi sebagai Shaykh al-Azhar, Mahmud Shaltut muncul bersama para pelajar mempertahankannya sehingga beliau dipecat daripada jawatannya pada tahun 1931. Ketika itu, Shaykh Mahmud Shaltut bertugas sebagai peguam Shar’i. Selama empat tahun terbuang daripada al-Azhar, pada tahun 1935 dengan pertukaran kabinet baharu, beliau kembali menjadi pensyarah di fakulti Shari’ah. al-Maraghi juga dilantik semula sebagai Shaykh al-Azhar. Di bawah kepemimpinan al-Maraghi, al-Azhar telah mengadakan seminar di negara-negara Barat dengan sokongan tokoh-tokoh ‘ulama’ Mesir seperti Mustafa ‘Abd al-Razaq dan Amin al-Khawli. Turut sama Dr. ‘Abd al-RazÉq al-Sanhuri. Shaykh Mahmud Shaltut mengetuai rombongan al-Azhar dan membukakan sebuah kertas kerja berjudul ‘Tanggungjawab Sivil dan Jenayah Dalam Syariat Islam’. Kertas kerja ini membawa beliau dilantik menjadi ahli jawatankuasa ‘ulama’ kanan yang termuda. Selepas itu, dilantik menjadi ahli lembaga fatwa al-Azhar.

Pada tahun 1946, Shaykh Mahmud Shaltut dilantik menganggotai Akademi Bahasa ‘Arab. Kemudian, Universiti Kaherah melantiknnya menjadi pensyarah subjek Fiqh al-Qur’an wa al-Sunnah di Fakulti Undang-undang. Akhirnya, dilantik menjadi timbalan rektor Universiti al-Azhar. Sejak itu, kegiatanya lebih meluas. Di antaranya, menjadi anggota tertinggi hubungan kebudayaan luar negara, anggota tertinggi majlis penyiaran, anggota Dar al-Taqrib Bayn al-Madhahib al-Islamiyah. Fatwanya yang paling masyhur, mengharuskan beribadat menurut fiqh madhhab Ja’fari, sebagai satu daripada lapan madhhab Islam. Juga, kejayaanya dalam mendekatkan jurang antara Sunnah dan Shi’ah.

Pada tahun 1958, beliau dilantik menjadi Imam al-Akbar Shaykh al-Azhar. Di sini, beliau melaksanakan program pembaharuan di al-Azhar termasuk menubuhkan Akademi Penyelidikan Islam yang mengumpulkan ‘ulama besar dari pelbagai negara dan madhhab, dan dimasukkan dalam program pembaharuan al-Azhar tahun 1961 sebagai kesinambungan daripada usaha Muhammad ‘AbduÍ yang ingin melahirkan ‘ulama yang mengadunkan di antara ilmu agama dan ilmu akademik: mengadunkan kemahiran da’wah dan kemahiran ilmu teknikal, pengurusan moden dan bahasa asing. Ini bagi tujuan menghadapi cabaran gerakan missionary-khususnya di Afrika dan Asia. Shaykh meninggal dunia pada tahun 1963 dalam usia 70 tahun. Atas jasa-jasanya, beliau telah dianugerahkan Doktor Kehormat Universiti Chile pada tahun 1958 dan Doktor Kehormat Universiti Jakarta. Antara sumbangan ilmiah beliau adalah Fiqh al-Qur’an wa al-Sunnah, Muqarannah al-Madhahib, Manhaj al-Qur’an fi Bina’ al-Mujtama’, al-Qur’an wa al-Qital, al-Qur’an wa al-Mar’ah, dan banyak lagi. Bukunya yang cukup terkenal, al-Islam ‘Aqidah wa Shari’ah.

Aliran Pemikiran Tajdid

Shaykh Mahmud Shaltut dianggap seorang daripada ulama’ yang matang dalam kerangka aliran tajdid yang dimulakan oleh Jamal al-ddin al-Afghani (1838-1897), dan disambung oleh Muhammad ‘Abduh (1849-1905). Nama beliau boleh diletak sebaris dengan Muhammad Rashid Rida (1865-1935), ‘Abd al-Rahman al-Kawakibi (1854-1902), Muhammad Mustafa al-Maraghi (1881-1945) dan lain-lain. Sumbangan terbesar beliau menolak jumud dan taqlid dan mengkritik unsur yang menjadi krisis tamadun yang diwarisi umat Islam.

Sikap menolak taqlid sama ada taqlid kepada Barat atau taqlid membuta tuli kepada Salaf – yang membawa pemikiran al-Wasat, seimbang antara dua sikap melampau. Tajdid dalam maksud mengumpul antara Salafiyah dari segi fundamental dan memahami fiqh al-WaqiÑ, fiqh realiti.

Al-Islam wa al-Shari’ah

Buku berjudul Al-Islam wa al-Shari’ah (cetakan keenam, 1972) mengandungi tiga bahagian. Bahagian pertama merangkumi tajuk-tajuk Ñibadat, solat, zakat, puasa, dan haji. Kemudian membincangkan tajuk keluarga dan harta pewarisan. Turut dibincangkan aspek poligami, perancangan keluarga, wanita dalam pandangan Islam, dan harta pusaka. Bab seterusnya membahaskan topik harta dan muamalat dan ‘uqubat serta jenayah bunuh. Juga membincangkan tentang tanggungjawab sivil dan jenayah dalam Shari’at Islam. Perbincangan seterusnya tentang sumber-sumber hukum termasuk faktor perselisihan dalam memahami al-Qur’an dan al-Sunnah.

Akidah Islam

Shaykh MaÍmud Shaltut mengajak ke arah mengithbat aqidah berdasarkan naÎ-naÎ yang qat’i. Al-Qur’an al-Karim adalah satu-satunya sumber akidah yang diterima. Para Mutakallimin bersepakat bahawa hadith khabar ahad tidak memberi makna keyakinan, maka ia tidak boleh dijadikan sumber akidah. Namun, berdasarkan pada ayat al-Qur’an, akidah Islam percaya kepada berita-berita ghayb. Kepercayaan kepada perkara ghayb setakat apa yang dikhabarkan daripada Rasulullah sallalLahu ‘alayhi wasallam tanpa tokok tambah.

Sementara sunnah Nabi, menurut Shaykh Mahmud Shaltut – harus dibezakan antara sunnah Tashri’iyah dan sunnah bukan Tashri’iyah. Jadi, sunnah menerangkan ayat al-Qur’an yang ringkas, atau mengkhususkan ayat al-Qur’an yang umum, atau mengikat ayat yang mutlak dan merangkumi aspek ‘Ibadat, halal haram, ‘aqidah, dan akhlaq. Harus dibezakan antara perundangan umum dan perundangan khusus kepada Rasulullah sallalLahu ‘alayhi wasallam merujuk sifatnya sebagai Imam dan pemerintah negara, atau sifatnya sebagai hakim dalam perbicaraan. Adapun sunnah bukan Tashri’iyah berupa sunnah dalam perkara adab dan keperluan manusia biasa, sosial dan pengalaman manusia.

Bid’ah dan Inovasi

Shaykh Mahmud Shaltut membezakan antara bid’ah yang diharamkan, iaitu mengenai ‘aqidah, ‘ibadat, halal dan haram, dengan kreativiti dan inovasi dalam hal ehwal duniawi, di mana ia dituntut. Dalam hal ini, kita dituntut memilih apa yang mendatangkan maslahat bagi kebaikan kita menurut zaman dan tempat. Shaykh Mahmud Shaltut menolak isu kafir-mengkafir. Beliau seterusnya mengaitkan Islam dengan negara. Katanya, tidak boleh difikir bagaimana berdirinya agama Islam tanpa negara. Islam seharusnya menjadi asas polisi negara. Ada beberapa prinsip Islam dari segi pemerintahan:

1. Kedaulatan hanya milik Allah;

2.Hukum yang sebenar hak Allah dan rakyat menanganinya sebagai mewakili Allah;

3.Pemerintah adalah wakil ummah, mereka tidak ada kedaulatan bahkan bukan menjadi tuan tapi sebaliknya khadam yang amanah;

4.Shura sebagai asas hukum. Hukum tanpa berdasarkan shura tidak Shar’i;

5.Jaminan sosial. Semua pihak memikul tanggungjawab kepentingan agama dan negara;

6.Kawalan rakyat. Di mana ummah harus mengawal pemerintah dan memberikan muhasabah serta mengawasi pelaksanaan yang adil;

7.Khalifah boleh dipecat jika melakukan kezaliman;

8.Ahli Majlis ShËrÉ terdiri daripada pakar-pakar bidang yang mewakili ummah;

9.Tujuan pemerintahan memberikan kebahagiaan kepada rakyat, melaksanakan pendamaian dalam negara dan memperkasakan Islam di luar negara serta menyebarkan pendamaian.

Ekonomi dan Kewangan

Manusia hanya diberi milik di bawah kawalan Allah. Falsafah kewangan Islam berbeza daripada falsalfah kewangan dan sosial Barat. Ia mengambil sikap pertengahan antara kapitalisme dan komunisme. Justeru, pengurusan harta dalam Islam mestilah berasaskan keadilan sosial. Kekayaan hendaklah adil kepada semua pihak. Jadi, harta untuk masyarakat untuk dimanfaatkan bukannya oleh segelintir manusia sahaja. Shaykh Mahmud Shaltut mengemukakan pandangan keuntungan saham-saham moden sebagai halal meskipun tidak ada dalam kitab-kitab fiqh yang lama. Asalkan sahaja tidak berbentuk riba’. Begitu juga, dengan tabung-tabung dan bon-bon. Keuntungannya tetap halal selagi tidak mempunyai unsur-unsur yang haram. Apa yang penting, umat harus mempunyai kemerdekaan ekonomi dan pengurusan di samping kemerdekaan politik.

Kesimpulan

Shaykh Mahmud Shaltut menolak serangan pemikiran asing yang berasaskan falsafah materialisme. Athiesme dan kekufuran seperti ajaran Komunisme dan Darwinisme menjadi musuh Islam dan agama-agama lain. Fahaman-fahaman ini hanya percayakan benda dan mengingkari keTuhanan, wahyu, dan kebangkitan semula. Secara khusus, teori evolusi Darwin juga bertentangan dengan falsafah Islam kerana ia teori yang mengatakan manusia berevolusi daripada binatang sedangkan ia bercanggah dengan ajaran al-Qur’an. Manakala, wanita pada pandangan Shaykh Mahmud Shaltut adalah sama taraf dengan lelaki. Yang membezakan antara keduanya adalah bentuk pembahagian kerja kerana wanita berbeza daripada lelakisebagaimana tercermin dalam al-Qur’an surah al-Nisa’ ayat 124. Islam tidak pernah mengurangkan kedudukan wanita.

*Penulis merupakan seorang akademia dalam bidang pengajian dan pemikiran Islam

One thought on “AL- IMAM AL-AKBAR SHAYKH MAHMUD SHALTUT (1893-1936): ULAMA’ KEBANGGAAN AL -AZHAR

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *