ISLAM & KETAMADUNAN SEJAGAT

ISLAM & KETAMADUNAN SEJAGAT

oleh Ahmad Azam Ab Rahman

PETUNJUK DARIPADA AL-QUR’AN

Nilai terpenting dimiliki para pemimpin pengasas al-Andalus dan Uthmaniyyah adalah al-Qur’an. Kitab inilah membekalkan kepada mereka petunjuk, pedoman, inspirasi dan motivasi bagi tadbir urus, keadilan sejagat, keamanan, tasamuh dan harmoni.

Keamanan sejagat dan kedamaian akan hanya dicapai apabila nilai-nilai al-Quran dipatuhi secara zahir dan batin. Apabila nilai-nilai ini diabaikan atas apapun alasannya, maka datanglah keadaan huru-hara, permusuhan dan kacau bilau, menyelinap masuk menjadi barah kepada empayar sehingga menyebabkan kejatuhannya dan kekalahannya. Sepintas lalu, jika kita meneliti ayat-ayat al Qur’an, kita akan dapati:

1.Surah al-Fatihah mengingatkan bahawa Allah itu Satu dan Tuhan segala manusia dan alam serta kepada Allah jua kita sembah, kita memohon pertolongan dan memohon hidayah sepanjang perjalanan kehidupan ini.

2.Surah al-Isra’ ayat 70 mengingatkan manusia bahawa kita semua keturunan Nabi Adam ‘alayhissalam dan manusia dikurniakan Allah dengan karamah, maruah dan kehormatan.

3.Surah al-Hujurat ayat 13 menegaskan bahawa manusia dijadikan majmuk dan pelbagai supaya saling mengenali satu sama lain dan bahawa darjat paling tinggi adalah bagi orang yang paling bertaqwa di sisi Allah.

4.Surah al-Anbiya’ ayat 106-107 membawa mesej bahawa Rasulullah sallalLahu alayhi wasallam adalah rahmat kepada seluruh alam.

5.Surah al-Baqarah ayat 208 menegaskan agar kita mematuhi al-Qur’an keseluruhannya dan komprehensif.

6.Surah al-Nur ayat 55 menekankan amal soleh sebagai asas kekuatan sepertimana ayat di bawah:

Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahwa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa dimuka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diridhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahku-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik”                                            

(Surah al-Nur: ayat 55)

NILAI BUDI SEBAGAI ASAS KEBANGKITAN ISLAM LAMPAU

Kejayaan dan pengembangan pantas Empayar Uthmaniyyah melebar ke dalam wilayah Kristian Eropah bukanlah semata-mata dengan pedang seperti yang sering disebut. Sebaliknya, kejayaan ini datang daripada contoh teladan terserlah kepasrahan dan kepatuhan padu kepada ajaran al-Qur’an.

Orang rela menerima pemerintahan ‘Uthmaniyyah dan sebahagiannya memeluk Islam kerana shaykhsiyah Islamiyah yang terpancar daripada budi pekerti Sultan-Sultan ‘Uthmaniyyah dan tentera-tentera mereka.

Sultan-sultan menghargai hubungan mereka bersama ulama’ dalam mencari petunjuk dan pedoman rohani sementara para ulama’ menyeru kepada ajaran al-Qur’an tanpa takut dan tanpa mengharapkan ganjaran material.

Penting diperhatikan juga bahawa seorang ‘alim zaman al-Andalus adalah juga seorang ahli failasuf, saintis, ahli shariah, faqih dan guru tasawuf. Para ilmuwannya menguasai kepelbagaian disiplin ilmu merentasi bidang-bidang pengetahuan.

Thomas W Arnold menulis di dalam The Spread of Islam in the World – A History of Peaceful Preaching (1896): “Even in the dirt of alcoran you shall find jewels of Christian virtues; and indeed if Christians will but diligently read and observe the Laws and Histories of the Mahometans (followers of Muhammad), they may blush to see how zealous they are in the works of devotion, piety and charity, how devout, cleanly, and reverend in their Mosques, how obedient to their Priest (Imam), that even the great Turk (Sultan) himself will attempt nothing without consulting his Mufti; how careful are they to observe their hours of prayer five times a day wherever they are, or however employed? How constant do they observe their fasting from morning till night a whole month together; how loving and charitable the Muslemans (Muslims) are to each other, and how careful of strangers may be seen by their Hospitals, both for the Poor and for Travellers; if we observe their Justice, Temperance, and other moral Virtues, we may truly blush at our own coldness, both in devotion and charity, at our injustice, intemperance, and oppression; doubtless these Men (Muslims) will rise up in judgement against us; surely their devotion, piety and works of mercy are main causes of the growth of Mahometism (Islam).”

Terjemahan:- “Hatta pada debu al Qur’an, kamu akan menemui permata-permata bernilai budi Kristian; dan sesungguhnya jika orang Kristian membaca dengan tekun dan memerhatikan undang-undang dan kisah sejarah umat Islam, mereka akan berasa malu kerana melihat betapa tekunnya umat Islam di dalam menjalankan ibadah, ketaqwaan dan bersadaqah, betapa salih, bersih dan tertibnya mereka di dalam masjid-masjid, betapa mereka mentaati imam-imam mereka, sehingga Sultan pun tidak akan bertindak melainkan setelah merujuk kepada muftinya; betapa cermat mereka menjaga waktu-waktu solat fardu lima kali sehari walau di mana mereka berada, atau ketika mana mereka melakukan sebarang kerja; betapa teguh mereka menunaikan ibadah puasa dari subuh sehingga ke malam selama satu bulan bersama-sama; betapa belas kasih mengasihani dan bermurah hati mereka bersadaqah sesama Muslim, betapa baik tetamu dilayani di hospital-hospital, tempat-tempat persinggahan bagi orang miskin dan si musafir; jika kita menyaksikan keadilan, kesederhanaan dan nilai-nilai akhlak lain mereka, kita akan berasa malu dengan kedinginan kita, pada ibadah dan sadaqah kita, pada kezaliman kita, sikap keterlaluan kita dan penindasan kita; tidak syak lagi mereka (umat Islam) akan bangkit menghukum kita; sesungguhnya kepasrahan mereka, ketaqwaan dan amalan menyebarkan rahmah adalah penyebab utama kebangkitan Islam.” (Thomas W Arnold, 1896)

Bagi menggarap dan memahami peristiwa-peristiwa yang berlaku di dunia hari ini, kita perlu menoleh ke belakang menyelami latar sejarah dengan penuh objektiviti dan perspektif yang berimbang. Ini merupakan cabaran ke atas kita semua.

Jatuh bangun sesebuah tamadun bergantung besar kepada nilai budi tadbir urus, keadilan, keamanan dan harmoni tanpa mengira bangsa atau agama. Kegemilangan sejarah Islam sering bercirikan komitmen spiritual umat islam kepada ajaran al-Qur’an manakala keruntuhannya berkait dengan kegagalan mematuhi ajaran al Qur’an. Sejarah sentiasa berulang.

Masalah dunia Islam hari ini memerlukan kepada pemimpinnya dan alim ulama’nya yang berkualiti. Umat akan lebih cerdas dan cerah berpedoman jika pemimpin-pemimpinnya adil dan berkebolehan dengan dokongan penuh alim ulama’ yang layak dan kompeten. Ilmuwan yang tidak takut dan tidak menagih upah, ilmuwan yang berkemampuan menegakkan agama dan menghuraikan Islam sebagai neraca piawai tertinggi  – al Islam ya’lu wa la yu’la ‘alayh.

Penulis adalah Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *