ANTARA NEGARAWAN DAN POLITIKUS RAKUS

ANTARA NEGARAWAN DAN POLITIKUS RAKUS

Disediakan Oleh: Ahmad Fawwaz Ahmad Shukri.

Norma Baharu Politik Malaysia?

Ada norma baharu yang luar biasa berlaku yang sibuk diperkatakan kebelakangan ini iaitu budaya lompat parti berjemaah sampai tumbang satu kerajaan berdaulat. Rata-rata anak muda makin skeptikal, kenapa perlu kita undi apabila boleh bertukar di tengah jalan?

Semua ahli politik dari belah mana sekali pun, di penghujung ucapannya pasti akan ditutup dengan slogan ‘Ini demi kebaikan rakyat’, atau ‘Ini adalah yang terbaik untuk rakyat’. Rakyat jadi barang dagang dan lacuran politik.

Jadilah politik hanya persaingan di kalangan elit untuk periuk nasi mereka dan bermandi rasuah, seperti ungkapan A.Samad Said:

Dia mula mandi air rasuah

konon dari pancur air amanah.

Dia bersihkan (atau kotorkan)?

Yang penting dia bermandi bawah pancur harta dan kuasa.

Dia luaskan dewan layandiri

berlatih jual menjual apa sahaja—

rumah, tanah, ekuiti, maruah.

Dia menyanyikan lagu ringgit

bagi kelompoknya yang buncit.

Setiap tahun dua galak bertani,

menyuburkan slogana itu-ini.

Apa sajalah asal dipercaya.

Rakyat yang dilatih berasuah mula nyanyi lagu-lagu dosa.

Dia dipupuk menjadi peniaga demi untung, deminya saja.

Dia diasuh menghitung ringgit,

dijanji harta sungai dan bukit

tanpa ilu pun dia tetap bangkit.

Dia terlagak bermandi air rasuah.

Kita bahagia, kita bersih, jeritnya.

Kita sebagai rakyat pula, usah lah pula bagai lembu ditarik hidungnya. Tugas kita ialah untuk menilai pemimpin melalui intipati dan akhlak mereka.

Adakah ucapan mereka bercanggah? Adakah prinsip mereka bertukar? Adakah mereka berakhlak begini juga dalam kehidupan biasa mereka, atau hanya di khalayak ramai?

Lihatlah tepat pada mata mereka apa perjuangan mereka sebenarnya, tidak perlu terpengaruh dengan slogan sama ada agama, bangsa atau idea tertentu.

Perjuangan bumiputera untuk rakyat atau untuk kamu dan kerabat kamu sahaja? Keadilan untuk semua atau puak kamu?

Peranan Negarawan & Rakyat.

Objektif negarawan ialah bertanggungjawab menunaikan tuntutan maslahah rakyat sebaik mungkin sekaligus menghidupkan prinsip-prinsip demokrasi dalam diri dan institusi negara, bukannya memperkaya kroni dan keluarga.

Sebagai rakyat pula, adalah amat tidak adil untuk untuk kita melepaskan batuk di tangga dan memberi makna demokrasi hanya lima tahun sekali membuang undi. Selain kita perlu berganding bahu dalam pembinaan dan pelaksanaan polisi, kita sendiri perlu menghayati nilai-nilai demokrasi untuk disemat dalam budaya seharian.

Tokoh intelektual, Malek Bennabi, mengatakan demokrasi itu adalah satu budaya (thaqafat al-dimiqratiyyah) iaitu nilai-nilainya harus dipraktikkan oleh seluruh rakyat dan dibudayakan agar dapat menjadi rakyat yang efektif (effective citizen).

Prinsip keadilan (justice), tata kelola yang baik, kebebasan bersuara dan ketelusan harus menjadi pegangan kita dahulu sebelum mengkritik orang lain. Allah mengurniakan kita fakulti mata hati (fu’ad) untuk memerhati dan memahami nilai-nilai kebenaran. Buktikan kita rakyat ada maruah dan harga diri.

Menariknya, diceritakan dalam makalah Plato, Apology, Socrates mengatakan dia ada suara intuisi dalaman yang dipanggil daimon yang melarang beliau daripada membuat salah. Dia lain daripada orang lain kerana sentiasa mendengar nasihat intuisi ini walaupun kasarnya ia susah kerana ia meninggalkan kesenangan impulsif.

Malah beliau dihukum mati walaupun tetap dengan prinsip kebenarannya. Itulah perkataan asal perkataan Democracy iaitu daripada istilah daimon ini. Maka dalam konteks kenegaraan pula, ideanya adalah ‘the polity will function if people attend to their consciousnesses.

Pemerintahan akan berfungsi apabila rakyat benar-benar memerhatikan mata hati mereka. Tetaplah kita dengan prinsip moral dan akhlak yang murni. Tidak kira kisah tentang Rasul kita Muhammad SAW, atau kisah Socrates, Mahatma Ghandi atau Nelson Mandela, sejarah telah buktikan berkali kali, moral akan sentiasa menang berbanding gila kuasa, pangkat dan harta.

Biar hidup terkorban dalam keadaan redha Allah.

Bagaimana pula dengan kita, bagaimana kita ingin sejarah hidup kita diingati?

Penulis adalah Yang Di-Pertua ABIM Negeri Selangor 2020-2021.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *