RAKYAT PERLUKAN KEPIMPINAN POLITIK ADILUHUNG

RAKYAT PERLUKAN KEPIMPINAN POLITIK ADILUHUNG

Disediakan Oleh: Amidi Abdul Manan

KEBOBROKAN POLITIK & ‘PENYAKIT HATI’

Hati atau jiwa ada ‘punca kuasa’ bagi seorang insan. Kebanyakan manusia rosak ahklak minda dan jiwanya berpunca dari hati. Justeru Amir Shakib Arsalan dalam satu surat panjang jawapannya kepada persoalan yang ditanyakan kepadanya oleh seorang yang berasal dari Nusantara, hinggakan persoalan itu terungkap menjadi sebuah makalah bertajuk Limadha Ta’akhkhara al-Muslimun wa Limadha Taqadda Ghyarahum? (Mengapa Mundur dan Keterbelakangnya Kaum Muslimun). Hasil daripada catatannya, beliau membuat konklusi bahawa masalah umat kini adalah disebabkan penyakit dalaman dan kerosakan hati yang semakin parah.

Politik gila untuk kuasa. Tiada lagi insan seperti Khalid al-Walid yang berkarismatik dan berprinsip tinggi mampu untuk turun jawatan sebagai panglima perang hanya kerana arahan Khalifah ketika itu. Kemampuannya adalah kerana hatinya ikhlas berjuang kepada Allah. Ramai ‘players’ politik ketika ini kadangkala kurang menitik beratkan soal akhlak kerana hatinya musnah dengan politik ala Machiavelli.

Laman sosial, twitter dan media massa dijadikan saluran bercakaran sesama sendiri hingga hilang jati diri dan keperibadian tinggi seorang “statesman”. Sheikh Hamza Yusoff seorang ulama tersohor aliran tradisi di barat menyatakan dalam bukunya Purification of the Heart bahawa dunia akademia dan sains barat menganggap bahawa otak atau ‘brain’ yakni akal adalah ‘centre of consciousness’. Namun dalam dunia Sains Islam, beliau menyebut bahawa “Heart is viewed as a centre of our being.”

Justeru dalam banyak ayat al-Quran Allah S.W.T. merefleksi umat manusia untuk mendidik jiwa dan hati dengan jiwa tauhid dan ketuhanan. Rasulullah juga membawa misi profetis mengangkat jiwa tauhid sebagai sandaran dalam kehidupan.

Justeru itu, selain hati masyarakat yang perlu diubati, hati memimpin politik perlu dibersihkan dari sifat-sifat mazmumah kepada sifatsifat mahmudah. Hatinya perlu memasakkan perjuangan politik dengan kerangka politik Islam berpandukan kepada al-Quran dan as-Sunnah dengan mengamalkan semangat Syura sebagai teras dalam mentadbir dan memimpin.

Politik Adiluhung

Politik adiluhung adalah politik yang mengutamakan kepentingan sejagat. Ia mengurus interaksi antara kepentingan diri dan kepentingan awam secara seimbang dan saksama. Interaksi ini penting bagi melahirkan satu suasana yang mengarah kepada kebahagiaan.

Dalam membahaskan topik ini, Dr Jasser Auda memberi penekanan bahawa identiti yang terpenting bagi semua Muslim yang membezakannya dengan puak atau tamadun yang lain adalah al-Shari’ah al-Islamiyah.

Dengan kepelbagaian rupa bentuk dan budaya, shari’at Islam membina Muslim di atas asas akidah Islamiah yang membawa manusia untuk tunduk dan patuh kepada segala titah perintah Allah. Kepelbagaian identiti dilihat bukan punca kepada pertentangan, malah saling menyempurnakan dan melengkapi bagi membina identiti Muslim.

Komponen asas yang thubut (kekal) perlu jelas dan mendapat tempat yang sewajarnya, juga perkara mutaghaiyirat (dinamik) perlu menempati di posisi yang setepatnya. Rasulullah s.a.w dalam memainkan peran Imamah, sentiasa mengutamakan maslahah ‘ammah (kepentingan umum). Baginda sentiasa mempertimbang segala ruang dan kemungkinan agar keputusan yang bakal dibuat memberikan manfaat bagi mencapai objektif syariat.

Politik Perkauman Sempit.

Baginda amat marah sekiranya sikap perkauman sempit (Assabiyyah) dijadikan asas untuk bertindak sehingga menafikan kebenaran. Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Bukanlah dari kami orang-orang yang menyeru kepada assabiyyah, berperang atas dasar assabiyyah dan mati kerana (mempertahankan) assabiyyah” (Hadith Riwayat Abu Dawud)

Dikisahkan Baginda berbangga dilahirkan dari kaum Quraisy apabila Baginda pernah bersabda: 

“Allah telah menganugerahi suku Quraisy dengan 7 perkara yang tidak diberikan kepada seseorang sebelum dan setelah mereka.

Pertama, Allah menganugerahi Quraisy dengan keberadaanku yang dari golongan mereka.

Kedua, kenabian muncul dalam kalangan mereka.

Ketiga, jabatan hijabah (penyimpan kunci sekaligus pengurus Ka’abah) berada pada mereka.

Keempat jabatan siqayah (menjaga minuman para hujaj atau air zam-zam) juga berada pada mereka.

Kelima, Allah telah menolong mereka mengalahkan pasukan gajah.

Keenam, mereka menyembah Allah selama 10 tahun (awal) yang mana selain mereka masih belum menyembah Allah.

Ketujuh, Allah menurunkan satu surah tentang mereka dan al-Quran yang tidak diturunkan kepada selain mereka. (Kemudian Rasulullah membacakan surah al-Quraisy sehingga selesai.)”

(Hadith riwayat at-Thabrani dan al-Hakim)

Namun, kebanggaan terhadap bangsa itu tidak pernah membuatkan Baginda terlanjur mengunjur ke lorong gelap perkauman sempit bahkan Baginda tetap teguh memelihara kebenaran dan keadilan.

Mengukir Identiti Baru Politik Malaysia.

Dr. Muhammad Imarah merumuskan politik Islam mestilah mampu menjamin kesejahteraan manusia di dunia dan di akhirat serta terlaksana di atas landasan maqasid syariah. Fungsi ini terangkum dalam takrifan yang beliau senaraikan iaitu:

  1. Mengupayakan manusia dengan memandu mereka ke arah jalan yang selamat dalam jangka waktu yang dekat atau panjang, dan menguruskan kehidupan bersama orang awam mengikut peraturan yang adil dan istiqamah.
  2. Apa-apa sahaja perbuatan yang menjadikan manusia lebih hampir kepada kebaikan dan lebih jauh daripada kerosakan.
  3. Siasah agama yang memberi manfaat dalam kehidupan dunia dan akhirat. Ia juga bermakna pengurusan ke atas masyarakat manusia berasaskan manhaj agama.

Jelas sekali jika politik adiluhung menjadi identiti politik Malaysia, kita mampu menapak lebih jauh bersama kesatuan masyarakat yang luhur dan penuh kejujuran. Ini juga sekali gus menjanjikan masa depan yang lebih cerah buat warga Malaysia keseluruhannya.

Kita sudah jemu dan berasa muak dengan karenah politik yang hanya menonjolkan perjuangan terhadap kelompok kecil bagi merebut kuasa.  Kuasa menjadi satu macam penyembahan yang perlu dipertahankan tanpa mengira risiko dan kesan sampingan, walau menyebabkan kekeliruan dan kehancuran ummah. Politik kebencian, politik adu domba, politik rasuah, politik fitnah dan pelbagai lagi kehodohan politik terjelma atas kerakusan nafsu yang menggila.

Mungkin inilah yang dinamakan ‘jaman edan’ oleh pujangga Ronggorwarsito yang dinafikan hak menduduki jawatan yang lebih tinggi lantaran mempertahankan moral dan akhlak dari diratah kegilaan nafsu.

Kita semakin gerun apabila permainan politik edan ini menerobos sempadan keagamaan. Kepalsuan dipakaikan dengan pakaian agama, kebobrokan juga bertopengkan agama, kebencian dan fitnah turut sama bercitrakan agama.

Maka nanti umat akan terdidik bahawa dalam kehidupan bahawa yang terpenting adalah bijak mengendalikan (memanipulasi) hujah agar kita sentiasa kelihatan berada pada landasan yang betul walau hidup berselimutkan maksiat.

Penulis adalah Pengerusi Akademi Pendidikan Demokrasi & Kewarganegaraan (APDK).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *