GENERASI MUDA DAN KEBERANIAN JIWA

GENERASI MUDA DAN KEBERANIAN JIWA

GENERASI MUDA DAN KEBERANIAN JIWA
oleh Mohammad Fazril Mohd Saleh

Hassan Al-Banna, seorang ideolog gerakan Islam abad-20 yang sangat menginspirasikan, pernah mengungkapkan: “generasi muda merupakan rahsia kehidupan umat dan sumber kebangkitannya. Kuat lemahnya umat sesungguhnya diukur dari sejauh mana kemampuan “rahim” umat itu melahirkan tokoh-tokoh yang memenuhi syarat rijal (pemuda Islam yang kompeten) yang sebenar”.

Justeru, sama-sama kita fikirkan salah satu seruan beliau kepada pemuda: “Wahai pemuda! Seruan pertama sekali kepada tugas ini untuk kamu iaitu hendaklah kamu percaya kepada diri sendiri, hendaklah kamu mengetahui kedudukan kamu dan kamu yakin bahawa kamu adalah para pemimpin dunia… tentukanlah wahai pemuda, iman kamu, matlamat dan tujuan kamu”.

Meminjam istilah Muzaffar Iqbal, kita sedang dalam perjalanan menuju ‘A Brave New World’, dunia baharu yang menjanjikan perubahan pantas yang mengujakan. Dunia baharu ini, penuh dengan tenaga dan potensi mentransformasi pola tingkahlaku manusia dan memunculkan peta ekonomi global dan politik rentas-sempadan yang merupakan sentral dalam senario perubahan semasa.

A Brave New World yang didasari dengan kepesatan pembangunan dan kecanggihan teknologi abad-21 telah mewujudkan penjajahan bentuk baharu yang sukar sekali digambarkan dalam pemikiran manusia 10 tahun yang lalu; penjajahan ruang angkasa raya. Keinginan manusia untuk meneroka bukan sekadar apa yang ada di bumi, tetapi juga yang tercapai di langit. Syarikat swasta di Amerika Syarikat sudah mengumumkan ‘commercial space program’ yang ditawarkan kepada mereka yang berkemampuan untuk menghantar satelit persendirian ke angkasa. Ini adalah manifestasi pemikiran manusia yang kompleks dan sofistikated. Perkembangan terbaharu ini, sudah semestinya mengusung kita masuk ke dalam abad baharu, yang mana cara berfikir dan cara hidup sebelumnya tidak lagi mencukupi.

Muzaffar Iqbal dalam menyikapi fenomena ini, dan cabaran baharu terhadap dunia Islam menegaskan: “The new brave world of the twenty-first century will present new challenges to the Muslim world. New forms of cultural exchanges will take place. Most of the developing world will have to grapple with certain basic dilemmas: what are they going to do with the new forms of technological advances which will make inroads in their societies?” (Iqbal, Muzaffar, 2008:9)

Ini pastinya menggusarkan. Persoalannya, bagaimana harus kita bersikap dengan kegusaran ini? Jawapannya, kita perlukan generasi baharu yang terampil dan berkemajuan: “a clear vision for the next century, combine with will to act resolutely, will produce a new generation of Muslims ready to meet the challenges of a new millennium. It is a long journey and the beginning has to be made soon.” (Iqbal, Muzaffar, 2008:18)

Cabaran ke depan cukup besar untuk kita tempuhi. Persoalan yang harus ditanyakan dalam dhamir masing-masing adalah ‘bagaimana aku nanti’, dan ‘bagaimana umat ini kelak’.

Keprihatinan kami terhadap masa depan umat dan keadaan semasa generasi muda kini menggesa kami untuk berfikir, merenung dan memformulasi cadangan-cadangan ke arah islah dan pembaikan. Apabila merenungi permasalahan semasa umat dengan cabaran-cabaran mendatang yang kompleks, kami fikir agenda islah dan tajdid yang dipelopori para pemuka gerakan Islam sejak penghujung abad ke-19 dan 20 masih lagi relevan untuk diulang-lihat. Sudah sampai masanya kita kembali serius dalam menyusun strategi islahi-tajdidi dalam kalangan generasi muda dengan memberifokus kepada pembangunan syakhsiah generasi muda.

Menyedari pelbagai wahana kreatif yang lebih “hip” muncul dalam dunia digital hari ini, kami masih yakin, tradisi keilmuan tak wajar ditinggalkan. Budaya “pop” dan “hip” datang dan pergi, umpama air laut yang menganjur ke pantai. Namun, aspek keilmuan dan pemikiran akan tetap bertahan lama. Apa yang penting dan utama bagaimana pendekatan kita dalam merai dan menyantuni kesemua aspek sosial dalam dimensi kehidupan umat, selanjutnya memungkinkan kita merencana strategi memperkukuh agenda keintelektualan gerakan umat.

Semua dimensi ini dan banyak lagi akan dituangkan dalam wahana RISALAH online ini, yang sedang kita bangunkan sebagai wahana pembugaran ilmu, penyebaran fikrah dan penyaluran maklumat.

Kami sedar, saatnya nanti, apabila kita diperlukan untuk memimpin, kita sudah punya kesediaan dan keberanian melangkah sebagai pimpinan yang kompeten, dan mampu memenuhi kehendak dan aspirasi umat. Oleh itu, pupuk keberanian jiwa, mula untuk berani berfikir, merencana dan bertindak!

*Sidang redaksi

3 thoughts on “GENERASI MUDA DAN KEBERANIAN JIWA

  1. Keberanian perlu diterjemahkan, justeru penulisan ini merupakan satu permulaan yang baik dalam menterjemahkan keberanian anak muda seperti yang diungkapkan. Keberanian yang berlandaskan adab dan ilmu. Teruksan…

  2. In the dynamic world of digital marketing, where the competition for online visibility is fierce, understanding and implementing effective Search Engine Optimization (SEO) strategies is crucial for businesses aiming to succeed online. SEO serves as the cornerstone of online marketing, enabling websites to enhance their visibility, attract organic traffic, and ultimately achieve their business objectives. In this article, we delve into the realm of search engine optimization, exploring its significance, key principles, and actionable strategies for maximizing online visibility. https://bit.ly/3JKYpu5

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *