KEMELUT KEWANGAN ASIA 1997: SATU RENUNGAN

KEMELUT KEWANGAN ASIA 1997: SATU RENUNGAN

oleh: Dato’ Seri Anwar Ibrahim

Saya menyampaikan satu syarahan terkait Kemelut Kewangan Asia di Universiti Harvard semasa saya di Amerika Syarikat. Setelah sesi di Harvard, saya bersama dalam satu dialog di Florence, Italy di European University Institute bertajuk “Study Group on Faith and Economics” bersama Amartya Sen, Emma Rothschild dan Michel Camdessus.

Saya turut berpeluang membedah dan membicarakan terkait kemelut tersebut bersama beberapa pakar ekonomi yang sangat arif mengenai ekonomi. Mereka menanyakan pandangan saya terkait krisis tersebut dari kaca mata seorang yang pernah menjawat jawatan Menteri Kewangan. Ini apa yang dikongsikan kepada mereka.

MALAYSIA DAN KEMELUT EKONOMI

Pengemudian negara sepanjang kemelut tersebut ternyata menjadi topik perbualan hangat, dari dulu sehingga hari ini. Meski peristiwa tersebut berlaku lama dulu, namun wacana terkaitnya tidak hanya sekadar perbualan yang akademik.

Keputusan dan kebijakan yang diambil pada ketika itu meninggalkan kesan yang bukan kecil kepada negara dan ekonomi. Saya turut disoal mengenainya tatkala negara kini di ambang kemelut ekonomi ketiga dalam tempoh 25 tahun, dan seterusnya apa pengajaran yang dapat diteladani.

Krisis kewangan 1997 bermula seperti halnya sebahagian krisis-krisis yang lain dengan peristiwa-peristiwa yang tidak menguntungkan di satu sudut ekonomi. Gergasi korporat yang tampak gah berdepan penutupan dan kebankrapan. Perusahaan lain pula terperangkap dengan masalah hutang. Matawang negara tiba-tiba merudum dengan mendadak.

Satu gejala muncul dan krisis terus memuncak tatkala sentimen pasaran mula berubah dan menjadi kaku hanya dalam tempoh satu malam. Para pelabur mula kepanikan. Bank-bank berhenti beroperasi. Seluruh sistem tergendala tatkala wang mulai susut dan ekonomi menunjukkan tanda-tanda untuk menguncup.

Dalam masa yang sama kerajaan-kerajaan seluruhnya telah memulakan perencanaan tentang bagaimana harus kemelut itu ditampan, dan seterusnya mengembalikan pertumbuhan dan kestabilan kepada negara masing-masing.

Saya merupakan Menteri Kewangan ketika itu, dan Malaysia mula merasai kesannya yang bermula sekitar bulan Januari 1997. Sepanjang tahun 1997 dan 1998, kerajaan telah menerapkan langkah-langkah yang perlu bagi membendung kemelut tersebut yang sedang merempuh seluruh rantau Asia Tenggara.

Ini termasuk mengurangkan perbelanjaan awam sebagai usaha kerajaan pada ketika itu untuk memulihkan akaun semasa, mengambil langkah-langkah penjimatan, dan juga menaikkan kadar faedah bagi mendukung kedudukan Ringgit yang mungkin dihadapkan dengan serangan spekulasi matawang.Pengimbangan harus diwujudkan dalam langkah-langkah ini:

1. Perbelanjaan oleh kerajaan adalah salah satu mekanisme utama yang akan melindungi pekerjaan dan perniagaan sekiranya ekonomi merosot.

2. Menaikkan kadar faedah bagi memperkuat nilai matawang dengan menarik aliran dana asing akan mengekang pinjaman kepada perusahaan tempatan, di mana ia dianggap sebagai pelampung kepada industri-industri kecil; dan

3. Ekonomi kita bergantung pada keyakinan pada pasaran dan pelabur-pelabur asing. Justeru adalah tidak munasabah untuk mengambil langkah yang terburu-buru yang akan mengesankan komitmen negara kepada peraturan dan norma yang ditetapkan dalam hal kewangan perdagangan antarabangsa. Ini seterusnya akan merobek kepercayaan kepada kita di masa hadapan.

Namun, harus diakui bahawa dari sudut pandang yang lain, apabila berlakunya kemerosotan ekonomi atau krisis kewangan, semua pihak akan mengharapkan bantuan kerajaan. Kerajaan akan menentukan siapa yang akan diselamatkan dulu. Apakah konglomerat yang buruk prestasi dan dimanfaatkan secara melampau layak menerima bantuan dana dan perlindungan?

Apakah syarikat-syarikat ini perlu perlindungan kerajaan? Atau apakah kerajaan harus menggunakan dana dan sumber yang terhad untuk melindungi rakyat jelata yang dimangsakan oleh ketidaktanggungjawaban pihak lain? Lazimnya, syarikat-syarikat dan konglomerat-konglomerat ini diutamakan dari rakyat kerana rangkaian yang sangat utuh antara entiti-entiti ini dengan mereka yang berada di koridor kuasa.

EKONOMI BERPAKSI ASAS KUKUH

Pandangan pengurusan kemelut ini yang saya pegang tatkala menjadi Menteri Kewangan yakni kesejahteraan Malaysia hanya dapat bertahan jika ia dipasakkan atas asas yang kukuh, akses kepada pasaran dan reformasi institusi yang akan mewujudkan ketelusan dan kebertanggungjawaban bagi mengelak kecurangan pada masa hadapan.

Menyelesaikan masalah-masalah ini adalah faktor terpenting dalam memastikan Malaysia menggapai objektif pembangunan jangka panjang dan tidak terperangkap dalam lembah kebobrokan dan kronisme.

Peranan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam menstabilkan perekonomian di negara-negara Asean semasa krisis tersebut telah diperdebat dan dikritik secara meluas. Ia tidaklah sesuatu yang mengejutkan tentang peranan badan itu tatkala sentimen anti-globalisasi yang mengganas sejak 1990an dan terus memuncak kini.

Joseph Stiglitz membentangkan beberapa kelompongan dalam pendekatan yang diambil IMF dengan sangat terperinci, dan tentunya banyak yang dapat dipelajari darinya.

Secara jujurnya saya merasakan analisa beliau sangat tepat mengenai kegagalan IMF dalam memahami dampak ke atas rakyat dengan saranan-saranan seperti menghapuskan subsidi makanan dan minyak dan menaikkan kadar faedah.

Saya tidak pernah menerima saranan-saranan oleh IMF, termasuk apa yang pernah dilemparkan kepada saya. Apa yang saya pegang dalam penilaian (analisis) yang dibuat IMF adalah Malaysia disusahkan dengan krisis keyakinan yang hanya akan dapat ditangani dengan melaksanakan reformasi institusi yang akan meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan institusi-institusi yang bebas.

Jika kita menerima hakikat bahawa wujudnya pusaran ganas dalam sistem kapitalis moden, maka kita akan lebih berhati-hati dalam merencana kebijakan dan akan melakukan apa yang perlu dalam memampan dampak yang dihadapkan oleh kemelut atau krisis. Perubahan dan reformasi yang dikemukakan oleh saya tidak pernah dihiraukan, malah ia menjadi dasar utama dan terpenting Pakatan Harapan yang akan dilaksana. Sebaliknya, Malaysia memilih haluan yang salah.

Stiglitz berhujah bahawa langkah untuk kawalan matawang dan pasaran modal pada tahun 1998 sangat penting, kerana ia memberi masa kepada kerajaan untuk bertindak secara berhemah dan mandiri tanpa rasa takut memikirkan keruntuhan sistem.

Pandangannya itu tidak terbantahkan. Pertamanya, sistem perbankan kita pada masa itu telah menjalani ‘stress testing’ oleh kumpulan pakar-pakar dari IMF dan prestasi kita pada ketika itu cukup baik. Bank Negara sentiasa berhemah dalam menghadkan jumlah hutang luar negeri yang dapat ditampung oleh syarikat-syarikat. Tidak pernah saya mencadangkan untuk meminjam dana dari IMF, apatah lagi menerima syarat yang dikenakan mereka, terutamanya rasionalisasi subsidi atau menaikkan kadar faedah ke satu tahap yang melampau.

Malaysia akhirnya memilih untuk menambat Ringgit dan memperketat aliran keluar modal. Ini dipuji sebagai langkah yang tepat tatkala negara membangun berani angkat muka pada penjajahan bentuk baru melalui institusi-insititusi kewangan.

Ada juga yang berpandangan bahawa langkah pengawalan pada ketika itu tidak masuk akal kerana pada penghujung 1998, gejala itu telah mula meresapi ke dalam sistem. Kebanyakan rantau di dunia telah mulai pulih. Ada yang menyebut bahawa apa sahaja yang diperoleh dari langkah tersebut akan terbatal tatkala kerosakan kekal kepada kedudukan global kita sebagai destinasi pelaburan.

Dalam kajian Harvard Business School, Rawi Abdelal dan Laura Alfaro menghujahkan analisis yang berlainan. Samada pengawalan modal dan matawang suatu keputusan yang tepat adalah tidak relevan kerana ia telahpun berlaku.

Sebaliknya mereka mencadangkan kita mempertimbangkan apakah Malaysia menggunakan waktu dan autonomi yang sewajarnya terkait langkah pengawalan untuk bertindak bagi mempercepat pemulihan dan melaksanakan reformasi?

Untuk sisi ini, biarlah sejarah yang mengadili. Benar, Malaysia telah pulih dengan baik pada tahun 1999. Negara-negara lain juga pulih, namun mereka tidak mengenakan langkah pengawalan. Namun pada saat genting itu, apa yang dilakukan pemerintah untuk memperbaiki masalah struktur yang mendasarinya? Hampir tidak ada.

Langkah pengawalan pasaran modal itu ternyata dimanfaatkan hanya oleh sebilangan kecil elit kumpulan pemodal yang punyai rangkaian dengan yang berkuasa yang tidak hanya untuk diselamatkan, malah terus memperkukuh dominasi korporat mereka terutamanya dalam sektor kewangan utama negara. Pengawalan pasaran modal telah menjadi satu skim yang hanya fokus untuk menyelamatkan rakan-rakan yang lazimnya akan mengorbankan hak rakyat.

Ini bukan pandangan pakar ekonomi Washington Consensus dari pejabat yang terletak di H Street di IMF di Washington DC. Ini adalah pandangan pakar kita sendiri iaitu Professor Jomo yang membuat penilaian pada ketika Danaharta dan Danamodal diberi tugas untuk menyelamatkan sektor perbankan.

Kita boleh berhujah bahawa jika kita berada di atas Titanic dan air mula mengganas menyerang, apakah kita akan berusaha menutup lompong-lompong yang ada dengan apa jua cara atau kita fikir besi apa yang mahu digunakan. Tentunya kita harus selamatkan kapal tersebut dari karam sebelum kita mempertimbang langkah yang paling tepat.

Tapi harus dinyatakan di sini bahawa pelaksanaan langkah pengawalan tersebut sangat tepat dalam menutup kebocoran dan memberi masa kepada kerajaan untuk bertindak secara berhemah. Malangnya, Abdelal dan Alfaro mengatakan bahawa apa yang berlaku adalah “permodalan semula sistem kewangan yang korup dan bobrok, dan penjadualan semula hutang sektor korporat yang tidak efisien“.

MENGEJAR PERTUMBUHAN EKONOMI

Saya tidak obses dengan pengejaran pertumbuhan. Kita pada ketika itu disibukkan dengan permasalahan kemiskinan, pertumbuhan mampan dan adil. Perekonomian Malaysia harus dibangunkan untuk semua. Jadi samada ekonomi kita pulih cepat pada tahun 1999 dan 2000 bukan persoalan. Apa yang mustahak adalah apakah Malaysia menjadi lebih baik sejak itu? Untuk lebih cocok dengan situasi wabak COVID-19, apakah pemulihan itu berbentuk V, U atau L?

Fakta menyatakan kita mengalami pemulihan berbentuk L. KDNK kita hanya mampu bertahan pada kadar empat hingga lima peratus sejak 1999, dan ini tidak termasuk situasi kemelesetan pada tahun 2000, dan 2008-2009. Tetapi kita tidak mampu untuk mencapai kadar tujuh hingga lapan peratus meski situasi dan kedudukan global yang baik pada ketika itu.

Belanjawan kita adalah belanjawan defisit sejak 1998, dan nilai matawang kita tidak pernah menghampiri RM2.5 pra-krisis 1997. Pakar ekonomi dan pelabur ada hujah untuk ini. Namun, kita tidak mampu mengelak pendapat keseluruhannya yang mengatakan setelah 20 tahun kita masih lagi berselirat dengan masalah keyakinan pada ekonomi kita.

Rajah 1: Belanjawan Defisit 1988-2018

EKONOMI YANG MENSEJAHTERAKAN

Mutakhir ini saya mula menilai kembali tahap kemajuan masyarakat yang lebih menyeluruh dari KDNK. Dalam syarahan-syarahan dan ucapan saya yang terkini, saya merujuk kepada penilaian kadar SEDA (Penilaian Pembangunan Sosioekonomi) oleh Boston Consulting Group. KDNK adalah statistik yang begitu abstrak yang langsung tidak menyentuh tahap kemajuan dan kesejahteraan masyarakat. SEDA lebih menyeluruh dengan menilai pendapatan, pekerjaan, kesihatan, pendidikan, prasarana dan kelestarian seperti penyertaan sosial, masyarakat sivil dan pemeliharaan alam sekitar.

Jika menggunapakai kadar SEDA ini ia cukup membuktikan Malaysia masih terperangkap dengan kelembapan. Vietnam dan Indonesia terus membangun. Malaysia pula dalam dasawarsa yang lepas, meski dengan kestabilan politik, pembelanjaan besar dana awam, janji manis kerajaan, pertumbuhan yang berturut-berturut bertahun-tahun, namun masih belum meningkatkan tahap kesejahteraan masyarakat. Ini ternyata sangat merunsingkan.

Rajah 2: Evolusi Markah SEDA

Ada banyak asbab tentang ini yang memerlukan analisa yang panjang dan tuntas. Tetapi saya percaya antara faktornya adalah parut kekal ke atas ekonomi sebagai hasil dari pelbagai langkah yang diambil ketika Kemelut Kewangan Asia 1997. Dalam 5 tahun kebelakang ini tidak ada satu wacana yang saya hadiri yang tidak menyentuh mengenai 1MDB, yang bagi saya dampak yang begitu negatif yang dihadapkan skandal ini kepada reputasi negara di peringkat global.

Jika saudara menanyakan kepada saya bagaimana sistem ini membenarkan 1MDB, petunjuknya adalah 1997. Kleptokrasi adalah simptom kegagalan sistem dalam melaksanakan reformasi institusi yang pada hemat saya mampu mengelakkan kita dari  kecurangan dan kebobrokan. Semoga Allah SWT lindungi Malaysia.

Periode itu ternyata periode yang sangat getir pada negara dan kepada saya secara peribadi. Sebagai Menteri Kanan dalam kabinet Tun Mahathir, adalah lumrah bagi saya untuk mendukung pendirian Perdana Menteri. Namun dengan nurani yang luhur, saya juga harus menyatakan sesuatu yang mungkin pada hemat orang lain tidak popular.

Apatah lagi, kita telah berikrar untuk berkhidmat kepada negara dan mendukung Perlembagaan. Pengimbangan yang dilakukan ternyata sukar dan hampir mustahil, namun saya telah melakukan yang terbaik dengan sedaya upaya saya.

*Penulis adalah Menteri Kewangan (1991-1998) dan Presiden ABIM (1974-1982).

Rujukan:

  1. Lihat Stiglitz, Joseph, Globalization and its Discontents, W.W. Norton & Company, Inc., 2002., particularly Chapter 4.
  1. K. S. Jomo, “Capital Controls,” in Malaysian Eclipse: Economic Crisis and Recovery, ed. K. S. Jomo (London: Zed, 2001), p 215.
  1. Abdelal, Rawi E., and Laura Alfaro. “Malaysia: Capital and Control.” Harvard Business School Case 702-040, April 2002. (Revised April 2003.), p. 14.
  1. Lihat juga Prema Chandra, Arthukorala, “Crisis, Controls and Capital Controls in Malaysia,” Australian National University, 2003.

2 thoughts on “KEMELUT KEWANGAN ASIA 1997: SATU RENUNGAN

  1. In the dynamic world of digital marketing, where the competition for online visibility is fierce, understanding and implementing effective Search Engine Optimization (SEO) strategies is crucial for businesses aiming to succeed online. SEO serves as the cornerstone of online marketing, enabling websites to enhance their visibility, attract organic traffic, and ultimately achieve their business objectives. In this article, we delve into the realm of search engine optimization, exploring its significance, key principles, and actionable strategies for maximizing online visibility. https://bit.ly/3JKYpu5

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *