IKATAN IMAN ANTARA MUHAJIRIN DAN ANSAR: PENGAJARAN SURAH AL-HASYR AYAT 8-10

IKATAN IMAN ANTARA MUHAJIRIN DAN ANSAR: PENGAJARAN SURAH AL-HASYR AYAT 8-10

oleh Omar Mokhtar Hamdan

SURAH AL-HASYR

Ayat-ayat ini memperihal pengorbanan dua kumpulan penting dalam dakwah Islam. Tidak tertegak dakwah Islam tanpa Muhajirin dan Ansar. Allah swt menjelaskan dengan begitu terperinci jasa pengorbanan mereka. Ayat-ayat ini menunjukkan sanjungan tinggi Ilahi.

AYAT 08: ORANG-ORANG YANG BENAR

(Juga) bagi orang fakir yang berhijrah yang diusir dari kampung halaman dan dari harta benda mereka (kerana) mencari kurnia dari Allah dan keridhaan-Nya dan mereka menolong Allah dan Rasul-Nya. Mereka itulah orang-orang yang benar” (Surah al-Hashr: ayat 08).

Ayat ini menggambarkan dengan jelas ciri-ciri utama golongan Muhajirin yang berhijrah ke Madinaturrasul. Mereka ini dihalau keluar secara zalim dari kampong halaman mereka yang tercinta. Kezaliman yang menimpa mereka tidak lain hanyalah oleh kalangan kaum kerabat dan keluarga mereka sendiri di Makkah.

“Dosa” mereka hanyalah kerana mengucapkan kalimah Tawhid. Kendatipun mereka dihalau keluar meninggalkan harta benda mereka lalu digambarkan oleh Allah Ta’ala sebagai fuqara’, sehelai sepinggang tidak mempunya apa-apa perkara material pada diri mereka.

Ada berangkat hanya dengan bungkusan kecil, ada berhijrah secara senyap-senyap kerana takut dihalangi keluarga, ada berpisah dengan anak, ayah serta berpisah di antara suami isteri. Semua ini hanya semata-mata “Kerana mengharapkan Kurnia daripada Allah dan redha-Nya”. Mereka yakin Tuhan tidak akan mengecewakan mereka kerana hijrah itu demi pengharapan redha Tuhan.

Meskipun mereka bilangan sedikit dan dihalau keluar, namun mereka istiqamah mahu menolong Allah dan Rasul-Nya. “Mereka itulah orang yang benar” yakni mengucapkan kalimah Iman dengan lisan mereka, dan membenarkannya dengan amal mereka.

Mereka itu insan terpilih oleh Allah swt yang membenarkanNya dan membenarkan RasulNya. Mereka teguh dan jujur dengan mesej kebenaran, menjadikan mereka itulah gambaran kebenaran yang zahir atas muka bumi agar disaksi manusia.

AYAT 09: GOLONGAN YANG MENANG DI SISI ALLAH

Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka (Ansar) mencintai orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). Dan mereka (Ansar) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung” (Surah al-Hashr: ayat 09).

Pada ayat ini pula Allah subhanahu wa Ta’ala menceritakan perihal pengorbanan kaum Ansar. Ciri-ciri ini hanya ada pada kaum ini sahaja lalu disangka orang bahawa ini hanyalah imaginasi kerana tidak mungkin ada wujudnya golongan sebegini. “Mereka ini menetap di Al-Dar (Madinah) dan tetap dengan keimanan” yakni mereka ini menetap di Madinah sebelum munculnya Muhajirin, merekalah orang tempatan yang menyambut saudara Muhajirin mereka.

Allah Ta’ala juga menyebut kalimah Tabawwa’ dalam Iman, seolah-olah menunjukkan di samping Madinah adalah rumah kediaman mereka, keimanan yang tersemat dalam sanubari mereka adalah umpama mahligai atau kediaman mereka yang dicintai.

Iman ini merupakan kediaman dan kampung halaman hati sanubari mereka, serta tempat yang memberikan ketenangan dan ketenteraman kepada jiwa mereka yang kepenatan, seperti seorang insan yang pulang ke rumah dan semestinya mendapati ketenangan dirumahnya. Natijahnya, ini adalah gambaran yang diberi Tuhan Yang Maha Bijaksana betapa kuat dan berakarnya Iman kaum Ansar.

Mereka kasih kepada orang yang berhijrah kepada negeri mereka dan tidak mempunyai apa-apa hajat kepada perkara yang dikurniakan kepada muhajirin”, ertinya tidaklah ada rasa dengki atau iri hati kaum Ansar itu melihat Allah dan Rasul-Nya memberi anugerah berlebihan kepada saudara mereka kaum Muhajirin itu. Sayyid Qutb menyingkap riwayat apabila Muhajirin tiba di Madinah, begitu ramai Ansar yang mahu menawarkan bantuan dan membawanya tinggal dirumahnya sehingga terpaksa dilakukan undian.

Hamka pada Tafsir Azharnya menukilkan riwayat dari ‘Abd al-Rahman bin Zaid bin Aslam, bahawa Rasulullah sallalLahu ‘alayhi wasallam bersabda kepada para Ansar, “Saudara-saudara, mereka telah meninggalkan harta benda mereka dan anak-anak mereka dan datang menumpang kepada kalian”. Maka kaum Ansar menjawab, “Harta benda kami ini kami beri sahaja kepada mereka”.

Rasulullah sallalLahu ‘alayhi wasallam bersabda lagi, “Bolehkah lebih lagi dari itu?” Lalu Ansar memberi persetujuan, “Baik, Ya Rasulullah.” Rasulullah sallalLahu ‘alayhi wasallam kemudian menanyakan lagi, “Saudara-saudara kamu tidak pandai bekerja (bertani), sudikah kalian bekerja untuk mereka, lalu hasil tanaman itu diberikan pula kepada mereka?” Lalu Ansar menjawab, “Kami bersedia, Ya Rasulullah

“Mereka itu melebihkan kaum Muhajirin meskipun mereka juga dalam kesusahan”. Ayat ini menerangkan budaya Ithar yang diamalkan kaum Ansar yang dipuji Allah taala. Ithar pada saat kesusahan dan keperluan merupakan nilai paling tinggi. Nilai ini dicapai oleh Ansar dan tidak pernah dalam sejarah kemanusiaan wujudnya kaum seperti ini. Sebenarnya, amalan Ansar ini telah merobek adat kebiasaan manusia, yang tidak mempunyai contoh unggul seperti Ansar samada pada zaman lampau atau era moden.

Dan barangsiapa yang terpelihara dari sifat kedekutnya maka merekalah orang yang memperoleh kejayaan”.

Hal ini kerana kedekut atau bakhil ini adalah satu sifat pokok yang ada pada setiap orang. Hamka memberi satu analogi bagi memahami fenomena ini; misalnya jika seseorang melihat ada orang datang ke rumahnya, dari jauh lagi dia bertanya-tanya dalam hatinya rasa curiga kerana adakah orang itu datang untuk minta bantuan dan pertolongan.

Hatinya tidak senang, padahal kalau orang itu disambutnya dengan baik lalu dilawannya perasaan tidak senang itu dan diberinya orang itu bantuan, nescaya dada mereka menjadi lapang. Sekaligus, menjadi orang yang berjaya menewaskan sifat kikir atau kedekut yang berakar dalam diri.

Maka orang inilah yang beroleh kemenangan”.

Berkenaan hal kedekut atau kikir ini, Rasulullah sallalLahu ‘alayhi wasallam pernah bersabda seperti yang diriwayatkan Imam Muslim dan Imam Ahmad: “Jauhilah olehmu perbuatan aniaya, kerana penganiayaan itu akan membawa kegelapan di hari kiamat kelak, dan peliharalah dirimu daripada pengaruh kikir. Kerana kikir itulah telah membinasakan mereka yang sebelum kamu, kikir itulah telah menyebabkan mereka menumpahkan darah dan memandang halal apa yang diharamkan bagi mereka”.

Kikir atau kedekut inilah antara halangan utama dalam melakukan kebaikan. Seorang yang kedekut dan kikir mana mungkin dapat melakukan kebaikan kerana dia sibuk memikirkan untuk mengambil dan bukan untuk memberi. Maka mereka yang berjaya menewaskan halangan besar ini, maka dia telah berjaya dan beroleh kemenangan.

AYAT 10: BERHARAP KEPADA ALLAH

Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: “Ya Rabb kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman; Ya Rabb kami, Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang”” (Surah al-Hashr: ayat 10).

Mereka yang berdoa inilah golongan yang datang selepas Muhajirin dan Ansar. Ini menggambarkan ciri-ciri paling khusus atau teramat khusus bagi Ummat Muhammad sallalLahu ‘alayhi wasallam secara mutlak pada tiap zaman dan tempat.

Mereka yang terkemudian ini memacukan jiwa dan pengharapan mereka kepada Allah Ta’ala untuk memohon pengampunan bukan sahaja untuk diri mereka tapi untuk mereka yang terlebih dahulu beriman sebelum mereka sejak dari zaman Anbiya lagi.

Mereka juga memohon agar Allah Ta’ala melepaskan diri mereka dari belenggu kedengkian dan pengkhianatan keatas orang beriman yang lain kerana dengki adalah penyakit yang paling berbahaya bagi merosakkan jiwa. Sifat lembut mereka yang terkemudian ini lantas mengikat, menghubungkan mereka semua yang beriman ini merentas masa dan tempat dengan ikatan Iman.

Doa dan pengharapan ini ditemani perasaan kasih dan rindu dalam diri mereka kepada orang beriman yang terdahulu lalu mereka mengucapkan, “Wahai Tuhan kami, Engkaulah yang Maha Penyantun, Maha Penyayang”.

SOLIDARITI, TAKAFUL SERTA KASIH SAYANG

Penghujung ayat menyebut dua sifat Allah Ta’ala yang sesuai dengan perasaan halus orang beriman, meskipun mereka datang jauh terkemudian, di belakang hari, namun mereka meletak harapan kepada Tuhan agar diberi kedudukan yang sangat dekat dengan angkatan Muhajirin dan Ansar dalam keimananan kepada Allah Ta’ala.

Nas-nas ini menjelaskan sifat dan tabiat semulajadi Ummat Islam, wujudnya jalinan erat menghubungkan golongan terawal ummat ini kepada yang terakhirnya. Hubungan ini terbentuk dengan solidariti, takaful serta kasih sayang. Perasaan kasih yang bersendikan ikatan erat ini merentasi zaman, tempat, bangsa dan nasab keturunan. Perasaan rindu dan kasih dalam persaudaraan ukhuwwah Islamiyyah merentasi zaman dan tempat ini terbina dalam hati nurani orang beriman yang sentiasa bersemi menyala pada setiap kurun dan ketika.

Maka seorang saudara beriman sentiasa mengenangkan saudaranya yang beriman yang telah pergi sebelumnya meskipun belum sempat bertemunya dan walaupun terpisah dengan jarak masa yang berabad lama. Lalu mereka yang datang kemudian meniti jalan mereka yang terdahulu dalam saf yang satu, beserta dalam satu angkatan yang sama dibawah panji Tuhan, bersama menempuh perjalanan jauh menuju ufuk yang jauh. Setiap generasi yang beriman ini saling berhubung antara satu sama lain di dalam solidariti dan kasih sayang.

Alangkah indahnya hadith Rasulullah sallallahu alayhi wasallam menggambarkan perihal ini seperti yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: “Bahawasanya pada suatu ketika Nabi sallallahu alayhi wasallam pergi ke kubur, lalu baginda mengucapkan “Assalamualaikum wahai penghuni kampung yang beriman, dan sesunggguhnya kami ini insya Allah akan menyusul kamu, inginlah aku untuk melihat saudara-saudara kita.” Maka para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, bukankah kami ini saudara-saudara kamu?” Rasulullah menjawab, “Bahkan kamu ini adalah sahabat-sahabatku, sedangkan saudara-saudara kita belumlah datang sekarang, aku akan menemui mereka di telaga al-Haudh (telaga di akhirat khusus untuk orang beriman)””.

Inilah kafilah orang beriman yang terbina dari awal ummat hingga terakhirnya yang senantiasa merindui dan mendoakan satu sama lain.

Semoga Allah subhanahu wa Ta’ala menyuburkan rasa rindu ini dalam jiwa kita.

Penulis adalah Peguambela & Peguamcara (Shariah) di Pulau Pinang, yang juga merupakan seorang aktivis ABIM.

2 thoughts on “IKATAN IMAN ANTARA MUHAJIRIN DAN ANSAR: PENGAJARAN SURAH AL-HASYR AYAT 8-10

  1. In the dynamic world of digital marketing, where the competition for online visibility is fierce, understanding and implementing effective Search Engine Optimization (SEO) strategies is crucial for businesses aiming to succeed online. SEO serves as the cornerstone of online marketing, enabling websites to enhance their visibility, attract organic traffic, and ultimately achieve their business objectives. In this article, we delve into the realm of search engine optimization, exploring its significance, key principles, and actionable strategies for maximizing online visibility. https://bit.ly/3JKYpu5

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *