JIWA PEDULI: KEIMANAN, KE-UMAT-AN DAN KEMANUSIAAN

JIWA PEDULI: KEIMANAN, KE-UMAT-AN DAN KEMANUSIAAN

oleh Mohammad Fazril bin Mohd Saleh

Mutakhir ini kita menyaksikan fenomena xenofobia semakin menjadi-jadi. Negara yang awalnya dikenali sebagai ‘a friendly Muslim country’ ini mulai berubah menjadi ‘an angry Muslim country’. Segelintir warga cenderung merobek slogan ‘Malaysia Truly Asia’ menerusi tindak tanduk mereka yang terlihat kasar terhadap golongan pelarian dan pencari suaka. Babak demi babak tercipta, hebohnya mencipta pelbagai reaksi – ada yang kasihan dan prihatin, sebaliknya tidak sedikit yang selamba berkata “padan muka mereka…”.

MATI RASA, TIPIS IMAN

Dari isu layanan pihak berkuasa kepada pelarian dalam tahanan, kepada peristiwa hampir sedozen keluarga pelarian dihalau penduduk kampung – kesemua ini hanyalah suatu simptom terhadap barah sebenar dalam masyarakat, iaitu hilangnya kepedulian, mati rasa, tipis iman.

Pastinya kita tidak harus menunding jari, mencari salah siapa di sebalik peristiwa-peristiwa ini. Cuma, apakah kekasaran akan membawa penyelesaian? Apakah tindakan dengan emosi memberi kelegaan? Fikir sejenak, adakah para pelarian ini mahu jadi pelarian? Jika kita di tempat mereka, bukankah kita juga meminta untuk diberi belas ehsan?

PAPARAN MINGGU INI (06 JULAI 2020)

Oleh yang demikian, untuk paparan minggu ini (06 Julai 2020), Risalah (edisi siaran dalam-talian) membawakan fokus terkait isu pelarian dan konflik dunia. Beberapa makalah menyorot peristiwa dan tindakan wajar yang perlu diambil oleh manusia yang punya hati nurani, apatah lagi manusia yang mengaku beriman. Makalah lain mengukuhkan justifikasi untuk menyantuni sebaiknya golongan pelarian ini, atas asas keimanan, ke-umat-an, dan kemanusiaan.

Ahmad Fahmi membangkitkan perihal fenomena ‘pandemik pelarian’ akibat krisis dunia yang tidak kunjung malap. Tulisan beliau berjudul “Konflik Dunia Berterusan Cetus Pandemik Pelarian” mempersoal sikap segelintir kaum Muslimin yang tidak mempedulikan saudara mereka yang ditimpa kesusahan, diuji Allah menjadi pelarian. Beliau juga tidak lekang menyebut peranan ABIM dan keluarga besarnya (WADAH-ABIM-PKPIM) dalam menyantuni golongan “Muhajirin” ini melalui pelbagai insiatif termasuklah pendidikan. Sampai masanya, Allah mengangkat musibah mereka, para pelarian ini akan kembali ke Tanah Air mereka. Saat itulah, pelarian yang terdidik memainkan peranan membangun manusia dan mendirikan semula negara mereka.

ABIM mempunyai track record yang cemerlang dalam menangani isu pelarian sejagat dan menyantuni golongan pencari suaka ini sebagai “muhajirin”. Sebahagian kisah kejayaan ABIM diungkap oleh Maria Kamel dan Wan Fadhilah dalam catatan misi kemanusiaan ke Bosnia baru-baru ini. Makalah berjudul “Malaysia Mekar dalam Ingatan Rakyat Bosnia” merupakan bukti jiwa ummatik yang ditanamkan dalam jiwa para aktivis ABIM sehingga termanifestasi dalam tindakan mereka. Orang Bosnia tidak mungkin melupakan jasa Malaysia, dan bakti ABIM pada ketika Tuhan menguji mereka dengan ujian kemusnahan akibat peperangan lebih dua dekad lalu.

Kita sering mendengar kisah persaudaraan Muhajirin dan Ansar, pada ketika peristiwa Hijrah Nabi dari Makkah ke Madinah. Apa yang mendorong mereka untuk bersaudara? Itulah ‘iman’, sebagaimana terungkap dalam makalah oleh Omar Mokhtar dalam refleksi terhadap surah al-Hashar (ayat 8-10). Refleksi ini sedikit sebanyak mengetuk pintu hati kita untuk terus peduli kepada golongan kesusahan, kelompok mustad’afin yang serba-serbi kekurangan.

Ahmad Azam Ab Rahman pula mengobarkan semangat ummatik lewat makalah beliau berjudul “Islam dan Ketamadunan Sejagat”. Menurut beliau, hanya dengan mengikuti ajaran al-Qur’an yang sebenar, maka umat Islam akan beroleh kemenangan dan kemuliaan. Prinsip ummatik menjadi keutamaan dalam memastikan keamanan dunia sejagat. Hari ini, khilafah Islamiyah sudahpun terkubur. Jika bukan kita yang memainkan peranan masing-masing bagi melindungi sesama saudara seiman kita, khilafah yang baharu pastinya jauh lagi untuk terbit di dunia ini.

Media sosial memang sinonim dengan fenomena ‘kecam-mengecam’. Buat jahat pastinya dikecam, buat baik pun dikecam juga. Oleh itu, dipaparkan jawapan ABIM kepada netizen berhubung isu menyantuni para ‘muhajirin’ Rohingya di negara ini. Juga dipaparkan maklumat buku terbitan ABIM berkaitan isu ini berjudul Rohingya: Bantu atau Bantai.

MEMBANGUN CINTA DAN AKTIVISME

ABIM sentiasa komited menjalankan tugasan sebagai hamba dan khalifah sedaya mungkin. Oleh itu, proses menyebarkan manfaat dalam kalangan mereka yang memerlukan adalah salah satu peranan ABIM sebagai gerakan ilmu dan bakti. Maka, pentingnya dibangunkan cinta dan aktivisme dalam diri umat khasnya para aktivis ABIM.

Cinta adalah fitrah manusia. Cinta di sini membawa maksud kasih-sayang, ukhuwah, persahabatan, dan persaudaraan. Nabi Muhammad saw pernah bersabda, “Orang yang berkasih sayang akan disayangi oleh Yang Maha Pengasih. Kasihilah kamu para penduduk Bumi, maka kamu akan dikasihi para penduduk langit”.

Dengan kasih sayang, dunia akan menjadi tempat yang lebih baik untuk manusia menjalankan kehidupan kerana tiada peperangan dan kesengsaraan. Dengan kasih sayang, seseorang akan berasa aman dan bahagia. Dengan cinta dan kasih sayang, seseorang akan rasa dihargai dan dimuliakan.

Dengan cinta, kita akan peduli kepada orang lain yang memerlukan. Justeru, membangun cinta adalah tanda keimanan kita dan tanda kepedulian kita terhadap yang lain.

Manakala, aktivisme bermaksud manifestasi ilmu pengetahuan, pemikiran, harapan, cita-cita dan fikrah seseorang. Manifestasi ini terpamer dalam kegiatan, aktiviti, program dan kehidupan harian seseorang. Aktivisme perlu dilatih. Oleh sebab itu, program-program dirangka bagi member pendedahan dan ruang untuk memanifestasikan pemikiran dan fikrah ahli gerakan yang akhirnya akan membawa kepada pengamalan praktikal dalam kehidupan seharian.

Diharapkan agar usaha ABIM ini diberkati Ilahi!

Penulis adalah Setiausaha Agung ABIM merangkap Ketua Editor RISALAH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *