AIDIL ADHA DAN MEMARTABATKAN KARAMAH INSANIAH

AIDIL ADHA DAN MEMARTABATKAN KARAMAH INSANIAH

Oleh: Amidi Abdul Manan

Pendahuluan

Aidil Adha kembali lagi pada tahun ini dengan penuh keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT. Walaupun kemeriahannya tidak sama dibandingkan tahun-tahun kerana resam kehidupan yang perlu kita jalani taktala menghadapi Gelombang Covid-19.

Namun seharusnya kita sebagai umat yang beriman serta memahami akan kepentingan peristiwa dan falsafah korban ini tetap mengambil pengajaran dan iktibar secara jelas bagaimana kisah dan ibrah korban ini mampu memberi impak yang positif dalam kebangunan Umat khususnya di Malaysia.

Peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya nabi Ismail yang diungkap dalam lembaran sejarah besar umat islam tidak hanya menjadi peristiwa dan kisah yang kosong tanpa dilihat dari sudut pembinaan diri, keluarga dan masyarakat. Sesungguh lembaran sejarah pengorbanan yang dinukilkan dalam Al-Quran berkenaan peristiwa ini tidak lain untuk membentuk keperibadian hamba yang terpuji kepada penciptanya.

Justeru penampilan watak Ibrahim, Ismail dalam kisah ini semata-mata untuk menjadi iktibar Pembinaan sahsiah murni selaras dengan pembinaan Karamah Insaniah yang sering menjadi mesej pembentukan insan menurut Islam. Ini digambarkan oleh Allah yang bermaksud :

Dan bagi tiap-tiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (kurban), supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternak yang telah direzekikan Allah kepada mereka, maka Tuhanmu ialah Tuhan Yang Maha Esa, karena itu berserah dirilah kamu kepada-Nya. Dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang tunduk patuh (kepada Allah).” (Al-Hajj, 22: 34)

Pengorbanan yang digambarkan dalam Al-Quran oleh dua tokoh besar ini harus dilihat dari sudut yang lebih luas. Bagaimana hubungan ketuhanan dan kemanusiaan sering terjalin dalam pembinaan Ummah. Pengorbanan yang menuntut insan menzahirkan keikhlasan pengibadahannya kepada penciptanya lebih besar daripada keinginan kepada nilai kemanusiaan.

Nilai kepatuhan dan jati diri yang tinggi kepada penciptanya harus diberi makna besar dalam konteks sebuah masyarakat moden hari ini. Perayaan Eidul Adha yang dirayakan pada hari ini janganlah sekadar menjadi peristiwa kecil dalam konteks kefahaman diri umat. Biarlah ianya memberi kesan dalam jiwa nurani umat membantuk kefahaman iman kepada tuhannya dan kesejahteraan manusiawi yang terhasil daripada Aqidah yang murni.

Tidak lengkap kita membicarakan Aidil Adha pada kali ini tanpa mengungkap esensi Karamah Insaniah (Kemuliaan Insan) yang terkandung di dalam Khutbah al-Wida’ Baginda Rasulullah S.A.W yang menyebut dengan maksudnya:

“Sesungguhnya   darah   kamu, harta   benda   kamu   dan   kehormatan diri   kamu   telah   terpelihara(diharamkan) sebagaimana diharamkan hari ini, bulan ini dan bandar ini (Mekah) dan kawasan sekitarnya.”

Asas-Asas Karamah Insaniah

Karamah insaniah adalah salah satu tema yang sepadu dalam binaan perjuangan Islam. Islam mengangkat manusia dengan segala kelebihan yang dikurniakan Allah dalam penciptaan-Nya. Merenung makna di sebalik sepotong ayat dari Surah al-Isra’: 70:-

Dan sesungguhnya telah kami muliakan anak-anak Adam; dan Kami beri kendaraan mereka di darat dan di laut dan kami beri mereka rezeki yang baik-baik, dan Kami lebihkan mereka daripada kebanyakan makhluk Kami, dengan sebenar-benar kelebihan. (Isra’: 70)

Ayat tersebut menyatakan dengan jelas, Allah mengangkat manusia tanpa mengira warna kulit, budaya, adat resam dan agama. Dengan segala latar belakang ini, manusia mendapat kebebasan untuk bergerak ke mana sahaja, dengan apa jua pun kaedahnya. Begitu juga demi kelangsungan kehidupan manusia, Allah s.w.t kurniakan rezeki yang baik-baik dan disitulah kedudukan manusia yang mendapat kelebihan kerana, penciptaannya sebagai manusia.

Rupa fizikal juga tidak terkecuali apabila Ibn Kathir yang memperihalkan tentang kemuliaan manusia meliputi kelebihan jasadnya. Jasad manusia walaupun belum lahir sebagai manusia masih berupa janin tidak boleh diperlakukan sewenang-wenangnya. Begitu juga dengan tubuh badan manusia yang bergelar mayat.

Ibn Kathir juga turut menekankan bahawa segala kurniaan Allah yang berupa kemudahan dan kelebihan ke atas makhluk-Nya yang lain adalah kerana manusia diamanahkan untuk menjadi pentadbir dan pemakmur di muka bumi ini. Allah juga telah menganugerahkan manusia dengan pancaindera pendengaran, penglihatan dan hati untuk dimanfaaatkan bagi membezakan, antara kebaikan dan keburukan. 

Dr. Fathi Osman pula menyatakan dalam Tafsir Tematiknya bahawa, misi kemuliaan insan ini, mesti dipelihara dengan seutuhnya. Biar siapa pun individu tersebut, di mana pun dia, apakah darjat dan pangkatnya, dia perlu bebas menikmati janji Ilahi, serta terjamin keadilan dirinya untuk berkelana di muka bumi ini.

Dr. Umar Ahmad Kasule pula membawakan pandangan Ibn ‘Ashur dalam tafsiran mengenai ayat ini yang memperincikan mengenai 5 kurniaan Ilahi yang mengiktiraf Karamah Insaniah iaitu;  1) Takrim (penghormatan),  2) Taskhir Al-Marakib Fi Al-Barr, (kurniaan berkenderaan di daratan), 3) Taskhir Al-Marakib Fi Al-Bahr (kurniaan berkenderaan di air/ lautan), 4) Al-Rizq Min Al-Tayyibat (kurniaan rezeki daripada sumber yang baik) dan  5) Al-Tafdil Ala Kathir Min Al-Mahluqat (kedudukan yang lebih istimewa berbanding makhluk yang lain).”

Apabila menghuraikan kurniaan yang pertama iaitu al-takrim, Ibn ‘Ashur menyebut bahawa manusia diangkat martabatnya berdasarkan kemampuan akal fikirannya dengan istilah Karramahum Subhanahu Bi Al-Aql dalam menjustifikasi kemampuan aqal yang dipandu  hidayah dalam mengenal Penciptanya.

Menurut beliau lagi (Dr Umar Ahmad Kasule), terdapat dua tahap karamah insaniah (duality in human dignity) iaitu karamah insaniah yang berdasarkan hak asasi manusia dan karamah insaniah yang berdasarkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t.

Pernyataan ini memberi implikasi bahawa kita sebagai muslim perlu memelihara kemuliaan insan yang bukan muslim dari sudut hak asasi mereka. Walau martabat kita telah diangkat secara ruhiyyah namun tidak terdapat ruang bagi kita berbuat sesuka hati mencabul dan menceroboh karamah insaniah, individu yang bukan muslim.

Jaminan keselamatan nyawa sesama manusia dinyatakan dengan jelas menerusi ayat ke-32 Surah al- Maidah yang bermaksud:

…… sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia kesemuanya.

Human Dignity ini juga telah turut disentuh dalam Charter of Fundamental Right EU yang mengisytihar bahawa :

Human Dignity is inviolable. It must be respected and protected. The dignity of the human person is not only a fundamental right in itself but constitutes the real basis of fundamental rights.

Jadi dimana pun dan dalam tamadun apa pun prinsip-prinsip karamah Insaniah ini perlu dimartabatkan bagi memelihara keutuhan kemanusiaan itu sendiri.

Karamah Insaniah Asas Reformasi Islahiy

Reformasi diri yang terpancar pada citra Bilal ibn Rabbah, keluarga Ammar ibn Yasir dan para sahabat yang lainnya adalah kerana anjakan nilai kemuliaan diri yang melatari dakwah Rasulullah s.a.w. Dakwah yang menembusi segala benteng kedudukan sosio ekonomi, darjat dan keturunan, kerabat dan sahabat begitu dicemburui.

Karamah Insaniah yang diketengahkan dalam Islam telah memartabatkan seseorang secara adil  di tempat yang mulia. Karamah Insaniah yang berdasarkan nilai taqwa dinyatakan dengan jelas dalam pernyataan: Hai manusia, Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa – bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.

Al-Hujurat: 13

Dari situlah umat Melayu memaknai hubungan antara rakyat dan pemerintah. Kisah pemberontakan yang dilakukan oleh Megat Sri Rama terhadap Sultan Mahmud yang membunuh isterinya kerana seulas nangka diangkat sebagai simbol perjuangan menentang kezaliman penguasa. Tiada lagi latar ‘Deva Raja’ yang membayangi masyarakat Melayu, yang harus tunduk lantaran perbezaan darjat mahupun kesaktian keramat. Dr. Siddiq Fadzil menyatakan dalam bukunya ‘Islam dan Melayu’ yang memberi satu gambaran citra anak Melayu dalam satu ungkapan yang indah:

“Tradisi bahari atau budaya kelautan telah membentuk watak yang kuat, berdaya tahan dan berdaya juang. Di darat banyak tempat yang selamat, banyak pilihan untuk berteduh dan berlindung, bersembunyi dan berdiam diri, mengelak dan menghindar. Tetapi di laut tidak banyak pilihan, malah mungkin tidak pilihan sama sekali. Anak laut tidak dapat lari dari gelombang dan taufan, tidak dapat menghindar dari ribut dan badai. Tidak ada pilihan bagi anak laut selain menghadapi dan menaklukinya dengan sepenuh keberanian dan kekuatan.”

Keberanian umat Melayu lahir dari perubahan ‘pandangan sarwa’ yang tauhidik sifatnya. Ia membebaskan umat Melayu dari segala pembelengguan yang merugikan. Membina pandangan hidup yang jelas fungsi dan aturannya, serta membina sistem kehidupan yang berteraskan kalimah syahadah yang akhirnya mengangkat martabat diri umat Melayu.

Oleh itu segala kekuatan pembinaan bangsa seharusnya terpusat pada memartabatkan karamah insaniah. Yang mengangkat nilai diri manusia dan dipacu oleh kemampuan aqal fikiran. Bukan persoalan hak dan sentimen semata-mata yang akhirnya memerangkap kita dalam asabiyyah sempit dan merugikan.

Asas-Asas Keintelektualan Umat

Bagi menghadapi cabaran memartabatkan karamah insaniah ini, asas-asas keintelektualan umat perlu diperkukuhkan. Dalam lipatan kegemilangan tamadun Islam, diakui kekuatan intelektual yang berupaya menapis dan menyaring, segala unsur dalam tamadun lain merupakan faktor yang tidak boleh dinafikan. Perkara ini dinyatakan oleh Prof. Dr Hasan Langgulung:

“Tamadun Islam tegak dicetus atas dialog yang membina prinsip memberi dan mengambil. Dengan itu ia dapat menghadamkan pencapaian sains yang mekar pada tamadun-tamadun yang lain, malah ia menambah dan memperkayakannya sehingga ia mengeluarkan tamadun gemilang dan cemerlang dalam segala bidang ilmu dan pengetahuan”

Oleh itu segala pandangan dan buah fikiran perlu mendapat tempat yang sewajarnya. Kaedah membutakan dan menulikan fikiran adalah kaedah yang sama sekali bertentangan dengan prinsip Karamah Insaniah. Gejala pembodohan ini, akhirnya akan menjebak masyarakat ke dalam lekuk al-fikr al-mayyit, pemikiran yang dilanda kematian nilai positif dan berhadapan dengan nilai asing yang mengganas.

Ibn Khaldun pula mengistilahkan fenomena ini sebagai ‘kematian manusia’. Ia berlaku apabila aqal manusia telah jumud dan hilang daya upaya, menghasilkan idea perubahan yang menyaksikan tamadun manusia menuruni fasa inhiyar (kehancuran). Pemerhatian ini sejajar dengan ayat al-Quran yang masyhur yang sering kita ungkapkan: 3

Sesungguhnya Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaanyang ada pada diri mereka sendiri.

Surah al-ra’d ayat 11.

Terjerumusnya masyarakat ke dalam kancah kematian pemikiran ini adalah disebabkan kelekaan dengan hiburan (hedonistik), terpesona dengan kemewahan harta benda (materialistik) dan hidup dengan mementingkan diri sendiri (individualistik).

Ketiga-tiga jenis kehidupan ini menyebabkan terbentuknya golongan yang merasa senang dan selesa dengan segala kemudahan dan kenikmatan hidup yang ada. Mereka ini malas untuk berusaha memperbaiki diri dan telah kehilangan daya ubah bagi melonjak masyarakat ke arah yang lebih baik lagi. Golongan ini digelar oleh Malik Bennabi sebagai ‘al-raj al-hadharah’ yang hanya berjuang mahu mengekalkan situasi yang sedia ada. 

Maka inilah cabaran yang perlu kita hadapi untuk mengeluarkan generasi muda hari ini dari zon selesa (comfort zone). Zon yang meragut dinamika kepemudaan dan mengkembirikan kejantanan bangsa.

Golongan yang berupaya memulakan kebangkitan semula, kitaran kegemilangan sesebuah tamadun, digelar oleh Malik Ben Nabi sebagai ‘al-raj al-fitrah’. Golongan ini dicirikan dengan sikap yang reseptif bagi menerima idea baru dan senantiasa memperbaiki diri, baik dari sudut keilmuan dan kemahiran.

Penulis kini adalah Pengerusi Akademi Pendidikan Demokrasi Dan Kewarganegaraan (APDK). Beliau pernah memimpin ABIM selaku presiden mulai tahun 2011 sehingga tahun 2015.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *