PENGORBANAN SYEIKH NIAMAT YUSOFF UNTUK PENDIDIKAN RAKYAT

PENGORBANAN SYEIKH NIAMAT YUSOFF UNTUK PENDIDIKAN RAKYAT

Oleh: Ustaz Hafiz Mustafa Lubis

DERANG YANG PERMAI

Sebuah kampung yang bernama Derang sangat sinonim dengan tokoh agama bernama Al-Fadhil Syeikh Niamat Bin Yusoff. Di sinilah sebuah pusat pendidikan Islam yang pertama mewujudkan pengajian dari peringkat rendah ke peringkat tinggi berasrama penuh diasaskan di bawah kepimpinan beliau.

Maahad Tarbiyah Islamiah ini mengungkap sejarah pengalaman dan keilmuan keperibadian diri ulama’ ini yang dilahirkan pada tanggal 22 Februari 1940 di Kepala Batas, Pulau Pinang. Pada masa itu daerah Kepala Batas terkenal dengan sekolah-sekolah yang masyhur di Nusantara.

Syeikh Niamat Bin Yusoff adalah anak kedua dari empat orang anak hasil perkongsian hidup Tuan Guru Syeikh Yusof Bin Said dengan Che’ Tah Binti Abdul Hamid. Tuan guru Syeikh Yusof Bin Said adalah seorang tokoh yang disegani kerana pengalaman dan keterlibatan dalam masyarakat kerana menerajui pusat pendidikan pondok di beberapa daerah dalam negeri Kedah ketika itu.

Kehidupan Tuan Guru Syeikh Yusof Bin Said amat sederhana semasa mengikuti ayahnya yang sering berpindah dari satu tempat ke satu tempat.  Suasana kehidupan yang sederhana dan perpindahan yang berlaku sewaktu inilah telah banyak membantu Syeikh Niamat dalam memahami aspek-aspek kemasyarakatan dan tanggungjawab diri.

Di samping pengalaman dan pendidikan informal yang diperolehi dari ayahnya, beliau juga mendapatkan pendidikan formal dari beberapa buah sekolah. Pertama, beliau dihantar belajar di sekolah Melayu pada tahun 1947 sehingga 1948 sehingga darjah dua, kemudian menuntut di Madrasah At-Tarbiyah Al-Auladiyah, Kubur Panjang sehingga darjah tiga pada tahun 1952. Beliau kemudian mendapat kesempatan melanjutkan pelajaran di Maktab Mahmud Alor Setar dan lulus Syahadah Nihaiyah (menengah) di Sekolah tersebut pada tahun 1960.

Laluan pengajian diselarikan dengan latihan mengajar yang dipertanggungjawabkan oleh ayah beliau. Walaupun dalam usianya yang terlalu muda, beliau telah menimba pengalaman menjadi guru Al-Quran dan tajwid di rumah-rumah dan di surau-surau sejak tahun 1954 sehingga 1960 ketika usia baru menjangkau umur 14 tahun.

Kemudian beliau telah berkesempatan mengajar bahasa Arab di beberapa buah sekolah agama rakyat di negeri Kedah pada tahun 1960 sehingga 1964. Sebelum berangkat ke Mesir, beliau juga telah sempat menjadi guru agama dan guru bahasa kebangsaan di sebuah sekolah swasta Darul Aman English School, Alor Setar dan di kelas khas Maktab Mahmud.

PENULISAN & MELANJUTKAN PENGAJIAN KE AL-AZHAR.

Ustaz Niamat Yusoff memiliki minat yang mendalam di bidang penulisan. Sejak usianya 17 tahun lagi tulisan-tulisan beliau telah disiarkan dalam pelbagai majalah dan akhbar. Mulai tahun 1958 tulisan-tulisan beliau telah mula tersiar dalam majalah Mastika yang dianggap paling popular ketika itu.  Sepanjang tahun 1957 hingga 1960 sahaja, beliau telah menghasilkan 50 buah sajak, 5 buah cerpen dan 2 buah cerpen terjemahan, beberapa artikel tentang sejarah dan 2 buah drama.

Di saat-saat inilah Ustaz Niamat Yusoff terlibat dengan Badan Seni Seri Budaya Kedah sebagai Ahli Jawatankuasa antara tahun 1963 sehingga 1964. Selepas tahun 1964 beliau cenderung menulis artikel-artikel menyentuh persoalan agama, falsafah, sejarah dan pendidikan. Manakala selepas tahun 1974 ketika arus kebangkitan Islam melanda, tulisan yang dihasilkan beliau lebih bercorak dakwah dan tarbiyah sehinggalah ke saat terakhir kehidupan beliau.

Pada tahun 1964 beliau telah berangkat melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar di Mesir berkat dokongan dan sokongan daripada masyarakat. Kemiskinan yang melatari kehidupan memaksa beliau meminta bantuan daripada pelbagai pihak.  Dengan bekalan yang sangat terbatas Ustaz Niamat Yusoff telah berangkat ke Mesir dengan menaiki sebuah kapal laut dari Singapura sambil terpaksa meninggalkan seorang isteri dan seorang putera yang masih kecil bernama Muhammad Naim yang pada masa itu baru berusia 10 bulan.

Dugaan kedua mengiringi beliau apabila sampai ke Singapura, perjalanan beliau tergendala akibat peristiwa peperangan kaum yang sedang berlaku di sana pada waktu itu. Akhirnya, setelah dua hari terkepung di rumah sahabatnya, En. Rahman Bee, perjalanan beliau dapat diteruskan sehingga pada tanggal 16 Oktober 1964 beliau tiba dengan selamat di Kaherah. Beliau mendaftarkan diri dalam pengajian di bidang Usuluddin di Universiti Al-Azhar.

Untuk membiayai keperluan pengajian, beliau juga terpaksa bekerja sambilan sebagai pengedar buku-buku dan kitab-kitab agama ke tanah air. Rakan seangkatan beliau di Mesir pada ketika itu Almarhum Al-Fadhil Ustaz Fadzil Noor. Antara tahun 1967 hingga 1968 hakikat pahit getir dan laluan yang serba tercabar akhirnya membawa natijah yang amat bermakna. Tepat pada tanggal 18 Oktober 1968 Syeikh Niamat Yusoff telah kembali ke tanah air dengan segulung ijazah di bidang usuluddin dari Universiti Al-Azhar.

KETERLIBATAN DENGAN MASYARAKAT

Setelah kembali ke tanah air nama beliau mula terserlah di mata masyarakat kerana penglibatan dalam kerjaya pendidikan Islam di samping keterlibatan beliau dalam wadah-wadah Islam dan gerakan sosial. Beliau adalah di antara peribadi yang bertanggungjawab mengasaskan Angkatan Belia Islam (ABIM) Negeri Kedah pada tahun 1972. ABIM Negeri Kedah merupakan di antara yang pertama ditubuhkan setelah diasaskan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan sahabat-sahabatnya di Kuala Lumpur pada tahun 1971.

Beliau menjawat jawatan Yang Di-Pertua ABIM Negeri Kedah yang pertama setelah diasaskan. Di peringkat ABIM pusat, beliau telah dilantik sebagai salah seorang Ahli Majlis Syura. Pada tahun 1978, untuk menumpukan perhatian untuk menubuhkan sebuah sekolah agama, maka beliau telah mengundurkan diri sebagai Yang Di-Pertua ABIM Kedah.

Walaupun begitu, disebabkan kepimpinan beliau masih lagi diperlukan maka Syeikh Niamat Yusoff dikekalkan sebagai Timbalan Yang Di-Pertua sehinggalah menjelang tahun 1989. ABIM adalah wadah yang dipilihnya untuk berperanan di dalam masyarakat dalam bidang dakwah dan tarbiyah.

Pada awal tahun 70-an ini juga beliau terlibat secara aktif dalam Persatuan Ulama’  Kedah. Satu persatuan yang menjadi tunggak aspirasi seluruh ulama’ Negeri Kedah sejak ia ditubuhkan pada tahun 1948. Syeikh Niamat Yusoff menjawat jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa dari tahun 1971 hingga 1987. kemudian dipilih sebagai Timbalan Yang Di-Pertua Persatuan Ulama’ Kedah sejak dari tahun 1987 hingga ke akhir hayat beliau.

Pada akhir 90-an beliau mula melibatkan diri secara serius dengan parti politik iaitu Parti Islam SeMalaysia (PAS) dengan menjawat jawatan sebagai Naib Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat, Naib Ketua Dewan Ulama’  PAS Negeri Kedah serta Ketua Urusan Ulama’ PAS Kawasan Pokok Sena.

Di samping itu Syeikh Niamat Yusoff serta beberapa orang rakan telah mengasaskan Nadwah Persuratan Islam Malaysia (NAFIS) satu wadah dalam mengumpul serta membangunkan penulisan-penulisan bercorak Islam.

Penglibatan beliau di arena pertubuhan Islam memberi peluang untuknya bukan sahaja melawat ke seluruh pelusuk tanah air, malah ke beberapa buah negara luar yang mana beliau banyak menimba pengalaman untuk melanjutkan usaha ke arah melangsungkan pendidikan yang dipeloporinya itu.

MEMBANGUNKAN MAAHAD TARBIAH ISLAMIYAH DERANG

Di bidang pendidikan beliau telah diterima menjadi guru penolong di Maktab Mahmud, Alor Setar sejak dari tahun 1969. Pada tahun 1972 hingga tahun 1978 pula, beliau telah dipilih menjadi Pensyarah dalam Darjah Latihan Perguruan Guru-guru Agama Kedah. Tahun 1981 merupakan tahun yang merubah suasana kehidupannya dalam kerjayanya.

Pada tanggal 5 Jun 1982 dengan rasminya meletakkan jawatan sebagai guru di Maktab Mahmud setelah berkhidmat selama 12 tahun. Perletakan jawatan yang didorong atas kesedaran tentang keperluan menubuhkan sebuah sekolah agama yang mendokong aspek keilmuan Islam tradisional yang mampu berinteraksi dengan suasana semasa sebagai teras pendidikan generasi akan datang.

Akhirnya pada awal tahun 1980 tertubuhlah Maahad Tarbiyah Islamiah yang diilhamkan daripada buah fikiran Syeikh Niamat Yusoff sendiri. Maahad Tarbiyah Islamiah  ini merupakan sekolah agama pertama di Malaysia yang memulakan pengajian daripada peringkat rendah secara berasrama penuh. Berbanding dengan sekolah-sekolah agama yang lain, pengajian hanya bermula di peringkat menengah rendah.

Penerokaan ini berlaku di luar dugaan. Semasa keputusan ini dibuat, Syeikh Niamat Yusoff sedang berkhidmat di bawah payung Maktab Mahmud dengan skim gaji terakhir RM 2,000 sebulan. Akan tetapi beliau telah mengumpulkan kekuatan untuk menerokai kawasan hutan belantara Derang, atas nama tanggungjawab survival pendidikan bangsa.

Antara halangan-halangan yang menanti beliau pada ketika itu adalah saraan hidup yang belum menentu, suara-suara dari rakan taulan yang seakan tidak yakin dengan perjuangannya tanpa sandaran modal dan wang ringgit serta suasana sekitar yang tidak sesuai perjuangan di desa belantara.

Di sinilah Ustaz Niamat Yusoff mula menyelami dan menghayati segala pengalaman yang pernah diperolehinya ketika bersama ayahanda beliau sebelum ini. Kewibawaannya terbentuk bukan hanya pada kata-kata tetapi juga pada sikap dan pendekatan yang membina. Pembinaan Maahad Tarbiyyah Islamiah Derang adalah sesuatu yang menarik kerana sudah berdekad-dekad penerokaan hutan belantara menjadi kampung dan bandar tidak berlaku.

Syeikh Niamat Yusoff adalah seorang peribadi yang mengembalikan tradisi keilmuan Islam yang bermula di hutan belantara sehingga terbentuknya kampung dan bandar yang diteroka melalui peranan ulama’.

Setelah maahad ditubuhkan, bermulalah peringkat kehadiran tenaga-tenaga penggerak secara sukarela. Di peringkat ini beliau menyatukan tenaga-tenaga petugas yang hadir dari pelbagai latarbelakang hidup dan bidang pendidikan kearah satu kesatuan dalam menjayakan cita-cita pendidikan Islam.

Petugas-petugas ini terdiri dari pelbagai latar belakang samaada dari bidang agama, teknokrat, profesional dan sebagainya. Di sinilah bermulanya cogan kata Maahad “Gandingan diantara keilmuan Islam yang mantap dan teknologi moden yang bermanfaat” sebagai halatujunya.

Langkah demi langkah Syeikh Niamat dan para pendidik telah dapat merealisasikan apa yang diimpikan suatu ketika dahulu. Unik apabila tarikan petugas pendokong baru maahad bukan didasarkan kepada janji-janji “gaji lumayan”.

Tenaga Maahad terpaksa menempuh kesusahan bersama Ustaz Niamat Yusoff serta pengorbanan ketika mana masyarakat belum memahami bahawa perlaksanaan pusat pendidikan Islam adalah tanggungjawab yang memerlukan sokongan seluruh umat Islam.

Walaupun beliau pada awalnya tidak memiliki modal yang besar, tanpa tenaga guru yang sanggup menyertainya, tanpa memiliki tanah dan kawasan untuk dibangunkan serta peralatan mengajar yang lengkap serta tanpa sebarang bantuan daripada kerajaan.

Namun inilah hakikat yang memulakan penubuhan Maahad di mana segala keperluan tersebut menyusul sesudah usaha ini dimulakan serta menampakkan hasilnya. Kebaktian Ustaz Niamat Yusoff di bidang pendidikan telah mendapat perhatian Kerajaan Negeri Kedah. Beliau diberi penghormatan menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah Darulaman pada tahun 1989.

Ustaz Niamat Yusoff telah kembali kerahmatullah tepat jam 10.20 pagi hari Rabu tanggal 13 Rejab 1424 bersamaan 10 September 2003 di Hospital Alor Setar di sisi kedua isteri serta anak-anak beliau.

Penulis adalah mantan Yang Di-Pertua ABIM Negeri Kedah Darul Aman dan kini beliau adalah Timbalan Pengerusi Majlis Syura Negeri Kedah

One thought on “PENGORBANAN SYEIKH NIAMAT YUSOFF UNTUK PENDIDIKAN RAKYAT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *