REALITI HITAM MANGSA PEMERDAGANGAN MANUSIA.

REALITI HITAM MANGSA PEMERDAGANGAN MANUSIA.

Disediakan Oleh: – Mohd Nabil Majdi Bin Arip

MANGSA CULIK

Susanti (bukan nama sebenar) merupakan seorang gadis yang mempunyai masalah lembam telah diculik sewaktu berumur 13 tahun sekitar dua puluh tahun yang lepas dari keluarganya yang berasal dari Medan Indonesia.

Dia diseludup melalui jalan laut dan dijual kepada sindiket pelacuran di Malaysia. Sejak dari itu episod demi episod sedih terpaksa dihadapinya sebelum dia dijumpai dan diselamatkan oleh ABIM Perak.

Menurut Susanti, dia berjaya memboloskan diri dari bapa ayam yang telah membelinya sebelum sempat dia dilacurkan namun selepas itu dia kehilangan arah. Tidak tahu bagaimana berhubung dengan keluarganya kembali di Medan dan lebih menyedihkan sering kali cerita penculikannya dianggap enteng atau rekaan semata-mata menyebabkan dia gagal memperoleh bantuan.

Walau ada yang membantu tetapi sekadar memberi tempat perlindungan sementara dan makanan namun tiada yang tahu bagaimana menghubungkan Susanti dengan keluarganya di Medan serta tiada yang sanggup bersusah payah deminya.

Apatah lagi tanpa dokumen sah ke Malaysia, Susanti dianggap tidak mempunyai kewarganegaraan dan menyulitkan proses untuk membantunya. Lebih menyedihkan, dia sering bertemu dengan mereka yang mengambil kesempatan keatas kelemahan dirinya.

MANGSA KEGANASAN RUMAH TANGGA

Susanti hidup bertahun lamanya sebagai gelandangan di Kuala Lumpur sebelum dia bertemu dengan suaminya yang pertama. Mereka berkahwin di Narathiwat, Thailand dan mempunyai tiga orang anak hasil dari perkahwinan tersebut.

Namun perkahwinan ini tidak bertahan lama kerana suaminya seorang penagih dadah dan sering mengabaikan keluarga. Mereka bercerai dan Susanti membawa diri bersama anak-anak ke Perak.

Bagai keluar dari mulut buaya masuk ke mulut harimau, di Perak, Susanti telah mengahwini seorang lelaki berumur 50an yang pada asalnya menjanjikan untuk menjaga Susanti dan anak-anak namun lelaki tersebut telah menganiaya beliau dan anak-anak.

Hasil perkahwinan tersebut mereka mendapat dua orang anak yang dilahirkan di rumah tanpa doktor. Menurut Susanti, anaknya berumur tujuh tahun membantunya sewaktu melahirkan kedua-dua anak tersebut.

Mereka dibawa tinggal di rumah yang terletak dipinggir hutan dan sering didera. Susanti tidak dilayan sebagai seorang isteri. Sebaliknya beliau dijadikan sekadar pemuas nafsu sahaja.

Ketika ditanya mengapa dia tidak segera melarikan diri, dia mengatakan beliau ingin melindungi anak-anak. Dia sering diancam untuk dibawa ke imigresen dan dipisahkan daripada anak-anaknya.

Kerana tidak mengenal sesiapa, terputus hubungan dan tiada tempat untuk ditujui menyebabkan Susanti dan anak-anak sering dipukul. Kemuncaknya adalah apabila Susanti dipukul sehingga dalam keadaan separuh mati dengan batang besi.

DISELAMATKAN WARGA ABIM PERAK

Tanpa memikirkan apa lagi akhirnya Susanti dan anak-anak keluar dari rumah sewaktu ketiadaan suaminya dan dengan bantuan mereka yang bersimpati dalam perjalanan, akhirnya Susanti berjaya melarikan diri dari Lumut ke Ipoh, Perak.

Dia dan anak-anak hidup menjadi gelandangan tanpa sebarang dokumen yang sah. Setiap hari mereka sekadar makan dengan mengharapkan ihsan daripada orang ramai. Keadaan ini berterusan sehingga Susanti dan anak-anak diselamatkan oleh warga ABIM Perak dan ditempatkan di rumah perlindungan.

Proses penghantaran pulang Susanti tidak mudah. Ini kerana kes penculikan membabitkan Susanti telah lama berlaku. Dia tidak boleh dihantar pulang walaupun melalui perantaraan proses yang dibuat Jabatan Imigresen disebabkan tidak mempunyai sebarang dokumen kewarganegaraan Indonesia.

Di sebelah pihak kedutaan Indonesia pula, mereka tidak dapat mengiktiraf Susanti sebagai warganegara negara tersebut. Untuk Susanti diperakui kewarganegaraannya, sekurang-kurangnya proses ini memerlukan bukti dalam bentuk pengakuan saudaranya di Medan, Indonesia.

Lantaran itu ABIM Perak memulakan misi mencari keluarga Susanti di Medan. ABIM Perak memohon bantuan Yayasan Kelompok Kerja Sosial Perkotaan, sebuah badan bukan kerajaan di Medan, Indonesia, untuk menjejaki keluarga Susanti berdasarkan sedikit maklumat masih diingati beliau.

Proses pencarian menemui jalan sukar pada awalnya kerana alamat rumah keluarga Susanti telah dirobohkan selepas kematian ibu dan bapanya.

Namun nasib menyebelahi Susanti. Ini kerana mereka telah berjaya menemukan akaun Facebook kakak Susanti yang kebetulan pernah memuat naik posting dan gambar sewaktu Susanti kecil beberapa bulan sebelum ini.

KEMBALI KE PANGKUAN KELUARGA

Setelah itu segala urusan pulang dipermudahkan. Dengan bantuan Kedutaan Besar Indonesia di Malaysia, pasport dan dokumen pengenalan diri Susanti serta anak-anaknya siap dalam tempoh seminggu.

Mereka kemudiannya dihantar pulang ke Medan, Indonesia pada 31 Disember 2020 lalu diiringi wakil ABIM dan Kedutaan Besar Indonesia sehingga ke lapangan terbang.

Setelah dua dekad menderita, Susanti akhirnya telah dipertemukan dengan keluarganya kembali dalam suasana hiba. Ini kerana Susanti yang disangka telah meninggal dunia dua puluh tahun yang lepas.

Di sebalik kegembiraan, Susanti tetap bersedih dengan pemergian kedua orang tuanya sebelum dia sempat menemui mereka. Namun begitu Susanti nekad untuk memulakan kehidupan baru bersama keluarga beliau yang menyayanginya.

Kisah Susanti adalah sebuah kisah dari ribuan kisah pemerdagangan manusia yang berlaku di Asia Tenggara.

Masyarakat perlu cakna akan isu ini dan tidak menganggapnya isu rekaan agar kisah Susanti yang dinafikan kisahnya tidak berulang.

Pihak berkuasa pula perlu menilai semula prosuder operasi yang digunakan dalam membantu mangsa-mangsa pemerdagangan manusia agar mereka tidak bertambah teraniaya.

Perkongsian dan pertukaran maklumat membabitkan mangsa-mangsa yang hilang dalam kalangan negara Asia Tenggara juga amat diperlukan untuk membanteras aktiviti pemerdagangan manusia yang merupakan realiti hitam yang tersembunyi daripada mata masyarakat. Penulis adalah Yang Di-Pertua ABIM Daerah Ipoh Bandaraya.  

4 thoughts on “REALITI HITAM MANGSA PEMERDAGANGAN MANUSIA.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *