1 DEKAD KONFLIK KEMANUSIAAN SYRIA – IBRAH DAN REFLEKSI

1 DEKAD KONFLIK KEMANUSIAAN SYRIA – IBRAH DAN REFLEKSI

oleh Syahrir Azfar bin Saleh

Ada yang bertanyakan, kenapa penulis masih lagi terus berjuang dalam isu Syria yang telah satu dekad lamanya berlaku? Jawapan penulis masih sama seperti tahun-tahun awal ketika penulis mula bergiat aktif dan sepenuh masa dalam Kempen Save Syria yang digerakkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada Januari 2012 yang seterusnya membawa kepada penubuhan Malaysian Life Line for Syria (kini Malaysia for Syria), iaitu kerana penulis telah menyaksikan segala macam kezaliman yang berlaku di Syria tanpa pembelaan yang sewajarnya. Selalu juga penulis kongsikan betapa takutnya penulis juga akan berlaku zalim dan berdosa sekiranya apa yang telah disaksikan dengan mata kepala sendiri, ditambah dengan pelbagai cerita kisah-kisah benar mengenai kezaliman yang sedang berlaku di Syria tidak diangkat dan dibela.

Tahun 2011 menyaksikan gelombang Revolusi Arab Spring mula merebak ke bumi Syria yang sebelum ini masyhur dengan kekebalan pemerintahan diktator dan juga kerisauan masyarakat Syria untuk bangkit memecahkan tembok ketakutan melawan kerajaan yang zalim. Usaha memecahkan tembok ketakutan di Syria telah dimulakan oleh Hasan Ali al-Akla, seorang pemuda Syria yang berumur 26 tahun. Beliau membakar dirinya sendiri mencontohi apa yang telah dilakukan oleh Muhammad Bouazizi yang berjaya mencetuskan revolusi di Tunisia. Namun usaha Hasan Ali al-Akla ini tidak membuahkan hasil di Syria sepertimana yang diharapkan.

Semangat untuk kebangkitan dan kemarahan rakyat Syria akhirnya tiba ke kemuncaknya apabila jenazah anak kecil yang bernama Hamza Ali al-Khatib dihantar pulang ke rumah keluarganya dalam keadaan penuh dengan kesan seksaan hanya kerana didakwa terlibat dengan demonstrasi aman melawan kerajaan Bashar al-Assad yang merupakan presiden Syria. Tubuh Hamza penuh dengan kesan lebam, torehan dan terbakar, malah terdapat kesan tembakan di kakinya termasuk kemaluannya juga dipotong. Tragis!

Maka, 15 Mac 2011 menjadi saksi demonstrasi aman yang digerakkan secara besar-besaran yang bermula di Dar’a, Syria antara lainnya mengecam kezaliman yang dilakukan ke atas Hamza di samping mengecam penangkapan sejumlah anak-anak muda yang menconteng graffiti berkaitan kebebasan dan kebangkitan Arab di dinding. Laungan Allah, Suriah, Hurriah wa Bas – yang membawa maksud kami hanya mahukan Allah, Syria dan Kebebasan bergema sahut-sahutan menandakan era revolusi Syria sudah sampai ke kemuncaknya. Sedikit yang mereka tahu bahawa kebangkitan ini bakal memakan masa 10 tahun dan ia masih belum menemui sinarannya.

Jika mahu disoroti segala macam kezaliman, serangan senjata kimia dan bom tong barrel, bidikan peluru penembak tepat, pengepungan secara sitematik sehingga mengakibatkan kematian akibat kebuluran, malah sehingga kepada pembunuhan beramai-ramai yang berlaku kepada masyarakat Syria tanpa pembelaan sepanjang 1 dekad ini, pasti akan benar-benar meruntun jiwa kemanusiaan kita semua.

Antara tragedi kezaliman yang pernah disaksikan oleh penulis sewaktu melaksanakan misi bantuan kemanusiaan ke Syria adalah ketika sejumlah 230 mayat dijumpai ‘sengaja’ dibuang ke Sungai Kuweiq di Aleppo pada penghujung Januari 2013.

Penulis sempat melihat sendiri keadaan mayat-mayat yang telah diangkat keluar daripada sungai dan kemudiannya dikumpulkan di dataran terbuka sebuah sekolah bagi proses pengecaman waris dan ahli keluarga. Hampir kesemua jasad yang terbaring kaku ini mempunyai kesan tembakan di kepala dan dada mahupun kesan penyeksaan dan kecederaan yang membawa kepada kematian seperti disimbah asid, dicungkil biji mata dengan sebahagiannya ditemukan masih lagi terikat tangan mereka. Jujur sukar untuk penulis memproses kejadian yang berlaku di hadapan mata sendiri, namun ia seakan memberi tanda bahawa penulis perlu memikul beban untuk membela kezaliman yang berlaku ini tanpa tapi dan tanpa nanti.

Penulis juga pernah berkongsi di laman Facebook pengalaman melihat sendiri seorang kanak-kanak yang dibidik penembak tepat (sniper) dibawa ke hospital dengan nyawa-nyawa ikan dan akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir di

hadapan mata penulis.

Di samping itu, tragedi yang paling sukar untuk penulis lupakan adalah ketika mana majlis perasmian Sekolah Ain Jalut di Aleppo (dibaikpulih hasil sumbangan rakyat Malaysia) yang sepatutnya dihadiri penulis dan pasukan bertukar menjadi hari yang berdarah. 15 minit sebelum penulis tiba ke sekolah tersebut, dua buah roket dilaporkan menyerang sekolah tersebut mengakibatkan lebih 30 orang pelajar termasuk guru-gurunya terkorban. Sela masa hanya 10 minit! Nyawa penulis dan pasukan mungkin diselamatkan dengan sela masa tersebut, namun pembelaan ke atas nyawa kanak-kanak yang datang ke sekolah untuk menimba ilmu sehingga kini masih dipandang sepi.

Begitulah gambaran gilanya peperangan yang berlaku di Syria. Sehingga tiada siapa pun yang berani dan benar-benar mahu bersuara untuk menghentikan segala macam pencabulan kepada Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa (International Humanitarian Law). Benar, penulis kecewa.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semenjak 2014 telah menghentikan kiraan jumlah kematian yang berlaku akibat peperangan di Syria dengan angka terakhir yang dicatatkan adalah seramai 250,000 pada tahun 2015 berbeza dengan apa yang dilaporkan oleh Syrian Centre for Policy Research yang melaporkan sejumlah 470,000 kematian telah dicatatkan sehingga Februari 2016. Syrian Observatary for Human Rights pula melaporkan angka kematian sudah mencecah seramai 593,000 orang sehingga Disember 2020. Pendapat penulis, ia hanya kekal menjadi angka yang tidak bermakna seandainya masyarakat dunia terus menerus gagal untuk mencapai kepada satu penyelesaian terbaik di dalam konflik Syria ini.

1 dekad berlalu dan konflik kemanusian masih berlanjutan di Syria. Sehingga Januari 2021, sekitar 13.4 juta rakyat Syria (hampir 75% daripada populasi Syria) dilaporkan memerlukan bantuan kemanusiaan dan juga perlindungan dengan 6 juta daripadanya berada di dalam keadaan yang benar-benar memerlukan. Ia diburukkan lagi dengan penularan wabak Covid-19 di samping faktor turunnya kuasa pembelian ekoran kehilangan sumber pendapatan yang penting (90% kini hidup di bawah paras kemiskinan yang parah dengan pendapatan hanya USD1.25 sehari). Nilai matawang Syria pula dilaporkan merosot sehingga 78% hanya dalam tempoh setahun. Harga makanan keperluan harian dilaporkan meningkat sehingga 286%! 12.4 juta kini berhadapan dengan desakan untuk mendapatkan keperluan asas makanan mereka. Keperluan mendesak yang lain adalah akses yang sangat terhad kepada kemudahan kesihatan dengan hanya 58% hospital dan 53% pusat kesihatan yang kini berfungsi. Sejumlah 5.9 juta rakyat Syria kini memerlukan tempat berlindung (rumah).

3 perkara utama yang menjadi desakan kepada mereka pada waktu ini adalah akses kepada makanan dan nutrisi, sokongan untuk memulakan semula kehidupan di samping keperluan tempat berlindung yang selamat dan mempunyai akses kepada kemudahan-kemudahan asas seperti air bersih dan sanitari.

Seandainya anak kita lahir di Syria pada tahun 2011, maka di usia mereka yang ke-10 tahun, mereka mungkin di antara 2.6 juta kanak-kanak yang terpaksa berpindah randah di dalam Syria dan menghuni khemah-khemah pelarian di dalam Syria (internally displaced person), atau terdiri daripada 2.5 juta kanak-kanak yang terpaksa mendapatkan perlindungan di negara asing malah mungkin menjadi dari kalangan 2.4 juta anak-anak Syria lain yang tidak pernah melalui proses pendidikan formal di sekolah. Mereka tidak mengenal abjad mahupun mengira. Laporan daripada UNICEF mengatakan 1 daripada 3 sekolah di Syria tidak lagi boleh digunakan samada musnah akibat peperangan, rosak atau digunakan sebagai penempatan sementara malah menjadi markas ketenteraan. UNICEF mengatakan sekurang-kurangnya 700 serangan ke atas fasiliti pendidikan di Syria dengan 52 serangan berlaku pada tahun 2020 sahaja!

Laporan juga menyebutkan bahawa 27% kanak-kanak di Syria kini berhadapan dengan tekanan psikologi, peningkatan hampir separuh daripada yang dilaporkan sebelum ini (14%). Bayangkan sahaja segalanya ini perlu dilalui oleh anak-anak kita, dan bagaimana pula keadaan kita sebagai ibu dan ayah yang perlu melalui hari-hari yang penuh mencabar sebagai mangsa peperangan yang tidak berkesudahan.

Syria dalam jangka masa panjang akan berhadapan dengan satu krisis generasi yang hilang (lost generation) kerana anak-anak Syria ini tidak disediakan dengan sistem pendidikan yang baik malah tidak melalui sebarang proses pendidikan yang formal. Adab pergaulan mereka akan hilang, sebarang tindakan tidak dipandu dengan pemikiran yang berlandaskan ilmu, jenayah akan berleluasa dan pelbagai lagi gejala-gejala generasi yang hilang apatah lagi perlu melalui episod-episod trauma akibat peperangan yang menggila. Mereka hilang hak untuk hidup sebagai seorang kanak-kanak biasa dan mereka tiada pilihan selain terpaksa untuk menghadapinya.

Saat penulis menyoroti fakta dan data terkini konflik Syria yang dikeluarkan dari pelbagai sumber seperti PBB, International Committee of Red Cross (ICRC) dan Human Rights Watch (HRW) ini, penulis menyedari betapa dahsyatnya kesan sesebuah peperangan dan benar-benar merasai syukur di atas nikmatnya sebuah keamanan, kedamaian dan juga kebebasan yang kita kecapi di bumi bertuah Malaysia.

Di atas keinsafan itu, penulis bersama pasukan Malaysian for Syria (MFS) semenjak 2012 dan juga rakan-rakan NGO yang lain, yang baharu mahupun yang telah lama dalam persada kemanusiaan terus kekal berjuang untuk memberikan kehidupan yang lebih baik kepada mereka yang menjadi mangsa peperangan samada di Syria, Turki, Lubnan, Jordan mahupun mereka yang mendapatkan perlindungan di Malaysia.

Jujur penulis katakan bahawa rakyat Malaysia merupakan sebuah masyarakat yang sangat prihatin, bersedia untuk membantu mereka yang memerlukan samada di dalam mahupun di luar negara. Walaupun mungkin ada yang masih skeptikal dengan bantuan yang disalurkan ke luar negara dan diibaratkan umpama kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan, ia tidak merencatkan sedikitpun usaha kita bersama untuk meringankan beban dan kesakitan yang dilalui oleh masyarakat di luar sana. Pendek kata, di mana pelosok dunia yang memerlukan, Malaysia akan hadir. Semoga Allah terus merahmati bumi Malaysia!

Gerak kerja bantuan kemanusiaan untuk Syria kini tidak hanya tertumpu kepada bantuan secara one-off atau skala masa pendek semata-mata. MFS bersama gabungan rakan-rakan NGO yang lain kini sedang dalam proses membina sebuah perkampungan Malaysia yang dinamakan Kampung Syrian al-Hayah (hampir 80% siap) yang bakal menempatkan 100 buah keluarga di al-Bab, Syria. Dalam masa terdekat, 100 buah keluarga ini akan berpindah daripada kem-kem perkhemahan yang usang dan kekurangan dari pelbagai segi ke sebuah penempatan wakaf yang lebih baik. Alhamdulillah.

Perkampungan yang kita sedang bina bersama ini lengkap dengan kemudahan sekolah, masjid, bekalan air bersih, taman permainan kanak-kanak, pusat sokongan psikologi dan juga bakal dilengkapkan juga dengan sebuah pasaraya yang bakal menggerakkan aktiviti ekonomi pelarian Syria di samping aktiviti ekonomi yang lain seperti kilang penghasilan roti, tanaman ubi kentang dan juga ladang ternakan kambing. Semua ini adalah hasil kerjasama NGO dan juga dokongan kuat serta keprihatinan rakyat Malaysia sendiri yang mahu melihat usaha bantuan kemanusiaan yang disalurkan bukan sekadar bantuan skala masa pendek, bahkan bantuan yang mampu untuk memastikan mereka yang terkesan, mampu untuk mandiri dan berjaya mengeluarkan mereka dari kepompong kemiskinan yang hanya mengharapkan bantuan kemanusiaan semata-mata. Apa yang paling penting adalah ia memberikan solusi kepada keperluan-keperluan mendesak yang diperlukan oleh mereka pada ketika ini.

Di samping bantuan-bantuan berkala kepada keperluan perubatan, makanan asas, bekalan air bersih yang telah digerakkan oleh MFS semenjak tahun 2012 khususnya di kawasan Aleppo, Idlib dan Hama, MFS juga turut memberi penumpuan kepada aspek keperluan pendidikan anak-anak Syria.  MFS telah membuka dan mendanai keperluan hampir 20 buah madrasah termasuk membaikpulih serta membiayai operasi 3 buah sekolah di Syria semenjak itu.

Tahun demi tahun, ketika mana Malaysia telah mula menjadi destinasi pilihan kepada pelarian-pelarian Syria untuk mendapatkan perlindungan, MFS melihat kepada keperluan segera pendidikan untuk anak-anak yang sukar mendapat akses dan tidak mampu untuk membiayai yuran di sekolah-sekolah swasta di Malaysia. Maka semenjak tahun 2017, MFS telah membuka Pusat Pembelajaran Alternatif Jasmine Ash-Sham (PBA Jasmine Ash-Sham) yang merupakan sekolah pelarian Syria yang pertama di Malaysia dan kini mempunyai hampir 120 orang pelajar dari peringkat rendah sehingga ke menengah. Malah ada beberapa orang pelajar yang kini dalam persiapan untuk menduduki peperiksaan kurikulum IGCSE sebelum memasuki gerbang universiti kelak. Sekali lagi ia merupakan inisiatif dan hasil keprihatinan masyarakat Malaysia. Syukur.

Maka persoalan berikutnya, sehingga bila kita perlu membantu Syria? Pendapat peribadi penulis, apabila sampai waktunya segalanya kembali tenang, aman dan keselamatan mereka terjamin. Pemimpin-pemimpin dunia harus melahirkan ketegasan dalam mencapai kata putus dalam menyelesaikan konflik peperangan di Syria yang kini dilihat telah menjadi medan peperangan di antara negara-negara yang mempunyai kepentingan tanpa memikirkan nasib dan nyawa rakyat Syria yang masih terus terancam saban hari.

Suatu ketika dahulu Malaysia pernah membantu Bosnia Herzegovinia dari segi diplomasi, bantuan kewangan, kemanusiaan dan moral termasuk menghantar tentera Malaysia untuk menganggotai tentera pengaman PBB ke sana sepertimana yang pernah dilakukan pada tahun 1960 (3 tahun selepas merdeka) di Congo, Afrika.  Malah Malaysia turut membawa sejumlah pelarian Bosnia untuk berlindung termasuk mengikuti pendidikan formal di Malaysia. Walhasilnya, generasi tersebut telah kembali semula ke Bosnia dan membina semula negara mereka dengan baik dan pastinya Malaysia akan terus kekal harum sebagai negara yang pernah menghulurkan bantuan di saat negara mereka berhadapan dengan konflik peperangan.

Begitulah jua harapan penulis dalam usaha-usaha dan pendekatan bantuan kemanusiaan berterusan yang digerakkan untuk menangani kesan dan akibat peperangan Syria yang mahu tidak mahu perlu kita akui, ia sedikit sebanyak memberi kesan langsung mahupun tidak langsung kepada Malaysia apabila telah menjadi antara destinasi pilihan untuk para pelarian Syria mendapatkan perlindungan sementara konflik belum berakhir. Membiarkan mereka tanpa membawa solusi segera yang menjawab kepada keperluan asas kehidupan manusia seperti tempat untuk berlindung, jaminan keselamatan, akses kepada perkhidmatan kesihatan dan juga pendidikan hanya akan mencetuskan pelbagai permasalahan yang mungkin akan timbul pada masa hadapan. Penulis berpendapat, tindakan pro-aktif NGO dengan dokongan kerajaan untuk menangani perkara ini di peringkat awal adalah satu tindakan yang wajar daripada merasa kesal di kemudian hari.

Akhirnya, harus sekali lagi penulis tegaskan apa sahaja usaha untuk membantu Syria tidak memberi makna masyarakat Malaysia yang juga berada di dalam keadaan memerlukan dan kesusahan dikesampingkan. Tiada yang wajar untuk dikesampingkan dalam urusan kemanusiaan.  Andai kita tidak melakukan sesuatu terutama dalam menjaga dan memelihara nyawa dan kemuliaan manusia yang sedang ditindas dan dizalimi, maka dimanakah duduknya dhomir dan nilai kemanusiaan dalam diri kita sesama insan. Hari ini mungkin hari mereka, selagi mana kudrat dan kelebihan yang kita kecapi pada waktu ini masih berada di dalam genggaman, penulis mengajak kita semua untuk menzahirkan rasa syukur dengan berkongsi kebahagiaan ini dengan mereka yang kurang bernasib baik. Bukan sahaja untuk Syria, tetapi untuk semua.

Satu dekad konflik kemanusiaan Syria, semoga ianya memberi ibrah dan pengajaran yang berguna untuk kita semua, betapa nilai keamanan sesebuah negara itu tiada tolok bandingannya dengan apa pun. Bersama kita sama-sama menjaga.

Salam keamanan sejagat. *Penulis merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia for Syria yang juga bertugas selaku Ketua Pegawai Operasi Global Peace Mission (GPM) Malaysia.

Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun :

MALAYSIAN LIFE LINE FOR SYRIA BERHAD

Maybank : 564810513971

Bank Islam : 14210010009882

Atau layari www.infaksyria.com

One thought on “1 DEKAD KONFLIK KEMANUSIAAN SYRIA – IBRAH DAN REFLEKSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *