MASA DEPAN AFGHANISTAN SESUDAH 20 TAHUN

MASA DEPAN AFGHANISTAN SESUDAH 20 TAHUN

Oleh: Editorial Biro Penerangan ABIM.

TUNGGU & LIHAT

Perhatian masyarakat antarabangsa kini tertumpu pada perkembangan terkini yang berlaku di Afghanistan, sesudah Taliban menguasai semula negara tersebut sesudah Amerika Syarikat secara rasmi mengundurkan tenteranya daripada negara tersebut.

Apa yang mengejutkan ialah kenyataan yang dikeluarkan negara Republik Rakyat China (China) yang ditanggapi pengkritik antarabangsa sebagai agak positif dan terbuka terhadap kerajaan yang ditubuhkan semula oleh Taliban.

Sorotan antarabangsa tertumpu pada foto pertemuan antara Menteri Luar China, Wang Yi serta Mullah Abdul Ghani Baradar, pemimpin de facto Taliban di Tianjin, pada 28 Julai 2021. Pelbagai analisis serta telahan telah diutarakan penganalisis antarabangsa. Akan tetapi rata-rata analisis ini menunjukkan indikasi bahawa kebangkitan semula kerajaan Taliban ini perlu diberikan perhatian yang serius oleh semua pihak.

Apatah lagi Afghanistan secara geo-politiknya terletak di rantau yang menjadikan kedudukannya sangat strategik. Semasa peperangan menentang Soviet, kuasa barat diketuai Amerika Syarikat telah menyokong perjuangan Mujahidin sehingga mengakibatkan kehancuran Soviet serta rejim komunis di Afghanistan.

Bahkan pengunduran Amerika Syarikat daripada negara tersebut dinilai para penganalisis membuktikan bahawa tiada penjajah yang mampu mentadbir negara tersebut sepertimana yang turut diakui presiden Amerika Syarikat, Joe Biden.

Mendepani pelbagai naratif yang rencam, Tuan Haji Khairil Anuar Khalid serta Dr Ahmad El-Muhammady telah berkongsi pandangan bahawa masyarakat antarabangsa serta perlu terlebih dahulu mengambil sikap tunggu dan lihat semasa mencermati perkembangan terkini yang berlaku di Afghanistan.

Pandangan mereka ini telah dikongsikan semasa forum Afghanistan: 20 Tahun Berlalu dan Cabaran Masa Depan, anjuran Global Peace Mission (GPM) pada 18 Ogos yang lalu.

TALIBAN BERWAJAH BAHARU?

Dr. Ahmad El-Muhammady mengingatkan masyarakat Malaysia untuk berhati-hati mendepani pelbagai naratif yang cuba diketengahkan oleh saluran media daripada barat. Dalam konteks apa yang berlaku di Afghanistan pada ketika ini, pensyarah ini mengatakan indikasi awal menunjukkan bahawa kerajaan yang didirikan Taliban pada ketika ini amat berbeza dibandingkan dengan kerajaan dahulu.

“Di samping berhati-hati dengan naratif yang cuba dimainkan barat, kita juga perlu berhati-hati untuk menyimpan harapan yang tinggi terhadap Taliban. Indikasi awal pada ketika ini menunjukkan kerajaan Taliban yang ditubuhkan nampak berbeza. Ini adalah antara pandangan yang dikemukakan oleh ramai penganalisis politik antarabangsa,” jelas pensyarah di ISTAC UIAM ini.

Bagi beliau masyarakat antarabangsa seharusnya sama-sama bersedia untuk membimbing Afghanistan untuk menentukan hala tuju negara tersebut pada masa akan datang. Oleh itu tegas Dr Ahmad El-Muhammady kita tidak seharusnya menutup minda kita daripada memahami latar sosio-politik negara tersebut yang kompleks.

‘Secara zahirnya setakat ini, kerajaan Taliban kali ini nampak berbeza. Berbanding dengan generasi Taliban terdahulu, kelompok pimpinan Taliban pada kali ini banyak berinteraksi dengan dunia luar khususnya seperti Qatar. Ini menampakkan dinamika serta keterbukaan gerakan tersebut terhadap perhubungan pelbagai hala (multilateral) di peringkat antarabangsa,” jelas beliau yang merupakan pakar rujuk dalam bidang ektremisme serta keganasan di peringkat antarabangsa.

Untuk itu Dr Ahmad El-Muhammady juga memperincikan bahawa pemerintah Taliban perlu mengelakkan daripada melakukan dua kesilapan yang telah dibuat oleh pemerintah Taliban terdahulu, iaitu penampilan yang nampak ekstrem dalam bentuk hukuman di khalayak dan tidak membenarkan mana-mana organisasi pengganas daripada beroperasi di negara tersebut.

“Keadaan pada ketika ini adalah amat kritikal. Kita masih tidak nampak apakah pendirian kerajaan Taliban pada ketika ini terhadap Ayman Azwahiri serta gerakan Al-Qaeda. Kerajaan Taliban terpaksa menanggung akibatnya kerana memberikan perlindungan terhadap Osama Ben Laden dan Al-Qaeda yang mengundang serangan daripada Amerika Syarikat (A.S),” jelas beliau sambil menambah perlindungan ini diberikan atas dasar Osama Ben Laden sama-sama berjuang di Afghanistan menentang pendudukan Soviet serta rejim komunis.

“Taliban dan Al-Qaeda adalah dua pertubuhan yang berbeza! Kita kena faham latar belakang kedua-duanya. Al-Qaeda berasal daripada rantau Timur Tengah serta anggotanya datang dari pelbagai negara luar yang berbeza. Anggota Taliban pula terdiri daripada rakyat Afghanistan sendiri. Persepsi ini perlu diubah. Bahkan NGO-NGO antarabangsa yang beroperasi di sana perlu mengubah persepsi serta konotasi negatif mereka terhadap syariat Islam yang difahami dalam kerangka yang sangat kabur,” ulas Associate Fellow di ICCT yang beribu pejabat di The Hague, Belanda.

MASYARAKAT AFGHANISTAN SEDIA DIBIMBING

 “Sebenarnya masyarakat Afghanistan amat memerlukan pendedahan dalam bentuk pendidikan di samping bantuan dalam bentuk pembangunan infrastruktur asas, sanitasi (kebersihan) dan kesihatan,” dedah Khairil Anuar Khalid yang mempunyai pengalaman yang sangat luas dalam lapangan kemanusiaan di peringkat antarabangsa.

GPM merupakan antara badan kemanusiaan antarabangsa daripada Malaysia yang merintis ruang untuk menjalankan misi lapangan di negara tersebut ketika serangan mula-mula dilakukan Amerika Syarikat pada 2001.  Misi lapangan ini telah mendedahkan anggota misi GPM dengan pelbagai sisi lain yang menggambarkan kehidupan harian masyarakat Afghanistan.

Antara sisi yang dicermati anggota misi GPM yang tidak diketahui dunia luar menurut beliau, ialah betapa golongan wanita memainkan peranan yang sangat penting khususnya untuk menggerakkan sektor pendidikan. Bahkan sehingga kini banyak NGO berorientasikan pendidikan serta pemberdayaan komuniti di negara tersebut digerakkan oleh golongan wanita.

“Inisiatif pendidikan yang untuk wanita yang diusahakan GPM sebenarnya amat dihargai. Bagi mereka ia adalah perkara amat penting dalam kehidupan seseorang wanita dalam komuniti Afghanistan selain daripada ruang untuk keluar bekerja,” tambah beliau sambil berkongsi pengalaman berinteraksi dengan pemimpin-pemimpin masyarakat yang membentuk Jirga (majlis pimpinan) dalam sesebuah komuniti.  

“Apabila kita masuk ke sesebuah kampung, kita akan bincang elok-elok dengan Jirga mereka. Kita tidak terus memaksa mereka untuk terima cadangan kita. Bila kita cakap elok-elok dan bincang untuk menyakinkan mereka akan kepentingan serta manfaat yang boleh diraih, akhirnya Jirga mereka mereka terbuka untuk benarkan kita buat program pendidikan untuk golongan kanak-kanak dan wanita mereka,” jelas Khairil Anuar Khalid sambil berkongsi mengenai konsep Pashtun Wali yang menjadi pegangan asas kehidupan masyarakat Pashtun.

Menerusi konsep Pashtun Wali mengingatkan komunitinya untuk berpegang pada janji serta membalas setiap jasa baik seseorang. Sepanjang GPM berada di Afghanistan, konsep Pashtun Wali banyak memudahkan anggota misi badan tersebut untuk bergerak di lapangan walaupun terdedah kepada pelbagai ancaman.

“Mereka (komuniti Pashtun) membantu serta memberi perlindungan kepada delegasi GPM. Bagi mereka sekiranya kita menghormati adat resam serta sensitiviti masyarakat Pashtun, mereka akan bersungguh-sungguh membantu serta melindungi kita”.

Menurut beliau masyarakat Afghanistan terdiri daripada pelbagai latar etnik yang berbeza. Selain daripada komuniti Pashtun, masyarakat Afghanistan juga terdiri daripada komuniti Tajik serta Uzbek. Bahkan Burqa merupakan amalan tradisi dalam kalangan wanita Pashtun dan tidak seharusnya digeneralisasikan ke atas seluruh komuniti Afghanistan.

“Generasi kepimpinan Taliban yang ada pada ketika ini nampak berbeza daripada generasi terdahulu. Ini kerana generasi terdahulu terdiri daripada pelarian Afghanistan yang duduk di khemah-khemah pelarian yang terletak di sempadan Pakistan. Di situ mereka mendapat pelajaran agama yang mendorong mereka berbuat sesuatu untuk negara mereka,” jelas Khairil Anuar Khalid.

Beliau juga menambah generasi Taliban ini telah menyaksikan sendiri peperangan yang berlaku di depan mata mereka, mulai daripada peperangan antara Mujahidin menentang Soviet sehingga peperangan saudara yang berlaku sebelum Taliban memerintah.

MASA DEPAN AFGHANISTAN

Sejauhmana rakyat Afghanistan dapat mencorakkan masa depan mereka dengan lebih baik bergantung kepada bagaimana kesediaan masyarakat antarabangsa mendampingi negara tersebut.

Dalam kesimpulannya, Khairil Anuar Khalid mengatakan badan-badan antarabangsa seperti OIC dan NGO-NGO kemanusiaan perlu berperanan secara proaktif termasuk dengan menjalinkan hubungan dengan pertubuhan-pertubuhan NGO sedia ada di Afghanistan

“Untuk menjambatani masyarakat Afghanistan, kita perlu bersikap terbuka untuk memahami latar sosio-politik di negara tersebut. Beberapa peristiwa yang dipamerkan menerusi kaca media barat tidak seharusnya kita jadi kayu ukuran untuk menilai keadaan sebenar yang berlaku dalam masyarakat negara itu. Bahkan semasa mula-mula ke Afghanistan kita juga diiringi dengan wakil media daripada Malaysia yang membuat liputan mengenai keadaan sebenar yang dialami rakyat di negara tersebut,” tegasnya sambil menambah interaksi dua hala antara NGO di kedua-dua negara dapat merintis hubungan yang lebih mampan pada masa akan datang.

Dr Ahmad El-Muhammady semasa kesimpulannya mengatakan Taliban perlu mengelakkan daripada menampilkan kerajaan mereka dengan ideologi yang keras serta ekstrem dan secara semberono menjatuhkan hukuman keras di khalayak awam sepertimana yang pernah dilakukan oleh ISIS.

“Sekiranya ia berlaku, ia tidak akan menyakinkan masyarakat antarabangsa untuk menghulurkan tangan membimbing rakyat Afghanistan untuk membangunkan semula negara tersebut. Apa yang Taliban cuba tampilkan setakat ini amat menyakinkan. Barangkali interaksi dengan negara-negara luar seperti Qatar telah banyak mempengaruhi mereka untuk mengubah penampilan mereka di mata umum,” kata beliau sambil merujuk kepada kenyataan awal pemimpin Taliban yang tetap membenarkan golongan wanita keluar bekerja dan belajar dengan syarat mereka menutup aurat mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *