SEPARUH ABAD ABIM: DENDANGAN APRESIASI BUAT WARGA DAIE DI LAPANGAN

SEPARUH ABAD ABIM: DENDANGAN APRESIASI BUAT WARGA DAIE DI LAPANGAN

OLEH: ALIEMRAN NORASID

WARGA ABIM PENGGERAK PERUBAHAN

Tanggal 6 Ogos 1971 adalah tarikh yang amat bermakna bagi negara ini. Tarikh tersebut menjadi titik mula perubahan landskap pandang keagamaan masyarakat Malaysia apabila lahirnya sebuah gerakan perubahan, Angkatan Belia Islam Malaysia, ABIM.

Peranan ABIM begitu signifikan di bumi Malaysia. ABIM bukan sahaja memainkan peranannya dalam mengembalikan makna amalan keagamaan masyarakat Malaysia, malah perjuangannya merangkumi aspek kehidupan seperti pendidikan, perpaduan masyarakat, ekonomi, masyarakat sivil dan pelbagai lagi.

Malah kekuatan ABIM dalam pentarbiyyahan dan pembangunan fikrah aktivisnya telah melahirkan pelbagai tokoh nasional sebagai agamawan, ilmuwan, profesional mahupun ahli politik. Pemimpin utama ABIM diangkat kerana tampil dengan keberanian dan ketajaman fikiran dalam menjulang prinsip keadilan dan kebenaran. Sumbangan dan jasa mereka sewajarnya kita hargai.

Hakikatnya langkahan separuh abad usia ABIM membawa gambaran yang lebih daripada itu. Kekuatan ABIM bukan sahaja dibangunkan oleh tokoh-tokoh dan pimpinan utama, malah ia juga adalah hasil kerja keras para aktivis dan daie di lapangan akar umbi dari seluruh pelusuk negara.

Meraikan usia emas 50 tahun, seharusnya dijadikan waktu yang tepat untuk kita menzahirkan apresiasi kepada aktivis dan daie kita yang tidak didendang. Hakikatnya bukanlah dendangan, apatah lagi kedudukan dan harta yang mereka kejarkan, tetapi mereka telah terdidik untuk menyarung pakaian ikhlas dalam langkahan dakwah.

Dimanapun mereka berada, tanggungjawab dakwah digalas sepenuhnya. Ibarat benih yang subur dicampak ke darat menjadi gunung, dicampak ke laut menjadi pulau dan dicampak ke langit menjadi bintang. Komitmen dakwah yang mereka berikan amat luar biasa, sehingga mengenepikan kepentingan peribadi.

CIKGU TAJUDDIN DAIE YANG TIDAK DIDENDANG

Sepertimana gagasan Dato’ Haji Ahmad Azam, Presiden ABIM ke-5 yang menegaskan, kewajiban para daie untuk menyuburkan semangat ummatik, iaitu mendahulukan umat dalam segala urusan dan mematikan sikap keakuan dalam diri.

Satu kisah yang pernah dikongsikan oleh Prof Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, di dalam Wacana Separuh Abad ABIM yang menceritakan tentang perjalanan dakwah seorang aktivis ABIM, Cikgu Tajuddin dan isterinya satu ketika dahulu.

Kisah ini terpencil namun mengandungi makna yang begitu besar. Cikgu Tajuddin dan keluarganya telah berpindah ke Temerloh, Pahang. Temerloh pada saat itu jauh dari pembangunan.

Namun atas komitmen dakwah dan menyumbang bakti, isteri Cikgu Tajuddin yang merupakan seorang pendidik telah membuka kelas bahasa Inggeris percuma kepada pelajar-pelajar yang memerlukan.

Atas dorongan dakwah, mereka mengenepikan kepentingan diri daripada segi masa dan wang ringgit semata-mata untuk membentuk dan mendidik umat ke arah kebaikan. Mungkin sebahagian besar generasi ABIM hari ini tidak mengenali Cikgu Tajuddin dan isterinya. Inilah hakikat perjuangan dakwah yang sejati; tiada dendangan diperdengarkan tetapi jasa tetap dicurahkan.

Barangkali kita terfikir, apakah yang menjadi pendorong sehingga terbentuknya komitmen yang tidak berbelah-bagi dalam berdakwah? Dalam lipatan peristiwa sirah Rasulullah S.A.W, sekembalinya umat Islam dari peperangan Hunain, Rasulullah telah mengagihkan ghanimah kepada mereka yang terlibat dalam peperangan.

Perang Hunain merupakan siri peperangan yang terawal selepas pembukaan Kota Makkah. Bagi mengikat hati para muallaf yang keimanannya masih lemah, Rasulullah telah mengutamakan mereka dalam pemberian ghanimah tersebut.

Sebelum memeluk Islam, mereka terdiri daripada musyrikin, Yahudi dan Nasrani Makkah di mana mereka masih dalam proses awal untuk mendalami.

Bahkan, Rasulullah S.A.W sendiri telah memberi seorang pemuka Makkah yang sebelum ini selalu memeranginya, Abu Sufyan berserta dua anaknya iaitu Muawiyah dan Yazid harta yang amat banyak.

Jumlah harta yang diberikan sekitar 40 uqiyah perak dan seratus ekor unta seorang. Pemberian ini dibuat oleh Rasulullah S.A.W setelah Abu Sufyan meminta harta ghanimah daripada perang tersebut.

Malahan Rasulullah S.A.W juga turut memberi hadiah kepada Safwan bin Umayyah, anak seorang pemimpin Makkah walaupun belum memeluk Islam. Ini bertujuan untuk memberikan masa kepada Safwan untuk berfikir dan mengenali Islam.

Keadaan ini telah menimbulkan kerisauan golongan Mukmin dan Ansar. Mereka sedikit pun tidak mendapat bahagian daripada ghanimah tersebut. Akhirnya mereka telah mengatakan bahawa Rasulullah S.A.W lebih mengutamakan kaumnya sahaja.

Lantas Saad bin Ubadah telah menemui Rasulullah S.A.W bagi menyatakan rasa tidak senang masyarakat Ansar terhadap tindakan baginda itu.  Berikutan berita tersebut, Rasulullah S.A.W telah meminta Saad untuk mengumpulkan kaum Ansar. Baginda telah bersabda:

“Wahai kaum Ansar, berita apakah yang telah disampaikan kepadaku tentang kalian? Apakah kalian memarahi tindakanku? Bukankah dahulu saat kalian sesat lantas Allah telah memberikan hidayah kepada kalian. Saat kalian dalam keadaan miskin lantas Allah menjadikan kalian kaya. Dan ketika kalian berpecah-belah lantas Allah menyatukan hati kalian? Wahai kaum Ansar, Tidakkah kalian reda sekiranya mereka pulang membawa kambing dan unta, sedangkan kalian pulang membawa Rasulullah?”

Jawapan Rasulullah S.A.W telah membuatkan orang-orang Ansar menangis sehingga membasahi janggut mereka. Dan mereka menjawab, “Kami reda dengan pembahagian yang dilakukan oleh mu wahai Rasulullah.”

Peristiwa ini merupakan suatu gambaran agung watak seorang daie. Mereka telah diperkukuhkan keimanan dan menggarap mardhatillah. Bukanlah harta mahupun kuasa yang dikejarkan. Apatah lagi minta disanjung. Tetapi keikhlasan menjadikan mereka reda dengan menjadikan Allah dan Rasul-Nya sebagai sandaran.

Kisah ini merupakan tamsilan yang paling tepat bagi mereka yang telah berjuang dengan ikhlas menyebarkan Islam di segenap ceruk bumi Allah. Di mata manusia mereka tidak dikenali tetapi di sisi Allah darjat mereka amat tinggi.

KERJA KERAS DENGAN IKHLAS!

Kita boleh mempelajari usaha menghantar pendakwah ke seluruh kawasan pedalaman dengan berbekalkan keikhlasan dan ketinggian komitmen melalui pengalaman yang pernah ditempuh oleh rakan serumpun di bumi Indonesia, Dewan Da’wah Islamiyah Indonesia.

Komitmen mereka untuk menghantar para daie ke kawasan pedalaman, telah ditonjolkan dengan membangunkan kurikulum khas bagi tujuan ini melalui institusi pendidikan yang dikenali sebagai Sekolah Tinggi Dakwah Mohammad Natsir. Tidak cukup dengan itu mereka turut berkempen untuk mengajak lebih ramai warga Indonesia menyertai dakwah dengan slogan ‘Sejuta Ummat tak Cukup Satu Da’i’.

Slogan ini menyedarkan kita betapa pentingnya peranan para daie untuk mengembangkan dakwah. Keperluan umat yang mendesak juga menandakan bahawa lebih ramai lagi daie diperlukan.

Bagi daie yang telah berhempas-pulas mengorbankan kesenangan hidup, bukanlah populariti mereka inginkan, tetapi mereka ingin Islam itu terus berkembang dan dinikmati di serata alam.

Langkahan separuh abad ABIM merupakan waktu yang sempurna untuk kita menzahirkan apresiasi kepada semua aktivis dan para daie ABIM yang telah berjuang dengan penuh keikhlasan.

Baik sebesar-besar peranan mahupun sekecil-kecil sumbangan. Sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggalkan kita. Bagi generasi ABIM hari ini, semarakkanlah perjuangan dakwah ini dengan kesungguhan dan keikhlasan. Berilah komitmen yang tidak berbelah bagi pada Islam.

Seperti mana kalimat yang acap kali diulang ingat oleh Dato’ Dr Siddiq Fadzil, Presiden ABIM ke-tiga, ‘Kerja Keras dengan Ikhlas!’.

Seterusnya marilah sama-sama kita berganding bahu dan memperkukuhkan persaudaraan seterusnya melengkapkan langkahan satu abad ABIM di persada dakwah.

Selamat Ulang Tahun ke-50.

Separuh Abad ABIM: Gerakan Ilmu dan Bakti

Penulis adalah Yang Di-Pertua ABIM Wilayah Persekutuan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *