ERTI KESABARAN MENURUT IBN QAYYIM AL-JAWZIYYAH

ERTI KESABARAN MENURUT IBN QAYYIM AL-JAWZIYYAH

Oleh: Syafiq Ismail

Kekuatan Sabar

“Adapun hakikatnya ialah: ia (sabar) merupakan satu akhlak yang mulia, daripada sekelian akhlak-akhlak kejiwaan, di mana dengannya (seseorang) akan terhindar nan berhenti daripada melakukan perbuatan yang tidak elok. Ia adalah salah satu daripada quwā (potensi kekuatan) kejiwaan, yang dengannya sahajalah, sesuatu (jiwa) itu akan menjadi baik, dan menjadi lurus”.

Ibn Qayyim al-Jawziyyah

Ibn Qayyim al-Jawziyyah menyebut tentang hakikat sabar, bahawasanya, ia merupakan satu akhlak yang mulia, daripada sekelian akhlak-akhlak kejiwaan, di mana dengannya (seseorang) akan terhindar nan berhenti daripada melakukan perbuatan yang tidak elok.

Ia adalah salah satu daripada quwā (potensi kekuatan) kejiwaan, yang dengannya sahajalah, sesuatu (jiwa) itu akan menjadi baik, dan menjadi lurus.

Hakikat Kesabaran ini dijelaskan beliau dalam salah satu bab di dalam kitabnya yang berjudul ‘Uddat al-ābirīn wa Dhakhīrat al-Shākirīn. Kitab ini seperti tajuknya, mengupas perbahasan sekitar makna dan hakikat Sabar serta Syukur, dan balasan baik bagi kedua-dua sifat dan amalan yang mulia ini.

Ibn al-Qayyim diberikan gelaran abīb al-Qulūb (Doktor Hati), kerana karya-karyanya sarat dan pelbagai, menyentuh perihal kesihatan dan penyakit hati. Misalnya dalam karya yang kita terjemahkan ini, beliau menerangkan kedudukan sabar yang amat penting bagi jiwa seorang muslim, yang memandunya agar sabar dalam ketaatan, dan sabar menahan diri daripada maksiat.

Begitulah juga halnya dengan karya-karyanya yang lain, seperti al-ibb al-Nabawī, al-Dā’ wa al-Dawā’ (turut dikenali dengan judul al-Jawāb al-Kāfī), arīq al-Hijratayn, dan selainnya. Fokusnya ialah perihal rohani dan hati.

Tidak Menolak Tasawuf

Antara asbab yang mengundang kita untuk menterjemahkan karya ini, ialah, untuk menjelaskan bahawa Ibn al-Qayyim bukan anti-tasawuf.

Buktinya ialah, sebahagian besar daripada bab yang kita terjemahkan ini, dipetik beliau daripada al-Risālah al-Qushayriyyah, sebuah buku teks kesufian yang dikarang Imām al-Qushayrī pada kurun 5H, dan masih menjadi rujukan dalam kalangan sufi hari ini.

Begitu juga, beliau memetik rumusan Imām al-Ghazālī berkenaan Sabar, daripada Iyā’nya. Bererti, Ibn al-Qayyim memiliki pengetahuan yang luas berkenaan literatur suf i, dan tahu bagaimana untuk memetik dan menyusunnya.

Tambahan daripada itu, beliau tidak sekadar memetik dan menukilkan, tetapi, mensyarahkannya, dengan meneliti jalan wasatiyah.

Beliau sedar akan wujudnya unsur ghuluw (melampau-lampau) dalam kalangan sufi terdahulu (hal yang turut diiktiraf oleh al-Muāsibī dalam Makāsibnya dan al-Qushayrī di hujung Risālahnya).

Maka syarahannya akan ibarat sufi sebelumnya, selaku satu ulangtafsir, merupakan usahanya untuk menghargai khazanah peninggalan sufi-sufi sebelumnya, dan menyajikan tafsiran yang lebih dekat dengan Maqāid al-Sharī‘ah yang luas ini.

Kecenderungan yang sama kita lihat terpamer pada peribadi al-Ḥāfiẓ Ibn Rajab, ‘ālim Salaf i-Hanbali selepas Ibn al-Qayyim ini. Di mana, beliau telah mengarang sebuah kitab berjudul Risālah Kalimāt al-Ikhlā.

Dalam risalah tersebut, beliau memetik kata-kata sufi, yang dilihatnya bersesuaian dengan penghayatan Kalimat Ikhlas (yakni kalimah Tauhid Lā ilāha illā Allāh).

Kita telah merujuk dua naskah kitab ‘Uddat al-ābirīn; yang ditaḥqīq oleh Ismā’īl bin Ghazī (terbitan Dār ‘Ālam al-Fawā’id) dan taqīq Bashīr Muḥammad ‘Uyūn (terbitan Maktabah Dār al-Bayān).

E-buku ini beliau menjelaskan tentang hakikat kesabaran dan pendapat para ulama berkenaannya, yang mana beliau menerangkan kedudukan sabar yang amat penting bagi jiwa seorang muslim, yang memandunya agar sabar dalam ketaatan, dan sabar menahan diri daripada maksiat.

E-Book ini boleh dibaca menerusi pautan berikut:-

https://drive.google.com/file/d/1UjS0EqOS0I-qmNAXdWTMQkBhWs4rVxjY/view?fbclid=IwAR0reAm0FXm_B_G-4v0XBrezmsMWguwVKDy-oxqSHMkwJKxJXAv5RhVBcMA

One thought on “ERTI KESABARAN MENURUT IBN QAYYIM AL-JAWZIYYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *