PEMBINAAN BANGSA: KEPELBAGAIAN DALAM BINGKAI KESATUAN

PEMBINAAN BANGSA: KEPELBAGAIAN DALAM BINGKAI KESATUAN

Oleh: Firdaus Hamsin

Ustaz Siddiq Fadzil & Agenda Bangsa Malaysia

Ucapan dasar ABIM Membina Bangsa Malaysia, Mengangkat Maruah Umat” yang disampaikan bersempena Seminar Pembinaan Bangsa Malaysia (Se-Bangsa) pada 2019 yang telah menzahirkan iltizam seluruh warga gerakan ABIM untuk mengetengahkan garapan gagasan Bangsa Malaysia yang diutarakan ideolog umat, Almarhum Dato’ Dr Siddiq Fadzil (Ustaz Siddiq Fadzil) seperti mana yang pernah beliau cuba perincikan seperti berikut:

“Pembinaan bangsa Malaysia harus berasaskan nilai-nilai yang disepakati bersama, tanpa melebur identiti umat Islam, tanpa membunuh rasa cinta dan solidariti (ukuhwwah Islamiyyah) sesama umat, dan tidak usah sampai mengikis rasa tanggungjawab membela nasib warga seagama. Seseorang yang bersemangat dan beridentiti keMalaysiaan tidak seharusnya diertikan sebagai individu Malaysian yang sudah tidak punya sebarang komitmen lagi terhadap agamanya, umatnya dan budaya warisannya sendiri”.

Garapan ini yang ketengahkan (menerusi ucapan dasar ABIM) semasa Seminar Se-Bangsa Malaysia tersebut telah menandakan bahawa tanggal 26 Oktober 2019, telah membawa makna yang sangat mendalam untuk melonjakkan langkah ke hadapan warga ABIM untuk sama-sama memperteguhkan iltizam untuk merealisasikan pembentukan bangsa Malaysia. Ini ditambah dengan keyakinan kita bersandarkan kepada impaks susulan daripada peristiwa Pengisytiharan 24 Syaaban 1398H pada 30 Julai 1978, dan pembentangan ucapan dasar bersejarah, “Islam: Penyelesaian kepada Masyarakat Majmuk” sempena Muktamar Sanawi kali ke-8 pada 1979, yang mana kedua-dua detik ini berlaku pada awal kemunculan ABIM.

Secara historisnya garapan ini telah diutarakan menerusi artikelnya,”Pembinaan Bangsa Malaysia: Antara Wawasan Nasional dan Aspirasi Islam”, yang dibentangkan semasa Kongres Cendekiawan Melayu IV (28-29 Julai 1995). Makalah ini ditampilkan dalam tempoh empat tahun sesudah Wawasan 2020 menetapkan bahawa usaha untuk menjayakan pembentukan bangsa Malaysia perlu didahulukan sebagai asas utama untuk membolehkan Malaysia tampil sebagai sebuah negara maju.

Artikel ini secara holistik menjawab persoalan asas mengenai kewarganegaraan serta pendefinisian Dhimmah (dhimmiy), yang secara khususnya dikaitkan dengan kedudukan warga bukan Muslim di dalam sesebuah negara. Bahkan semasa mengupas keperluan mengkaji dengan lebih mendalam Sahifah Madinah (dalam konteks kemajmukan dalam sesebuah negara) Ustaz Siddiq Fadzil mengatakan:

“Merekayasa pembentukan suatu bangsa yang terdiri daripada pelbagai suku dan penganut agama sebenarnya buanlah suatu yang sama sekali asing dalam sejarah politik Islam. Dalam kaitan ini mungkin ada manfaatnya kita menelaah semula dokumen Sahifah Madinah yang mengandungi garis-garis besar pembentukan suatu ummah yang terdiri daripada kaum Muslimin (Muhajirin dan Ansar) dan kaum Yahudi (Bani Nadir, Bani Qurayzah dan Bani Qaynuqa’)”

Ini menggambarkan keluwesan garapan Ustaz Siddiq Fadzil yang tidak terikat pada konteks semasa yang sentiasa berubah. Maka sebab itu artikel ini ditempatkan pada bahagian pertama buku ini sebagai pembuka untuk pembaca menelusuri persoalan mengenai bangsa Malaysia yang cuba dipandu oleh tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1440H (2018).

Kepelbagaian Dalam Bingkai Kesatuan

Pembinaan Bangsa: Kepelbagaian Dalam Bingkai Kesatuan merupakan tema yang diketengahkan oleh Almarhum Dato’ Dr Siddiq Fadzil bersempena Muktamar Nasional (MUKNAS) WADAH yang diadakan pada 2012. Ucapan ini menyegarkan dinamika dalam perbincangan untuk memandu pembentukan bangsa Malaysia yang bersepadu.  Pembinaan bangsa dalam konteks Malaysia menurut beliau:

”….harus berasaskan formula kepelbagaian dalam kesatuan.  Kita harus dapat bersikap positif, melihat dan menerima kepelbagaian kaum, agama dan budaya bukan sebagai sumber konflik,  sebaliknya sebagai aset kekuatan, kekayaan, kreativiti dan dinamika kemajuan.   Bangsa tidak dapat dibina menerusi formula melting pot atau kawah besar peleburan.  Tidak ada golongan yang rela jati dirinya dilebur.   Kebinekaan  atau keragaman budaya tidak menjadi masalah,  andainya ia diletakkan dalam bingkai keekaan atau kesatuan.   Formula kepelbagaian dalam kesatuan adalah selaras dan serasi dengan fitrah dan sunnatu ‘Lah”. 

Beliau juga telah mengutarakan huraian oleh Dr.Muhammad `Imarah dalam bukunya, al-Islam wa al-Ta`addudiyyah:  al-Ikhtilaf wa al-Tanawwu` fi Itar al-Wihdah (Islam dan Pluralisme:  Perbezaan dan Kepelbagaian dalam Bingkai Kesatuan).  Dr. Siddiq Fadzil menjelaskan dengan lebih lanjut mengatakan bahawa:

”segala kewujudan yang kita saksikan pada alam dan kehidupan semuanya memancarkan hakikat kepelbagaian dalam kesatuan    —  keesaan Pencipta dengan kepelbagaian makhluk ciptaan-Nya;  kesatuan keinsanan dengan kepelbagaian bangsa, warna dan bahasanya;  kesatuan agama Allah dengan kepelbagaian syari`atnya;  kesatuan syari`at dengan kepelbagaian  fiqh, mazhab dan ijtihadnya”. 

Menurut beliau, fitrah sunnatu ‘Llah berupa kepelbagaian dalam bingkai kesatuan telah diaplikasikan oleh Rasulullah s.`a.w. semasa pembinaan ummah negara Madinah sebagaimana yang dicerminkan menerusi dalam perlembagaan ulung Sahifah Madinah,  yang mana Dr Siddiq Fadzil menegaskan ia merupakan sebuah perlembagaan yang dilatari kepelbagaian kabilah, agama dan budaya warganya.  

Untuk mencermati konsep-konsep yang diutarakan dalam buku ini, analisis saudara Ariff Azhan Nassir seorang pelajar jurusan Fiqh dan Usul Fiqh (Kuliyyah Ilmu Wahyu Warisan Islam dan Sains Kemanusiaan), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), menerusi perkongsian di laman sosial Facebook amat menarik untuk diteliti berikut:  

  1. Konsep ‘Ummah Siyasiyyah’ dan ‘Ummah Diniyyah’ yang merupakan aspek yang diketengahkan dalam Sahifah Madinah (Perlembagaan Madinah) yang mana Ummah Siyasiyyah ini lebih bersifat inklusif yang melibatkan orang Muslim Madinah bersama yahudi yang mempunyai peranan dan tanggungjawab yang sama terhadap Madinah seperti diungkapkan dalam sahifah “wa anna Yahuda bani ‘Auf ummatun ma’al muslimin” (Yahudi Bani Auf adalah satu umat bersama orang islam). Ummah Diniyyah hanya eksklusif bagi sesama Muslim Madinah.
  2. Penggunaan istilah Dhimmiy, Harbiy tidak lagi relevan dalam konteks zaman moden disebabkan masyarakat bukan Islam tidak dapat menerima penggunaan istilah tersebut ke atas mereka, kerana merasakan mereka merupakan golongan kelas kedua dalam sesebuah negara. Sebaliknya mereka perlu dikenali sebagai ‘al muwatinun (warganegara) kerana mereka sama-sama berjuang dalam menubuhkan negara seperti yang diungkapkan oleh Imam Yusuf al Qaradhawi dan sekelompok ulama’ fiqh.
  3. Penggunaan istilah Darul Islam bagi menggambarkan negara Islam, manakala Darul Harbiy bagi menggambarkan negara kafir juga tidak sesuai digunakan, kerana jika negara-negara di Eropah dilabel sebagai Dar al Harbi akan merancakkan lagi pelabelan umat Islam sebagai teroris (pengganas). Sebaliknya perlu diketengahkan penggunaan ‘Darul Dakwah’ bagi negara bagi negara bukan Islam. Istilah ini telah digunakan oleh mufassirin pada abad ke-4 hijrah seperti al Qashshab al Kharkhi dan dilanjutkan oleh al Fakhrurazi kerana dirasakan istilah ini lebih asli dan tulen yang betul-betul merupakan semangat daripada al-Quran. Umat di dunia ini perlu juga dikenali sebagai ‘Ummat al Ijabah’ iaitu umat Islam dan juga ‘Ummat al Dakwah’ bagi yang belum menerima Islam.
  4. Penggunaan istilah ‘Pluralisme’ perlu diingatkan ia bukanlah membawa konotasi yang negatif secara total. Tetapi ia juga perlu ditanggapi secara kontekstual bukan seperti pentakrifan pluralisme di sisi John Hick yang mengatakan bahawa agama itu semua sama dan tiada agama yang unik. Sehinggakan orang berhati-hati dalam menggunakan istilah pluralisme dan memilih istilah yang lebih neutral iaitu pluraliti. Pluraliti yang umum gunakan ialah seperti mana yang diungkapkan oleh Prof Osman Bakar ialah “bagaimana kita mempersepsi dan menangani pluraliti kemanusiaan”. Dalam Islam kita lebih selesa menggunakan kalimah ‘ al ta’adudiyyah’ yang membawa makna kemajmukan yang telah diguna pakai secara meluas oleh para sarjana muslim kontemporari termasuk Yusuf al- Qaradhawi.

Gerakan Islam, Manhaj Maliziy Agenda Bangsa Malaysia

Merungkai polemik yang sering menjadi kendala yang merintangi pembinaan bangsa Malaysia tidak mudah. Secara umum ada kecenderungan utama semasa mewacanakan gagasan pembinaan bangsa Malaysia.

Satu wacana cenderung bersifat defensif serta mencermati latar kemajmukan di persekitaran mereka dengan penuh rasa curiga. Manakala satu lagi aliran perbincangan menanggapi kema identiti itu suatu beban lantas ia perlu dilarutkan.

Akan tetapi wacana mengenai gagasan bangsa Malaysia yang dipimpin Dr. Siddiq Fadzil berbeda daripada kedua-dua kecenderungan tersebut. Di samping  membicarakan gagasan itu secara umum, beliau membimbing kita memaknai bangsa Malaysia berakarkan kepada cabang-cabang khazanah keilmuwan Islam yang pelbagai

Buku ini juga turut berkongsi gagasan Fiqh Malizi yang diinspirasikan Dr Siddiq Fadzil daripada buku “Fiqh Indonesia-Penggagas dan Gagasannya” tulisan Nourouzzaman Shiddiqi yang diterbitkan pada tahun 1977 yang mana menurut beliau:

 “Fiqh Indonesia merupakan fiqh yang sesuai dengan keperibadian dan tabiat serta watak Indonesia, tidak perlu bertaqlid kepada fiqh hijazi, fiqh misri atau fiqh hindi kerana lain lubuk lain ikannya, lain padang lain belalangnya”.

Gagasan Fiqh Kemalaysiaan menurut Dr Siddiq amat penting kerana gerakan Islam di Malaysia menurut beliau harus mampu memahami dan menangani realiti serta sosio-budaya ini yang unik serta tersendiri.

Pada satu saat dan ketika dahulu, ungkapan Bangsa Malaysia sering diutarakan berulang kali seumpama sebuah mantra sakral. Seakan-akan tidak lengkap membicarakan mengenai Wawasan 2020 tanpa diselitkan sekali dengan ungkapan Bangsa Malaysia. Akan sesudah 30 tahun berlalu, konsep tersebut seakan sudah kehilangan saktinya seiring dengan lunturnya Wawasan 2020. Walaupun sering disebut berulang kali; namun masyarakat menilainya tidak lebih daripada sekadar retorika musim-musiman.

Akan tetapi ABIM yang orientasi dakwahnya berakarkan pada Manhaj Maliziy (pendekatan dakwah berdasarkan situasi kemalaysiaan), menilai bahawa agenda pembinaan bangsa Malaysia ini sangat penting kerana ia merupakan tanggungjawab penting sebagai gerakan Islam yang mempelopori wacana Islam dalam masyarakat majmuk sedari awal penubuhannya.

Kepeloporan ke arah merealisasikan gagasan bangsa Malaysia bukan sekadar topeng-topengan untuk populariti bermusim.  Kepeloporan hakikatnya ialah warisan penting yang perlu dijayakan. Atas sebab itu wajarlah kita merenung petikan teks amanat pimpinan Dr. Siddiq Fadzil sempena Ijtima’ Harakiy Ke-2 pada 2011 yang lalu.

“Sejarah kita adalah sejarah kepeloporan: mempelopori pendekatan yang sihat dan realistik dalam menyikapi kenyataan atau realiti zaman dan lingkungan. Sikap inilah yang telah melahirkan pendekatan kemalaysiaan dalam strategi pendakwahan sebagaimana yang terumus dalam istilah manhaj maliziy.

Ketika gerakan Islam menghadapi kemaraan arus radikalisme dan kebangkitan aliran garis keras, kita tetap istiqamah mempromosikan pendekatan moderat yang menepati makna dan semangat wasatiyyat al-Islam, dan sesuai pula dengan sejarah, budaya dan nilai-nilai kehalusan Melayu.

Kita ingin mempastikan bahawa kebangkitan Islam yang kita pelopori ini benar-benar dirasakan secara nyata sebagai rahmat dan pembawa harapan baru.  Sebagai pengemban amanah al-sahwah al-Islamiyyah kita memang sangat prihatin andainya umat tidak mendapat apa-apa dari kebangkitan Islam, selain rasa dikutuk, disumpah, dihina dan ditakut-takuti.

Demi amanah tersebut kita sanggup membayar mahal, termasuk mempertaruhkan populariti kita. Memang dari awal kita sentiasa memberikan perhatian istimewa kepada realiti kemalaysiaan (al-waqi` al-Maliziy).”

Penulis adalah ketua biro penerangan ABIM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *