POLITIK: JALUR KECIL DI JALUR LEBAR DAKWAH

POLITIK: JALUR KECIL DI JALUR LEBAR DAKWAH

Oleh: Ab Halim Ismail Allahyarhamhu

Politik Memberikan Kesan Kepada Hidup Masyarakat

Ada yang beranggapan bahawa gerakan Islam (WADAH, ABIM dan PKPIM) telah mengesampingkan dakwah dan tarbiyyah yang menjadi teras gerakan selama ini. Gerakan ini dilihat ‘lebih banyak berpolitik’ daripada berdakwah.

Bila Ijtimak Haraki kelima (2017) memilih tema seminar ‘Politik Islam dan Demokrasi’ di mana ua menampilkan para panelis yang sebahagiannya terdiri daripada tokoh-tokoh politik, maka ini dianggap sebagai bukti yang mengukuhkan sangkaan mereka (gerakan WADAH-ABIM-PKPIM lebih banyak berpolitik.

Prinsip ‘non-partisan’ yang dilaung-laungkan, pada mereka, tidak lagi bermakna. Pandangan-pandangan seperti ini, perlu disemak supaya pendirian dan sikap kita berada dalam perspektif yang benar.

Kita harus sedar betapa politik memberi kesan yang besar ke atas kehidupan masyarakat. Dalam demokrasi, politik menjadi saluran untuk parti-parti politik bersaing satu sama lain bagi mendapatkan kepercayaan rakyat dan kuasa politik.

Pemimpin parti yang mendapat mandat rakyat, sama ada secara sah dan adil, atau menerusi penipuan dan manipulasi, akan menjadi pemerintah dan bakal menentukan polisi-polisi penting yang akan dilaksanakan kepada rakyat.

Kita dapat saksikan banyak negara yang diperintah secara totalitarian oleh para diktator.  Polisi-polisi yang dilaksanakan bukan mengakibatkan penderitaan tetapi juga mencetuskan ketakutan yang menyelubungi rakyat.

Kini kita juga dapati, demokrasi yang dimanipulasi juga memungkinkan terangkatnya pemimpin-pemimpin buruk yang menjadi punca penderitaan dan kesengsaraan rakyat. Banyak pemimpin negara demokratik mengambil kesempatan daripada kekuasaannya untuk hidup bermewah-mewah dengan mengorbankan kepentingan rakyat terbanyak.

Kedudukan dan kemewahan menjadikan mereka hilang sensitiviti terhadap masalah rakyat. Kita lihat bagaimana pemimpin-pemimpin yang buruk ini memperkenalkan polisi-polisi yang menambahkan penderitaan rakyat seperti mengenakan cukai baru, menghapuskan subsidi, mengurangkan peruntukan biasiswa, bahkan mengurangkan peruntukan untuk hospital dan pendidikan.

Perkara lebih buruk mungkin berlaku apabila apparatus negara seperti perundangan dan kepolisian digunakan untuk menakut-nakutkan dan ‘memaksa’ rakyat menerima apa sahaja yang dikehendaki pemerintah. 

Para pemimpin demikian tidak lagi memiliki rasa bersalah atas apa yang mereka telah lakukan. Bahkan mereka tampil tanpa segan dan silu dan megah memberi pelbagai justifikasi bagi mengabsahkan tindakan mereka.

Pemerintah yang bertanggungjawab akan berusaha memenuhi sekurang-kurangnya dua kriteria untuk memastikan kesejahteraan hidup rakyat.

Pertama: Memastikan keperluan asas fizikal, biologikal dan intelektual iaitu makan minum, tempat tinggal, pendidikan dan rawatan kesihatan yang mencukupi untuk semua rakyatnya.

Kedua: Keperluan psikologikal dan spiritual iaitu rakyat memiliki rasa aman dan selamat (peace of mind) daripada dianiaya dan diintimidasi, dilindungi daripada diskriminasi dan perbuatan-perbuatan jenayah. Inilah yang disimbolkan oleh maksud al-lazi ath-‘ama-hum min juu`in wa aa-mana-hum min khauf dalam Surah al-Quraish (106), yang bermaksud.

Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan (pemilik) rumah ini (Ka’bah) [3]. Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan memberi rasa aman kepada mereka dari rasa takut [4].

Gerakan Islam & Politik Perubahan

Sebagai sebuah gerakan Islam yang bertanggungjawab, peranan yang harus dimainkan bukan hanya mendidik umat supaya memahami Islam sebagai agama yang membangun kehidupan yang sejahtera. Tetapi gerakan Islam juga perlu bekerja bagi menyediakan suasana yang kondusif untuk perubahan Islami yang diharapkan.

Dalam rangka mendorong perubahan-perubahan inilah gerakan Islam perlu tampil dengan program-programnya yang tersendiri di samping membantu mana-mana pihak yang berkongsi cita-cita yang sama (politik perubahan demi kepentingan rakyat).

Melihat kesan akhir yang terjadi daripada proses politik dan peranan pemimpin-pemimpin politik yang dipilih ke atas nasib rakyat, maka gerakan Islam tidak boleh mendiamkan diri daripada terlibat dalam proses mendidik masyarakat mengenai amalan politik yang sihat serta Islami demi kebaikan semua pihak.

Memilih untuk absent sepenuhnya dari politik memberi makna menyerah sepenuhnya kepada nasib seperti mana bak kata pepatah: untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Sedang apapun yang berlaku (dalam politik) akan memberi kesan besar dan berjangka panjang kepada kehidupan kita dan masyarakat seluruhnya.

Jadi tidak wajar hal-hal politik diserah sepenuhnya kepada parti-parti politik, kerana natijahnya mereka (parti-parti politik ini) mungkin akan menjadi batu yang menenggelamkan dan boleh melemaskan kita.

Masyarakat yang memahami politik dalam perspektif Islam akan mengangkat pemimpin dan parti politik yang lebih prihatin dan bertanggungjawab. Pemimpin yang akan dipilih mempunyai kredibiliti tertentu seperti mereka yang berakhlak, berintegriti dan sedia bekerja keras untuk kebaikan rakyat.

Maka natijah daripada pemilihan pemimpin yang baik akan menyebabkan kebaikan dan manfaat akan dirasai rakyat serta generasi akan datang. Membiarkan rakyat dalam kejahilan tentang politik dan demokrasi yang sihat, bermakna membiarkan mereka untuk terus dimanipulasi oleh pemimpin-pemimpin yang berkepentingan. Akibatnya mungkin membawa kepada terpilihnya pemimpin-pemimpin yang buruk dan jahat.

Bagi membendung hal ini, wacana-wacana yang merakyat tentang politik Islami yang bersih berasaskan sumber-sumber al-Qur’an dan al-Sunnah dan pandangan-pandangan bermakna para pemikir Islam tentang Siyasah Shar’iyyah, perlu diketengahkan seluas-luasnya ke tengah masyarakat.

Gerakan Islam juga perlu bekerjasama dan memanfaatkan pihak-pihak yang menunjukkan kesungguhan untuk membangun konsep dan amalan perpolitikan yang sihat dan beretika. Ini termasuklah kerjasama, dalam batas-batas tertentu, dengan parti-parti politik.

Penglibatan gerakan Islam dengan parti-parti politik pada dasarnya adalah di tahap pembangunan idea-idea penting seperti yang berkaitan dengan Siyasah Shar’iyyah, pemikiran maqasidi dan kajian-kajian pelbagai isu sosio-ekonomi dan politik. Ini adalah dalam rangka mendidik dan mencerdaskan pemikiran umat dan mengangkat keupayaan berfikir mereka ke tahap yang lebih tinggi.

Peranan yang dimainkan oleh gerakan Islam bukan dalam konteks berkempen dan membujuk orang ramai untuk mengundi parti-parti tertentu. Hasil usaha dan peranan ini, tanpa dinafikan, mungkin memberi keuntungan politik kepada pihak-pihak tertentu, tetapi mungkin juga akan mengakibat kesan sebaliknya.

Gerakan Islam atau jamaah bukan sayap kepada mana-mana parti politik. Gerakan Islam juga bukan berada di bawah naungan mereka. Dengan demikian gerakan Islam tidak bekerja berdasarkan arahan dari parti politik. Sama juga seperti gerakan Islam juga tidak memberi arahan kepada mana-mana parti politik. Bagi sebuah gerakan Islam, peranan politik hanyalah adalah sebahagian daripada agenda besar dakwah dan islah yang terpikul di bahunya.

Gerakan Islam yang terikat dengan hanya agenda politik, dengan politik dan kuasa sebagai matlamatnya, akan mengkhianati erti dan maksud perjuangan yang sebenarnya.

Agenda dakwah ialah warisan para nabi yang berkait dengan misi membangun kesedaran umat tentang kekuasaan Allah s.w.t. dan pengabdian mutlak kepada-Nya, menerusi ibadah ataupun kehidupan. Sementara agenda islah adalah juga warisan kenabian yang bermaksud membenteras mafsadah (perkara-perkara yang merosakkan) dan di sebaliknya membina, membangun dan mengembangkan kebaikan-kebaikan yang boleh memberi kesejahteraan kepada manusia seluruhnya. Demikian yang disebut dalam Surah al-Bayyinah [Ayat 5] dan Surah Hud [Ayat 88] yang bermaksud:

  • Surah al-Bayyinah [Ayat 5]

Padahal mereka hanya diperintahkan menyembah Allah, dengan ikhlas mentaati-Nya semata-mata (kerana) menjalankan agama, dan juga agar melaksanakan salat dan menunaikan zakat; dan yang demikain itulah agama yang lurus (benar).

  • Surah Hud [88]

Aku (Syu’aib) hanya bermaksud (mendatangkan) perbaikan (islah) selama aku masih sanggup. Dan petunjuk yang aku ikuti hanya dari Allah. Kepada-Nya akyu bertawakkal dan kepada-Nya (pula) aku kembali.

Tiada yang lebih tinggi dan besar nilai daripada tugas-tugas dakwah dan islah. Gerakan dan jamaah masih setia dengan dakwah, tarbiyah dan islah. Teras gerakannya masih tetap dakwah, tarbiyah dan islah. Politik adalah merupakan satu jalur kecil yang terkandung dalam jalur lebar dakwah.

Nukilan ini ditulis oleh Allayarhamhu Cikgu Ab Halim pada 26 Muharram 1439 (16 Oktober 2017), sesudah berakhirnya Ijtimak Harakiy kali ke-5 yang berlangsung antara 14 sehingga 15 Oktober 2017.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *