ABIM DAN PERJUANGAN REFORMASI

ABIM DAN PERJUANGAN REFORMASI

Oleh: Raimi Rahim

ABIM Sebagai Jurubicara Umat

Sejak awal penubuhannya, ABIM sentiasa meletakkan perjuangan membela nasib rakyat dan sebagai landasan pergerakannya. Daripada peristiwa bersejarah pembelaan nasib para petani dan fakir miskin di Baling 1972 sehinggalah membawa kepada perjuangan meledakkan arus Reformasi di penghujung abad lalu, ABIM tidak pernah absent atau sekali-kali berundur menjauhkan diri dari bergelumang bersama keringat rakyat marhen yang membasahi medan perjuangan.

ABIM tidak akan membisu, bahkan sentiasa berusaha menyuarakan dhamir, suara hati dan keluhan rakyat akar umbi – the voice from below – yang tersemat jauh di nurani rakyat, namun tidak mampu dizahirkan dengan kalimat atau kudrat dek kerana dipasung belenggu ketakutan dan hambatan kebendaan.

ABIM lahir dari rahim umat, maka kepada umatlah ABIM akan tetap berkhidmat sebagai jurubicara rakyat. Di sebalik pelbagai dinamika yang dicorakkan menurut keperluan dan tuntutan zaman, ABIM sentiasa konsisten menggalas amanah dan tanggung jawabnya menjadi jurubicara dan pembela umat.

Kenyataan ini jelas telah diperakui secara akademik lewat kajian oleh John N. Funston, John L Esposito, Gordon P. Means, Saliha Hassan, Dr Syed Khairudin Al-Junied, dan pelbagai kajian akademik berkaitan.

Membidani Kelahiran Gelombang Reformasi

Fakta sejarah tidak dapat menafikan peranan gerakan ABIM sebagai pelopor terawal sejarah tercetusnya gelombang kebangkitan perjuangan reformasi yang berlaku sejurus pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

Hakikat ini diperkukuhkan dengan penangkapan presiden ABIM pada ketika itu, Ahmad Azam Abdul Rahman di samping barisan pimpinan ABIM pada ketika itu, Allahyarham Ustaz Mokhtar Ridzwan (Timbalan Presiden), Allahyarham Ab Halim Ismail (Naib Presiden) dan Allahyarham Shaharuddin Badaruddin (Setiausaha Agung).

Turut ditahan ialah presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia pada ketika itu, Amidi Abdul Manan (yang kemudian memimpin ABIM antara tahun 2011-2015.

Di gelanggang keramat perjuangan, Pusat Latihan ABIM ataupun PLA, Sungai Ramal Dalam (kini merupakan premis Kolej Dar Al-Hikmah) telah menyaksikan lahirnya GERAK iaitu sebuah gerakan kerakyatan yang diterajui ABIM bersama beberapa buah pertubuhan seperjuangan, yang kemudiannya membidani kelahiran Parti Keadilan Nasional (KEADILAN).

Peranan utama ABIM selaku pendukung utama gelombang reformasi diperakui antara lain oleh Meredith Leigh Weiss yang mengabsahkan hakikat itu dalam tulisan berikut: –

“…Anwar and followers organized a massive socio political reform movement under the name reformasi. ABIM assumed a key role in the movement, resuming its traditional oppositional stance. ABIM members generally allied with PAS or with newcomer Keadilan, a political party centered around Anwar and the social justice concern of the Reformasi movement. This time, along with the other NGOs as well as opposition parties, ABIM called for justice, civil liberties, and a change of government. (Meredith L. Weiss, 2005)

Dua dekad berikutnya (1998-2018) menyaksikan pelbagai onak dan duri terpaksa diharungi ABIM dan para penggeraknya untuk meneruskan kesinambungan dakwah. Tidak sedikit yang menjauhkan diri dan mencurigai gerakan ini sepanjang tempoh tersebut. Atas nama kebenaran dan keadilan banyak pengorbanan yang terpaksa dilakukan untuk memelihara kelestarian perjuangan ini.

Dari Ledakan Reformasi Ke Era Malaysia Baharu

Sepanjang 20 tahun semenjak tercetusnya reformasi sehingga kepada perubahan yang menginspirasikan harapan akan lahirnya wajah Malaysia yang Baharu, gerakan besar ABIM telah mengangkat dan mengarusperdanakan gagasan-gagasan fiqh Islam kontemporari untuk memandu kesedaran dalam kalangan rakyat.

Antara gagasan-gagasan tersesebut ialah Fiqh al-Dawlah (Fiqh Kenegaraan), Fiqh al-Muwatanah (Fikih Kewarganegaraan), Fiqh al Taghyir (Fikih Perubahan), Fiqh al-Ta’ayush al-Silmi (Fikih Kerukunan Hidup Bersama).

Gerakan besar ABIM juga telah mengarusperdanakan gagasan pemikiran Islam dengan tafsiran baharu seperti konsep Islam Rahmatun lil ‘Alamin selain mempelopori as-Sahwah al-Maqasidiy, iaitu memimpin kebangkitan wacana Maqasid Syariah di Malaysia.

Manhaj Maliziy pula telah sememangnya sinonim dengan manhaj pergerakan dakwah ABIM sejak sekian lama terus diterjemahkan dan diaplikasikan secara dinamik untuk menangani pelbagai isu umat yang rencam.

Karya-karya ulama’-ulama’ muktabar kontemporari seperti Thaurah Sya’ab (Kebangkitan Rakyat) oleh Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi, Al-Ummah Hiya al-Asl (Kuasa Rakyat) Dr Ahmad Al-Raysuni (2014), Tiba’i al Istibdad (Abdul Rahman Al-Kawakibi) dan pelbagai karya-karya berkaitan fikih siyasah telah dijadikan rujukan asas para aktivis ABIM sepanjang menjunjung amanat pencerahan ke arah politik perubahan sebelum ini.

Fikrah yang terhasil melalui karya-karya ini jelas bermatlamat mendidik dan seterusnya memperkasakan rakyat agar tampil berani di hadapan penguasa dan aparatnya yang menindas. Bahkan ia mendorong mereka untuk harus berani keluar dari cengkaman agamawan yang menjadi pendukung setia aliran kediktatoran yang disebut Al-Kawakibiy sebagai fuqaha al- Istibdad.

Faham kedaulatan rakyat yang bersumberkan prinsip Quranik seperti karamah insaniyyah dan al-hurriyah yang disebarluaskan kepada rakyat ternyata telah mengisi makna dan pengertian laungan ‘suara rakyat suara keramat’.

Kita dipandu untuk memaknai bahawa kalimat di sebalik people’s power itu bukan sekadar retorika kosong atau selamanya terkait dengan revolusi berdarah sepertimana yang ditakut-takutkan oleh gerombolan elit penguasa yang sebenarnya diselubungi ketakutan.

Ternyata ungkapan keramat Syaikh Wahbah Zuhayli – as-Sha’b Masdar al-Sultah – bahawa rakyatlah sumber kekuasaan pemerintah telah benar-benar terzahir dengan jayanya dalam proses peralihan kepimpinan negara pada 9 Mei 2018 yang lalu.

Menyongsong ke arah pembentukan untuk merealisasikan harapan untuk membentuk wajah baharu Malaysia, tidak keterlaluan untuk kita menyatakan ABIM telah membuat sumbangannya yang tersendiri dalam mencorak tasawwur dan mempersiapkan pemikiran rakyat (conditioning the mind of people) untuk mencetuskan arus perubahan.

Peranan signifikan ABIM dalam mencorakkan dinamika persaingan politik berasaskan Islam di Malaysia turut dinukilkan oleh N.J Funston tatkala menyentuh peranan NGOs sebagai determinants ataupun faktor penentu kepada sebarang perubahan politik di Malaysia,

Islamic NGOs have played an important role in highlighting Islamic affairs in particular ABIM, both as pressure group in its own right and in providing party leadership.” (Funston, N.J, The Rise of Political Islam in Malaysia: From Kaum Muda to Islamic State, 2017)

ABIM Dan Gerakan Masyarakat Madani

Dalam temubual sejurus PRU Ke-14; Meredith L. Weiss sekali lagi tidak mengkesampingkan peranan ABIM dalam menggembleng potensi massa ke arah merealisasikan politik perubahan menerusi sektor masyarakat sivil & madani:

“The other aspect that tends to be overlooked in Malaysia in critiques of the urban bias of civil society is the extent to which religious organizations, particularly Islamist organizations but also Christian and others, have really mobilized… These organizations have helped to mobilize electorally, in both urban and rural areas, and sometimes in really functional ways… There are organizations such as the Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM) that will train people who want to run in office and give them the skills they need to contest – both men and women, and whatever party they might want to run for. I see them as part of a larger enterprise of gearing up civil society and activists to make people care about participating politically and to think about coming up with better measures for evaluating electoral politics.” (Weiss, ML, 2018)

Walaupun di sebalik optimisme yang terjelma dalam ketika itu, keperluan untuk merealisaikan politik perubahan berasaskan reformasi islahiy telah menetapkan ingatan buat seluruh warga ABIM untuk terus mempelopori agenda pencerdasan dan pendemokrasian rakyat. 

Lapangan masyarakat sivil (Civil Society) perlu dimanfaatkan untuk memperjuangkan agenda pendidikan demokrasi, kewarganegaraan, kebebasan, keadilan, hak asasi, dan kedaulatan undang-undang.

Walaupun selalunya pendirian yang diutarakan tidak disenangi sesetengah pihak, ABIM tetap teguh berpegang pada idealisme Reformasi-Islahiy serta telah cuba berperanan sebaik mungkin sebagai jurubicara bagi memperjuangkan isu-isu rakyat di lapangan masyarakat madani.

Kemampuan ABIM berperanan serta menerajui gerakan reformasi dua dekad lalu secara langsung telah menatijahkan pengembangan dan pemberdayaan gerakan aksi massa sivil ataupun masyarakat madani di Malaysia.

Penglibatan dan partisipasi aktif ABIM dalam sektor ketiga masyarakat sivil ini adalah interpretasi kepada kepercayaan dan komitmen terhadap gagasan masyarakat madani yang diwacanakan secara rancak dalam proses pembinaan negara dan ketamadunan.

Ingin ditegaskan bahawa apapun nama dan gelanggangnya, ABIM terus komited untuk memastikan bahawa gagasan dan aplikasi model masyarakat Madani tetap menjadi ruh yang melandasi perjuangan ABIM dalam sektor yang amat berpengaruh ini.

Pembentukan masyarakat madani hakikatnya adalah sebahagian daripada usaha pemberdayaan rakyat dalam acuan yang berbeda daripada peradaban barat seperti mana dinyatakan dalam buku Gelombang Kebangkitan Asia:

Masyarakat Madani yang kita bayangkan diasaskan diatas prinsip akhlak dan pemerintahan berasaskan hukum, bukan oleh nafsu manusia yang tidak menentu. Masyarakat di mana pertumbuhan institusi kemasyarakatan –lembaga yang menjadi pengantara antara keluarga dan negara – dipupuk dan bukannya dicantas, di mana kecemerlangan serta cita rasa harus pula menggantikan kelaihan dan kepicisan. Justeru itu, kita perlu menghidupkan semangat kebebasan, menyuburkan kemerdekaan diri, mengembalikan nilai keperimanusiaan dan menyegarkan sikap berlapang dada. Lantaran itu, prinsip musyawarah dan demokrasi didukung, ia tidak pula disogokkan dan dipaksakan, terutama menurut acuan dan pengalaman Barat.” (Anwar Ibrahim, 1997)

Pemerkasaan institusi kerakyatan, reformasi institusi, perdebatan polisi dan wacana di ruang awam yang sememangnya menjadi antara medan gerak kerja masyarakat madani haruslah sentiasa berpaksikan prinsip, nilai, etika dan moral yang bukan sahaja ditakrifkan sebagai universal semata-mata.

Bahkan proses ini harus berlaku adil dan seimbang dengan turut mengambil kira faktor agama, budaya dan sensitiviti kemasyarakatan yang relatif sifatnya.

Arakian bukan hanya kerajaan atau konglomerat pasaran yang tertakluk dan dipertanggungjawabkan dalam segala tindak tanduknya kepada masyarakat. Pergerakan civil society sebagai suara yang mewakili pelbagai kelompok rakyat terbanyak harus dengan penuh sedar bertanggungjawab dan memainkan peranan yang positif dalam agenda menjunjung nilai, moral, akhlak dan etika.

Malaysia Baharu: Citra Dan Aspirasi

Malaysia’s Big Win for Democracy: The country’s surprise election result has shown that the rise of authoritarianism is not inevitable’. Begitulah tajuk rencana Yaroslav Trofimov yang tertera di Wall Street Journal pada 11 Mei 2018. Dalam dunia sedang menuju democalypse, Malaysia telah membuktikan bahawa demokrasi belum mati, bahawa amalan demokrasi yang aman, transisi melalui plihanraya masih boleh dilakukan.

Detik keramat 9 Mei 2018 akan terus tersemat dalam memori rakyat Malaysia, tercatat dalam lipatan sejarah sebagai kemuncak kepada gelombang kebangkitan dan kedaulatan rakyat pada alaf ke-21.

Namun untuk melangkah dengan lebih jauh, Malaysia perlu membina semula sekaligus memperkukuhkan asas-asas kebangkitan sebuah negara berdaulat dan bermaruah.

Malaysia Baharu bukan sekadar ungkapan biasa. Istilah Malaysia Baharu mempunyai konotasi makna yang amat mendalam beserta agenda penting yang wajib dilaksanakan. Barangkali tiada perkataan yang lebih tepat untuk menggambarkan anjakan penghijrahan ke era Malaysia Baharu daripada yang dinukilkan sendiri oleh Tokoh Ma’al Hijrah 1440H, Dato’ Dr Siddiq Fadzil:

“Di balik kata Malaysia Baharu tersirat makna sebunung harapan terangkatnya martabat insan, tegaknya keadilan, berdaulatnya kebenaran, meratanya kemakmuran dan terjamin keselamatan. Segala harapan tersebut hanya akan dapat direalisasikan dengan menegakkan moral bangsa berasaskan nilai-nilai agama dan budaya. Malaysia Baharu harus benar-benar suatu departure, suatu anjakan mendasar dari era sebelumnya, era yang tercedera dengan rasuah, penyalahgunaan kuasam pelanggaran hak asasi manusia dan keruntuhan nilai-nilai moral.”

Dalam syarahan pentingnya terhadap makna dan esensi Malaysia Baharu (Siddiq, 2018), idealog gerakan Islam tersebut telah turut melontarkan agenda-agenda besar transformatif-reformatif berikut untuk dilaksanakan:

• Transformasi kemanusiaan dan kebudayaan (human and cultural transformation)

• Penegakan Moral Politik yang bermatlamat membina semula moraliti bangsa dan komited terhadap misi pendaulatan nilai kebenaran dan kejujuran.

• Merealisasikan pentadbiran maslahi, iaitu pelayanan pemerintahan terhadap rakyat menerusi dasar-dasar yang sejalan dengan maslahah.

• Penegakan Moral Ekonomi yang berasaskan perjuangan menangani segala faktor penyebab utama di sebalik kemiskinan dengan membuka kesempatan untuk kaum dhu’afa’ merubah nasib.

• Islam dalam era ini harus berfungsi sepenuhnya sebagai agama rahmat ke arah pembebasan daripada segala belenggu, termasuk belenggu penjajahan ekonomi.

• Malaysia Baharu bererti era baru bagi demokrasi dengan memperhebat proses demokratisasi yang beresensikan partisipasi dan emansipasi.

• Malaysia baru yang berkeadilan sosial dengan agenda pendemokrasian ekonomi berasaskan pemerataan keadilan (distributive justice).

Demikianlah garis-garis besar agenda penghijrahan ke Malaysia Baharu dalam merealisasikan impian kita membina semula martabat dan maruah Malaysia ke arah yang lebih gemilang. Tanggungjawab kepimpinan baru negara bukanlah sekadar menukar orde kepimpinan kerajaan lama.

MENGANGKAT ASPIRASI RAKYAT

Bukanlah hasrat kita untuk bernostalgia tentang peranan kita dalam mencetuskan perubahan yang berlaku menjelang Malaysia Baharu. Hakikatnya ia merupakan kemenangan rakyat Malaysia. Sesungguhnya kemenangan yang tercipta ketika PRU Ke-14 yang lalu merupakan kemenangan kita bersama.

Namun bagi maksud persejarahan, sumbangan kita yang seadanya ini penting untuk didokumentasi dan dikongsikan. Bukannya untuk sekadar bernostalgia, namun sebagai inspirasi sekaligus peringatan buat kita bahawa reformasi belum berakhir. Krisis politik yang melanda negara semejak tragedi Langkah Sheraton yang lalu menyedarkan kita bahawa perjuangan masih belum selesai.

Mandat yang diberikan oleh rakyat pada ketika itu adalah untuk melakukan real change, yang secara mendalamnya merupakan sebuah perubahan tulen yang mengangkat semangat reformasi menyeluruh berpaksikan ketinggian martabat manusia, keadilan untuk semua, pendaulatan kuasa rakyat, keadilan ekonomi, pembanterasan rasuah, pengukuhan jati diri budaya dan pembinaan bangsa yang bertamadun.

Agenda tersebut masih belum dapat direalisasikan. Atas dasar itu perjuangan harus diteruskan oleh warga ABIM kerana ia merupakan komitmen kita untuk menjayakan usaha reformasi Islahiy, yang matlamatnya hanyalah semata-mata untuk memartabatkan maruah rakyat.

Penulis merupakan mantan Presiden ABIM (2015-2019). Tulisan ini disunting daripada ucapan dasar ABIM “Malaysia Baharu: ‘Mengangkat Aspirasi Rakyat, Memartabatkan Amanah Umat’, yang disampaikan pada 20 Oktober 2020, bersempena Muktamar Sanawi ABIM Kali Ke-47 di Universiti Sains Islam Malaysia (ABIM).

One thought on “ABIM DAN PERJUANGAN REFORMASI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *