REFORMASI: TEGUH ATAS PAKSI KEBENARAN

REFORMASI: TEGUH ATAS PAKSI KEBENARAN

Oleh: Amidi Manan

Rakyat Hayati Kisah Fitnah Ke Atas Aisyah R.A

Pada 28 September 1998, aku berada dalam tahanan reman ISA di IPK, Kuantan. Pelik bin ajaib, aku dituduh mengatur perhimpunan di Dataran Merdeka. Sedangkan semasa itu aku sibuk mengatur majlis resepsi perkahwinanku di Pekan, Pahang. Banyak cemuhan yang aku terima. Antaranya konon aku taksub pada Anwar Ibrahim (DSAI). Aku dianggap tidak “taksub” kepada perjuangan.

Semua org tahu apa yang berlaku pada perbicaraan tersebut. Terbuka satu-persatu kebatilan dan fitnah yang memalukan sistem perundangan negara.  Bukan sekali tapi dua kali. Begitu juga dengan video China Doll, yang akhirnya menjerut sama beberapa orang termasuk dalam kalangan mereka yang berpengetahuan agama untuk mempercayainya.

Kini seorang pendakwah kesayangan ramai, juga diperkatakan (menerusi laporan media dan tularan media sosial) terlibat dan difitnah berkaitan perkara yang melibatkan maruah diri.  Ramai yang bersuara membicarakan hal tersebut termasuk dalam kalangan ulama’. Sedangkan pada ketika berlakunya fitnah pada tahun 1998 dan 2012, mereka membisu seribu bahasa.

Maka marilah kita menolak fitnah, yang masih belum jelas kebenarannya dengan hati yang nekad. Mahkamah akan menjalankan tugasnya, walaupun ada sedikit sebanyak kesangsian terbit apabila kita mengenang apa yang berlaku pada 1998. Namun rakyat perlu dididik untuk menghayati kisah dan ibrah hadith ifk.

Pembelaan Allah S.W.T

Melalui hadith ifk ini mereka yang diaibkan maruahnya akan dibersihkan sendiri oleh Allah S.W.T, sebagaimana Aisyah r.a. Itulah juga yang berlaku pada Anwar Ibrahim. Semakin diaibkan semakin terbela. Semakin dihina, semakin Allah mengangkat darjatnya.

Syarat bagi pembelaan daripada Allah SWT ialah kita mesti berdiri dengan teguh dan berani atas paksi kebenaran. Walaupun semua pihak berpakat untuk mengaib dan menfitnah, yakinlah akan bantuan dan pertolongan Allah tiada siapa yang dapat menyekatnya.

Setiap individu yang memegang panji dakwah mestilah terus setia kepada kebenaran. Jangan cemari misi suci ini, dengan akhlak yang terkeji. Setiap pendakwah yang berdiri atas landasan kebenaran, akan dibela Allah dan tidak disia-siakan oleh-Nya.

Ada kisah pada tahun 1998 yg melibatkan Allahyarham Sheikh Azmi. Ketika sedang hangat diperkatakan berkaitan fitnah pertama, DSAI memanggil beberapa orang rakan rapatnya ke rumah. Beliau perlukan pandangan dan buah fikiran teman-teman rapat bagi berhadapan dengan konflik yang bakal tercetus dalam masa terdekat.

Saya diberitahu Sheikh Azmi adalah antara yang hadir ketika itu. DSAI mahukan pandangan teman-teman apakah yang seharusnya dilakukan bagi berhadapan dengan badai fitnah yang mendapat restu TDM sendiri ketika itu.

Pelbagai pandangan diberikan. Ada yang mengusulkan untuk DSAI teruskan negosiasi. Ada juga yang mencadangkan agar DSAI lari dan menggerakkan perjuangan dari luar negara.

Terus Melawan Membersihkan Nama Dan Maruah

Saya difahamkan Sheikh Azmi antara orang yang tegas mahukan agar DSAI terus melawan dan berhadapan dengan apa jua cabaran bagi menggempur fitnah dan membersihkan nama dan maruah.

Ia suatu yg menarik bagi saya. Kepada mereka yang mengenali Sheikh Azmi, untuk membuat pendirian seperti itu bukan sesuatu yang mudah buat dirinya. Beliau adalah seorang yang mahir tentang persoalan fiqh. Sudah tentu bagi seseorang yang mempunyai latarbelakang sedemikian ia merupakan jalan terakhir yang sudah difikirkan semasak-masaknya.

Beliau bukan seorang yang berperwatakan kasar. Sheikh Azmi sering diingati kerana sering bergurau dan berjenaka. Beliau juga bukan seorang yang keras atau suka dengan kontroversi. Sheikh Azmi seorang yang terbuka dan memahami realiti.

Setelah berlaku pemecatan dan segala apa yang kininya tercatat dalam sejarah, Sheikh Azmi tidak teragak-agak untuk meletakkan jawatan selaku Ketua Hakim Syarie yang baru beliau sandang pada ketika itu.

Dia terus terjun ke kancah politik. Sheikh Azmi berperanan selaku Naib Presiden, Parti keADILan, pada ketika awal parti tersebut.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Seorang ulama yang mendahulukan perjuangan melebihi kepentingan peribadi yang wajar menjadi ikutan generasi hari ini.

Penulis merupakan mantan Presiden ABIM (2011-2015). Ketika ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Amidi Manan merupakan presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) antara tahun 1997-1999.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *