APABILA BANDUAN ITU WAFAT

APABILA BANDUAN ITU WAFAT

Oleh: Omar Mokhtar.

Wafatnya Ibnu Taymiah

Diriwayatkan daripada Sheikh Zainuddin Abdul Rahman adinda kepada Sheikh Ibnu Taymiah, beliau telah menceritakan tentang keadaan kakandanya di penjara ketika waktu penghujung usianya:-

Sesungguhnya Ibnu Taymiah ketika mana beliau sedang membaca al-Quran (sedangkan beliau sudah khatam sebanyak 80 kali) dan sampai ke ayat 54-55 Surah al-Qamar (yang bermaksud).

“51. Dan sesungguhnya telah Kami binasakan orang yang serupa dengan kamu.”

“52. Dan segala sesuatu yang telah mereka perbuat tercatat dalam buku-buku catatan.”

Selepas itu beliau terus meninggalkan aku. Sheikh Zainuddin dibenarkan oleh pihak penguasa untuk menjaga Ibnu Taymiah yang dalam keuzuran di penjara. Ibnu Taymiah terus bertadarus al-Quran dengan Sheikh Abdullah bin Muhib dan Abdullah Al-Azraie. Sheikh Ibnu Taymiah sangat suka akan bacaan mereka berdua. Keadaannya semasa di dalam penjara penuh dengan ketaqwaan dan kesolehan.

Apabila sampai berita keuzurannya kepada Gabenor Damsyik , lalu beliau terus meminta izin untuk menziarahi sheikh Ibnu Taymiah. Si Gabenor terus memohon kemaafan dari Sheikh Ibnu Taymiah andai ada kesilapan yang beliau pernah lakukan terhadapnya. Sheikh Ibnu Taymiah terus menjawab:

“Sesungguhnya aku telah menghalalkan semua orang yang memusuhiku meskipun aku berada atas jalan kebenaran, dan aku halalkan juga Sultan Muazzam Al-Malik An-Nasr yang menyebabkan aku ke penjara ini, aku tahu dia lakukan ini semata-mata ikutan dan bukan atas kehendaknya, aku halalkan tiap-tiap insan yang pernah menyakitiku melainkan jika dia memusuhi Allah dan Rasul-Nya.”

Dan berpanjanglah kesakitan yang dialami Sheikhul Islam Ibnu Taymiah selama tiga minggu hingga pulang beliau kepada Sang Pencipta pada malam ke-22 bulan Zulkaedah tahun 728 Hijrah. Ketika itu umurnya 67 tahun.

Lalu Muazzin penjara terus mengumumkan kematian Ibnu Taymiah di menara dan berbicaralah pengawal-pengawal penjara tentang peristiwa besar ini. Kemudiannya khabar ini telah merebak ke seluruh masyarakat.

Penghormatan Terakhir Daripada Rakyat

Berpusu-pusulah orang ke kubu penjara untuk memberi penghormatan terakhir buat sang imam. Mereka bersesak-sesak mahu mencium kepala Sheikhul Islam.

Maka para penziarah gigih mengkhatamkan al-Quran sebelum jasad Ibnu Taymiah dimandikan. Kaum muslimat dibenarkan menziarahi jenazah Sheikhul Islam tersebut selepas kaum muslimin selesai menziarahinya. Betapa ramainya kuam muslimin yang mahu memandikan jasadnya yang terbujur kaku.

Solat jenazah dilakukan buat pertama kali di kawasan penjara tersebut. Solat Jenazah tersebut diimamkan oleh Sheikh Muhammad bin Tamam sebelum jasad Ibnu Taymiah dibawa keluar untuk dikebumikan. Berasaklah manusia memenuhi jalan di antara penjara serta masjid. Ini menyebabkan ia mengambil masa yang lama bagi jenazah itu untuk tiba ke masjid.

Para tentera dikerahkan untuk mengawal jenazahnya kerana kawasan sudah menjadi sangat sesak dengan kehadiran kaum muslimin dan muslimat yang terkesan dengan pemergian imam ulung dan kesayangan mereka. Di tengah-tengah kesesakan itu, berteriaklah seorang muslim:

“Inillah keadaan yang berlaku apabila Imam dan Pejuang Sunnah wafat!!”

Lalu bertambahlan kesedihan manusia dan menangis teresak-esak mengenangkan tiada lagi pembela mereka serta tiada lagi alim Rabbani yang gigih untuk memperjuangkan nasib mereka!

Sekali lagi disolatkan jenazah ke atas Sheikhul Islam Ibnu Taymiah dilakukan sejurus selepas solat Zohor di Masjid Jami’ Umawi. Dalam masa yang sama bilangan manusia semakin bertambah-tambah hingga mengakibat kesesakan pada ruang legar, kaki lima, lorong-lorong, pasar-pasar. yang penuh dengan mereka yang mahu memberi penghormatan terakhir buat sang imam tersebut.

Pasar-pasar perniagaan serta kedai makan ditutup.  Oleh yang demikian ramai orang berniat puasa kerana kesibukan mereka untuk melihat jenazah Ibnu Taymiah dan mendoakan untuknya.

Disebabkan keadaan yang begitu padat, jenazah Sheikhul Islam Ibnu Taymiah terpaksa dipikul di atas kepala para penziarah kerana sesaknya jalan dengan manusia. Suara kesedihan dan tangisan semakin meninggi. Kedengaran doa-doa dipanjatkan kepada Tuhan agar merahmati roh sheikhul Islam mereka.

Sebahagian mereka meletakkan serban, kain serta baju mereka di atas keranda Ibnu Taymiah. Manusia berbondong-bondong mahu melihat jenazah sheikhul Islam tersebut hingga kasut-kasut yang dipakai mereka ada yang tercabut serta kain serban terlucut daripada kepala mereka.

Namun mereka tidak mempedulikannya kerana mengutamakan perkara lebih penting yang sedang melanda….Imam mereka yang dikasihi telah WAFAT.

Ketika jenazah itu tiba ke perkarangan Pasar Al-Khail , bilangan penziarah telah berganda. Lalu jenazah itu diletakkan di situ untuk disolatkan jenazah dengan diimamkan oleh saudaranya Zainuddin Abdul Rahman.

Kemudian jenazah Ibnu Taymiah dibawa ke Tanah Perkuburan As-Sufiah, yang mana beberapa orang ulama hebat dan ulung seperti Ibnus Solah, Ibnul Athir, Abul Hijaj Al-Maziy, dan Al-Hafiz Imaduddin ibn Kathir.

Jenazah Sheikhul Islam Ibnu Taymiah dikebumikan di sebelah saudaranya Sheikh Syarafuddin Abdillah, moga Allah merahmati mereka berdua.

Pengebumian itu dilakukan sebelum waktu Asar hampir tiba. Kelewatan ini berlaku kerana terlampau ramai orang datang melakukan solat jenazah ke atasnya. Tiada insan yang gagal menghadirkan diri untuk memberi penghormatan terakhir melainkan dia mempunyai keuzuran.

Dianggarkan bilangan muslimin yang hadir antara 60,000 hingga 100,000 orang, manakala kaum muslimat pula sebanyak 15,000 orang tanpa dikirakan bilangan wanita yang melihat dan menyaksikan peristiwa sedih itu di atas bumbung rumah dan bangunan berdekatan. Tidak pernah kota Damsyik menyaksikan fenomena ini dalam sejarah Umayyah semasa ia merupakan ibu kota khilafah.

Solat Ghaib juga diadakan di kebanyakan wilayah negara Islam ketika itu meliputi hujung Selatan dan Timur. Ibnu Rejab juga melaporkan di Tabaqat Al-Hanabilah :-

“Solat Jenazah diadakan untuk Sheikhul Islam Ibnu Taymiah di kebanyakan wilayah di negara Islam samada dekat mahupun jauh hinggakan di Yaman dan China. Para musafir juga telah memberitahu bahawa di tempat permusafiran mereka seperti di hujung negara China, pengumuman dibuat untuk diadakan solat jenazah Ghaib buat Sheikhul Islam Ibnu Taymiah pada hari Jumaat. Pengumuman itu berbunyi “Solat ghaib dibuat untuk Turjumanil Quran (Seorang Ulama yang menterjemahkan Kitabullah dalam kehidupannya)”.

Kemuliaan Sesudah Kematian

Begitulah pengakhiran yang sangat indah buat Sheikhul Islam Ahmad Taqiyyuddin ibnu Taymiah yang hidupnya dipenuhi mehnah dan dugaan yang dahsyat. Semasa hayatnya beliau gigih melawan Monggol,pemerintah zalim, ulama pengampu serta kelompok sesat.

Beliau dipenjara beberapa kali kerana istiqamah atas jalan kebenaran kerana pihak musuh merasakan bahawa hanya tempat itu sahaja yang mampu memadamkan api kebenaran yang dinyalakan Ibnu Taymiah.

Namun Tuhan tidak pernah mensia-siakan para pejuang-Nya yang ikhlas. Lalu Dia Yang Maha Pemurah menganugerahkan pengakhiran yang tercantik buat pejuang-Nya. Siapa yang sangka, banduan ini yang hayatnya berakhir di penjara, namun suasana pengebumiannya mengalahkan semua raja dunia. Bayangkan ratusan ribu doa yang diiringi tangisan luhur memayungi perjalanan terakhir sang imam di bumi ini.

Tenanglah wahai Imam kami di taman Ilahi, tenanglah kamu kerana kamu berjaya melaksanakan tugas dan tanggungjawabmu di dunia ini. Akhirnya Tuhan memanggilmu pulang disaat musuhmu mahukan kamu terus menderita.

Namamu kini masih didendang dan pahalamu masih berjalan selagi mana karyamu dan jasamu dikaji dan dikenang. Ada pun tiada siapa yang mengingati dan mengenang musuhmu. Moga Allah merahmati Imam serta Pejuang Ahlus Sunnah Sheikhul Islam Ibnu Taymiah. Sebagai khatimah, mari sama-sama kita renungkan maksud di sebalik ayat berikut:

Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka tidak merubah janjinya kepada Allah. (Al-Ahzab : 23)

 *Peristiwa ini direkodkan sendiri oleh anak murid ibnu Taymiah iaitu Ibnu Kathir yang menukilkan daripada riwayat Sheikh Ilmuddin Al-Barzali yang merupakan ulama sezaman dengan Ibnu Taymiah dan juga teman pengajiannya. Sila rujuk Al-Bidayah Wa An-Nihayah

*Coretan dan terjemahan dari kitab Rijalul Fikri Wad Dakwah fil Islam karya Maulana Abul Hasan Ali An-Nadwi rahimahumullah.

(Penulis adalah Timbalan Yang Di-Pertua ABIM Pulau Pinang).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *