CITRA PERJUANGAN FUTURISTIK RASULULLAH S.A.W

CITRA PERJUANGAN FUTURISTIK RASULULLAH S.A.W

Oleh: Khairul Arifin Mohd Munir

Perjuangan Membina Masa Depan

Peristiwa hijrah merupakan peristiwa yang sangat penting dalam Sirah Rasullullah S.A.W, yang mana ia dicermati secara kritis dimaknai Jawharnya.

Dengan memaknai detik tersebut, kita akan mendapati hakikatnya dakwah Nabi S.A.W  adalah sebuah perjuangan untuk membina masa depan yang lebih baik kerana umat Islam pada dasarnya umat yang cemerlang bukannya lemah. Firman Allah swt di dalam Al-Quran lewat ayat ke-26 surah Al-Anfaal yang bermaksud:

“Dan ingatlah ketika kamu sedikit bilangannya serta tertindas di bumi kamu takut orang menangkap dan melarikan kamu, maka Allah kamu tempat bermastautin dan diperkuatkan-Nya kamu dengan pertolongan-Nya, serta dikurniakan-Nya kamu dengan rezeki yang baik-baik supaya kamu bersyukur.”

Berdasarkan ayat tersebut, sebelum berlakunya peristiwa Hijrah kaum Muslimin di Mekah merupakan golongan minoriti mustadh’afin (golongan lemah tertindas) yang terbelenggu dalam budaya takut, hidup tanpa jaminan keselamatan, sentiasa terdedah dengan kezaliman (terorisme) penindas Quraish.

Kehidupan sedemikian memaksa kaum Muslimin berhijrah ke Habsyah. Kemudiannya ia diikuti dengan peristiwa Hijrah ke Madinah. Kaum Muslimin dimangsakan sedemikian rupa kerana tindakan mereka meninggalkan agama nenek moyang iaitu penyembahan berhala dan budaya syirik, demi menganut agama tauhid.

Umat Islam tertindas dan dianiaya semata-mata kerana ketegasan dan keteguhan mempertahankan pendirian dalam agama Allah. Atas kekuatan dan kekentalan jiwa mempertahankan aqidah maka golongan mustadh’afin ini telah diangkat dan layak mendapat pembelaan Allah s.w.t.

Pembelaan ini terjelma berupa kurniaan daerah penempatan baru yang selamat (fa’awakum), bantuan mencapai kemenangan yang hakiki (wa’ayyadakum binasrihi) dan kemakmuran ekonomi dalam bentuk rezeki yang baik dan bersih (wa razaqakum min al-tayyibat).

Pengorbanan Emosi

Sesuai dengan ayat tersebut, maka sambutan Maal Hijrah adalah suatu yang releven untuk kita renungkan kerana kini umat Islam berada dalam keadaan yang lemah. Justeru intipati tersebut perlulah dihayati dengan merenung secara realistik akan makna di sebalik peristiwa tersebut.

Rasulullah s.a.w merupakan seorang yang realistik akan suasana serta situasi semasa yang dihadapi baginda. Nabi S.A.W dapat mengembangkan syiar Islam dan berjaya membangunkan umat kerana Rasulullah S.A.W bersikap realistik untuk meninggalkan Mekah al Mukarramah dengan berhijrah ke Madinah, walaupun wujud perasaan berat dan sayangnya terhadap tanah kelahiran baginda itu. Perasaan ini jugalah yang menyelubungi para sahabat yang pastinya berasa sedih meninggalkan kampung halaman.

Namun demikian Nabi S.A.W bersikap realistik untuk keluar mencari tempat lain yang lebih kondusif sifatnya untuk mengembangkan misi besar amanah Allah SWT. Maka atas dasar ini berlakunya peristiwa Hijrah.

Berdasarkan situasi awal penghijrahan kita dapat memahami bahawa  Rasulullah S.A.W bersikap realistik dan peka kepada waqiiyyah atau keadaan semasa berdasarkan kepada keperluan untuk menyebarkan syiar dakwah Islamiah.

Justeru, pengorbanan Rasulullah S.A.W dengan bersikap realistik kepada keadaan semasa adalah dengan tidak terikat kepada “sentimental value”. Rasulullah dan para sahabat tidak terikat dengan “sentimental value” terhadap Mekah sebagai tempat tercinta.

Umat mampu maju kehadapan apabila umat berjaya melepaskan “sentimental value” Pengorbanan Rasulullah s.a.w dan para sahabat ketika itu cukup besar. Bayangkan betapa sedih dan pilunya mereka meninggalkan kampung halaman, harta, sanak-saudara dan pelbagai memori indah untuk berhijrah ke Madinah.

Hijrah Bina Masa Depan Yang Gemilang

Namun demikian, pastinya dengan semangat inilah mereka mencipta kekuatan yang cukup luar biasa sehinggakan syiar Islam dapat terus berkembang seantero dunia. Apa yang lebih penting bagi mereka bukannya Hijrah lokasi tetapi hijrah di atas dua elemen penting iaitu:

(a) Hijrah Jiwa; dan

(b) Hijrah mental

Tanpa dua elemen penting ini maka Hijrah Rasullullah s.a.w tidak akan memberikan kesan dan impak yang mendalam kerana Hijrah lokasi semata-mata adalah tidak memadai tetapi ianya perlu berteraskan hijrah JIWA dan MINDA.

(Penulis adalah Pengurus Kanan Penyelidikan Institut Darul Ehsan)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *