AMALAN PUASA MEMELIHARA KELESTARIAN ALAM SEKITAR.

AMALAN PUASA MEMELIHARA KELESTARIAN ALAM SEKITAR.

Oleh: Yusaimi Yusof.

Pengenalan

Ramadan ialah bulan di mana umat Islam berpuasa. Amalan ini sekiranya dihayati atas dasar iman, pasti akan mengubah cara hidup kita dengan lebih positif.

Ramadan bukan sekadar menahan diri daripada makan, minum dan syahwat semata-mata. Namun ia juga mengawal emosi kita daripada terjebak dalam perkara yang merosakkan seperti perasaan marah serta tamak.

Untuk itu Ramadan juga memberi peluang untuk kita berubah kepada sikap yang lebih baik semasa menanggapi dan menguruskan alam sekitar.

Menahan diri daripada lapar dan dahaga semata-mata mungkin mudah. Namun kita harus ingat bahawa ibadah puasa juga memupuk tanggungjawab dalam kalangan Muslim.

Prihatin Terhadap Alam Sekitar

Keprihatinan terhadap alam sekitar tidak sewajarnya dipinggirkan kerana ia meliputi tanggungjawab sosial dan juga tanggungjawab agama, untuk memastikan alam sekitar dapat dipelihara dengan  lebih baik.

Abdullah Ibn Amru bin Al-Ash, meriwayatkan daripada Rasulullah S.A.W yang  bermaksud seperti berikut:

“Sesungguhnya Rasulullah SAW lalu di sebuah kawasan dan melihat Sa’ad sedang berwuduk, lalu Baginda bersabda: “Kenapakah israf (berlebihan) ini?” Maka Sa’ad menjawab: Adakah pada wuduk juga terdapat israf? Lalu Baginda menjawab: “Ya, sekalipun kamu berada di sungai yang mengalir.” (Riwayat Ibn Majah – 425)

Secara ringkasnya untuk kefahaman kita berdasarkan pada hadis di atas,  Rasullulah S.A.W menegur sahabat untuk mengelakkan pembaziran serta berlebihan ketika mengambil wudhu.

Bagaimanakah pula dengan pembaziran yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadan?

Tahukah suatu ketika dahulu anda dapatan daripada SW Corp, mengatakan bahawa rakyat Malaysia telah membuang lebih 15,000 metrik tan (mt) makanan setiap hari dengan lebih 3,000 mt tersebut terdiri daripada makanan yang masih boleh dimakan.

Bayangkan jumlah makanan yang kita bazirkan sepanjang bulan Ramadan. Justeru persoalan berikut timbul dalam benak fikiran kita: Apakah benar kita beribadah puasa bukan berpesta makanan?

Ramadan & Kelestarian Alam

Untuk itu mari kita jadikan Ramadan kali ini lebih baik daripada yang pernah kita lalui sebelum ini. Ayuh kita ubah cara kita bagaimana kita beribadah sepanjang bulan ini agar dapat memelihara kelestarian alam sekitar.

Semoga usaha ini walaupun tampak kecil akan diterima sebagai ibadah di sisi Allah S.W.T, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A menyatakan Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud seperti berikut:

“Allah berfirman: Setiap amalan anak Adam adalah untuk diri mereka kecuali puasa. Sesungguhnya ia untuk Ku dan Aku yang akan membalasnya.”

Puasa itu perisai. Hidupkan ibadah puasa kita sebagai perisai daripada amalan yang merosakkan alam sekitar dengan mengamalkan langkah berikut sepanjang menjalani ibadah puasa:

1. Tumpukan kepada sumber makanan tempatan bukan sumber makanan yang diimport.

2. Biasakan membawa air dan bekas makanan sendiri.

3. Memperbanyakkan makanan sayur-sayuran.

4. Bersederhana dalam kuantiti makanan yang diambil

5. Elakkan daripada menggunakan polisterin untuk membawa makanan dan minuman.

6. Kurangkan penggunaan beg plastik serta bawa beg sendiri ketika ke bazar ramadhan atau membeli- belah.

7.  Elakkan pembaziran makanan dengan memberinya sebagai sedekah kepada mereka yang memerlukan.

Penulis ialah Pengerusi Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (Grass Malaysia).

Nota dari editorial: Risalah merupakan sebahagian daripada usaha Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) untuk mendidik umat dan membangunkan masyarakat madani di negara ini. Jemput membangun umat dengan menyumbang menerusi pautan berikut Infaq Ramadan ABIM 1444H.

One thought on “AMALAN PUASA MEMELIHARA KELESTARIAN ALAM SEKITAR.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *