MEMBERDAYA MASYARAKAT MEMARTABATKAN MARUAH MANUSIAWI

MEMBERDAYA MASYARAKAT MEMARTABATKAN MARUAH MANUSIAWI

Oleh: Faisal Aziz.

PEMBERDAYAAN RAKYAT TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Tanggungjawab saling memberdayakan dan mengupayakan adalah antara ramuan penting untuk menyusun semula kedudukan ekonomi rakyat yang kini masih bergelut untuk melepaskan diri dari cengkaman kesan Covid-19.

Ramuan ini yang menzahirkan nilai untuk sama-sama berkongsi rasa dan tanggungjawab tanpa mementingkan diri sendiri telah sekian lama tertanam sebagai nilai yang sebati dalam masyarakat kita. Ini telah digambarkan menerusi pepatah “Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah”, serta tradisi gotong-royong yang merupakan perkongsian peranan secara sepakat untuk meringankan beban antara satu sama lain.

Sebagai langkah awal memupuk semula kesedaran ini, projek kolaboratif ABIM yang merentas agama dan kaum adalah antara keutamaan dalam membantu mengeluarkan rakyat daripada kesulitan ketika era pandemik.

Antaranya, projek kerjasama NGO pelbagai agama “Malaysia Solidarity Covid Fund” yang melibatkan ABIM dan Taiwan Buddhist Tzu-Chi Foundation Malaysia, serta Global Peace Mission (GPM), ACCIN, Projek Wawasan Rakyat dan lain-lain.

Selain itu, ABIM bersama Zak Capital – di bawah pimpinan Tan Sri Mohamed Nazir Tun Hj Abdul Razak serta dibantu komitmen teman-teman ADAB Youth Garage (AYG), telah menggerakkan inisiatif Dana Bangsa Malaysia ABIM-Zak bagi tujuan untuk memberdayakan seluruh rakyat untuk bangkit daripada kemelut yang dihadapi ketika era pandemik.

Sumbangan Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB) saban tahun sempena Ramadhan serta projek pinjaman mikro-kredit tanpa faedah yang digerakkan untuk membantu rakyat khususnya anak muda membaiki dan memulakan semula perniagaan kecil telah mendapat sambutan luar biasa.

Sesungguhnya, kita amat menghargai kecaknaan kelompok korporat dan para penyumbang daripada pelbagai latar belakang yang sama-sama menjayakan program-program ini.

Malah kita juga terharu dengan kesungguhan para pemohon pinjaman mikro-kredit ini yang ingin bangkit daripada kesempitan hidup menerusi perencanaan perniagaan yang ingin dilakukan.

Kita tegaskan bahawa ini adalah satu daripada hadaf perjuangan yang kita yakini atas rasa tanggungjawab Al-kafalah al-ijtima’iyyah, iaitu tanggungjawab pemberdayaan secara bersama (collective empowerment) untuk seluruh rakyat atas semangat nilai Bangsa Malaysia.

Kita optimistik bahawa usaha projek pemberdayaan ekonomi seperti ini boleh menjadi inisiatif jangka panjang bagi menutup kesenjangan ekonomi dalam kalangan masyarakat.

Kita perlu menerima hakikat fakta serta hakikat bahawa kesenjangan pendapatan yang berlaku hari ini terjadi apabila hasrat pembangunan ekonomi kita tidak diluruskan dengan pertimbangan nilai yang murni.

KETEMPANGAN SOSIAL

Sebaliknya kita menyaksikan kelompok tertentu sibuk untuk membolot dan memonopoli hasil ekonomi tanpa menyedari dan cakna akan nasib malang yang menimpa saudara tetangga dan masyarakat di persekitaran ruang lingkup mereka.

Keadilan dalam pengagihan ekonomi yang membawa kepada peluang pemberdayaan bersama ini telah difirmankan Allah SWT menerusi perintah Allah SWT dalam surah Al-Hasyr ayat 7 yang bermaksud:

“Apa saja harta rampasan (fa’i) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya (dari harta benda) yang berasal dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kamu.” 

Mencermati firman Tuhan tentang peraturan pengagihan harta yang harus bersifat meluas, kita mendapati peri pentingnya pengagihan ekonomi dilakukan secara meluas dan tidak dimonopoli oleh golongan tertentu agar masyarakat yang adil dan seimbang dapat dibangunkan.

Pemberdayaan secara kolektif ini berlawanan dengan keadaan persaingan secara semberono. Keserakahan amalan monopoli dalam ekonomi seumpamanya dibiarkan tanpa batasan yang mana ia membawa negara terjebak ke kancah perkauman sempit. Amy Chua dalam buku World on Fire menegaskan:

“The global spread of free market democracy has thus been a principal, aggravating the cause of ethnic instability and violence throughout the non-Western world. In country after country outside the West – from Mandalay to Moscow, from Jakarta to Nairobi – laissez-faire markets have magnified the often astounding wealth and economic prominence of an ‘outsider’ minority, generating great reservoirs of ethnic envy and resentment among the impoverished “indigenous” majority.

Begitu juga dalam ketempangan sosial seperti di Amerika Syarikat yang mengagungkan meritokrasi yang sebenarnya membawa kepada kesombongan untuk memonopoli segala peluang untuk memuaskan nafsu berpaksikan individualistik.

Perkara ini ditanggapi Michael J. Sandel dalam buku The Tyranny of Merits sebagai bebanan untuk individu dalam masyarakat yang hanya memikirkan tentang diri mereka sendiri dan mengabaikan kepentingan untuk belajar tentang ‘gratitude and humility’ (menghargai dan merendah diri).

Beliau menjelaskan perkara ini didasari sikap dan cara fikir bahawa kelayakan mereka yang telah berjaya adalah semata-mata atas dasar merit dan kelebihan peribadi. Golongan ini menafikan sistem sokongan yang menjadi latar pengaruh kejayaan seseorang individu.

“In a meritocratic society, this means the winners must believe they have earned their success through their own talent and hard work…… the contrast the admission based on merit seems obvious. Those admitted with sparkling, legitimate credentials take pride in their achievement, and consider that they got in on their own. But, this is, in a way, misleading. While it is true that their admission reflects dedication and hard work, it cannot be really said that it is solely their own doing. What about the parents and teachers who helped them on their way…what about the good fortune to live in a society that cultivates and rewards the talents they happen to have?

Micheal J. Sandel selanjutnya memetik karya R.H. Tawney bertajuk Equality (1931) tentang peluang kesamarataan. Ahli sejarawan-ekonomi British tersebut menegaskan bahawa peluang kesamarataan untuk berjaya bukan sebagai ukuran kepada makna kesamarataan. 

Malah, telah menonjolkan kewujudan jurang yang besar dalam pendapatan dan kondisi sosial. Dalam bahagian akhir buku tersebut beliau menggarisbawahi kesejahteraan sosial sebagai –

“Social well-being…. depends upon cohesion and solidarity. It implies the existence, not merely of opportunities to ascend, but of a high level of general culture, and a strong sense of common interests… Individual happiness does not only require that men should be free to rise to new positions of comfort and distinction; it also requires that they should be able to lead a life of dignity and culture, whether they rise or not”

Dalam masa yang sama, garis sempadan yang dibuat harus seimbang dan setimpal agar tidak disalahgunakan untuk mengkayakan golongan berada daripada kaum tertentu atas alasan keseimbangan sosial. Nabi SAW sendiri menerusi hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah menegah si kaya atau yang berkemampuan untuk meminta-minta atas sebab bukan keperluan:

“Sesiapa yang meminta kepada manusia akan harta-harta mereka dengan tujuan menambahkan apa yang ada padanya, maka yang dia minta itu adalah bara api sama ada yang diambil itu, sedikit mahupun banyak” (Hadis Riwayat Muslim)

Maka, aneh sekali jika kita boleh berkompromi dan membenarkan sang elit penguasa diizinkan untuk terus membolot kemewahan atas alasan keseimbangan sosial. Sedangkan yang miskin di dalam negeri ini terus papa dan dinafikan hak memperoleh bantuan ekoran kerana faktor perbezaan keturunan.

EKONOMI MANUSIAWI

Sesungguhnya, keseimbangan dan keadilan serta pemberdayaan secara bersama ini yang cuba dijelmakan sebagai ekonomi manusiawi oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Prof Dr Khoo Boo Teik pernah menjelaskan:

“A humane economy, Anwar wrote, required the ‘promotion of a clear social agenda. At the most basic level, his social agenda would attend to the mundane concerns of the populace. Whereas ‘unjust financial burdens have been heaped on ordinary Malaysians in these past few years. For example he promised that, “tolls and tariffs will…. No longer be raised unreasonably to satisfy conglomerate and corporate interests”. He intended to terminate ‘policies meant to protect vested interests instead of ordinary Malaysians that caused the consumer’s inability to buy more than one bag of sugar at the local market or a car at the price paid by the rest of the world”

Kita meyakini, pemerkasaan rakyat menerusi pemberdayaan kolektif ini akan memberi ruang untuk golongan marhaenis berdiri secara mandiri dan keluar daripada ikatan manipulasi sang elit penguasa yang mahu mereka berterusan menjadi bangsa bergantung.

Justeru, pemberdayaan kolektif rakyat yang kita bicarakan bukan sekadar menutup jurang kesenjangan ekonomi dan sosial. Tetapi ia juga adalah wasilah pemerkasaan rakyat untuk membina semula kedaulatan diri serta mempertahankan maruah manusiawi sesuai dengan istilah tamkin yang menjadi jolokan dalam beberapa kalam Allah.

Dalam surah Al-Hajj sebagai contoh, Allah menerangkan bagaimana kaum beriman yang sebelum ini diusir dari kampung halaman mereka di Mekah, seraya atas anugerah kuasa ‘tamkin’ (pemberdayaan) mereka bangkit untuk mandiri dapat merubah nasib hidup serta memaknai kebebasan beragama mereka dengan mendirikan solat, dan membina masyarakat yang adil dan bermaruah dengan menunaikan zakat, menyuruh berbuat makruf, dan mencegah daripada perbuatan mungkar sepertimana yang diabadikan menerusi firman Allah s.w.t yang bermaksud seperti berikut:

“Iaitu orang-orang yang jika Kami beri kedudukan di bumi (tamkin), mereka melaksanakan solat, menunaikan zakat, dan menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah dari yang mungkar; dan kepada Allah kembali segala urusan.” (Surah Al-Hajj: 41)

Penulis ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

6 thoughts on “MEMBERDAYA MASYARAKAT MEMARTABATKAN MARUAH MANUSIAWI

  1. In the dynamic world of digital marketing, where the competition for online visibility is fierce, understanding and implementing effective Search Engine Optimization (SEO) strategies is crucial for businesses aiming to succeed online. SEO serves as the cornerstone of online marketing, enabling websites to enhance their visibility, attract organic traffic, and ultimately achieve their business objectives. In this article, we delve into the realm of search engine optimization, exploring its significance, key principles, and actionable strategies for maximizing online visibility. https://bit.ly/3JKYpu5

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *