MALAYSIA MEKAR DALAM INGATAN RAKYAT BOSNIA

MALAYSIA MEKAR DALAM INGATAN RAKYAT BOSNIA

oleh Maria Kamel dan Wan Noor Fadhilah Wan Ibrahim

PENDAHULUAN: MENJALIN SEMULA SILATURRAHIM

Jasa dan amal bakti yang dizahirkan rakyat Malaysia masih segar dalam ingatan sebahagian pelarian Bosnia yang ditemui wakil ABIM-GPM semasa kunjungan mereka ke negara tersebut pada Januari 2020. ABIM diwakili oleh Ketua Biro Kemanusiaan, Puan Wan Noor Fadhilah Wan Ibrahim manakala Puan Maria Kamel selaku Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALP) Global Peace Mission Malaysia (GPM).

Ziarah ke Bosnia dan Herzegovina (Bosnia i Hercegovina) merupakan rentetan dari siri ziarah dan usahasama antara ABIM-GPM dengan Islamic Community in Bosnia dan Herzegovina (BiH) – The Office of Zakat dan NGO kemanusiaan EMMAUS (International Forum of Solidarity) Bosnia dalam gerak kerja kemanusiaan antara dua negara.

Sebelumnya itu, satu pertemuan bersama Duta Bosnia & Herzegovina juga dilakukan sebagai tanda menyegarkan semula ikatan persahabatan yang terjalin sejak sekian lama. Dr. Emir Hadžikadunić yang juga salah seorang alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menyatakan kegembiraan atas pertemuan tersebut. Beliau juga turut berkongsi pengalamannya bersama ABIM ketika konflik perang berlaku di Bosnia sekitar tahun 1990an. Dr. Emir Hadžikadunić ketika itu sedang meneruskan pengajian di UIAM bersama rakan-rakannya yang lain berganding bahu membantu ABIM mengumpul dana untuk membolehkan “Tabung Bosnia” menyalurkan sumbangan untuk meringankan penderitaan yang dihadapi masyarakat Bosnia sepanjang konflik tersebut berlangsung. 

Di samping itu beliau juga turut membantu memberikan penerangan, dan menguruskan kehadiran ‘muhajirin’ Bosnia yang dibenarkan masuk atas dasar kemanusiaan oleh Kerajaan Malaysia ketika itu.  Bersama dengan saudara seagama daripada Bosnia Dr. Emir Hadžikadunić dan rakan-rakannya berperanan penting dalam mengukir babak penting dalam sejarah negara untuk sama-sama memartabat keinsanan atas agenda kemanusiaan yang luhur.

BOSNIA MASA KINI

Ziarah ke Bosnia disusun bagi memenuhi projek Kemanusiaan musim sejuk yang menyaksikan proses pembangunan semula yang sedang dikecapi oleh penduduk Bosnia pasca peperangan. Walaupun peperangan sudah berakhir hampir tiga dekad, namun sebenarnya Bosnia & Herzegovina (BiH) serta penduduknya masih sedang berusaha bangkit serta melupakan tragedi berdarah yang pernah dihadapi negara tersebut.

Dengan keluasan 51,197 km persegi, BiH hanya mempunyai populasi penduduk sekitar 3.4 juta orang dengan majoritinya beragama Islam – Muslim Bosnia (Bosniak) sejumlah 52 peratus, dan selebihnya Katolik Kroatia dan Ortodok Serbia. Secara realiti amat sukar untuk membezakan anutan agama antara mereka apatah lagi penduduk beragama Islam kebanyakannya mengakui tidak mengamalkan cara hidup beragama Islam dengan alasan perang, penjajahan serta pengaruh dalam konteks budaya dan cara hidup negara Eropah menjadikan kehidupan mereka sedemikian rupa.      

Tahun 1992 mencatat sejarah terburuk di BiH apabila berlakunya konflik yang mencetuskan peperangan dan pembunuhan beramai-ramai orang awam. Walaupun pelbagai spekulasi diberitakan sebagai sebab tercetusnya peperangan, lewat lawatan ke Muzium yang mengumpul dan mempamer sejarah peperangan, kami dimaklumkan perang tidak lain mengkhusus kepada dendam dan pembersihan etnik Muslim Bosnia.

Menyoroti keadaan peperangan ketika itu, babak penderitaan berkisar kekejamaan dan penindasan berterusan termasuk pembunuhan tanpa rasa kemanusiaan. Kanak-kanak lelaki terutamanya berusia sekitar 13 hingga 14 tahun dilarikan dan dibunuh sebagai usaha khianat memusnahkan populasi lelaki Muslim. Tahun 1995 mencatatkan pembunuhan kejam beramai-ramai (genocide) terhadap lebih 8,000 orang penduduk dalam tempoh masa hanya satu minggu.

Yang tercatat di memorial persemadian mangsa peperangan di Srebrenica hanyalah 6,643 mangsa yang telah ditemui dan dikenalpasti. Sementara yang lainnya masih hilang kerana ada mangsa yang dibuang di dalam sungai dan ribuan lagi dikatakan disemadikan di luar memorial ini.

Tanggal 11 serta 12 Julai saban tahun akan menyaksikan himpunan rakyat terutama dalam kalangan ahli keluarga yang masih mengingati peristiwa berdarah masa lalu. Ada dalam kalangan mereka yang sanggup berjalan kaki dari Nazuk, Tuzla ke memorial tersebut yang jauhnya sekitar 100 km dan mengambil masa berhari-hari sebagai simbol mengingati keadaan susah payah penduduk ketika itu melarikan diri dan mencari perlindungan sehingga ada yang terpaksa mendaki bukit bukau dan lari jauh ke dalam hutan.

Yang terngiang bagi rakyat BiH yang ditinggalkan lewat pesanan seorang makcik bernama Dizdaz, “You don’t live here just to live. You don’t die here just to die. You die here in order to live.”

Persinggahan yang menyentuh emosi, dan kami mengambil kesempatan berziarah, mendoakan dan bertafakur lama di memorial ini untuk cuba merasai keperitan dan kesengsaraan yang dilalui mereka.

Dari sudut politik dan pemerintahan, uniknya selepas perjanjian keamanan yang ditandangani secara bersama 1995 yang menamatkan konflik peperangan, BiH ditadbir oleh tiga Presiden mengikut etnik yang dilantik rakyat melalui sistem demokrasi pilihanraya setiap empat tahun sekali. Tiga Presiden memegang peranan pentabiran setiap lapan bulan secara silih berganti.

Keunikan tersebut disebutkan oleh kebanyakan penduduk sebagai kesukaran pemerintah semasa menetapkan corak pentadbiran dan pembangunan rakyat dan pelaksanaan dasar-dasar dalam negara kerana perubahan keputusan akan berlaku setiap lapan bulan mengikut kecenderungan pemimpin semasa.       

Kebejatan ekonomi dan kesukaran menawarkan peluang pekerjaan bersesuaian menyebabkan agak sukar melihat generasi muda dalam jumlah yang majoriti kerana peratus besar dari mereka memilih untuk bekerja di luar negara berbanding tanah air sendiri.

Yang ada dan tinggal di bandar apatah lagi di kampung-kampung hanyalah warga tua yang masih menangisi kehilangan ahli keluarga dan mencari ruang untuk cuba meneruskan kehidupan sehingga akhirnya. Kerana itu jugalah kebanyakan dari mereka menyebut bahawa Bosnia sedang menuju negara tua.

Generasi muda dan belia memilih untuk berhijrah atau membina kerjaya di Jerman yang menawarkan peluang pekerjaan dan kehidupan yang jauh lebih baik dari di negara sendiri. Kebanyakan mereka sama ada secara rela mahupun dalam keadaaan terpaksa meninggal BiH kerana kestidakstabilan politik semasa selain tawaran gaji yang jauh sangat rendah.

Apa yang lebih ditakuti mereka adalah masa hadapan anak-anak mereka yang tidak terjamin kerana kepada mereka, sistem pembangunan yang ditawarkan kerajaan dan pemerintah sedia ada tidak mampu memenuhi apa yang diperlukan, apatah lagi dalam keadaan tampuk pemerintahan yang saling bersilih ganti saban waktu pasti tidak mampu menjanjikan sebarang jaminan.  

Oleh sebab itu jugalah tumpuan bantuan secara berkala tetapi berterusan diberikan khusus kepada warga tua yang tinggal di kampung-kampung terutamanya. Uniknya bantuan yang diberikan tidak hanya berbentuk bantuan bekalan makanan, namun ada jadual yang disusun supaya ada ketikanya petugas atau sukarelawan boleh turun menemani, memasak, mengurus diri dan melihat keperluan lain yang diperlukan oleh mereka. Kerana itulah kepada warga tua ini, petugas atau sukarelawan yang hadir sangat dikenali dan dilayan seperti anak sendiri.

MALAYSIA DAN ABIM DALAM INGATAN RAKYAT BOSNIA

Selain menunaikan projek bantuan musim sejuk, kesempatan yang ada dipenuhi juga dengan aktiviti ziarah termasuklah lawatan rasmi kepada Duta Besar Malaysia ke Bosnia, Tuan Yang Terutama Tuan Zakri Jaafar yang berpengkalan di Sarajevo. Sebagai catatan, Kedutaan Malaysia dibuka di Bosnia sekitar 1996 selepas berakhirnya peperangan pada 1995.

Lawatan berikutnya ke Ibu Pejabat Waqaf BiH bagi pertemuan bersama Pengarahnya, Dr. Senaid Zajimovic. BiH disebut sebagai tanah waqaf “waqaf land” yang dijaga dan dimakmurkan pembangunannya secara sepenuhnya dengan sistemnya tidak terikat dengan pemerintahan kerajaan semasa.

Pertemuan berikutnya bersama Sehija Dedovic, Presiden Nahla Association, sebuah badan NGO yang mengkhususkan kepada pembangunan keluarga dan wanita. Pertemuan tidak lain bertanyakan khabar BiH pasca peperangan dan melihat ruang yang boleh diterokai secara bersama dari pelbagai sudut terutama dalam pemberdayaan wanita, belia dan kemanusiaan.

Istimewanya, di sinilah kami ditemukan oleh Duta Malaysia kepada Fuad Botonjic dan isterinya yang disebut-sebut sebagai sukarelawan yang banyak bantu memudahkan urusan petugas kemanusiaan ABIM ketika itu di Bosnia. Fuadlah yang mengambil dari lapangan terbang, mengurus, membawa dan menghantar serta memudahkan wakil ABIM dalam misi-misi kemanusiaan sepanjang di sana.

ABIM dan Malaysia sangat dekat di hatinya sehingga diwujudkan satu ruang di rumahnya dengan koleksi gambar sepanjang bersama tim ABIM di Bosnia. Duta sendiri yang memaklumkan Fuad memohon menjadi sebahagian dari keluarga kecil Malaysia di Bosnia dengan bertugas di Kedutaan pada tahun 1996 kerana dekatnya hati beliau dan keluarganya dengan Malaysia.

Pertemuan yang sangat signifikasi tentunya bersama Alumni pelajar UIAM pelbagai generasi. Mereka yang hadir termasuklah Aida Emamovic (Presiden Alumni IIUM BiH), Amel Kovacevic (Menteri Kewangan Wilayah Sarajevo), Faris Njemecevic, Imam Seid Alibegovic dan Amela. Menariknya ramai generasi awal dalam kalangan mereka terlibat dalam menjadi sukarelawan bersama ABIM semasa tercetusnya konflik BiH dahulu.  Kebanyakan dari mereka sekarang berperanan sebagai tonggak penting untuk memajukan negara mereka.

Nama-nama aktivis kemanusiaan daripada Malaysia seperti Saudara Khairil Anuar, Saudara Kamal Ali, Haji Anwar Hashim, Saudara Asri Abdul di samping nama-nama srikandi ABIM yang awal-awal masuk ke Bosnia seperti Saudari Normah Sulaiman, Saudari Amirah Ahmad, dan Fauziah Tahar adalah antara nama yang masih abadi dalam ingatan mereka sepanjang bekerja bersama dalam misi kemanusiaan dan Tabung Bosnia. Nama-nama ini sering disebutkan oleh Fuad dan sahabat-sahabat Bosnia yang lain sepanjang pertemuan tersebut.

Di Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ialah antara pertubuhan terawal yang membangkitkan keprihatinan masyarakat dan kerajaan persekutuan terhadap nasib yang menimpa masyarakat Bosnia. ABIM turut menubuhkan Sekolah Bosnia ABIM di Bangi, bagi memberi pendidikan kepada anak-anak pelarian Bosnia ketika itu.

Sebagai rekod, Malaysia turut menghantar pasukan pengaman yang digelar ‘Malaysian Battalion’ (MALBATT). Penyertaan MALBATT dalam tugas pengaman di Bosnia adalah merupakan kali pertama angkatan tentera kita melaksanakan tugas di bawah panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di benua Eropah.

HVALA TI BOSNA! ALLAHIMANET BOSNA I HERCEGOVINA!

“Terima Kasih Bosnia! Semoga Allah Merahmati Bosnia Herzegovina!”. Kami difahamkan ini adalah maksud di sebalik kata-kata Hvala Ti Bosna dan Allahimanet Bosna I Hercegovina.

Bosnia ditinggalkan dengan pelbagai catatan dan raihan iktibar yang boleh dijadikan panduan. BiH yang penuh warna warni sejarah, keunikan dan keindahannya ditinggalkan dengan semangat kesatuan dan tanggungjawab demi sebuah persaudaraan dan rasa kemanusiaan yang tinggi untuk membangun bersama. Kota Mostar adalah simbol yang menterjemah perdamaian, kerjasama antarabangsa dan kewujudan hidup secara bersama masyarakat antara pelbagai etnik, budaya dan agama.

Kunjungan ke Bosnia kali ini adalah refleksi perjuangan buat diri kita; mereka yang dahulu menjadi semangat buat kita di zaman ini dan kitalah yang sedang membangun dan membina semangat kekuatan dari perjuangan zaman mereka terdahulu.

“Good byes are only for those who love with their eyes. Because for those who love with heart and soul, there is no such thing as separation”. – Rumi Mudah-mudahan Bosnia dan Malaysia terus aman dan membangun serta menjadi negara makmur dengan masyarakat yang sentiasa bersatu padu!

Masing-masing penulis merupakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALP) Global Peace Mission Malaysia (GPM) dan Ketua Biro Kemanusiaan ABIM

4 thoughts on “MALAYSIA MEKAR DALAM INGATAN RAKYAT BOSNIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *