MODEL BERITA BENAR ATASI PENYEBARAN BERITA PALSU

MODEL BERITA BENAR ATASI PENYEBARAN BERITA PALSU

Oleh: Prof. Dr. Roslina Othman

Wacana Siber Daie Siri 1 bertajuk Keselamatan Siber dan Model Berita Benar yang dianjurkan Kluster Masyarakat Digital dan Media Sosial, Nadwah Ilmuwan ABIM pada 7 Jun 2020 lalu menemui beberapa cabaran masa kini di alam siber dan media sosial terutama dari aspek keselamatan dan penyebaran berita palsu. Penyebaran berita palsu berlaku dalam beberapa keadaan. 

Pertama: berita dapat direka dengan usaha yang sedikit, peluang ekonomi yang sihat terhad, tindakan yang dikenakan sangat minima, tiada rasa bersalah dan sangkaan bahawa tiada kecederaan fisikal. 

Kedua: pendengar dan pengguna berita palsu tidak berupaya untuk menilai ketepatan kandungan dan kesahihan sumbernya serta pergantungan ke atas media sosial sebagai sumber berita.  

Ketiga: ketiadaan usaha yang tegas dari penimbang tara sosial, penekanan ke atas kebebesan bersuara oleh penimbang tara perundangan dan berita benar kurang mendapat keutamaan dari penimbang tara ekonomi.    

Berita benar berdasarkan model tabayyun mengemukakan 4 langkah iaitu memerhati, meneliti, menentukan dan menyemak berita yang disebarkan. Model tabayyun yang dapat dirumuskan dari Surah al-Hujurat, ayat 6 and 12 meliputi keperluan kepada profil pembawa berita, bersangka baik pada berita yang jelas kesahihannya, bertenang ketika mendapat berita yang penuh dengan tanda tanya, dan mensahihkan berita setelah adanya bukti. Model tabayyun telah dilihat digunapakai dalam Kempen Semak Status Hadith Sebelum Sebarkan dan Sebenarnya.my yang melaungkan Bukan Semuanya Benar di Internet, Tidak Pasti, Jangan Kongsi.  

Corak Penyebaran Maklumat

Model Fabula AI dibina untuk membezakan serta memaparkan corak berita benar dan berita palsu di twitter.   Model ini juga membezakan antara disinformation (maklumat palsu) yang disebarkan secara sengaja dan misinformation (maklumat ralat) yang dikongsi secara tidak sengaja.  Corak penyebaran maklumat mempunyai persamaan dengan corak penularan wabak penyakit.  

Andaian yang dipakai oleh model ini ialah: Seseorang yang menyebar hanya berita benar tidak akan menyebarkan berita palsu dari seseorang yang diketahui telah kerap menyebarkan berita palsu.   Model ini berperanan sebagai clearing house for news.

Terdapat beberapa sistem yang dibina berdasarkan model yang hampir sama dengan model tabayyun dan dikategorikan sebagai: pengesanan (contohnya BotSlayer), pengesahan (CaptainFact), pendidikan (Checkology), pemutihan (Adblock plus), pentauliahan kod dan standad (Certified Content Coalition), dan pemarkahan kredibiliti (Disinformation Index).

Roslina Othman, Mohamad Fauzan Noordin dan Ainin Soffea Hussin (2019)  telah melakar dan membina model berita benar seperti gambarajah di bawah, berasaskan model epidemik SIR, SEIR, dan S-SEIR kerana berita yang belum pasti adalah umpama virus merujuk kepada perkataan viral yang dikaitkan dengan berita yang dikongsi dalam media sosial.

Penambahbaikan yang dilakukan meliputi pematuhan shariah (shariah compliant) yang digariskan oleh ulama dan pakar dalam bidang Maqasid ash-Shariah, kelulusan dari pakar teknologi Islamik (Islamic technological approval), usaha naik taraf oleh pakar teknologi dan pakar Maqasid ash-Shariah, dan peraturan menangani jangkitan (infection). Model ini mengandungi faktor sistem keselamatan, interaksi pengguna, identiti pengguna yang diketahui, aktiviti yang sah dari segi perundangan serta sokongan pengguna.

Penulis adalah Ketua Unit Penyelidikan Teknologi Semantik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *