SEKOLAH MASA HADAPAN MEMBINA GENERASI RABBANI

SEKOLAH MASA HADAPAN MEMBINA GENERASI RABBANI

Oleh: Radin Muhd Imaduddin bin Radin Abdul Halim

MANUSIA DAN GENERASI RABBANI

Tidak wajar bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Al Kitab, hikmah dan kenabian, lalu dia berkata kepada manusia: “Hendaklah kamu menjadi penyembah-penyembahku bukan penyembah Allah.” Akan tetapi (dia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, kerana kamu selalu mengajarkan al kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya.

Ali-Imran: 79

Siddiq Fadzil (1981) memetik Said Qutub yang menafsirkan kalimah ‘Rabbaniyyin’ dalam ayat di atas sebagai mereka yang menghubungkan dirinya dengan Tuhan. Selaku hamba-Nya, mereka berserah dan menyerahkan segalanya kepada Tuhan. Segala ibadah dan kehidupan hariannya mengikut kepada tata hidup dari skema Tauhidik, dan dilakukan dengan keikhlasan sepenuh dan seutuhnya kepada Tuhan. Yusuf Al-Qaradawi pula menyentuh ciri-ciri insan Rabbani dengan memetik surah At-Tawbah, ayat 112, “Mereka itu adalah orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji, yang melawat, yang ruku’, yang sujud, yang menyuruh berbuat maa’ruf dan mencegah yang mungkar, dan yang memelihara hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang mukmin.” 

Siddiq juga menegaskan bahawa manusia rabbani itu dikatakan sebagai orang yang telah berhasil merealisasikan perintah hadis Rasullullah SAW “Berakhlak dengan Akhlak Allah” , iaitu mereka yang telah mengasimilasikan sifat-sifat Allah pada tahap yang mungkin dicapai manusia; sifat-sifat ketuhanan yang bersumberkan nama-nama Tuhan, asma-ul-husna, kecuali beberapa sifat khusus dan eksklusif hanya bagi Allah (Siddiq, 1981). Tambah beliau lagi, antara sifat ketuhanan yang amat ditekankan ialah keEsaanNya, atau tauhid. Oleh itu, sifat ini seharusnya menjadi ciri asas peribadi rabbani yang ditandai oleh penyepaduan fikiran, perasaan dan tindakan.

Penghayatan tauhid tidak sekadar pada hakikat zat yang maha esa, tetapi juga perlu dimanifestasikan dalam pelbagai bentuk penyepaduan ummah, ilmu, dan sebagainya. Begitu juga dengan manifestasi sifat Maha Kuasa dalam penjelmaannya dalam bentuk kekuatan peribadi yang mampu memilih dan menegakkan kebenaran dan keadilan, serta mampu menghadapi dugaan dengan daya tahan yang tinggi.

Apabila manusia rabbani ini berkumpul, maka lahirlah generasi rabbani yang dicirikan sebagai segolongan umat yang berminda tauhidik; iaitu berkomitmen dalam kepatuhan dan kesediaan beramal secara serius dengan segala perintah dari ajaran Islam secara holistik dan universal, sesuai dengan ciri Islam sebagai rahmat ke seluruh alam.

Generasi para sahabah ra ditegaskan sebagai model generasi rabbani yang paling hampir, seperti ungkapan yang digunakan Al-Qaradawi, al-jilu ar-rabbanniyyu al-multazim (Generasi rabbani yang komited). Ayat 77 dan 78 Surah Al-Hajj merumuskan komitmen generasi rabbani ini sebagai mereka yang beriman, rukuk, sujud, menyembah Tuhan, melakukan kebajikan (dan kebaikan), dan berjihad (berusaha bersungguh-sungguh) pada jalan Allah.

ABIM DAN PERUBAHAN PENDIDIKAN.

ABIM, sedari awal penubuhannya meletakkan perjuangan kependidikan sebagai ‘our deepest conviction’. Osman Bakar (1993) menjelaskan bahawa sejak awal penubuhan lagi ABIM telah menekankan kepentingan pendidikan Islam dalam usaha mengembalikan maruah dan kegemilangan umat Islam. Pendekatan ABIM yang bersifat konfrontasi pada dekad 70-an, bukan sekadar dilihat agresif dalam pelbagai isu semasa dalam negara, malah mengambil pendekatan memberikan penyelesaian masalah dan menyediakan sendiri model-modelnya. Kesedaran umat pada awal 70-an yang menyuarakan dan mahukan pendidikan berteraskan Islam, tetapi tiada keberanian atau komitmen dalam merealisasikannya.

Malah, konsep pendidikan Islam yang bersepadu di Malaysia dimulakan dengan penyerahan memorandum kepada Kementerian Pendidikan Malaysia pada 1974 oleh ABIM. Menteri Pelajaran pada waktu itu ialah Dr Mahathir Mohamad. Antara lain, kandungan memorandum ini menekankan tentang kegagalan pendidikan sekular dalam melahirkan masyarakat yang bahagia, sejahtera, adil dan saksama, serta berakhlak mulia.

Lantas, mencadangkan dua asas pokok yang perlu diberikan perhatian dalam menentukan hala tuju pendidikan negara, iaitu pertama, menanam dan memupuk nilai keagamaan, kebudayaan dan idealisme teras yang menjadi pendirian negara. Kedua, menyediakan latihan amali dan moral bagi kemahiran kehidupan masa hadapan mengikut minat masing-masing. Selain itu, turut dimuatkan dalam memorandum ini ialah permohonan kepada pihak KPM agar mengawasi perjalanan pendidikan prasekolah yang didirikan oleh pelbagai pihak seperti pihak gereja, pertubuhan asing, dan sekolah Inggeris.

Usaha ABIM ini memberikan kesan positif dalam masyarakat sehingga melahirkan falsafah pendidikan berteraskan sistem nilai. Kelahiran Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan seterusnya menetaskan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah perlu dikreditkan bertitik-tolak atas usaha yang murni ini. Sebelum itu, ABIM juga sejak 1972, telah memulakan model sekolah bagi membantu generasi muda yang keciciran SPM dengan penubuhan Yayasan Anda Akademik (YAA), yang akhirnya memberikan peluang kepada banyak anak melayu memasuki universiti awam dengan ciri kemenjadian yang unik berbanding sekolah di arus perdana.

Mahasiswa daripada YAA lebih ke hadapan daripada aktivisme dan idealisme. Meskipun kurikulum sekolah menggunakan kurikulum arus perdana daripada kementerian, namun, aktiviti pengajaran dan pembelajaran dijalankan mengikut semangat falsafah pendidikan Islam dengan strategi nilai merentas kurikulum. Di YAA, terdapat satu mata pelajaran dipanggil ‘Pengajian Prinsip Islam’.

‘Pengajian Prinsip Islam’, suatu subjek untuk membincangkan dan merungkai isu-isu di luar kotak pemikiran pelajar seperti isu alam sekitar, isu kemanusiaan, isu keruntuhan sosial, sama ada isu tempatan sehinggalah isu antarabangsa dan sejagat. Isu berkenaan dikupas dalam konteks peranan Islam sebagai penyelesai masalah umat; Islam sebagai rahmat kepada sekalian alam atau Islam sebagai cara hidup (deen). Subjek ini dinamakan ‘Pengajian Prinsip Islam’ sebagai suatu ingatan bahawa Islam sememangnya berada di sekeliling dan seluruh kehidupan kita.

Kesemua ini sangat asing kepada dunia pendidikan arus perdana, dan tidak pernah diterokai secara serius sehingga hari ini. Malah, pada awal 70-an, ABIM merupakan satu-satunya organisasi Islam yang sangat agresif mengadvokasikan moto Islam sebagai cara hidup. ABIM pada waktu itu, secara terang-terangan mengubah persepsi amalan Islami, dari sekadar terhad kepada amalan seperti solat, puasa, zakat dan haji semata-mata, beranjak kepada amalan seharian seperti soal pemakaian, cara berekonomi, cara berpendidikan, sehinggalah kepada aspek perundangan dan aspek kenegaraan.

Sehinggakan, para aktivis wanita ABIM yang memakai tudung, mendapat tentangan kuat daripada pelbagai pihak yang tidak menyenanginya. Bermacam-macam gelaran seperti ‘orang pakai dakwah’, ‘hantu bungkus’ dan sebagainya dihamburkan kepada mereka (ABIM, 2016). Namun, pada waktu ini, pemakaian tudung tidak lagi menjadi sesuatu yang pelik dan janggal bagi kaum wanita di Malaysia, malah majoriti wanita Melayu dan Islam mula menyedari keperluan dan tuntutan memakai tudung ini. Perjuangan menuntut pemakaian menutup aurat diterima masyarakat dan sekali gus menukar cara pemakaian rasmi sekolah sehingga ke hari ini.

ABIM, Pendidikan Rabbani Dan Sekolah Masa Hadapan.

Menurut Mahyuddin (2004), Taman Asuhan Kanak-kanak Islam (TASKI) pertama dibina pada tahun 1975 di Kedah. Pada ketika pendidikan prasekolah memerlukan nuansa Islamik, ABIM datang dengan penyelesaian TASKInya. Fokus pembelajaran dengan penekanan kepada falsafah pendidikan Islam, iaitu ‘membina generasi khaira ummah’. Penekanan pedagogi di TASKI ialah kepada sosialisasi, semangat kasih sayang, kekeluargaan, persahabatan, kerjasama melalui aktiviti bermain, bersukan dan makan-minum bersama secara berkumpulan.

Sekolah Rendah Islam (SERI) pula muncul pada 1989, dengan penyepaduan kurikulum arus perdana KPM dengan kurikulum Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta mata pelajaran tambahan seperti tafsir, hadis, mutalaah, Nahu, Al-Quran dan hafazan. Penerapan nilai murni pula dilaksanakan dalam mata pelajaran atau dalam kokurikulum secara merentas kurikulum atau secara penggabungjalinan. Begitu juga Sekolah Menengah Islam (SEMI) ditubuhkan pada 1989 menggunakan kurikulum KPM, seperti pengoperasian SMKA KPM, dengan kurikulum Thanawi Jabatan Agama Negeri serta hafazan. Pada 1989 juga, ABIM menubuhkan Institut Pengajian Ilmu-Ilmu Islam (IPI) yang kemudiannya dinaik taraf kepada Kolej Darul Hikmah (KDH) untuk pengajian peringkat Diploma pada 2002 (Mahyudin, 2004).

Sesungguhnya, institusi pendidikan ABIM berdiri sebagai institusi pendidikan rakyat sepenuhnya sejak 1975 sehingga kini. Perubahan pendidikan yang diadvokasikan di peringkat massa juga dimodelkan melalui institusi yang ABIM operasikan sendiri. Sudah tentunya, dengan dana yang terhad, sumber manusia yang terhad, institusi ini tidak dapat dilaksanakan dengan kapasiti dan potensi terbaiknya dengan isu-isu pengoperasian yang hadir dari masa ke masa. Namun, ABIM sentiasa pro aktif dalam merealisasikan idea-idea kependidikan yang bertunjangkan falsafah pendidikan Islam dan kurikulum bersepadu.

Paradigma kependidikan ABIM lebih kepada paradigma kritikal atau paradigma transformatif. Contohnya, tokoh seperti Paolo Freire, yang menulis berkaitan Pedagogi Kritikal, mempunyai paradigma yang sama, iaitu memberi fokus kepada pembasmian ketidakadilan sosial, dan mengangkat maruah insan (karamah insaniyah). Dalam konteks pendidikan Islam, sudah tentu nilai kemenjadian yang paling teras ialah pendidikan yang membentuk karakter atau akhlak terpuji, peribadi rabbani tauladan; qudwah dan uswah. Baginda Rasulullah SAW sudah pastinya, model tauladan terbaik yang memanifestasikan segala nilai dan jelmaan akhlak Al-Quran.

Antara kandungan penting pendidikan rabbani juga dijelmakan dalam Al-Quran menerusi pesan-pesan penting Luqmanul Hakim kepada anaknya. Sepuluh pesan kependidikan yang tersenarai dalam ayat 13 – 19 surah Luqman ini ialah pesan Tuhan sendiri. Beliau dikurniakan hikmah atau kebijaksanaan dalam menyampaikan pesan-pesan penting kependidikan yang relevan sepanjang zaman. Maka, selain Falsafah Pendidikan Islam, ABIM juga mengadvokasikan Falsafah Pendidikan Al-Hikmah sebagai teras kependidikan ABIM.

Teras nasihat-nasihat ini diterjemahkan pula dalam bentuk nilai-nilai dalam pendidikan karakter dan disepadukan dalam dokumen kurikulum persekolahan ABIM. Selanjutnya, ABIM melangkah selangkah lagi dengan memberikan alternatif sudut pandang yang berbeza, namun dalam bingkai yang sama dengan memperkenalkan gagasan Sekolah Masa Hadapan pada 2017.

Namun, realiti dalam masyarakat hari ini, pendidikan berteras peperiksaan masih berleluasa; Masih didambakan masyarakat, ibu bapa, pemain industri, dan para pelaksana di sekolah hanya meraikannya sahaja dengan menyediakan standard untuk kepuasan industri, ibu bapa dan masyarakat serta pihak atasan. Hakikat yang lebih memedihkan, pendidikan untuk mencapai standard industri masih menjadi idaman institusi pendidikan sendiri, termasuk institusi pendidikan ABIM. Pendidikan untuk memuaskan hati pihak atasan masih menjadi ikutan dan trend di peringkat akar umbi.

Justeru, dalam penerokaan dunia pendidikan abad ke-21, ABIM terus melakukan reformasi bagi memperbaharui tekad dalam erti kata iltizam ke arah menyediakan pengalaman pengajaran dan pembelajaran yang lebih relevan, terkini dan berdaya saing. Faktor ini penting bagi memastikan institusi pendidikan ABIM, dapat terus berkembang sebagai pendidikan alternatif kepada sistem pendidikan arus perdana. Namun, yang lebih utama, gagasan Sekolah Masa Hadapan perlu memberikan makna secara praktikal kepada Model Pendidikan Al-Hikmah dengan prinsip-prinsip seperti mana dalam pesan Luqman kepada anaknya yang mana perlu digubal sebagai suatu sistem pendidikan masa hadapan, yang mungkin boleh dipanggil Sistem Pendidikan Al-Hikmah dengan prinsip yang berikut:

  1. Prinsip ketauhidan dan segala implikasinya.
  2. Prinsip berbakti kepada ibubapa.
  3. Prinsip penghayatan ibadah dan bersikap positif dalam kehidupan.
  4. Prinsip penghayatan hakikat hubungan kehidupan duniawi-ukhrawi.
  5. Prinsip berpendirian berasaskan ilmu.
  6. Prinsip berakhlak mulia.
  7. Prinsip pemantapan orientasi pencapaian matlamat dan pemikiran strategik masa depan.

Dalam teras Sekolah Masa Hadapan, yang dicitakan ialah kemenjadian insan yang relevan dengan suasana cabaran masa hadapan, iaitu cabaran Revolusi industri ke-4. Namun, prinsip pendidikan keinsanan dan pendidikan rabbani yang kita pegang mestilah berteraskan kepada kepatuhan dan ketaatan kepada Tuhannya. Kemenjadian insan dalam pendidikan ini ditandai dengan pembentukan watak atau karakter yang mana telah dicirikan seperti mana dalam surah At-Tawbah:112, Al-Hajj: 77-78, dan Luqman: 13-19.

Dalam keributan RI4, teras kepada matlamat pendidikan masih perlu dipertahankan, dan jika ada orientasi pendidikan sebelum ini yang dipencongkan, perlulah dibawa kembali kepada landasan yang sebenar. Generasi muda perlu jelas orientasi pengetahuan, sikap dan kemahiran yang perlu dikuasai pada masa hadapan dalam menjadi orang yang terdidik.

Justeru, harapan kepada sistem persekolahan yang relevan perlu dicanangkan dan diadvokasikan oleh generasi muda kepada masyarakat sebagai suara anak muda untuk generasi mendatang. Walau bagaimanapun, idealisme Manifesto Sekolah Masa Hadapan bukan diciptakan atas rasa berputus asa atau kecewa terhadap sistem persekolahan arus perdana, atau keberhasilan masyarakat yang seakan-akan gagal melahirkan generasi ‘manusia beradab’.

Manifesto ini perlu menjadi penterjemahan suatu harapan atau impian dalam mengadvokasikan perubahan dalam institusi pendidikan atau cara masyarakat kita melihat fungsi sekolah, seiring dengan perkembangan dunia yang serba mencabar, berbekalkan data empirikal yang klinikal, kontemporari serta futuristik. Maka, Sekolah Masa Hadapan boleh didefinisikan sebagai visi citra persekolahan yang relevan untuk masa hadapan berteraskan nilai teras pendidikan bagi menyediakan generasi masa hadapan untuk berfungsi dengan berkesan pada zamannya kelak sebagai manusia budiman, yang mana pengalaman pembelajaran tersebut dimulakan pada hari ini; pada zaman ini (RM.Imaduddin, 2017).

Inisiatif ini bukanlah suatu kepelikan atau suatu yang luar biasa. Sememangnya setiap persekolahan akan berharapkan suatu nilai yang murni. Namun, yang menjadikan inisiatif Sekolah Masa Hadapan ini suatu yang segar, ialah dalam menukar tetapan fikiran (mind setting) pengalaman persekolahan daripada perspektif sedia ada yang lebih tradisional, seperti berpusatkan Revolusi Industri pertama hingga ketiga (RI1-3) kepada perspektif mendepani RI4. Persekolahan bukan lagi ditentukan industrialisme, tetapi industrialism akan ditentukan oleh bakat dan nilai kemanusiaan hasil pendidikan masa hadapan yang berlaku pada hari ini.

Sasaran yang paling besar bagi mengadvokasikan perubahan ini ialah kepada wilayah kepedulian (circle of concern) ABIM iaitu kumpulan pendidik yang mahukan perubahan dalam sistem pendidikan arus perdana, dan pada masa sama, sudah tentunya kepada kumpulan guru dalam wilayah pengaruh (circle of influence) ABIM sendiri. Yang pasti, pendidikan ummatik yang ditawarkan ABIM mestilah menjengah jauh; inklusif dan nikmatnya terus dinikmati oleh seluruh umat di seluruh negara.

Harapan kepada gagasan Sekolah Masa Hadapan semoga idealisme pendidikan rabbani, pendidikan al-hikmah, pendidikan karakter, dapat dimodelkan dalam pendekatan operasional yang berbeza-beza mengikut keberadaan setempat, kreatif, inovatif dan meraikan bakat, seiring dengan falsafah pendidikan islam, falsafah pendidikan al hikmah, serta falsafah pendidikan kebangsaan, namun dalam kerangka prinsip yang sama, dan akan terus dipertahankan. Prinsipnya adalah meraikan kepelbagaian dalam bingkai kesatuan.

Penutup

Sebagai penutup, artikel ini telah membincangkan tentang pengalaman ABIM dalam membina generasi Rabbani dengan pelbagai cetusan idea, gagasan dan eksperimen sosial yang direalisasikan melalui beberapa institusi pendidikan alternatif. Ada model pendidikan yang dicetuskan bertahan sehingga ke hari ini, dan ada yang menjadi model yang bertahan pada tempoh tertentu atas faktor keterbatasan tertentu. Namun, secara umumnya, projeksi untuk terus membina cetusan pendidikan ummatik dan generasi rabbani perlu terus diteroka dengan pelbagai pendekatan semasa dan masa hadapan berteraskan nilai-nilai falsafah pendidikan al hikmah yang terus dipertahankan.

Penulis adalah Pengerusi Yayasan Takmir Pendidikan (YTP).

One thought on “SEKOLAH MASA HADAPAN MEMBINA GENERASI RABBANI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *