KEISTIMEWAAN BULAN ZULHIJJAH

KEISTIMEWAAN BULAN ZULHIJJAH

Oleh: Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi

Saudara muslimku, kita akan bertemu dengan bulan yang suci, bulan Zulhijjah, yaknilah salah satu daripada bulan-bulan al-ḥurum (yang suci dan terhormat) dan juga (salah satu daripada) bulan-bulan haji. Berkenaan hari-hari terawal bulan yang mulia ini, sepuluh harinya, Allāh bersumpah dengannya di dalam kitab-Nya (Al-Qur’an) yang bermaksud:

“Demi Fajar, dan demi malam yang sepuluh.” (Sūrah al-Fajr, ayat 1-2)

Ia merupakan antara hari-hari yang termulia di sisi Allāh, dan amal soleh padanya berganda-ganda pahalanya kurniaan daripada Allāh. Bulan-bulan yang terhormat itu lebih mulia di sisi Allāh Subḥānahu wa Ta‘ālā berbanding bulan-bulan selainnya, sepertimana makna firman-Nya Ta‘ālā:

“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allāh ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allāh semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati.” (Sūrah al-Tawbah, ayat 36)

Bulan-bulan terhormat yang mulia di sisi Allāh itu ialah: Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Firman-Nya Subḥānahu wa Ta‘ālā:

“Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya).” (Sūrah al-Tawbah, ayat 36)

Perbuatan menzalimi diri sendiri itu tentulah haram nan terlarang pada kesemua bulan (yakni setiap masa), akan tetapi, ia (perbuatan zalim itu) pada bulan-bulan ini lebihlah tegas (penekanan hukumnya).

Sepuluh hari terawal daripada bulan Zulhijjah ini dimuliakan, kerana ia merupakan daripada bulan-bulan terhormat –bulan Zulhijjah – dan kerana ia sendiri merupakan bulan Zulhijjah, yang mana ia menghimpunkan dua perkara: ia merupakan bulan haji, dan bulan terhormat. Allāh Subḥānahu wa Ta‘ālā berfirman sepertimana maksudnya:

“(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum.” (Sūrah al-Baqarah, ayat 197)

Yakni, Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah. Syawal adalah daripada bulan haji sahaja, bukan bulan terhormat. Akan tetapi, Zulhijjah, terhimpun padanya dua perkara ini (bulan haji dan bulan terhormat) – ia dan bulan Zulkaedah juga daripada bulan terhormat dan bulan haji.

Demikian juga, hari-hari ini (10 hari terawal Zulkaedah), di mana kebanyakan amalan-amalan haji dilaksanakan.

Hari Tarwiyah pada 10 hari (terawal) Zulhijjah (yakni 8 Zulhijjah), Hari ‘Arafah pada 10 hari (terawal) Zulhijjah (yakni 9 Zulhijjah), dan Hari al-Ḥajj al-Akbar yakni Hari Kesepuluh dan Hari Raya (Aidil Adha) dan Hari al-Naḥr, juga pada 10 hari (terawal) Zulhijjah ini.

Sebaik-baik hari dalam setahun itu ialah pada 10 hari (terawal) Zulhijjah ini, yaknilah Hari ‘Arafah. Laylatul Qadar merupakan sebaik-baik malam dalam setahun, secara mutlak.

Hari ‘Arafah pula adalah sebaik-baik hari dalam setahun, secara mutlak. Sepertimana 10 malam (terakhir) Ramadhan merupakan sebaik-baik malam, maka 10 hari (terawal) Zulhijah ini juga merupakan sebaik-baik hari pula.

Berikut ini merupakan sebahagian fadilat hari-hari yang agung ini, yang sabit sahih di dalam hadis-hadis daripada Rasūlullāh ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam, dengan peringatan (baginda) berkenaannya, dan gesaan agar mentaati Allāh (yakni memperbanyakkan amal taat) padanya (10 hari terawal Zulhijjah ini).

Pada 10 hari (terawal) Zulhijjah ini, Allāh memuliakan dan melebihkan amalan-amalan padanya, melebihi selainnya (yang dilakukan pada selain 10 hari terawal Zulhijjah ini). Ini merupakan kurnia Allāh Subḥānahu wa Ta‘ālā dan rahmat kasihNya, sepertimana yang diriwayatkan di dalam hadis:

“Sesungguhnya Tuhan kalian, pada hari-hari tertentu dalam tahun kalian itu, akan memiliki musim tiupannya (kebaikannya). Maka rebutlah ia.” (H.R. al-Ṭabrānī)

Allāh Subḥānahu wa Ta‘ālā, dari masa ke masa, memberikan kita peluang dengan musim-musim kebaikan, musim orang-orang yang taat nan bertakwa. Sepertimana juga, di dunia ini, ada musimnya yang direbut oleh orang-orangnya, di mana mereka memperbanyakkan kegiatan mereka untuk beroleh dapatan keuntungan dan harta daripadanya, maka, Allāh Subḥānahu wa Ta‘ālā juga menjadikan bagi orang-orang (pendamba) Akhirat musim-musimnya (untuk berebut kebaikan).

Bulan Ramadhan itu satu musim (kebaikan), sepuluh hari (terawal) Zulhijjah itu juga satu musim (kebaikan), bulan-bulan terhormat itu pula satu musim (kebaikan) juga. Inilah ia sebahagian musim-musim kebaikan, yang dikurniakan Allāh Subḥānahu wa Ta‘ālā.

Makna ia (hari-hari mulia ini) sebagai ‘musim’: Manusia berusaha untuk memperbanyakkan padanya segala macam usaha mendekatkan diri kepada Allāh Subḥānahu wa Ta‘ālā, dengan amal kebaikan, dan menjauhi kejahatan.

Di antara amal soleh yang diriwayatkan daripada Nabi ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam, khusus berkenaan 10 hari ini, ialah sabdanya:

“Perbanyakkanlah padanya (10 hari terawal Zulhijjah itu) dengan tasbīḥ (ucapan SubḥānAllāh), taḥmīd (ucapan Alḥamdulillāh), tahlīl (ucapan Lā ilāha illAllāh), dan takbīr (ucapan Allāhu Akbar).” (H.R. al-Ṭabrānī)

Yakni, amalan berzikir mengingati Allāh Subḥānahu wa Ta‘ālā. Oleh kerana itu, para Sahabat berzikir mengingati Allāh pada 10 hari (terawal) Zulhijjah ini.

Mereka berzikir mengingati Allāh Subḥānahu wa Ta‘ālā, hatta di dalam kawasan pasar, ketikamana mereka bertemu satu sama lain, mereka bertakbir, “Allāhu akbar, Allāhu akbar!”, hinggalah kawasan pasar tersebut bergema dengan takbir.

Begitu juga, sedekah pada hari-hari ini, pahalanya berganda-ganda. Serta, disunatkan untuk berpuasa pada 9 hari (terawal – bermula daripada 1-9) Zulhijjah, dan yang paling dituntut ialah puasa Hari ‘Arafah (yakni pada 9 Zulhijjah). Kerana, Nabi alayhi aṣṣalātu wassalām bersabda:

“Puasa Hari ‘Arafah, daku mengharapkan agar Allāh Ta‘ālā mengampunkan dosa dua tahun (kerana puasa itu), tahun sebelumnya dan tahun selepasnya.” (H.R. Muslim)

Adapun bagi mereka yang mengerjakan haji, tidak disunatkan untuk mereka berpuasa pada hari ini (Hari ’Arafah). Nabi ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam tidak berpuasa di ‘Arafah, dan minum di hadapan orang ramai, agar mereka mengetahui bahawa baginda tidak berpuasa.

Kerana demikian (tidak berpuasa ‘Arafah bagi mereka yang mengerjakan haji), menjadikan manusia lebih kuat untuk melaksanakan ketaatan kepada Allāh, dan tidak penat pada hari itu.

Demikian juga, di antara amalan yang disunatkan pada hari-hari ini (10 hari terawal Zulhijjah), ialah menghubungkan silaturahim antara sesama, dan ziarah menziarahi antara mukminin, khususnya pada Hari ‘Īd (Aidil Adha 10 Zulhijjah).

Dipetik daripada Buku FADILAT 10 HARI TERAWAL ZULHIJJAH oleh Shaykh Yūsuf al-Qaraḍāwī Ḥafiẓahullāh yang diterjemahkan oleh Haji Mohammad Syafiq Ismail, Exco Dakwah ABIM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *