LAUT CHINA SELATAN: PERSPEKTIF PERUNDANGAN ANTARABANGSA & ASEAN

LAUT CHINA SELATAN: PERSPEKTIF PERUNDANGAN ANTARABANGSA & ASEAN

Oleh: Muhammad Faisal Abdul Aziz

Laut China Selatan Jadi Rebutan

Dalam satu artikel bertajuk Governing The South China Sea: From Freedom Of the Seas To Ocean Enclosure Movements David Rosenberg (2011) menyatakan bahawa Laut China Selatan memainkan peranan penting dalam industri perkapalan khususnya sebagai ‘hub’ kepada revolusi industri Asia. Ia dapat dilihat apabila lebih dari separuh kapal perdagangan besar dunia belayar melalui Laut China Selatan setiap tahun.

Separuh pelabuhan daripada sepuluh kontena utama dunia terletak di perairan ini kerana kedudukannya yang strategik sebagai penghubung antara Lautan Pasifik dan Lautan Hindi. Di samping itu juga, Laut China Selatan mempunyai potensi dalam bentuk rizab sumber petroleum serta gas yang dikatakan masih belum diterokai.

Kelebihan besar ini juga telah mengundang perhatian dua kuasa besar dunia, China dan Amerika Syarikat. Kedua-dua kuasa tersebut pasti akan menggunakan apa sahaja kaedah untuk membolot potensi ekonomi yang ada di Laut China Selatan.

Dalam konteks China, negara tembok besar tersebut mengatakan ia berperanan sebagai ‘pelindung’ untuk menjaga keselamatan lautan tersebut. Tindakan ini dibuat dengan meningkatkan aktiviti di wilayah Laut China Selatan.

Untuk mencermati tindakan China ini, kita perlu mencermati ketetapan-ketetapan yang digariskan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS).

Antaranya asas penting yang ditetapkan ialah semua negara harus menghormati hak negara lain untuk menggunakan kawasan perairan tertentu bagi laluan kapal. Ini termaktub dalam Artikel 17 yang menyatakan bahawa “Subject to this Convention, ships of all States, whether coastal or land-locked, enjoy the right of innocent passage through the territorial sea”.

Manipulasi Sempadan Maritim.

Akan tetapi Artikel 18 dan 19 UNCLOS juga menetapkan bahawa hak ini tidak boleh disalahgunakan sehingga boleh mengancam keamanan dan keselamatan negara sekitar perairan tersebut. Antaranya seperti mengumpulkan maklumat pertahanan sesebuah negara dan menggunakan secara terbuka yang dinyatakan secara khusus dalam Artikel 19 (b) dan (c).

Sepanjang kemelut di Laut China Selatan, sejarah juga digunakan oleh China untuk mendapatkan pengiktirafan antarabangsa. Negara itu pernah mengemukakan peta lama pada tahun 1947 yang mendakwa bahawa kepulauan Spratly dan Pulau Paracels adalah sebahagian dari China.

Negara tersebut juga mendakwa nelayan dan ahli pelayaran dari China telah menduduki dan menguasai pulau-pulau seperti Scarboroagh Shoal dan pulau lain sekitar Laut China Selatan berdasarkan rekod serta catatan-catatan lama.

Akan tetapi tribunal antarabangsa telah menolak hujah ini dengan memutuskan bahawa dalam konteks sejarah, sebelum UNCLOS diwujudkan, wilayah Laut China Selatan yang melepasi kawasan perairan China adalah dalam kategori Laut Lepas. Ini bermakna semua kapal dari mana-mana negara bebas untuk memanfaatkan laluan perairan tersebut termasuk untuk menangkap ikan.

Dari aspek kedua, ia dapat dilihat khususnya menerusi pengubahsuaian pulau-pulau baharu dari asalnya adalah batuan. Kedua-dua aspek yang digunakan China ini adalah bertujuan menjustifikasikan bahawaa sembilan garis putus (nine-dash line) dimiliki negara berkenaan.

Sembilan garis putus tersebut merangkuimi pelbagai pulau seperti Pulau Taiping (Itu Aba), Pulau Paracels, Pulau Spratlys, Pulau Huangyan  (Scarborough Shoal) dan pulau-pulau kecil lain, yang terdiri daripada pulau betul, puluhan batuan dasar, pulau karang, tebir pasir, dan temburu.

UNCLOS menetapkan selain wilayah laut sendiri yang ditetapkan pada jarak 12 Batu Nautika (Artikel 3) dan Zon Bersebelahan (Contigous Zone) yang berukuran 24 Batu Nautika (Artikel 33), mana-mana negara juga memiliki hak tertentu dalam Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ – Exclusive Economic Zone) (Artikel 57) dan Pelantar Benua (Continental Shelf) yang berukuran 200 Batu Nautika (Artikel 76).

Akan tetapi konflik boleh berlaku apabila wujud tuntutan bertindih dalam wilayah EEZ.  Ini berlaku akibat daripada tafsiran terhadap peruntukan dalam Artikel 121. Artikel ini mengiktiraf wilayah laut, zon bersebelahan, EEZ, dan pelantar benua bagi sesebuah pulau untuk mengukur jarak perairan sesebuah negara.

Bertitik daripada sebuah pulau dalam wilayah EEZ, sesebuah boleh meluaskan lagi wilayah EEZ dan Pelantar Benua menjangkau 200 Batu Nautika dari pulau tersebut. Tafsiran ini telah merancakkan aktiviti pencarian pulau-pulau baharu untuk meluaskan lagi wilayah zon EEZ sesebuah negara.

China dalam kes ini telah mengubahsuai batuan besar menjadi pulau. Akan tindakan China ini dinilai bercanggah dengan Artikel 121 (3) UNCLOS.   

Scarborough Shoal Bukan Sebuah Pulau.

Dapatan daripada The South China Sea Arbitration (The Republic of Philippines v The People’s Republic of China) Award (12 July 2016) PCA 2013-19 amat menarik untuk ditekuni.

Tribunal Timbang Tara (Arbitral Tribunal) ini telah berlangsung secara absentia kerana pihak China memutuskan untuk tidak mengambil bahagian.

Untuk tribunal ini, Filipina telah menuntut untuk Scarborough Shoal dan beberapa lokasi yang terangkum dalam Spartly Island untuk dikategorikan sebagai ‘batuan’.  

Kemudian Tribunal Timbang Tara memutuskan bahawa tuntutan Filipina adalah sah. Keputusan ini dibuat hasil daripada kajian oleh pakar hydrographic mendapati bahawa batuan tersebut tidak dikategorikan sebagai pulau dalam Artikel 121 (1) UNCLOS.

Tribunal ini juga mendapati bahawa walaupun pulau itu dianggap sebagai batuan, ia tidak dapat menampung hidupan manusia dan kehidupan ekonomi dengan sendirinya berdasarkan Artikel 121 (3) UNCLOS.

Untuk mengkategorikan sesebuah pulau tribunal menetapkan bahawa kajian perlu  berasaskan pada keadaan semulajadinya sebelum berlaku sebarang pengubahsuaian oleh manusia dan kemajuan teknologi.

Tribunal ini juga mengatakan “human habitation” ataupun menampung kehidupan manusia bermaksud, keadaan batuan tersebut mampu untuk menyokong, menjaga, menyediakan makanan, minuman dan tempat perlindungan manusia serta berupaya hidup di atas batuan tersebut.

Berkenaan terma “economic life of their own” dalam Artikel 121 (3), tribunal ini juga telah menetapkan bahawa “of their own” bermaksud sebarang hasil yang wujud di sekeliling batuan di mana aktiviti ekonomi harus bergantung kepada kawasan sekeliling sahaja dan secara mandiri. Hasil ini menurut tribunal ini bukan diimport dari sumber luar.

Justeru tribunal tersebut telah memutuskan bahawa Scarborough Shoal, Johnson Reef, Cuarteron Reef, Fiery Cross Reef, Gaven Reef (North) and MecKennan Reef adalah kerana ia tidak mampu menampung kehidupan manusia serta kehidupan ekonomi secara semulajadi.

Dalam masa yang juga tiada bukti menunjukkan sebarang aktiviti manusia di pulau-pulau ini sebelum pendudukan China pada 1988. Manusia seperti nelayan China bergantung sepenuhnya dengan bekalan yang dibawa dari luar.

Dalam erti kata lain wilayah sekitar Scarborough Shoal tidak boleh dirangkumkan sebagai EEZ China mahupun sebagai pelantar benua. Keputusan ini mengisyaratkan secara jelas peruntukan 121 UNCLOS mampu menghalang usaha meluaskan wilayah maritim menerusi sebarang bentuk manipulasi.

Keputusan hampir sama juga telah ditetapkan ke atas kes membabitkan Pulau Taiping yang juga dikenali sebagai Itu Aba. Berdasarkan pada kes-kes ini pihak China tidak boleh menyalahgunakan lokasi-lokasi berkenaan mendapatkan kelebihan serta menambah hak maritim negeri tersebut di Laut China Selatan.

Permuafakatan ASEAN.

Walaubagaimanapun ketetapan ini gagal dihormati kerajaan China. Ini memberi gambaran seakan-akan penggunaan saluran undang-undang seperti melalui tribunal antarabangsa ini seolah tidak memberi kesan khususnya buat kuasa besar seperti China.

Justeru negara-negara sekitar Laut China Selatan perlu mengukuhkan diplomasi dan rundingan demi bersama kepentingan di samping memelihara kedaulatan perairan masing-masing. Permuafakatan antara negara ASEAN yang mempunyai kepentingan di perairan seperti Malaysia, Indonesia, Brunei, Filipina, dan Vietnam perlu diperkukuhkan.

Persefahaman ini dapat merintis penubuhan satu blok baharu yang bersifat neutral untuk memelihara  kedaulatan ASEAN di wilayah Laut China Selatan. Blok ini perlu dibina berasaskan prinsip yang digariskan UNCLOS dan undang-undang antarabangsa berkaitan untuk mendepani manipulasi geo-politik yang cuba dimainkan China serta Amerika Syarikat di rantau ini.

Pengenalan ‘code of conduct’ membabitkan hubungan antara ASEAN dan China adalah satu permulaan dan harus sentiasa ditambahbaik dari semasa ke semasa dengan mengambil kira perkembangan yang berlaku di Laut China Selatan.

Langkah ini adalah isyarat kepada kuasa besar dunia akan keseriusan kita atas nama kerangka besar ASEAN dalam mempertahankan kedaulatan perairan negara-negara yang merupakan sebahagian daripada Laut China Selatan.

Penulis adalah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

One thought on “LAUT CHINA SELATAN: PERSPEKTIF PERUNDANGAN ANTARABANGSA & ASEAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *