PRN SABAH: HASRAT DAN TUNTUTAN GENERASI MUDA DALAM MEMARTABATKAN MANDAT RAKYAT

PRN SABAH: HASRAT DAN TUNTUTAN GENERASI MUDA DALAM MEMARTABATKAN MANDAT RAKYAT

Kenyataan Media

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sabah

18 September 2020

PRN SABAH: HASRAT DAN TUNTUTAN GENERASI MUDA DALAM MEMARTABATKAN MANDAT RAKYAT

Angkatan Belia Islam Malaysia Negeri Sabah – ABIM Sabah, merujuk suasana Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ke-16 yang kini dalam fasa berkempen. Kehangatanya dirasakan bermula dengan penamaan calon pada 12 September 2020 yang lalu, dan berakhir dengan kemuncak hari pembuangan undi pada 26 September 2020 akan datang.

PRN Sabah kali ini menyaksikan sejumlah 447 orang calon bakal berentap merebut 73 kerusi bagi seluruh negeri Sabah, dengan jumlah pemilih berdaftar sekitar 1.124 juta orang, yang akan menentukan masa depan mereka, kurang sepuluh hari lagi dari sekarang.

Pihak kami meyakini bahawa Pilihan Raya yang dijalankan di Sabah ini, merupakan suatu medan bagi memanifestasikan kuasa rakyat dalam menentukan masa depan bersama, dengan memilih wakil mereka di Dewan Undangan Negeri.

Oleh yang demikian, Pilihan Raya haruslah menjadi suatu medan yang benar-benar telus dan berintegriti.  Justeru, keputusan Pilihan Raya nanti haruslah dihormati kerana ia mencerminkan penghormatan kepada pilihan rakyat.

Namun begitu, ABIM Sabah menyatakan kekecewaan kami atas fenomena pengkhianatan terhadap mandat rakyat yang berlaku mutakhir ini, baik di peringkat nasional mahupun di peringkat negeri Sabah, sehingga menuntut kepada pembubaran DUN seterusnya membawa kepada Pilhan Raya yang terpaksa diadakan dalam suasana negara menghadapi ancaman COVID-19.

Keadaan ini jelas menunjukkan betapa para politikus begitu rakus merebut kekuasaan sehingga sanggup menggadai prinsip dan nilai serta mengkhianati mandat rakyat. Adakah mereka menganggap bahawa rakyat boleh diperlakukan sewenang-wenangnya?

Hampir 80 peratus calon yang bertanding bagi PRN Sabah kali ini berusia 40 tahun ke atas dengan calon paling tua berusia 75 tahun. Muka-muka lama dengan budaya politik lama masih membayangi medan siasah Sabah. Adakah kita masih mampu mempercayai para politikus yang sekian lama “bermain wayang” di persada politik Tanah Air ini?

Oleh yang demikian, ABIM Sabah, mewakili sebahagian segmen belia dan anak muda Sabah, dengan ini menyenaraikan empat hasrat dan tuntutan sempena PRN Sabah kali ini:

            Pertama, “Katakan Tidak kepada Politik Kotor”:

            Kami mendesak calon-calon yang bertanding sama ada mewakili parti-parti politik       ataupun bebas supaya meninggalkan budaya politik kotor yang selama ini menjadi          norma dalam Pilihan Raya seperti rasuah, samseng, fitnah dan budaya politik tidak    matang. Fokus kepada perancangan untuk berkhidmat kepada rakyat.

            Kedua, “Hormat Mandat Rakyat”:

            Kami memberi amaran kepada calon-calon yang bertanding agar menghormati mandat             rakyat sekiranya terpilih sebagai wakil rakyat, dan jangan sewenang-wenangnya berubah             menjadi “katak jijik” yang “melompat” dan mengkhianati amanah dan kepercayaan     yang diberikan. Rakyat bukan mainan, dan jangan sesekali menyangka bahawa rakyat            boleh dibodohkan. Rakyat Sabah mempunyai karamah insaniah (kemuliaan insan) yang          wajib dihormati dan dipelihara.

            Ketiga, “Orang Muda Mesti Turun Mengundi”:

            Kami menyeru golongan muda khususnya belia berusia dalam lingkungan umur 21      hingga 40 tahun yang merangkumi 43.74 peratus daripada keseluruhan pemilih      berdaftar, agar turun mengundi pada 26 September 2020 ini, dan bersatu hati dalam         merubah landskap politik Sabah. Walaupun kecewa dengan situasi politik negeri ini,      namun jangan berputus asa. Laungkan suara kita dan tunjukkan kuasa kita!

            Keempat, “Hukum Calon Korup, Undi Calon Berwibawa”:

            Kami menggesa para pemilih dan pengundi di kesemua 73 DUN Sabah agar     menghukum para politikus korup dengan memilih calon-calon yang berwibawa, setia,        ikhlas, fokus untuk berkhidmat, berintegriti, dan hormat kepada rakyat. Jangan beri           muka kepada “politikus muka lama yang zaman-berzaman korup”. Pilihlah mereka   yang berwibawa, serta calon-calon wajah baharu yang segar dan kompeten.

Sehubungan dengan itu, dalam tempoh berbaki beberapa hari lagi menjelang hari pembuangan undi, ABIM Sabah bersama-sama para aktivis anak muda serta organisasi berbasis belia dan kepemudaan di Sabah akan berusaha sebaik mungkin untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat khasnya generasi muda untuk sama-sama merealisasikan kesemua hasrat dan tuntutan yang disenaraikan seperti yang tersebut.

Beberapa siri aktiviti sedang dan akan dijalankan sepanjang tempoh kempen ini, termasuklah kempen anak muda keluar mengundi #SBHBGKT, pengaturan tampungan tambang penerbangan bagi warga Sabah balik mengundi, mendukung calon-calon anak muda berwibawa rentas parti, ceramah pendidikan demokrasi dan kewarganegaraan, dan melibatkan seramai mungkin anak muda Sabah dalam memahami proses Pilihan Raya.

Dalam kesempatan ini juga, pihak kami berhasrat mempromosikan sebuah filem pendek terbitan ABIM berdurasi 6:46 minit berjudul “Buang” yang memberi mesej betapa pentingnya penglibatan rakyat dalam Pilihan Raya (akses di https://youtu.be/uL3zVWGMguI).

Pemuda pemudi semua marilah, bangunlah bersatu semua!

#SBHBGKT

“MENEGAKKAN KEBENARAN DAN KEADILAN”

MOHD NUR HILMIE MILUS
Yang Dipertua
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *