PENGHAYATAN TERHADAP AGAMA ASAS KEPADA MASYARAKAT DAN NEGARA YANG HARMONI

PENGHAYATAN TERHADAP AGAMA ASAS KEPADA MASYARAKAT DAN NEGARA YANG HARMONI

Disediakan Oleh:- Aemy Elyani Mat Zain

KEPELBAGAIAN AGAMA DI MALAYSIA

Malaysia sebuah negara yang unik dan bertuah kerana Malaysia dikelilingi dengan rakyatnya dari pelbagai latarbelakang seperti anutan agama yang berbeza-beza, etnik yang juga berbeza-beza begitu juga bahasa dan budaya yang berbeza-beza. Bahkan jika merujuk kepada statistik penduduk Malaysia pada tahun 2010 yang melaporkan penduduk Malaysia majoritinya terdiri daripada empat agama terbesar iaitu Islam sebanyak 61.3%, Buddha sebanyak 19.8%, Kristian sebanyak 9.2% dan Hindu 6.3% serta selebihnya lain-lain.

Kepelbagaian ini menjadikan Malaysia bukan sahaja menjadi tumpuan dan tarikan pelancong luar malahan kepelbagaian ini menyebabkan Malaysia dihormati dan dipuji oleh dunia luar kerana rakyatnya hidup secara harmoni dan saling mengenali antara satu sama lain.

Apabila bercakap mengenai masyarakat yang selamat dan negara yang harmoni, ia boleh dilihat dalam pelbagai aspek seperti dari sudut kebajikan masyarakat majmuk di Malaysia, pemimpin bertindak untuk bersikap adil kepada rakyat tanpa mengira latarbelakang dan sebagainya.

MEMAHAMI INTI PATI PELBAGAI AGAMA

Namun begitu, dalam konteks penulisan ini, dalam melahirkan masyarakat yang selamat dan negara yang harmoni dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, penulisan ini membincangkan dari sudut keperluan setiap penganut agama di Malaysia memahami inti pati dalam ajaran agama mereka sendiri. Dalam erti kata lain, keharmonian dan persefahaman antara penganut beragama boleh disuburkan melalui masing-masing harus faham kitab suci agama mereka.

Jika kurang faham atau tidak mengamalkan perkara yang diajarkan dalam kitab suci agama sendiri, kita bukan sahaja menjadi penganut agama yang hanya pada nama kepada sesuatu agama itu tanpa mengikuti ajaran agama, bahkan kita juga mmenyumbang kepada porak poranda kepada negara sendiri.

Di sini saya kongsikan sedikit mengenai sejauhmana pentingnya penganut beragama itu faham, jelas dan mengamalkan ajaran di dalam kitab suci mereka agar negara yang mereka duduki harmoni, aman dan jauh dari segala perkara yang melibatkan jenayah. Iaitu pentingnya setiap masyarakat yang berbeza agama itu mengamalkan perkara daripada ajaran agama mereka.

Satunya ialah berkaitan jenayah yang berlaku sekitar negara kita. Contoh yang amat jelas, kemalangan maut atau kemalangan tragis yang melibatkan pemandu mabuk. Jenayah yang berkaitan pemandu mabuk bukanlah isu kecil dan isu baru berlaku di Malaysia. Isu ini kerap berlaku dan akhbar juga ada melaporkannya tanpa mendedahkan secara mendalam penjenayah ini. Contohnya, jika merujuk pencarian pemandu mabuk pada akhbar Utusan, laporan mengenai kes-kes berkaitan pemandu mabuk adalah seperti berikut;

1)         Julai 2020 – 2 kes

2)         Ogos 2020 – 6 kes

3)         September 2020 – 4 kes

4)         Oktober 2020 – 5 kes

Berdasarkan laporan ringkas yang berkaitan pemandu mabuk pada akhbar Utusan sahaja sedikit sebanyak menjelaskan bahawa kes pemandu mabuk adalah kes jenayah yang agak merunsingkan bukan sahaja kepada pimpinan Malaysia tetapi rakyat Malaysia tanpa mengira agama mahupun etnik.

AGAMA SEBAGAI ASAS NILAI MORAL KEHIDUPAN

Persoalannya di sini, apakah ajaran-ajaran agama dalam setiap majoriti agama di Malaysia tidak mengajarkan nilai moral sebegini?

Jadi, di sinilah ingin saya kongsikan terdapatnya ajaran pada agama-agama mengajarkan kebaikan. Dan sebenarnya, jika setiap penganut agama ini berpegang teguh pada ajaran agama mereka, jenayah sebegini tidak akan menjadi parah dan pastinya jenayah ini dapat dibanteras dengan cara yang berhikmah.Contohnya dalam agama Buddha memiliki beberapa ajaran, antaranya the five precepts iaitu:-

1. Do not kill, 2. Do not steal, 3. Do not commit sexual misconduct, 4. Do not use harmful speech dan 5. Do not partake in intoxicants.

Salah satu ajaran yang diajarkan dalam agama Buddha yang berkaitan dengan isu jenayah yang dibincangkan di atas ialah perkara kelima. Maksudnya di sini larangan kepada perkara memabukkan amat ditekankan dalam agama Buddha, walaupun dengan meminum atau menggunakan sedikit sahaja suatu yang memabukkan tetap dilarang.

Ini amat jelas sekali apabila seorang pendakwah terkenal, Firdaus Wong, yang berkongsi pengalamannya dalam sesi ceramah beliau melalui rakaman youtube, beliau menyatakan salah seorang sarjana besar agama Buddha iaitu Master Sing Nien dari Taiwan menjelaskan bahawa “a Buddist not supposed to even  drink or consume even a drop of alcohol”. Maka, jelas lagi bersuluh dalam agama Buddha melarang sama sekali perkara memabukkan walaupun sedikit.

Begitu juga dengan agama Islam turut mengungkapkan larangan mengambil perkara yang memabukkan, bahkan yang memabukkan itu berada dalam kategori haram jika dilakukan oleh orang Islam. Ini jelas disebut di dalam al-Quran dari surah al-Maidah: 90 yang bermaksud 

‘Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya minuman keras, berjudi, (pemujaan untuk) berhala dan bertilik nasib dengan anak panah adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah (perbuatan-perbuatan) itu agar kamu berjaya’

Petikan ayat al-Quran ini juga secara jelas menyatakan larangannya terhadap beberapa perbuatan termasuklah minuman keras atau perkara yang memabukkan. Bahkan kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan melalui laman web rasmi beliau yang bertajuk Hindari Bahaya Arak juga mengeluarkan bentuk hukuman yang sepatutnya dikenakan kepada penjenayah ini sepertimana yang dianjurkan hukumannya dalam Islam.

Secara keseluruhannnya daripada perbincangan ini, satu perkara penting ingin dijelaskan iaitu jenayah seperti pemandu mabuk atau dalam skop lebih umum apa-apa jenayah yang berkaitan orang mabuk telah terungkap dalam ajaran agama-agama dunia seperti agama Buddha dan Islam. Semestinya agama-agama ini melarang keras penganutnya bertindak tanpa bimbingan dan panduan daripada agama mereka sendiri.

Seterusnya, jenayah-jenayah yang melibatkan pemabuk bukan sahaja memudaratkan pemabuk itu sendiri, tetapi juga orang sekeliling seperti ahli keluarga dan juga negara serta masyarakat keseluruhannya. Justeru, kes mabuk ini perlu dibanteras dengan sepenuhnya dan salah satu cara menangani kes ini ialah melalui menghayati dan mengamalkan ajaran daripada agama.

Penulis adalah Pensyarah Jabatan Kefahaman dan Pemikiran Islam, Pusat Pengajian Teras, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *