ADAKAH KITA SEDANG MENDIDIK MUSLIM MENJADI PENGECUT?

ADAKAH KITA SEDANG MENDIDIK MUSLIM MENJADI PENGECUT?

Disediakan oleh: Alija Izetbegovic

“ADAKAH KITA SEDANG MENDIDIK MUSLIM MENJADI PENGECUT?” adalah salah satu karya yang diterjemahkan dan diterbitkan secara e-book oleh ABIM Press untukmanfaat awam. Ia adalah sebuah judul yang mengetuk hati kaum Muslimin, yang dikarang oleh Presiden Pertama negara Bosnia & Herzegovina yang merdeka, dalam masa yang sama beliau adalah seorang pemikir Muslim yang masyhur, yang disifatkan oleh Prof. Dr. Mukhtār al-Shinqīṭī, sebagai salah seorang Intelektual Muslim terbaik abad ke-20.

Sebagai seorang pemikir, beliau mempunyai daya renungan yang tajam, dan menulis melalui mata penanya akan krisis yang menimpa belia muslim pada zamannya, yang diasuh menjadi pak turut dan taat tanpa mempersoalkan kezaliman yang berlaku, sedangkan seorang muslim yang sebenarnya adalah muslim yang berani, yang bersedia melawan kezaliman. Beliau mengkritik falsafah “ketaatan” yang menjadikan belia muslim pada zamannya lemah tidak berdaya melawan kezaliman — pada pandangan beliau mereka ini bukanlah Muslimin, akan tetapi pengecut, dan hampir saja menjadi hamba-hamba, dan dari sisi lain, menukar mereka walaupun ‘hidup’ tapi seakan-akan ‘mati’

Kalam Presiden Alija Ezatbegovic, yang juga pemikir muslim berpengaruh ini boleh dibaca melalui E-buku yang kami sediakan secara percuma, yang boleh dimuatturun melalui pautan di bawah:

https://drive.google.com/file/d/1wkdBthW685qVPdUm-DjfHHMupK1Ox_p-/view?fbclid=IwAR0BEttlE_4qE0MvxXv1rC4O1B0aydAolMcd4qwheqCwbS3yfOgo_89do-Q

‘JALAN KE NERAKA BERTURAP DENGAN NIAT-NIAT BAIK’

Saya membayangkan artikel ini sebagai satu perbualan ringkas dengan para ibu bapa kita dan guru-guru agama. Tak lama dahulu, saya bertemu dengan seorang sahabat karib saya, seorang Muslim yang baik dan bersemangat. Dia menulis sebuah artikel berkenaan pendidikan belia Muslim. Saya membaca artikel yang belum siap itu, akan tetapi, idea asasnya telah diperikan.

Menegaskan perihal pendidikan berdasarkan semangat keimanan, sahabat saya itu menyeru kepada ibu bapa untuk menanam sifat-sifat kebaikan, akhlak yang baik, kerendahan jiwa, sikap malu, sikap kasih, sikap suka memaafkan, menerima takdir, kesabaran dan lain-lainnya di dalam (jiwa) anak-anak mereka.

Dia secara khusus memberikan amaran kepada ibu bapa untuk melindungi anak-anak daripada jalan (yakni daripada melepak dan bergaul dengan orang-orang jahat di jalan-jalan), daripada wayang barat dan wayang seram, penerbitan yang tidak bermanfaat, sukan yang menyebabkan sikap agresif dan berlaga-laga, dan seterusnya.

Perkataan yang selalu digunakan di dalam artikel sahabat saya itu, ialah, perkataan ‘ketaatan.’ Di rumah, seorang kanak-kanak harus taat kepada ibu bapanya. Di dalam sekolah agama, kepada Imam pula. Di dalam sekolah, kepada guru.  Di jalan-jalan, kepada polis. Dan di masa akan datang, (taat) kepada bosnya, pengarahnya, atau atasannya.

Untuk menggambarkan ‘ideal’ ini, penulis itu menggunakan contoh, seorang budak lelaki yang menjauhkan diri daripada segala benda buruk, yang tidak pernah bergaduh di jalan-jalan, yang tidak menonton wayang barat – sebagai ganti, dia ambil kelas piano –, tidak bermain bola sepak, tidak berambut panjang, tidak ber‘dating’ – ibu bapanya akan mengkahwinkannya ‘bila masanya sudah tiba’ –. Budak lelaki itu tidak pernah berteriak, suaranya tak pernah kedengaran – ‘seumpamanya dia tidak hidup’ –. Dia sentiasa bersyukur, dan dalam keadaan berdakwah, mana saja dia berada.

Penulis itu tidak menuliskannya, tetapi kita boleh menyambung: Apabila budak lelaki itu dijahati, dia diam saja. Apabila dia dipukul, dia tidak membalasnya, akan tetapi, (cuba) meyakinkan orang lain bahawa perbuatan itu ‘tidak bagus.’ Ringkasnya, dia ini tergolong daripada kalangan mereka yang tidak akan tergamak untuk ‘memijak semut.’

Ketika membaca artikel ini, saya benar-benarlah memahami makna kata-kata, ‘Jalan ke neraka berturap dengan niat-niat baik.’ Tidak hanya itu, saya kira, saya sudah memahami salah satu daripada punca kemunduran kita pada kurun-kurun kebelakangan ini: pendidikan ataupun asuhan yang salah.

DIDIDIK UNTUK DIPIMPIN BUKAN MEMIMPIN.

Bahkan, sejak berkurun lamanya, sebagai akibat daripada salah faham akan inti pemikiran Islam yang asli, kita telah mendidik belia kita dengan cara yang salah. Ketika mana musuh-musuh, yang berpendidikan dan tidak pula memiliki sebarang belas kasihan, telah menundukkan negara-negara Muslim satu persatu, kita pula mendidik belia kita untuk menjadi baik, untuk ‘tidak bersangka buruk meskipun kepada lalat,’ untuk menerima takdir mereka, untuk tunduk, dan taat kepada setiap bentuk pemerintahan, atas alasan, ‘setiap pemerintahan itu adalah daripada Tuhan.’

Falsafah ‘ketaatan’ yang menyedihkan ini, yang asal muasalnya pun tidak saya ketahui – dan yang pastinya ia tidak berasal daripada Islam – memiliki dua fungsi yang saling mencukupkan antara satu sama lain, dan tidak menggembirakan pula.

Di satu sisi, ia menukar orang yang hidup menjadi mati.

Di sisi yang lain, ia menonjolkan ideal yang salah, atas nama keimanan. Ia menghimpunkan idea ‘Islam’ bagi orang-orang yang ‘mati’ sebelum mereka memulakan hidup. Ia mencipta orang-orang yang tidak berkeyakinan daripada manusia yang normal, yang dijarah dengan perasaan ‘menyalahkan diri sendiri’ dan dosa.

Falsafah (ketaatan) ini menarik perhatian bagi makhluk-makhluk yang gagal, yang cuba lari daripada realiti dan berlindung di dalam kepasifan dan ketenangan (tidak mahu buat apa-apa perubahan).

Dengan inilah, kita dapat menjelaskan faktanya, yang hinggakan ke hari ini, era kebangkitan, para pembawa pemikiran Islam, ataupun mereka yang mendakwa diri mereka sedemikian, sentiasa kalah pada setiap kali (pertempuran).

Tangan mereka diikat dengan falsafah ‘pantang-larang’ dan ‘dilema’ – orang-orang ini yang pada umumnya bermoral tinggi, berakhir menjadi rendah diri, atau tidak berkemampuan untuk (menyelesaikan) konflik dengan mereka yang tidak soleh, yang tidak berpendidikan, tetapi mereka tetaplah musuh yang tegas dan tidak gentar, yang tahu apa yang mereka inginkan, dan tidak peduli untuk melakukan apa cara sekalipun untuk mencapai tujuan mereka.

Tiadakah perkara yang lebih normal, berbanding kaum Muslimin dipimpin oleh pemimpin-pemimpin yang berpendidikan Islam dan diinspirasikan oleh pemikiran Islam? Akan tetapi, mereka tidak berjaya, kerana satu sebab yang mudah: mereka dididik bukan untuk memimpin, tapi untuk dipimpin.

TERIKAT DENGAN KEGEMILANGAN YANG LALU

Tiadakah perkara yang lebih normal, berbanding kaum Muslimin, di tanah Muslimin, untuk menjadi pemimpin revolusi melawan pemerintahan orang asing, idea mereka, dan keganasan politik dan ekonomi mereka? Akan tetapi, mereka tidak mampu untuk melakukan demikian, kerana, satu sebab yang mudah: mereka tidak diajar untuk bersuara, akan tetapi untuk taat.

Kita (pada hakikatnya) telah mendidik – dan menghimpunkan – bukanlah Muslimin, akan tetapi pengecut, dan hampir saja menjadi hamba-hamba.

Di dalam dunia yang diisi dengan kejahatan, perhambaan, dan ketidakadilan; untuk mengajar anak muda untuk menjauhkan diri, menjadi pasif, menjadi taat – bukankah itu satu kerjasama kepada penundukan penindasan kaumnya sendiri?

Psikologi yang kita karangkan tentangnya ini, memiliki beberapa aspeknya. Salah satunya ialah, kisah yang sentiasa berulang berkenaan masa lalu. Belia kita tidak diajar tentang bagaimanakah Islam harus menjadi (yakni masa depan Islam). Tetapi, mereka diajar tentang bagaimanakah ia pernah jadi.

Mereka tahu tentang Alhambra dan penaklukan-penaklukan yang terdahulu, tentang bandar ‘Seribu satu malam,’ tentang perpustakaan di Samarqand dan Cordoba. Semangat mereka sentiasa bertumpu kepada masa lalu yang gemilang, dan mereka hidup bercukupan dengannya. Masa lalu itu tentunya penting.

Akan tetapi, sudah tentulah pula lebih bermanfaat untuk memperbaiki atap usang sebuah masjid kecil di satu lorong, berbanding daripada, menghitung semua masjid-masjid yang tersergam indah yang dibina oleh para sesepuh kita yang terbilang.

Sepertinya, lebih baik saja kita bakar semua sejarah yang hebat itu, sekiranya ia dijadikan sandaran untuk mengeluh dan hidup berdasarkan memori lalu. Lebih baiklah untuk kita musnahkan semua monumen itu, sekiranya ia menjadi prasyarat untuk akhirnya memahami bahawa kita tidak boleh hidup dengan bersandarkan kepada kisah silam, dan apa yang diperlukan ialah kita melakukan sesuatu – berkenaan zaman kita ini.

PESAN UNTUK IBU BAPA

Lalu apakah yang kita boleh nasihatkan kepada ibu bapa kita dan para guru kita?

Yang terutamanya, kita boleh beritahu kepada mereka, untuk tidak membunuh tenaga (dan semangat) yang ada pada anak muda. Yang lebih baik, ialah benarkan mereka memberikan tunjuk ajar dan membentuk anak-anak muda kita. Para sida yang mereka telah cipta melalui pendidikan mereka itu bukanlah Muslim, dan tidak adalah caranya pula untuk memimpin orang mati kepada Islam.

Untuk mendidik Muslim, biarkan mereka mendidik manusia, secara sepenuhnya dan secara komprehensifnya. Benarkan para guru untuk berbicara kepada belia tentang kebanggaan diri (keyakinan diri) berbanding ketundukan jiwa, tentang keberanian berbanding ketaatan, tentang keadilan berbanding kasih-sayang.

Benarkan mereka untuk membangunkan sebuah generasi yang bermaruah, yang tahu bahawa tak perlulah untuk meminta keizinan sesiapapun untuk hidup dan untuk menjadi apanya mereka.

Hendaklah kita ingat – kemajuan Islam – sepertimana bentuk kemajuan yang lainnya, tidak akan muncul daripada mereka yang tunduk dan taat, akan tetapi daripada mereka yang pemberani dan memberontak (melawan kezaliman).

CATATAN PENTERJEMAH.

Ini adalah salah satu karya Alija Izetbegovic raḥimahullāh (w. 2003M), seorang pemimpin dan pemikir Islam yang berjiwa Islam, presiden pertama Kerajaan Bosnia & Herzegovina.

Di dalam karyanya ini, yang pada asalnya merupakan sebuah karya yang disiarkannya pada Oktober 1971 dalam akhbar Preporod, 1 beliau dengan kejernihan pemikirannya dan ketajaman mata penanya, telah menukilkan krisis atau malaise sebenar yang menimpa belia Muslimin pada zamannya: diasuh menjadi pak turut dan taat tanpa mempersoalkan kezaliman.

Bahkan mesej itulah yang bergema hingga ke zaman sekarang ini, yang masih perlu direnungkan – berapakah sudah kita ini berbeza dengan zaman penulisan karyanya ini, atau, ia masih sama bahkan adakah bertambah parah?

Adakah kita sudah mendidik belia muslim kita untuk menjadi pemberani dan pemberontak melawan kezaliman, sepertimana yang ditegaskan oleh beliau dalam penghujung karyanya ini?

Karya ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa inggeris oleh Dr. Ermin Sinanovic yang menegaskan esei ini, adalah seruan kebangkitan bagi ibubapa Muslim, guru-guru, dan sesiapa sahaja yang berharap untuk melihat Muslimin membebaskan diri mereka daripada belenggu penindasan.

Mohammad Syafiq Ismail (Ketua Biro Dakwah ABIM)
4 Safar 1442H / 21 September 2020M
Maktabah atTauhidi,
Negeri Sabah alMahmiyah billah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *