ABIM SARAWAK TERUS CEMERLANG DI BUMI KENYALANG

ABIM SARAWAK TERUS CEMERLANG DI BUMI KENYALANG

Disediakan oleh:- Biro Penerangan ABIM Sarawak

5 Disember 2020, Asajaya, Kuching, Sarawak:  ABIM Sarawak sekali lagi membuktikan keunggulan sebagai pertubuhan belia terbaik Negeri Sarawak 2020.

ABIM Sarawak mengungguli Anugerah Belia Negeri Sarawak 2020 (kategori pertubuhan), dan menerima trofi dan hadiah wang tunai, disampaikan oleh YAB Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg, Ketua Menteri Sarawak, dalam Majlis Sambutan Hari Belia Negeri Sarawak 2020, bertempat di Kompleks Sukan Asajaya, Kota Samarahan (Sarawak).

Ini mengulangi pencapaian tahun lepas, ABIM Sarawak juga telah dinobatkan sebagai Johan Anugerah Perdana Belia Negara peringkat Negeri Sarawak. Kecemerlangan ini dilanjutkan mengungguli tempat ketiga Anugerah Perdana Belia Negara peringkat Kebangsaan.

Pencapaian Jamaah W-A-P Sarawak tahun 2019:

1- Johan Anugerah Belia Negeri Sarawak – PERKEPIS (Dis 2019)

2- Tempat ke-3 Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Kebangsaan – ABIM Sarawak (Mei 2019)

3- Johan Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Kategori Pertubuhan – ABIM Sarawak (April 2019)

4- Naib Johan Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Kategori Individu – Wan Azizan Wan Zainal Abidin, ABIM Sarawak (April 2019)

5- Anugerah Buku Negara 2019 Kategori Buku Umum Terbaik (Terjemahan) – Fazril Saleh, “Nafahat al-Ridwan Riwayat Hidup Shaykh Uthman Sarawak” (April 2019).

APRESIASI BUAT WARGA W-A-P SARAWAK

Sebagai tanda penghargaan, setulus apresiasi telah dikemukakan untuk seluruh warga WADAH-ABIM-PERKEPIS (W-A-P SARAWAK) di atas pengiktirafan ini oleh kepimpinan ABIM Negeri Sarawak (ABIM Sarawak).

“ABIM Sarawak, barisan kepimpinan ABIM Sarawak mengucapkan jutaan terima kasih atas segala pengorbanan yang telah diberikan oleh para aktivis ABIM Sarawak serta seluruh ahli keluarga jemaah WADAH-ABIM-PERKEPIS”.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan yang antara lain turut menegaskan: “Anugerah ini adalah pengiktirafan atas segala usaha yang dilakukan oleh para aktivis jemaah dalam rangka menyebarkan kebaikan kepada umat. Usaha ini bermula daripada leluhur kita 4 dekad yang lepas, dan kini diteruskan oleh generasi pemuda yang baharu”.

“Sememangnya segala bakti dan jasa ini kita lakukan semata-mata untuk mendapat redha Allah SWT tanpa memikirkan sebarang habuan duniawi. Namun, ia juga membuktikan bahawa gerakan kita ini telah mencapai standard kecemerlangan yang diperakui oleh Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sarawak serta agensi-agensi lain”.

“Kita juga insaf bahawa umat amat memerlukan satu kelompok pejuang yang berusaha sedaya-upaya untuk membina semula kekuatan umat dalam segenap bidang bagi mengembalikan kegemilangan yang pernah kita miliki dahulu”.

Kenyataan media tersebut diakhiri dengan seruan kepada semua ahli-ahli ABIM Sarawak untuk terus menjadi pelopor dalam masyarakat serta memimpin generasi belia untuk lebih maju ke hadapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *