KUKUHKAN SENDI-SENDI EKONOMI MANUSIAWI

KUKUHKAN SENDI-SENDI EKONOMI MANUSIAWI

Disediakan oleh Haji Nik Mohd Yusoff Bin Nik Ismail & Prof Dr Saadiah Mohamad

COVID-19 & GOLONGAN RENTAN

Pandemik COVID-19 menyerlahkan kepincangan masyarakat kita selama ini akibat sistem ekonomi neoliberal yang telah berakar umbi di negara kita. Antaranya, kita didedahkan kepada jurang pendapatan yang sangat lebar antara golongan berada dengan golongan tidak berada.  Kita juga melihat rapuhnya sistem perlindungan sosial serta menyerlahnya sistem penjagaan kesihatan yang tidak memadai.

Pandemik ini terutamanya menjejaskan golongan rentan (vulnerable) iaitu golongan miskin, ibu tunggal, golongan kurang upaya dan warga emas. Ia juga telah menjejaskan golongan yang terlibat dalam kegiatan ekonomi tidak formal, perniagaan mikro dan kecil serta golongan yang melakukan kerja-kerja penjagaan (care) yang kebanyakannya adalah wanita.

Kadar pengangguran yang tinggi daripada golongan ini serta pengangguran di kalangan belia dan graduan adalah juga isu yang semakin mencabar akibat pandemik ini. Sebahagian besar daripada golongan ini berdepan dengan masalah kejaminan makanan yang menjuruskan mereka kepada amalan pemakanan tidak sihat, justeru memburukkan lagi masalah kekurangan zat makanan, terutamanya di kalangan kanak-kanak di negara ini.

KERAPUHAN SISTEM EKONOMI NEO-LIBERAL

Forum Ekonomi Manusiawi menghargai usaha kerajaan untuk mengadakan peruntukan tertentu untuk disalurkan kepada kalangan masyarakat yang paling terjejas dengan pandemik ini. Kami juga menghargai usaha-usaha masyarakat sivil dan sektor korporat selama ini dalam meringankan bebanan golongan yang terjejas.

Namun, perlu disedari bahawa langkah-langkah ini masih bersifat bantuan kebajikan dan “piecemeal” dan tidak menjurus ke arah mengalihkan masyarakat daripada terus bergantung kepada sistem ekonomi neoliberal.

Bukti-bukti yang ada menunjukkan betapa rapuhnya sistem ekonomi neoliberal dan belanjawan 2021 seharusnya memperlihatkan komitmen kerajaan untuk memperbaiki kepincangan dalam struktur ekonomi negara dan memulakan langkah-langkah ke arah mewujudkan sistem ekonomi alternatif yang bakal memberikan pembelaan yang menyeluruh dan integrated kepada semua peringkat penduduk negara ini.

KETENGAHKAN EKONOMI MANUSIAWI

Oleh yang demikian, kerajaan haruslah mengambil kesempatan akibat krisis yang ditimbulkan oleh pandemik ini untuk mengukuhkan sendi-sendi EKONOMI MANUSIAWI sebagai alternatif kepada ekonomi neoliberal yang menjadi landasan negara selama ini.

Berbeza dengan sistem ekonomi neoliberal yang hanya mementingkan golongan pemodal, sistem ekonomi manusiawi memberikan keutamaan kepada aspek pemberdayaan masyarakat dan penjagaan alam sekitar, tanpa menafikan aspek keuntungan dan pertumbuhan ekonomi. 

Kerana itu, kerajaan hendaklah menyediakan peruntukan yang bersesuaian untuk membantu dan menyokong sebarang inovasi dan amalan ekonomi alternatif seperti Pertanian Berasaskan Komuniti,  pemberdayaan kepada institusi koperasi yang telah lama wujud di negara kita dengan keanggotaan lebih 6 juta orang, gerakan kedaulatan makanan (food sovereignty) dan penubuhan social enterprise yang berencana bagi menyumbang ke arah pembinaan komuniti berdaya tahan, lestari dan seterusnya mampu mengharungi pandemik dan sebarang bencana di masa akan datang.

Belanjawan 2021 sepatutnya memperuntukkan dana yang lebih besar kepada Tabung Covid 19 berbanding peruntukan hanya 5.3 peratus daripada jumlah perbelanjaan belanjawan 2021.

Peruntukan yang lebih dapat di buat tanpa tekanan kepada jumlah defisit apabila kerajaan membuat penjimatan dan perbelanjaan berhemah seperti membuat potongan gaji barisan pimpinan tertinggi kerajaan dan mengurangkan peruntukan untuk perbelanjaan yang tidak perlu.

Ia juga boleh di buat dengan mengenakan kenaikan cukai pendapatan di kalangan mereka yang berpendapatan 10 peratus tertinggi di Malaysia atau kategori High Net Worth Individuals (HNWI) yang berpendapatan melebihi 1 juta ringgit setahun.

Semangat solidariti “berat sama dipikul ringan sama dijinjing” dari barisan pimpinan negara dan juga golongan kaya di Malaysia pada saat saat getir ini adalah ciri kepimpinan melalui teladan dan antara nilai ekonomi manusiawi yang diharapkan oleh rakyat.

PERLAKSANAAN EKONOMI MANUSIAWI

Belanjawan 2021 perlu dikaji semula dengan membuat pindaan yang mengangkat falsafah ekonomi manusiawi dengan pendekatan yang integrated lagi lestari dengan diiringi penerangan yang jelas terhadap kaedah dan instrumen yang bakal digunakan bagi menjamin keyakinan rakyat terhadap proses pemulihan ekonomi berjalan dengan cepat dan berkesan serta berupaya mengakhiri keperitan yang ditanggung rakyat.

Kedua-dua penulis adalah pengerusi dan timbalan Forum Ekonomi Manusiawi, sebuah pertubuhan NGO yang berdaftar dalam ROS PPM-015-10-06082020. Falsafah utamanya ialah membangunkan ekonomi berpaksikan kepada pembangunan insan itu sendiri dengan mengambilkira maslahah umum masyarakat melalui pemahaman dan penghayatan prinsip maqasid syariah. Ianya merupakan satu perspektif ekonomi yang inklusif, adil dan mampan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *