UMAT ISLAM A.S KENA BERPERANAN MENCORAK MASA DEPAN GLOBAL

UMAT ISLAM A.S KENA BERPERANAN MENCORAK MASA DEPAN GLOBAL

Disediakan oleh Editorial Biro Penerangan ABIM

Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat (A.S) telah menampilkan sisi baharu yang boleh didalami oleh umat Islam sejagat.

Meskipun secara amnya kemenangan Joe Biden dinilai tidak banyak merubah status quo dasar luar Amerika Syarikat dibandingkan dengan polisi dilaksanakan Donald Trump, Dr. Ermin Sinanovic dan Saudara Muhammad Faisal Abdul Aziz, berpandangan bahawa umat Islam di A.S serta umat Islam di seluruh dunia boleh berperanan yang penting kerana berkongsi aspirasi serta nilai universal yang sama.

Pandangan ini telah sama-sama dirumuskan kedua-dua panel tersebut semasa forum “Future of Islam and Muslim Communities during the presidency of President-elect Joe Biden” yang bersiaran menerusi platform Facebook pada 18 November yang lalu.

UMAT ISLAM AMERIKA PADA MASA KINI

Di Amerika Syarikat generasi baharu umat Islam turut sama berkongsi aspirasi menerusi penglibatan mereka untuk sama-sama memperjuangkan keadilan sosial contohnya membabitkan masyarakat kulit hitam,” jelas Dr Ermin Sinanovic.

Tambah beliau walaupun latar belakang sosio-politik A.S menyukarkan umat Islam untuk membicarakan secara terbuka perjuangan rakyat Palestin, tetapi mereka dapat mengaitkan kemelut yang melanda dengan polemik-polemik ketidakadilan sosial yang berlaku di A.S itu sendiri.

Beliau turut mengulas perbezaan kecenderungan politik di antara generasi awal umat Islam di negara tersebut dibandingkan dengan umat Islam Amerika Syarikat pada ketika ini.

“Mentaliti generasi awal umat Islam A.S yang cenderung kepada dasar-dasar yang diamalkan Presiden daripada Parti Republikan secara khususnya dalam bidang perniagaan, namun segalanya berubah semenjak umat Islam merasai kesan susulan daripada tragedi 911 semasa pentadbiran George W.Bush daripada Republikan”.

“Rupa-rupanya dasar luar Trump telah mengundang rasa tidak senang dalam kalangan rakyat A.S sendiri. Ini sedikit sebanyak membuka ruang untuk umat Islam bersuara dan berpartisipasi dalam proses politik walaupun ia tidak luas”.

Ketika diajukan persoalan sejauh manakah pilihanraya Presiden A.S akan memberi kesan terhadap dasar luar negara itu, Dr Ermin berpandangan amat sukar untuk mengharapkan sebarang perubahan paradigma dalam dasar luar Amerika Syarikat membabitkan Israel kerana persekitaran politik Amerika Syarikat itu sendiri dipengaruhi kelompok-kelompok lobi Zionis serta Evangelical yang berkongsi cita-cita untuk memastikan tertegaknya sebuah negara Israel.

“Hakikatnya diakui sendiri oleh Barrack Obama menerusi autobiografinya yang baharu dilancarkan. Barrack Obama dipetik mengatakan mana-mana ahli politik yang membuat sebarang kritikan terhadap Israel akan dicabar oleh ahli politik (calon lain) yang mendapat dokongan serta sokongan kewangan daripada kelompok pelobi Israel dan evangelical”.

A.S MENERUSI PERSPEKTIF DUNIA LUAR

Meskipun reputasi A.S dalam aspek demokrasi serta hak asasi manusia tidak seutuh seperti dahulu, Muhammad Faisal Abdul Aziz, menjelaskan dunia masih menaruh perhatian terhadap setiap perkembangan politik serta hak asasi manusia yang berlaku di negara tersebut.

“Sebab itu peranan umat Islam A.S sangat penting kerana mereka mungkin dapat mempengaruhi lanskap politik antarabangsa pada masa akan datang,” jelasnya semasa mengulas perspektif yang mendorong umat Islam seluruh dunia menumpukan perhatian terhadap perkembangan yang berlaku sepanjang pilihanraya Presiden A.S tersebut.

Untuk rujukan bersama, di samping menentukan presiden Amerika Syarikat, pilihanraya ini juga diadakan untuk memilih wakil rakyat ke dewan kongres serta senat. Ada beberapa wakil rakyat umat Islam telah dipilih ke Capitol Hill (bangunan persidangan untuk kongres serta senat di peringkat persekutuan) serta di peringkat negeri.

Dalam konteks dasar luar A.S pada masa kini, A.S berdepan dengan cabaran getir untuk mengimbangi dasar luar negara China yang agresif”. Muhammad Faisal merujuk kepada termeterainya Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) yang ditunjangi kuasa baru dunia tersebut.

Sebab itu tambahnya, “masyarakat antarabangsa akan mencermati sejauhmana pentadbiran Joe Biden akan berinteraksi serta meneruskan libat urus secara terbuka dengan semua pihak di pentas antarabangsa”.

Dalam kesimpulannya: Dr Ermin turut merumuskan bahawa umat Islam A.S berapa dalam situasi yang sangat unik:

A.S masih mempunyai pengaruh yang sangat luas dalam aspek kebudayaan. Bahkan ramai pendakwah A.S turut diikuti ceramahnya seperti Hamzah Yusuf dan Omar Sulaiman. Walaupun mesej yang disampaikan perlu dinilai secara kritis mengikut keperluan kontemporari, namun umat Islam A.S perlu berperanan di pentas kerana A.S masih mempunyai kemampuan untuk mempengaruhi dan memimpin pembentukan pemikiran serta kebudayaan”.

Dr Ermin Sinanovic adalah pengarah Center for Islam in the Contemporary World (CICW) Shenandoah University, Amerika Syarikat, manakala Saudara Muhammad Faisal Abdul Aziz adalah Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *