KISAH EMPAT MUHAMMAD YANG TERPUJI

KISAH EMPAT MUHAMMAD YANG TERPUJI

Oleh: Omar Mokhtar

EMPAT ULAMA’ MAZHAB SYAFIE

Keempat-empat Muhammad yang dimaksudkan ini merujuk kepada, Muhammad bin Jarir Al-Tobari, Muhammad bin Ishak bin Khuzaimah, Muhammad bin Nasri Al-Marwazi dan Muhammad bin Harun Al-Ruyani.

Keempat-empat orang adalah merupakan tokoh perundangan Islam yang gemilang dan diperakui darjat keimaman mereka.

Empat Muhammad ini merujuk kepada istilah yang dinyatakan dalam kitab-kitab klasik Mazhab Syafie seperti Mughnil Muhtaj oleh Khatib Syarbini.

Namun sebelum mencapai gerbang kegemilangan, keempat-empatnya ada kisah keperitan dan kepayahan yang boleh sama-sama kita teladani.

MENGIKAT PERUT DEMI ILMU

Suatu ketika pada keempat-empat Muhammad ini telah mengembara ke Mesir untuk menimba ilmu pada tahun 256 hijrah.

Namun keadaan mereka sangatlah miskin dan fakir serta terpaksa hidup melarat. Mereka berkongsi dengan duduk di rumah yang sama.

Walaupun hidup dalam serba kekurangan, tetapi mereka istiqamah bermuzakarah, membahas ilmu agama dan menelaah ilmu hadith.

Semangat mereka tidak padam meskipun sering berada dalam keadaan kelaparan.

Pada suatu malam, mereka bersepakat untuk mencabut undi. Barangsiapa yang terkena cabutan itu maka dia perlu keluar rumah meminta bantuan makanan daripada orang ramai.

Maka Al-Imam Muhammad bin Ishak bin Khuzaimah terkena cabutan itu lantas beliau berkata kepada sahabat-sahabatnya,

“Berilah masa sedikit, aku mahu berwuduk dan mendirikan solat istikharah dahulu.”

Lalu berangkatlah beliau solat.

Tiba-tiba sahaja pintu rumah mereka diketuk. Lalu mereka membukanya. Di hadapan mereka muncul, Ahmad bin Tulun, Gabenor Mesir pada masa itu.

Lalu sang gabenor turun dari kudanya seraya bertanya kepada Muhammad-Muhammad itu,

“Yang mana satu Muhammad bin Nasr Al-Marwazi?”

“Ini dia.”

Lalu diberi kepada Imam Al-Marwazi suatu bungkusan yang dipenuhi 50 dinar.

“Yang mana satu Muhammad bin Jarir? “

“Ini dia.”

Lalu diberi bungkusan dipenuhi 50 dinar itu kepada Imam At-Tobari.

“Yang mana satu Muhammad bin Ishak bin Khuzaimah?”

“Itu dia sedang solat.”

Lalu diberi bungkusan yang sama selepas selesai Imam ibnu Khuzaimah mendirikan solat.

“Yang mana satu Muhammad bin Harun Al-Ruyani.”

“Ini dia.”

Lalu diberi kepada beliau bungkusan berisi jumlah yang sama.

REZEKI DARIPADA MIMPI

Kemudian berkata Ahmad bin Tulun kepada keempat-empat Imam yang bernama Muhammad,

“Sesungguhnya Amirul Mukminin pada waktu zohor kelmarin sedang tidur sejenak untuk berehat lalu dia bermimpi didatangi suatu jelmaan yang menyerunya,” jelasnya sebelum menyambung;

“Sesungguhnya Muhammad-Muhammad yang empat sedang mengikat kain pinggang mereka dek kerana kebuluran, maka berilah kepada mereka bungkusan wang ini!”

Oleh yang demikian, Amirul Mukminin berjanji dan bersumpah akan memberi tambahan kepada kalian jika wang sudah habis.

“Maka jika sudah habis, maklumkanlah,” pesan Ahmad bin Tulun.

SubhanAllah, SubhanAllah. Inilah dia jalan permulaan buat para imam-imam ini. Mereka Ikhlas menuntut ilmu semata-mata kerana Allah. Mereka berlapar kerana Allah. Keempat-empat imam ini mengorak jalan menuntut ilmu ini dengan sepenuh tawakkal kepada Allah.

Hinggalah Allah menjamin rezeki buat mereka dari jalan yang tidak disangka-sangka. Allah ta’ala telah menghantar mimpi tuntuk menyelamatkan hamba-Nya yang gigih mencari ilmu. Sudah jelas Tuhan tidak akan mensia-siakan mereka!

LEGASI ILMU EMPAT MUHAMMAD

Muhammad bin Jarir At-Tobari akhirnya menjadi Imam besar dalam dunia Fiqh dan Hadith serta sejarah. Kitabnya Tarikh At-Tobari gemilang hingga kini menjadi rujukan untuk sejarah serta ketamadunan umat Islam.

Muhammad bin Nasr Al-Mawarzi akhirnya menjadi alim dalam bidang Fiqh dan Hadith. Kitab-kitabnya sehingga sekarang seperti Al-Sunnah dan Ikhtilaf Al-Fuqaha’ masih menjadi sebutan dan rujukan dalam kalangan ulama’ dan umat Islam.

Muhammad bin Ishak bin Khuzaimah juga adalah seorang ilmuwan ulung dalam bidang Fiqh serta Hadith. Kitab popularnya Sahih ibn Khuzaimah menjadi rujukan untuk perbincangan serta perbahasan dalam kalangan para peminat ilmu yang mahu mengkaji sabda (Hadith) Junjungan Besar Nabi S.A.W.

Muhammad bin Harun Al-Ruyani akhirnya menjadi Tokoh Ahli Hadith serta Perawi Hadith Nabi yang gemilang hingga memiliki Musnadnya iaitu Musnad Al-Ruyani.  Beliau disahkan oleh para pengkritik Hadith sebagai Al-Hafiz Al-Thiqah serta pakar rujukan buat para pencari Hadith.

Keempat-empat mereka ini telah bermula berkongsi di dalam sebuah rumah penuh serba kedaifan dan kemiskinan. Lalu Allah mengangkat martabat mereka di bidang ilmu. Benarlah kata Imam Ibn Atho’ As-Sakandari yang bermaksud,

“Barangsiapa yang permulaan hidupnya tiada usaha bersemangat lagi membakar, tiadalah baginya penghujung yang gemerlapan bersinar.”

Maka benarlah juga sabda Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah ra, bahawa Nabi saw bersabda (dengan maksud):

“Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya”. [Riwayat Muslim (4867)]

Semoga Allah swt merahmati Imam-Imam Muhammad Empat ini.  Sungguh besar jasa dan bakti mereka kepada kita.

Rujukan: Safahat Min Sabril Ulama Ala Syadaid Al-ilmi wa At-Tahsil, oleh Al-Imam Abdul Fattah Abul Ghuddah rahimahullah.

Penulis adalah Timbalan Yang Di-Pertua ABIM Pulau Pinang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *