ETNIK UYGHUR: UMAT YANG CUBA DILENYAPKAN

ETNIK UYGHUR: UMAT YANG CUBA DILENYAPKAN

Oleh: Meja Global & Dunia Islam, Risalah Online

Tribunal Rakyat Untuk Bela Umat Islam Uyghur

Pendengaran Tribunal ini akan diteruskan pada 10-13 September 2021 di Church House, London, untuk menyiasat secara bebas dan adil isu pelanggaran hak asasi manusia dan kekejaman ke atas etnik Uyghur di wilayah Xinjiang, China.

Mulai 10 sehingga 13 September 2021 lalu, masyarakat dunia telah menumpukan perhatian terhadap pendengaran umum yang diadakan Uyghur Tribunal di Church House, London, United Kingdom.

Tribunal yang memulakan pendengaran pertamanya pada 4 sehingga 7 Jun yang lalu, telah diusahakan penubuhannya oleh Sir Geoffrey Nice. Beliau adalah seorang Queen Council (QC) yang berpengalaman mengetuai pendakwaan ke atas kesalahan jenayah perang oleh bekas Presiden Serbia, Slobodan Milošević, di Bosnia Herzegovina.

Pendengaran ini telah mengundang ramai saksi untuk memberikan keterangan secara fizikal dan maya (online). Saksi-saksi ini telah memberi keterangan mengenai kem tahanan, penindasan, buruh paksa, penyeksaan, perlakuan jenayah seksual seperti rogol, konstraseptif (pemandulan) secara paksa, pemusnahan warisan agama dan budaya serta pelanggaran hak asasi manusia lain, ke atas komuniti Uyghur di wilayah yang dahulunya dikenali sebagai Turkistan Timur (East Turkistan)

Orang Turki Berasal Daripada Etnik Uyghur

Menurut Timbalan Presiden ABIM, Mohd Khairul Anwar Ismail,  nama asal Xinjiang yang dikaitkan dengan masyarakat Uyghur ialah Turkistan Timur yang bermaksud tanah orang-orang Turki. Bahkan menurut belia, etnik ini mempunyai rupa paras, bahasa serta budaya yang tersendiri yang jauh berbeza dibandingkan komuniti lain yang berasal daripada negara China.

“Orang Turki (keturunan) mereka berasal dari Turkistan. Sehingga ke hari ini mereka masih berkongsi bahasa yang sama, agama yang sama dan budaya yang sama , selain wajah mereka juga hampir sama (dengan orang Turki moden),” kata beliau sambil menjelaskan lagi bahawa Turkistan berbeza dengan negara China, kerana ia punya bahasa serta budaya tersendiri. 

Bahkan menurut Mohd Khairul Anwar Ismail lagi, wilayah tersebut juga mempunyai pemerintahan serta perlembagaan tersendiri. Bentuk bendera Turkistan seakan sama seperti bendera Turki pada ketika ini, cuma bendera wilayah ini berwarna biru sama sedangkan bendera Turki berwarna merah. Untuk satu tempoh wilayah telah dijajah oleh negara China untuk sekian lama.

“Namun pada tahun 1955 Parti Komunis China telah secara rasmi menukar nama Turkistan Timur kepada Xinjiang yang bermaksud wilayah baru. Mulai tahun itu identiti Islam telah dihilangkan. Nama negara Turkistan Timur ditukar kepada Xinjiang, manakala nama penduduk turut ditukar. Contohnya nama Salahuddin ditukar kepada Shalayiding,” kata beliau yang mengetuai pasukan guaman ABIM untuk membantu urusan perundangan membabitkan pelarian Uyghur yang ke negara ini untuk mencari perlindungan daripada kekejaman yang dihadapi daripada kerajaan China semenjak tahun 2012.

“Mulai tahun (1955) itu juga penindasan demi penindasan dialami mereka. Identiti yang dikatakan berbaur Islam dilarang untuk ditonjolkan. Antaranya termasuk larangan menyimpan janggut bagi lelaki serta larangan memakai tudung bagi perempuan. Ajaran Islam tidak dibenarkan diamalkan di sesetengah tempat. Antaranya ialah larangan mengerjakan solat serta berpuasa. Kaum Uyghur turut ditangkap tanpa sebab, dipenjarakan, diseksa, dan dibunuh, manakala selain kaum wanita pula dirogol,” jelas Mohd Khairul Anwar yang sering berkongsi pengalaman serta kajian beliau mengenai etnik Uyghur di media massa serta masyarakat umum.

Selain daripada menghadapi penindasan demi penindasan menurut beliau, komuniti Uyghur juga menghadapi ancaman pembersihan etnik untuk menghilangkan wajah serta jati diri komuniti tersebut.

“Kaum Han (etnik majoriti China) dimasukkan secara beramai-ramai ke Xinjiang bagi mengurangkan majoriti kaum Uyghur selain membunuh etnik ini. Kezaliman yang dilakukan kerajaan pimpinan parti komunis China terhadap Uyghur tidak diketahui pihak antarabangsa kerana polisi tertutup negara itu yang menyekat akses terhadap saluran media sosial seperti Facebook, Youtube dan rangkaian internet”.

Kekejaman Di luar Batas Kemanusiaan Sejagat

Walaupun advokasi untuk memperjuangkan komuniti Uyghur telah berlaku semenjak sekian lama, berita penahanan secara beramai-ramai etnik di pusat serta kem tahanan yang dijustifikasikan atas tujuan pendidikan, telah menarik perhatian masyarakat antarabangsa.

Menurut Mohamad Raimi Ab Rahim, kekejaman yang dilakukan ke atas etnik Uyghur di kem-kem tahanan tersebut melangkaui norma kemanusiaan sejati. Dalam kenyataan beliau yang dipetik di laman web Kongres Uyghur Antarabangsa (World Uyghur Congress) pada tahun 2019, beliau mengatakan bahawa pendedahan demi pendedahan telah dibuat oleh komuniti-komuniti Uyghur yang terpaksa meninggalkan negara China jelas menggambarkan suasana kem-kem tahanan tersebut.

“Ini telah mengakibatkan tekanan psikologi, kemurungan, serta trauma dalam kalangan tahanan etnik Uyghur. Komuniti-komuniti Uyghur tersebut telah dinafikan akses maklumat serta perhubungan yang mengakibatkan mereka terpisah daripada jutaan ahli keluarga mereka di Xinjiang. Komuniti-komuniti Uyghur ini turut dinafikan hak sebagai warganegara untuk memiliki passport yang membolehkan mereka bebas bergerak termasuk untuk pulang ke tanah air secara sah,” katanya sambil menambah pendedahan-pendedahan seperti ini menghakis keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap penafian yang dibuat berulang kali oleh Kerajaan Republik Rakyat China (People Republic of China). 

“Kegagalan Kerajaan Republik Rakyat China menghormati hak asasi umat Islam Uyghur di Xinjiang, yang merangkumi kebebasan untuk bergerak dan kebebasan untuk mengamalkan agama mereka sendiri, tidak dapat diterima dalam keadaan negara tersebut ingin menempatkan diri sebagai kuasa besar politik dunia,” jelas Mohamad Raimi sambil menegaskan kekejaman tersebut bertentangan dengan norma masyarakat sejagat yang inklusif terhadap kerencaman budaya dan agama berasaskan nilai-nilai demokrasi yang murni.

“Kerajaan Republik Rakyat China seharusnya menghormati nilai-nilai tersebut dengan tunduk terhadap gesaan yang dibuat oleh masyarakat antarabangsa. Gesaan ini tidak seharusnya ditanggapi sebagai alat untuk memenuhi agenda serta kepentingan geo-politik pihak tertentu,” kata beliau sambil dalam kenyataan yang sama menyuarakan keinginan rakyat Malaysia serta masyarakat antarabangsa yang ingin melihat jutaan umat Islam Uyghur hidup bebas sebagai bangsa bermaruah sepertimana etnik-etnik lain di negara China.

“Atas sebab kita juga menggesa rakyat Malaysia serta masyarakat dunia yang prihatin menolak sama sekali sebarang usaha normalisasi untuk menjustifikasikan kekejaman yang berlaku. Kerajaan Malaysia serta dunia Islam terus meningkatkan tekanan politik serta perundingan agar kekejaman ke atas umat Islam Uyghur di Xinjiang dapat dihentikan dan pembebasan mereka dari kem-kem tahanan tersebut dapat dicapai,” kata beliau.

Normalisasi yang dimaksudkan Mohamad Raimi merujuk kepada usaha yang dilakukan kerajaan Republik Rakyat China (People Republic of China),  menerusi pelbagai program propaganda dan kebudayaan serta perlancongan yang dinilai untuk mengurangkan tekanan yang diberikan masyarakat antarabangsa.

ABIM telah menegaskan beberapa kali menerusi penyataan sikap, bahawa ia serta masyarakat Malaysia yang prihatin secara mutlak sebarang usaha berbentuk demikian kerana menilainya adalah sebahagian daripada bentuk manipulasi terhadap warisan serta tatacara hidup etnik Uyghur yang hakikatnya cuba dipadam.

Tolak Normalisasi Penafian Hak Asasi Manusia

Setelah tiga kali tidak dapat menyampaikan memorandum bantahan kepada wakil kedutaan besar Republik Rakyat China (People Republic of China) di Kuala Lumpur, akhirnya ABIM berpeluang menyuarakan bantahan rakyat Malaysia semasa pertemuan antara delegasi yang diketuai presiden ABIM sendiri, Muhammad Faisal Abdul Aziz, dengan pegawai kedutaan besar China pada 31 Januari 2020 yang lalu.

Dalam pertemuan tersebut, selain daripada menyuarakan simpati rakyat Malaysia terhadap penduduk China yang menjadi mangsa kepada wabak Covid-19 pada ketika itu, ABIM juga mengambil kesempatan untuk menyatakan bantahan serta gesaan secara terbuka rakyat Malaysia terhadap apa yang dilakukan ke atas umat Islam Uyghur.

“Meskipun bersimpati terhadap mangsa yang terlibat dengan Covid-19, dalam pertemuan tadi ABIM dengan tegas menyuarakan bantahan terhadap kezaliman China kepada umat Islam Uyghur secara berdepan. Inilah konsistensi ABIM atas nama kemanusiaan. Di penghujung pertemuan itu yang turut membawa kepada perdebatan mengenai isu Uyghur, ia berakhir dengan kenyataan wakil kedutaan besar China tersebut bahawa mereka menerima dan menghormati penegasan ABIM dalam isu berkenaan,” jelas Muhammad Faisal Abdul Aziz yang turut diiringi oleh Ahmad Fahmi Mohd Samsudin (Naib Presiden), Zairudin Hashim (Naib Presiden), serta Siti Nur Sakinah Budiman (Ketua Biro Pembangunan Keluarga) & Fatimah Azzahra Mohamad (Ketua Biro Silang Agama & Alam Sekitar).

Tanggal 1 Oktober 2021 menandakan sudah tujuh puluh dua tahun penubuhan Republik Rakyat China (People Republic of China). Pada detik yang sama pada 1 Oktober 1949, wilayah Turkistan Timur (East Turkistan) telah dimasukkan ke dalam negara China.

Kekhuatiran ABIM terhadap apa yang berlaku ke atas umat Islam Uyghur merupakan manifestasi rasa kemanusiaan yang dikongsi tanpa mengenal batas sempadan. Covid-19 tidak seharusnya mematikan rasa empati kita terhadap umat Islam Uyghur dan mana-mana kelompok yang dijustifikan penindasannya atas faktor perbedaan agama dan latar keturunan.

Kita khuatir setiap tindak-tanduk tidak berperikemanusiaan yang dilakukan kerajaan China (ke atas etnik Uyghur, etnik minoriti serta apa yang berlaku di Hong Kong) adalah cerminan kepada dasar serta nilai yang ingin diutarakan kuasa baharu dunia tersebut sebagai norma peradaban yang perlu  untuk diangkat. 

Atas dasar itu, ABIM juga menggesa rakyat Malaysia serta masyarakat dunia yang prihatin menolak sama sekali sebarang bentuk usaha normalisasi yang cuba diutarakan untuk menjustifikasikan tidak berperikemanusiaan Kerajaan Republik Rakyat China khususnya ke atas umat Islam Uyghur di Xinjiang.

2 thoughts on “ETNIK UYGHUR: UMAT YANG CUBA DILENYAPKAN

  1. In the dynamic world of digital marketing, where the competition for online visibility is fierce, understanding and implementing effective Search Engine Optimization (SEO) strategies is crucial for businesses aiming to succeed online. SEO serves as the cornerstone of online marketing, enabling websites to enhance their visibility, attract organic traffic, and ultimately achieve their business objectives. In this article, we delve into the realm of search engine optimization, exploring its significance, key principles, and actionable strategies for maximizing online visibility. https://bit.ly/3JKYpu5

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *