KISAH SEBUAH JAM DAN KEHIDUPAN

KISAH SEBUAH JAM DAN KEHIDUPAN

Oleh: Faridah Mohd Tap

Aku memerhatikan jam pada dinding. Agak lama mataku terpaku pada arah jam itu. Berbentuk bulat sederhana, berwarna hitam, putih dan kelabu. Warna yang melambangkan profesionalisme. Terdapat dua belas nombor berwarna putih tersusun mengikut turutan membulat 1,2, 3, 4 dan seterusnya hingga 12 yang berlatarbelakangkan warna hitam.

Ada tiga batang jarum dengan saiz yang berbeza berpusat di tengah-tengah bulatan jam tersebut. Jarum-jarum itulah yang menentukan masa. Jarum yang sedikit panjang, halus dan bergerak dengan kadar yang pantas ditugaskan untuk menentukan saat.

Manakala, jarum panjang yang bergerak dengan kadar yang perlahan ditugaskan untuk menentukan minit. Jarum ketiga diciptakan pendek, sedikit besar dan bergerak dengan sangat-sangat perlahan. Ia ditugaskan untuk menentukan masa dalam ‘jam’.

Bateri digunakan untuk membolehkan jam serta komponen-komponennya berfungsi dengan baik. Jika ketiadaan bateri sebagai sumber kuasa, sebuah jam tidak memberikan apa-apa makna kepada si pemiliknya. Kerana pemilik jam tidak dapat mengetahui masa.

Yang Mana Paling Penting?

Persoalannya: Jam atau masa yang paling penting?

Jawapannya: Sudah tentu masa yang terpenting. Jam hanya berfungsi sebagai teknologi untuk menunjukkan masa. Ramai yang bersetuju mengatakan masa adalah yang paling signifikan. Namun berapa ramai yang tidak ambil peduli tentang kepentingan masa.

Kepentingan masa diperakui dalam Islam sepertimana firman-Nya dalam surah Al-‘Asr, ayat 1 hingga 3 yang bermaksud,

“Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.”

Tatkala kurenung jam itu, masa seolah-olah berlalu begitu perlahan. Setiap saat dirasakan lama sekali. Namun hakikatnya masa telah berlari meninggalkan kita dengan begitu pantas.

Buktinya, jika (ibaratnya) seakan baru semalam kita seorang bayi kecil yang lemah, namun pada ketika ini kita sudah dewasa, telah berumah tangga dan sedang mengendong anak kecil pula.

Ya! bila dikenang-kenang, setiap saat berlalu dengan sangat pantas. Amat singkat masa kehidupan kita di dunia.

Justeru itu, Allah bersumpah dan mengingatkan kita tentang masa. Sudahlah masa itu singkat, namun masih lagi mengisinya dengan perbuatan-perbuatan ‘lagho’ (sia-sia) dan inilah sebabnya manusia itu sentiasa berada dalam kerugian.

Kerugian kerana tidak banyak amalan baik yang dapat dilakukan semasa hayat dunia yang menjadi bekalan di alam akhirat yang abadi.

Namun, Allah juga bertegas menyatakan orang yang menghargai masa dengan beramal soleh dan menyampaikan kebenaran dan kesabaran merupakan golongan yang dikurniakan keberuntungan di dunia dan akhirat.

Perkara Paling Jauh Daripada Kita?

Berbicara mengenai masa, aku teringat sebuah kisah di antara Hujjatul Islam, Imam Al-Ghazali dengan murid-muridnya. Dikisahkan pada suatu hari Imam Al-Ghazali bertanya kepada murid-muridnya mengenai perkara serta benda yang paling jauh daripada diri kita di dunia ini.

Ada di antara murid-muridnya menjawab negara China, bulan, matahari dan bintang-bintang. Imam Al-Ghazali membenarkan semua jawapan tersebut.

Namun beliau menegaskan jawapan yang paling benar ialah masa lalu. Menurut Imam Al-Ghazali walau bagaimana hebat dan sofistikated sekalipun kenderaan kita, mana mungkin kita mampu kembali ke masa lalu.

Ibrahnya, kita haruslah memanfaatkan masa kehidupan kita dengan perkara-perkara yang selaras dengan syariat agama.

Ini kerana kelalaian kita pada masa kini akan mengakibatkan kerugian hatta kita tiada peluang untuk kembali ke masa lalu untuk memperbetulkan kesilapan tersebut.

Justeru, kehidupan yang berbaki ini perlu diteruskan bagi memperoleh redha-Nya. Sekarang fikir-fikirkanlah bagaimana kita mahu menghargai waktu yang singkat ini untuk mendapatkan kebahagiaan yang kita inginkan di akhirat kelak. Wallahualam.

Penulis adalah pensyarah Kolej Uniti, Port Dickson, Negeri Sembilan.

One thought on “KISAH SEBUAH JAM DAN KEHIDUPAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *