NISFU SHA‘BAN: HINDARI KEBENCIAN UNTUK GAPAI PENGAMPUNAN ALLAH S.W.T.

NISFU SHA‘BAN: HINDARI KEBENCIAN UNTUK GAPAI PENGAMPUNAN ALLAH S.W.T.

Oleh: Firdaus Hamsin.

Pengenalan

Penulisan ini merupakan resensi daripada e-book “Fadilat Malam Nifu Sha‘bān” yang diusahakan oleh Ustaz Syafiq Ismail.  E-Book ini adalah rangkuman daripada hujah-hujah utama yang dikemukakan Al-Ḥāfiẓ Ibn Rajab (w. 795H) salah seorang ulama terkemuka dari bumi Shām.

Beliau telah mengarangkan sebuah kitab, Laā’if al-Ma‘ārif (cetakan Dār Ibn azm 2004M). Di dalam kitab tersebut, beliau membahaskan persoalan Fiqh seputar setiap perayaan dan musim ibadat yang diraikan dalam kalangan umat Islam. Al-Hafiz Ibn Rajab membahagikan perbincangan menurut setiap bulan yang ada dalam kalendar Qamariyah.  Antaranya ialah Malam Nifu Sha‘bān, yakni merujuk pada malam ke-15 bulan Sha‘bān.

Penulisan ini akan memfokuskan seruan Al-Hafiz Ibn Rajab yang mengupas pentingnya kita untuk menghindari kebencian untuk menggapai keampunan daripada Allah s.w.t. Adapun perbahasan-perbahasan seputar Nifu Sha‘bān tidak diutarakan sebagai fokus utama penulisan ini.  

Hindari Tiga Dosa Besar

Secara ringkas, bahawa segala ibadah yang ingin dilakukan sempena malam Nifu Sha‘bān ialah amalan yang baik dan tidak wajar diingkari, walaupun ada pelbagai pandangan dan perbahasan mengenai amal ibadat sempena malam tersebut.

Bagi Al-Hafiz Ibn Rajab seseorang mukmin hendaklah memanfaatkan malam itu (Nifu Sha‘bān), dengan berzikir mengingati Allāh Ta‘ālā. Seseorang mukmin juga menurut beliau perlu berdoa memohon pengampunan dari Allah s.w.t ke atas dosa, menutup aib diri (daripada terdedah kepada umum), dan melepaskan diri kita daripada segala kesusahan dan bala bencana.

Hendaklah pula seseorang itu saran Al-Hafiz Ibn Rajab bertaubat terlebih dahulu kerana sesungguhnya Allāh Ta ‘ālā itu mengampunkan orang yang bertaubat padanya (ketika malam Niṣfu Sha ‘bān itu).

Untuk itu wajiblah ke atas setiap Muslim menjauhi dosa-dosa yang menghalangnya daripada (mendapat) keampunan dan termakbulnya doa pada malam itu. Sesungguhnya telah diriwayatkan, bahawa ia meliputi tiga dosa besar sepertimana yang diriwayatkan dalam hadis Ibn Mas‘ūd yang disepakati kesahihannya (H.R. al-Bukhārī & Muslim), bahawa beliau bertanya kepada Nabī ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam. Maksud hadis tersebut adalah seperti berikut:

“Dosa apakah yang terbesar sekali?” Baginda menjawab, “Dikau menjadikan Allāh memiliki sekutu, sedangkan Dialah yang menciptamu.” Beliau bertanya, “Apakah pula seterusnya?” Baginda menjawab, “Dikau membunuh anakmu kerana takut dia makan bersamamu (yakni takut tidak cukup makan).” Beliau bertanya, “Apakah pula seterusnya?” Baginda menjawab, “Dikau berzina dengan isteri jiranmu.”

Keampunan Tidak Diraih Kerana Dosa Al-Shanā’

Ada satu lagi dosa yang menghalang kita daripada meraih pengampunan Allah s.w.t ialah al-Shanā’, iaitu kebencian yang membawa kepada permusuhan. Menurut beliau ia ialah perasaan dengki seseorang muslim kepada saudaranya seislamnya, lantaran dorongan hawa nafsu yang ada dalam dirinya.

Al-Shanā’ juga menghalang daripada pengampunan pada kebanyakan waktu-waktu pengampunan dan rahmat(Nya). Sepertimana yang diriwayatkan di dalam Ṣaḥīḥ Muslim, daripada Abū Hurayrah raiyAllāhu ‘anhu secara marfū‘,

“Pintu-pintu syurga dibuka pada hari Isnin dan Khamis, lalu diampunkanlah setiap hamba yang tidak mensyirikkan Allāh dengan sesuatu apapun, melainkan seseorang, yang memiliki permusuhan dengan saudaranya, dan dikatakan: “Tunggulah dua orang ini (jangan diampunkan dulu), hinggalah mereka berbaik-baik semula.”

Sentosakan Hati Daripada Kebencian

Sebaik-baik amalan simpul Al-Hafiz Ibn Rajab ialah sentosanya hati daripada segala jenis kebencian. Sentosanya hati itu juga wujud daripada menginginkan kebaikan, nasihat, dan menyukai apa yang disukainya buat dirinya sendiri.

Al-Hafiz Ibn Rajab juga mengatakan bahawa Allāh Ta‘ālā telah menggambarkan sifat orang mukminin bahawa mereka akan saling berdoa untuk kebaikan sesama mereka. Ini telah diabadikan menerusi firman Allāh Ta‘ālā yang bermaksud seperti berikut :

“Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.” (al-ashr, 10)

Al-Hafiz Ibn Rajab juga berkongsi kesimpulan yang dalam kalangan sebahagian Salaf yang mengatakan bahawa, “Sebaik-baik amalan ialah: hati yang sentosa, jiwa yang pemurah, dan suka menasihati umat. Dengan sifat-sifat inilah orang-orang telah mendapat pencapaiannya (yang tinggi di sisi Allāh), bukannya dengan berusaha keras berpuasa dan solat.”

Renungan

Marilah sama-sama kita manfaatkan renungan yang dikemukakan dalam makalah “Fadilat Malam Nifu Sha‘bān” untuk terus melakukan perubahan untuk menjadi insan yang lebih baik selepas ini. Ruang keampunan sentiasa terbuka.

Namun kita seharusnya memanfaatkan ruang tersebut segera tanpa lengah dengan merenung sedalam-dalamnya mutiara yang dikongsikan Al-Hafiz Ibn Rajab sepertimana yang dititipkan dalam buku ini:

“Saudaraku! Jauhilah dosa-dosa yang menghalang sang hamba daripada pengampunan Tuannya Yang Maha Pengampun, khususnya pada musim-musim rahmat, taubat, dan istighfar.

Sebahagian salaf berkata, “Berapa ramaikah orang yang memulakan sesuatu hari namun tidak sempat menghabiskannya? Berapa ramai yang berharap untuk melakukan besok hari, tetapi tidak sempat mengecapinya?

Sesungguhnya jika kalian mampu melihat ajal penghujung dan perjalanannya, sudah tentulah kalian akan membenci harapan dan tipudayanya.”

E-Book penuh boleh dibaca menerusi pautan ini.

Penulis ialah editor eksekutif Risalah Online.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *