KRISIS DI UKRAINE: WAJAH DUNIA APAKAH YANG INGIN DILUKIS PADA MASA  HADAPAN?

KRISIS DI UKRAINE: WAJAH DUNIA APAKAH YANG INGIN DILUKIS PADA MASA HADAPAN?

Oleh: Faridah Mohd Tap.

Perang Sebagai Jenayah

Pada 26 Februari yang lalu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah menyatakan kebimbangan akan kesan besar ekoran daripada serangan yang dilakukan Russia kerana akan mencetuskan krisis kemanusiaan kepada rakyat Ukraine dan penduduk di negara-negara sekitarnya.

Menerusi kenyataan media tersebut, ABIM berpendirian permusuhan antara blok-blok besar dunia yang tidak berkesudahan hanya akan memangsakan rakyat yang tidak berdosa khususnya dari warga tua, wanita dan kanak-kanak apabila tercetusnya peperangan.

Serangan ini menggambarkan bahawa dunia seolah-olah tidak selamat dihuni selagi peperangan diterima sebagai jalan penyelesaian kepada konflik antara negara. Adakah ini wajah dunia yang akan diwariskan pada masa hadapan?

Ketamadunan manusia seringkali diancam oleh peperangan yang meletus akibat pertelingkahan politik, perebutan kuasa, pencerobohan dan penjajahan serta semangat rasisme yang ekstrim. Melancarkan perang dan memenangi pertempuran menjadi pilihan utama untuk menyelesaikan krisis. Implikasinya ia turut mengakibatkan kemusnahan manusia, harta benda dan alam sekitar.

Ketiadaan komitmen dalam kalangan negara-negara di dunia untuk menjenayahkan perang, menyaksikan sehingga hari ini ia tetap berlaku. Keganasan ini hanya akan menjadi sejarah pada masa hadapan jika semua pihak menolaknya dan mengistiyharkannya sebagai jenayah.

Persoalannya: Adakah dunia tanpa peperangan merupakan angan- angan dan sesuatu yang mustahil untuk dinikmati?

Dunia Tanpa Peperangan

Keamanan tidak akan wujud selagi mana persepsi kita terhadap perang tidak diperbetulkan. Sistem kepercayaan dan persepsi manusia terhadap peperangan mesti diubah dengan melihat segala aspek berkaitan dengannya sebagai satu jenayah.

Walaupun ia memakan masa yang panjang, namun usaha ini adalah berbaloi jika mahukan dunia yang aman dan stabil tanpa peperangan dan keganasan. Faham utilitarianisme yang mengabsahkan peperangan untuk mencapai matlamat peribadi pihak tertentu wajib ditolak.

Demikian itu, setiap orang perlu menganggap peperangan ialah jenayah moral dan kemanusiaan yang tidak boleh dimaafkan sama sekali walau apa jua alasan yang diberi. Banyak langkah proaktif boleh diambil untuk kehadapan yang boleh diketengahkan masyarakat sejagat di mana suara mereka ialah kuasa keramat yang terbukti dapat merubah dunia. Antaranya termasuk empat langkah berikut: –

1. Peperangan mengakibatkan kehilangan nyawa.

Terlalu banyak nyawa yang terkorban akibat daripada peperangan. Kematian akibat Perang Dunia Kedua (1939- 1945) telah direkodkan sebagai perang yang paling berdarah apabila mengakibatkan sejumlah 56.4 juta kematian.

Sepanjang abad ke-21, dunia telah menyaksikan lapan peperangan paling tragis yang mengakibatkan jumlah kehilangan nyawa yang tidak kepalang. Kelapan-lapan peperangan tersebut adalah: perang Congo Kedua, krisis Syria, krisis di Darfur (Selatan Sudan), pencerobohan serta pendudukan Amerika di Iraq dan Afganistan, peperangan membabitkan gerakan Boko Haram di Nigeria, perang saudara di Yaman dan juga Ukraine.

Walaupun sekali imbas jumlah kematian dalam kelapan-lapan walaupun menurun berbanding perang- perang pada abad sebelumnya seperti kedua-dua perang dunia, namun ia tetap melibatkan kehilangan ratusan ribu nyawa orang awam yang terkorban tanpa pembelaan.

2. Penjenayah perang mestilah dihukum menurut undang- undang antarabangsa.

Seakan sudah menjadi suatu paradoks apabila membunuh nyawa seorang manusia dianggap jenayah dan pelakunya di kebanyakan negera menerima hukuman mati mandatori. Persoalannya: Kenapa hukuman membabitkan jenayah bunuh ini tidak terpakai kepada mereka yang membunuh ribuan nyawa yang tidak. Mereka tidak seharusnya diiktiraf sebagai wira negara dan dunia tanpa ada rasa bersalah.

Untuk mereka yang terlibat termasuk dalam kalangan pemimpin negara yang melancarkan perang mestilah didakwa dan diadili di institusi pengadilan antarabangsa seperti Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Usaha mengheret pemimpin negara yang sengaja mencetuskan perang bukan suatu yang mudah. Namun ia juga tidak mustahil kerana ia telah dapat dilakukan. Sebagai contoh, bekas komander pasukan perang Bosnia Croatia, Slobodan Praljak telah dijatuhi hukuman penjara 20 tahun oleh Tribunal Jenayah Antarabangsa untuk Yugoslavia yang ditubuhkan PBB kerana didapati bersalah melakukan jenayah perang Bosnia.

3. Mengistiyhar penjualan dan pembangunan senjata sebagai jenayah.

Dalam peperangan, ada tangan- tangan ‘ghaib’ yang mengambil kesempatan menjual senjata kepada pihak yang berperang dan mengaut keuntungan daripadanya. Senjata-senjata yang dihasilkan mengakibatkan kemusnahan yang sangat besar. Justeru mereka turut bersubahat dan perlu juga disabitkan sebagai penjenayah perang.

Kita pasti ingat kepada bahana penggunaan gas oren (Agent Orange) dalam Perang Vietnam-Amerika. Menurut Persatuan Mangsa Gas Oren Vietnam, 4.5 juta daripada 18 juta orang penduduk Vietnam telah terdedah secara terus kepada gas beracun tersebut.

Maka, masyarakat dunia harus bangkit menentang semua bentuk pertubuhan yang jelas bersekongkol dalam menggalak atau membantu aktiviti keganasan antara negara bergolak sebagai penjenayah perang. Kita harus berkeyakinan, bahawa suara masyarakat dunia lebih berkuasa berbanding pemimpin dan pihak berkepentingan yang gila kuasa dan mata duitan. Jika tidak, usah bicara tentang keamanan andai kuasa rakyat yang kita miliki tidak digunakan.

4.  Memaksimumkan peranan pertubuhan dan institusi antarabangsa.

Semua negara mestilah memperteguh tujuan dan prinsip perlembagaan institusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam menyelesaikan pertelingkahan antarabangsa melalui perdamaian. Kesemua negara anggota PBB harus melihat dan menyemangati semula azam dalam Piagam PBB yang jelas mahukan keadilan, keamanan dan kedamaian sebagai paksi dunia selepas Perang Dunia Kedua berakhir. 

Konflik antara negara merupakan sebahagian daripada cabaran hidup bernegara. Namun, penyelesaian konflik dalam atau luar negara perlu mengutamakan jalan damai serta mencari persefahaman dan membina permuafakatan, kerana ia telah terbukti dalam menjamin penyelesaian secara menang-menang tanpa perlu mengorbankan nyawa serta mengakibatkan kerosakan harta benda.

Usaha untuk menyelesaikan perbezaan menerusi jalan konflik bersenjata yang boleh mengakibatkan keganasan hanya akan membawa petaka yang berpanjangan dalam kehidupan kita. Kehilangan nyawa serta kerosakan harta benda yang tidak kepalang nilainya, hanya akan mengheret peradaban manusia mundur berpuluh-puluh tahun ke belakang.

Kesimpulan

Generasi manusia kini telah mewarisi legasi kemusnahan akibat perang yang melanda sejak berkurun-kurun dahulu dan ia akan kekal diperturunkan kepada generasi terkemudian jika tidak ada usaha yang bersungguh- sungguh daripada semua pihak untuk menghentikan perang dan berdamai. Memetik kata- kata Nelson Mandela,

“In the end, reconciliation is a spiritual process, which requires more than just a legal framework. It has to happen in the hearts and minds of people”.

Justeru, semangat mengamankan dunia sejagat perlulah disokong sepenuh jiwa raga oleh seluruh masyarakat dunia di samping sistem perundangan sedia ada. Kita bertanggungjawab mewariskan dunia yang aman kepada generasi terkemudian.

Penulis ialah pensyarah Kolej Uniti, Port Dickson, Negeri Sembilan.

3 thoughts on “KRISIS DI UKRAINE: WAJAH DUNIA APAKAH YANG INGIN DILUKIS PADA MASA HADAPAN?

  1. In the dynamic world of digital marketing, where the competition for online visibility is fierce, understanding and implementing effective Search Engine Optimization (SEO) strategies is crucial for businesses aiming to succeed online. SEO serves as the cornerstone of online marketing, enabling websites to enhance their visibility, attract organic traffic, and ultimately achieve their business objectives. In this article, we delve into the realm of search engine optimization, exploring its significance, key principles, and actionable strategies for maximizing online visibility. https://bit.ly/3JKYpu5

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *