RAMADAN YANG DIRINDUI, KINI KEMBALI LAGI

RAMADAN YANG DIRINDUI, KINI KEMBALI LAGI

Oleh: Shazni Abdullah

Antara sedar atau tidak, dalam kekalutan kita bergelut dengan pelbagai ujian kehidupan sepanjang tempoh dua tahun kebelakangan ini, Alhamdulillah Ramadan dapat kita lalui sekali lagi.

Bulan ini pastinya kita amat dinanti-nantikan dengan penuh kegembiraan. Dalam keadaan kita sedang cuba pulih daripada ujian wabak yang membayangi kehidupan warga dunia, Ramadan hadir bagaikan menyuntik semula stamina dalaman (kerohanian) dan membekalkan tenaga spiritual kepada kita agar tetap kuat dan kekal tabah menghadapi serta melewati keadaan tersebut.

Begitulah Ramadan. Kehadirannya menonjolkan pelbagai karakter manusia semasa meraikannya. Ada yang menangis terharu. Ada juga yang riang gembira. Tidak kurang juga ada yang muram memikirkan halangan terpaksa dihadapi yang menghalangnya daripada menurut kehendak hawa nafsu.

Sekolah Ramadan Bentuk Watak Sebenar Hamba.

Bagaimana cara kita menyambut Ramadan akan mempengaruhi perwatakan kita sesudah ia berlalu. Kerana ia bukan hanya sekadar perjuangan sehari dua, tetapi ialah latihan selama sebulan yang akan menjadi bekal dalam bentuk akhlak mulia yang akan kita kendong untuk tempoh sebelas bulan berikutnya.

Dalam kitab Lathaaiful Ma’arif karya Ibnu Rajab Al-Hanbali, menceritakan kepada kita bagaimana ulama’ salaf mengatakan:

“Mereka (para sahabat) berdoa kepada Allah selama 6 bulan agar mereka dapat menjumpai bulan Ramadan. Kemudian mereka pun berdoa selama 6 bulan agar amalan yang telah dikerjakan mereka diterima oleh-Nya.”

Justeru, kesempatan untuk menerima kehadiran Ramadan pada kali ini perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk memastikan kita menjalaninya dengan lebih baik dan bersemangat dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum ini.

Kejayaan yang sebenar dapat diukur bukan bukan sekadar dengan hanya kemampuan menahan kelaparan sahaja. Tetapi Ramadan sarat dengan misi utama yang perlu kita capai iaitu untuk mengekang semua pancaindera seperti mata, telinga, mulut, hatta hati juga daripada tuntutan hawa nafsu.

Tingkatkan Kualiti Ramadan Dengan Ilmu

Manusia yang tidak mengenal hakikat sebenar Ramadan pastinya tidak akan merebut apa yang terdapat di dalamnya. Justeru asas untuk mengatasinya ialah dengan meningkatkan ilmu pengetahuan.

Ramadan itu bukan setakat memahami hukum fiqh yang berkaitan sahaja. Hakikatnya Ramadan ialah bulan pengampunan, bulan kerahmatan, bulan kekeluargaan dan punyai banyak lagi keistimewaan yang lain.

Ramadan bukan juga sekadar bulan untuk kuruskan badan! Untuk itu bacalah, telusurilah kajian dan pengisian-pengisian ilmiah untuk membakar semangat merebut fadhilat pada setiap saat sepanjang bulan ini. Khalifah ‘Umar bin Abdul ‘Aziz berkata,

“Barangsiapa yang beribadah kepada Allah tanpa ilmu, maka dia akan membuat banyak kerosakan daripada mendatangkan kebaikan.”

Dengan ilmu sebenarnya akan membuatkan kita lebih istiqamah dan tidak bosan untuk terus beramal sepanjang bulan Ramadan & bulan-bulan seterusnya.

Lazimi Doa Dan Taubat

Para ulama’ mengingatkan kita untuk melazimi doa dan taubat sepanjang bulan Ramadan. Bahkan kedua-dua amalan perlu dilakukan sebelum memasuki bulan Ramadan, yang pastinya kita  sentiasa memohon (menerusi doa) kepada Allah S.W.T agar diberikan kesempatan untuk melalui bulan tersebut sekali lagi untuk melipat gandakan ibadah.

Doa ini menjadi kebiasaan para ulama’ ini boleh sama-sama diamalkan dalam kehidupan kita. Doa ini bermaksud:

“Ya Allah, Kau berkatilah kepada kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan Kau berkatikanlah (pertemukan kami dengan bulan Ramadhan) kepada kami pada bulan Ramadan”.

Atau, doa yang turut dirakamkan dalam hadis yang biasa kita panjatkan untuk memohon kekuatan dan kemudahan dari Allah S.W.T seperti:

“Ya Allah, tidak ada kemudahan kecuali yang Engkau membuat mudah. Dan Engkau menjadikan kesedihan (kesulitan), jika Engkau kehendaki pasti akan menjadi mudah”.

Oleh itu inilah waktunya. Dengan penuh pengharapan sempena Ramadan kali ini kita panjatkan doa ke hadrat Allah S.W.T dengan memperbanyakkan taubat dan istighfar. Andai ini Ramadan terakhir kita, moga Allah S.W.T selamatkan diri kita dengan rahmat-Nya dan memasukkan kita ke syurga-Nya. Insya-Allah.

Menyusun Strategi Terbaik

Kejayaan sesuatu misi pastinya dengan penyusunan jadual yang terbaik. Mereka yang amat memahami setiap fadhilat yang ada dalam bulan Ramadan, pasti tidak akan melepaskan waktu-waktu yang amat bernilai ini selama sepanjang berada dalam bulan Ramadan yang indah ini.

Sebagaimana yang diungkapkan oleh Imam Ghazali: “untuk meraih kebahagiaan dalam hidup, maka nikmatilah waktu yang ada sekarang!”

Jangan ditunda-tunda lagi. Hiduplah seolah-olah ini hari yang terakhir buat kita. Manfaatkan ilmu yang sudah dipersiapkan untuk menyusun strategi sepanjang Ramadan ini. Antara strategi yang boleh disusun ialah:

  1. Mengatur strategi untuk memanfaatkan waktu sahur.
  2. Mengatur strategi untuk beribadah sewaktu di rumah atau bekerja.
  3. Mengatur strategi untuk memaksimumkan waktu bersama keluarga pada saat berbuka.
  4. Mengatur strategi untuk beribadah pada waktu sepertiga malam.

Inilah akhlak manusia beriman. ‘Ar-Ruhban Fil Lail Wa Fursan Fin Nahar’ ! (Umpama ahli ibadah di malam hari, ibarat sang singa di waktu siang).

Marilah sama-sama hayati kata-kata itu dengan beribadah penuh kerendahan hati pada malam hari dan bekerja sepenuh tenaga mencari redha Allah S.W.T pada siangnya.

Moga Allah S.W.T membantu kita beramal seikhlas hati sempena Ramadan kali ini.

Penulis ialah Naib Presiden (Agenda Kaderisasi & Kelestarian Hayat), ABIM.

One thought on “RAMADAN YANG DIRINDUI, KINI KEMBALI LAGI

  1. In the dynamic world of digital marketing, where the competition for online visibility is fierce, understanding and implementing effective Search Engine Optimization (SEO) strategies is crucial for businesses aiming to succeed online. SEO serves as the cornerstone of online marketing, enabling websites to enhance their visibility, attract organic traffic, and ultimately achieve their business objectives. In this article, we delve into the realm of search engine optimization, exploring its significance, key principles, and actionable strategies for maximizing online visibility. https://bit.ly/3JKYpu5

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *