BAGAIMANA KITA HENDAK BERINTERAKSI DENGAN AL-QUR’AN?

BAGAIMANA KITA HENDAK BERINTERAKSI DENGAN AL-QUR’AN?

Oleh: Fatin Majdina

Refleksi Al-Qur’an Dalam Hidup Kita

Pertemuan dengan Dr Zainab Alwani sangat saya hargai. Saya terinspirasi dengan pandangan beliau serta ayahnya Dr Taha Jabir Alwani membicarakan tentang bagaimana kita harus berinteraksi dengan al-Qu’ran. Meneliti semula catatan berkenaan Sheikh Taha Jabir Alwani sangat menginspirasikan. Kecintaan beliau pada Al-Qur’an adalah jelas dan mendalam.

Seperti bapanya Dr. Taha Jabir, Dr. Zainab Alwani mengingatkan untuk mempunyai buku nota khusus untuk mencatat tafakkur dan refleksi kita bersama Al-Qur’an. Catatkan refleksi diri kita dalam buku ini dan kongsikan bersama keluarga dan saudara.

Sebelum itu elakkan diri daripada sebarang membina sebarang persepsi ataupun anggapan awal (preassumption) sebelum membaca dan membuat refleksi dengan Al-Qur’an.

Untuk itu kita harus membaca serta cuba memahami apa yang cuba disampaikan di dalam Al-Qur’an untuk kita renungi.  Dengan merenungi ayat-ayat yang kita baca, kita cuba kaitkan dengan persoalan yang ingin kita “utarakan” untuk difahami mesej-mesej yang dapat kita hadam.

Bermula daripada titik tersebut kita dapat refleksi kepada kehidupan dan mungkin juga menjawab persoalan-persoalan yang sering berlegar dalam fikiran mengenai kehidupan serta persekitaran kita.

Menjalin Hubungan Akrab Dengan Al-Qur’an

Semasa sesi “Transformational Teaching” yang merupakan sebahagian daripada slot yang dianjurkan sempena penganjuran sebuah seminar antarabangsa pada penghujung 2018 yang lalu, Dr. Zainab Alwani memulakan sesi dengan persoalan mengenai bagaimana kita membina hubungan dengan Al-Qur’an.

Beliau menggunakan analogi berdasarkan kepada hubungan yang dibina berasaskan kepada ikatan kekeluargaan atau persahabatan seperti berikut: –

(i) Hubungan dimulakan dengan pertemuan awal dan perkenalan ringkas,

(ii) Daripada pertemuan tersebut kemudian timbul keinginan untuk terus berhubung dan berjumpa,

(iii) Hubungan yang semakin erat menjadikan kita punya perasan rindu dan ingin berjumpa,

(iv) Ia mencapai kemuncak peringkat apabila hubungan tersebut menjadi lebih erat. Analoginya kita sentiasa ingin dekat, punya rasa kasih sayang dan ingin berhubung dalam setiap situasi dan keadaan sama ada susah atau senang, suka atau duka, lapang atau sempit.

Oleh itu di manakah peringkat hubungan kita dengan Al-Qur’an? Sebagai guru yang menjadi tauladan kepada anak murid, mengajar ilmu yang sumbernya dari Allah, dan punya kesan besar dalam pembentukan generasi akan datang, maka perlu ada hubungan erat dengan Al-Qur’an.

Dalam melakukan transformasi pengajaran, kita perlu mengenal pasti punca utama masalah dlm pengajaran, seterusnya merangka strategi berdasarkan panduan-panduan yang ada khususnya dari Al- Qur’an, dan kemudian menyediakan senarai semak.

Kaedah ini boleh digunakan untuk mentransformasi diri. Bahkan ia boleh dirujuk untuk merangka reformasi institusi serta negara. Ini kerana sebarang transformasi mahupun reformasi perlu bermula dengan kefahaman terhadap punca utama yang ingin diubah.

Dr Zainab mengingatkan dengan hidup berpandukan ayat Al-Qur’an tersebut, kita akan lebih memaknai maksud ataupun hikmah di sebaliknya. Tutur beliau, “Take this journey with you, enjoy it, it will transform you”.

Manusia Berjiwa Al-Qur’an

Menjadi generasi Al-Qur’an tidak cukup dengan hanya menghafal dan membaca, haruslah diikuti dengan kefahaman dan penghayatan melalui pengamalan seperti yang dinyatakan Aisyah r.a. yang bermaksud : –

“Akhlak Nabi saw ialah Al-Qur’an”. (H.R. Muslim)

Kesimpulannya Al-Qur’an ibarat manual kehidupan yang perlu kita patuhi. Mungkin ramai yang bimbang jika kita tersalah tafsir tentang Al-Qur’an. Untuk itu kita haruskannya mulakan dengan niat yang betul. Pastikan dalam masa yang sama kita belajar dengan guru yang berwibawa.  

Dengan merenung ayat-ayat ni adalah untuk diri kita lebih faham dan menghidupkan hati serta aqal untuk menjadikan diri kita sebagai manusia yang berjiwa Al-Qur’an.

Pesanan Almarhum Ustaz Siddiq Fadhil berikut perlu sama-samma kita renungi,”Sebagaimana kamu memberi perhatian kepada Al-Qur’an, sejauh itulah Al-Qur’an memberi perhatian kepada kamu!

Ringkas, tepat dan sangat bermakna.

Tepuk dada tanyalah diri kita!

Penulis ialah Ketua Helwa ABIM.

Nota dari editorial: Risalah merupakan sebahagian daripada usaha Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) untuk mendidik umat dan membangunkan masyarakat madani di negara ini. Jemput membangun umat dengan menyumbang menerusi pautan berikut Infaq Ramadan ABIM 1444H.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *