TARBIAH RAMADHAN DAN SIFAT BERANI:  MENGAPAKAH SESUATU BANGSA ITU BOLEH DITINDAS?

TARBIAH RAMADHAN DAN SIFAT BERANI: MENGAPAKAH SESUATU BANGSA ITU BOLEH DITINDAS?

Oleh Amidi Manan & Zawawi Mughni.

Pendahuluan

Catatan berikut dibuat berdasarkan daripada intisari usrah dengan Allahyarham Ustaz Siddiq Fadzil pada 20 Ramadhan 2016 yang lalu. Kredit dirujuk kepada Amidi Manan dan Zawawi Mughni atas catatan tersebut yang dipersembahkan dalam bentuk penulisan seperti berikut. 

Pertama: Bangsa penakut (al-ra’iyyat al-kha ifah)                                                                       

Lazimnya pemerintah yang zalim akan dihina dan dipersalahkan apabila rakyatnya ditindas. Akan tetapi hakikatnya, tanpa kita sedari, kezaliman berlaku dengan rela dan ”izin” bangsa itu sendiri. Persoalannya: Siapakah mereka yang termasuk dalam golongan ini?

Al-Qur’an merakamkan kisah Bani Israel yang pernah menjadi bangsa paling penakut. Kesan ini berlaku kerana indoktrinasi yang dipupuk puluhan tahun oleh kerajaan yang dikuasai Firaun ke atas mereka.

Karakter penakut ialah watak Bani Israil pada zaman nabi Musa a.s. Mereka takut untuk mengisytiharkan pendirian walaupun tampak jelas kebenaran mengatasi kebatilan. Contohnya ini berlaku selepas mereka menyaksikan pertembungan antara Nabi Musa dan tukang-tukang sihir Firaun.

Maka dikisahkan, meskipun jelas tongkat Musa sudah menelan semua ular ahli-ahli sihir tersebut, namun rakyat masih tidak berani menerima kebenaran risalah Nabi Musa. Mereka juga takut menolak kebatilan Firaun lantaran akibat terlalu dibenam psikologi penakut.

Mereka terus menerus dihantui ketakutan terhadap Firaun walaupun telah terlepas daripada cengkaman kezaliman. Meskipun Firaun telah mati ditelan laut, namun mereka masih berperwatakan sebagai penakut.

Sifat berani telah pupus dalam diri mereka apabila diperintahkan untuk memasuki tanah yang dijanjikan kerana takut untuk berhadapan dengan Qauman Jabbarin.

Apabila penyakit penakut sudah sebati sehingga menjadi watak dalam daging mereka, ia akan memakan entah beberapa generasi lamanya untuk mengubahnya.

Maka Allah sesatkan mereka di padang pasir selama 40 tahun. Kenapakah padang pasir dan tempoh 40 tahun menjadi latar kepada situasi yang dihadapi bani Israel ini?

Ini kerana ia bagi menghapuskan generasi penakut. Sesudah generai ini maka lahir generasi pemberani yang mampu meneruskan kehidupan walaupun dalam keadaan padang pasir yang tandus dan gersang yang memeritkan.

Keberanian hanya akan timbul bersama kepayahan. Keberanian lahir apabila kita berada di luar zon selesa. Keberanian akan hidup setelah ketakutan dikuburkan.

Sebab itulah kita disaran mengamalkan doa yang diajar oleh junjungan besar kita Nabi Muhamad s.a.w yang turut diabadikan dalam rangkaian wirid mathurat seperti berikut:

Allahumma a’inni ‘a’uzubika minal hammi wal hazan….”

Maksud: Ya Allah! Jauhkanlah aku daripada penyakit lemah dan rasa penakut.

Kedua: Budaya dan Moral Hidup Bangsa Itu Sudah Rosak.

Mari sama-sama kita renung analogi berikut: Jika penyakit rasuah dan gilakan kebendaan begitu membarah dalam kalangan setiap individu dalam sesuatu bangsa itu, masakan mereka akan menolak pemimpin yang rasuah kerana ia merupakan sebahagian daripada jika mendapat peluang dan kesempatan untuk melakukannya.

Mereka menjadi masyarakat yang dikenali sebagai ‘venal’ – open to bribery and overly motivated by bribes ataupun mudah serta sedia untuk disuap dan amat terangsang dengan rasuah.

Dengan sikap hina sebegini, maka semakin mudahlah pihak yang korup mengambil kesempatan untuk memanipulasi sikap rakyatnya yang tersedia sudah rosak itu. Seakan rakyat dalam sesebuah negara tersebut sudah terkena ‘sumpahan kefasiqan’.

Jembalang kefasiqan ini yang menghantui ummah lantas mereka “disumpah” dengan kehinaan seakan dirasuk dengan kefasiqan yang menggila. Segala fikir, zikir, kata, daya dan aksi hanya akan berkiblatkan keuntungan duniawi semata-mata.

Apakah yang boleh diharap pada masyarakat yang sudah dirasuk dengan jembalang kefasiqan ini? Setiap lapis masyarakat sudah rosak. Baik yang tua dan yang muda, pemimpin mahu pun rakyat jelata, ilmuwan serta agamawan, semuanya terjebak dalam lembah kehinaan akibat kefasiqan ini.

Secara realistik apa yang ingin kita harapkan masyarakat yang sebegini? Apakah masyarakat ini ingin menghindarkan diri daripada penindasan? Ini kerana masyarakat seperti inilah yang merelakan diri dan keluarga mereka dizalimi, ditindas serta “diratah” semahunya oleh para penindas yang sepatutnya memimpin mereka. Semua ini berlaku demi secubit keuntungan duniawi.

Sudah tentu mereka bukan sahaja mengiyakan. Malah bukan mengejutkan mereka akan menyokong para penindas agar terus berkuasa semahunya.

Dalam keadaan ini tiada makna ditelanjangkan segala kebobrokan di samping diyakinkan dengan kekudusan sebuah perjuangan jika masyarakat masih terus dibelenggu kefasiqan.

Maka harapan untul rakyat yang “sakit” menolak para pemimpin seperti adalah suatu yang mustahil.

Benarlah apa yang terpahat dalam pesan Baginda Rasul s.a.w mafhumnya yang bermaksud, “Sesungguhnya, seseorang daripada kamu akan diperlakukan orang mengikut peri keadaan diri kamu sendiri.”

Justeru, apakah yang boleh dilakukan untuk menyelamatkan sesebuah bangsa yang sudah parah dijangkiti penyakit penakut dan moral yang rosak?  Persoalan ini tidak mudah untuk dileraikan. Ini memerlukan tarbiah dan islah.

Di sinilah terpusatnya gerak daya dakwah. Islah mas tata’tu  (melakukan islah dengan sebaik mungkin) menagih segala kesungguhan dan keikhlasan juga kecerdasan yang menuntut komitmen yang tidak kepalang. Tuntutan islah ini perlu dipenuhi di setiap sudut, lapangan dan meliputi setiap golongan.

Seseorang jurudakwah perlu tangkas mendidik dan menghentikan sumpahan ini. Hanya kebenaran dan keadilan yang mampu menumpaskan mereka yang bersekongkol dengan pemimpin yang penindas.

Tarbiah Ramadhan adalah untuk melahirkan sifat keberanian. Tarbiah Ramadhan mendidik kita keluar daripada kebiasaan. Tarbiah Ramadhan mengajar kita untuk melawan keselesaan.

Ini diperolehi semasa menerusi pengalaman lapar dan dahaga yang diharungi demi menyempurnakan titah Ilahi. Hanya yang berani sahaja mampu mengharungi keperitan Ramadhan.

Inilah maqasid puasa yang masih belum kita dapat dihayati sepenuhnya. Ketakutan terus dipasakkan bersama ilusi yang tiada berpenghujung.

Umat Islam ditakutkan seolah-olah tiada lagi kekuatan yang tersisa dan hidupnya sehingga mereka selesa untuk hanya meminta-minta.

Ayuh! Dalam baki waktu termahal sempena Ramadhan ini, kita bina keberanian bersama munajat mendambakan detik indah Lailatul Qadr.

Nota dari editorial: Risalah merupakan sebahagian daripada usaha Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) untuk mendidik umat dan membangunkan masyarakat madani di negara ini. Jemput membangun umat dengan menyumbang menerusi pautan berikut Infaq Ramadan ABIM 1444H.

Butiran penulis: Amidi Manan ialah Pengerusi Akademi Pendidikan Demokrasi & Kewarganegaraan (A.P.D.K) manakala Zawawi Mughni pada ketika ini ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan.

One thought on “TARBIAH RAMADHAN DAN SIFAT BERANI: MENGAPAKAH SESUATU BANGSA ITU BOLEH DITINDAS?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *