BUDAYA DEBAT SEGARKAN KEILMUAN & AKTIVISME MAHASISWA

BUDAYA DEBAT SEGARKAN KEILMUAN & AKTIVISME MAHASISWA

Oleh: Luqman Hafiz Md Hanif

DEBAT PUPUK BAKAT KEPIMPINAN

Debat merupakan satu ekspresi yang memberi banyak kebebasan kepada para mahasiswa di institusi-institusi pengajian tinggi bagi menyuarakan pandangan dalam bentuk idea bernas mahupun kritikan tentang sesuatu perkara serta dasar.

Di Malaysia, debat merupakan satu budaya yang sudah lama mengakar dan menjadi kunci utama pembentukan generasi yang mempunyai daya fikiran, mentaliti kelas pertama dan intelektual yang tinggi.

Terdapat banyak pertandingan debat yang dianjurkan baik daripada pihak kerajaan mahupun entiti-entiti bebas yang lain seperti Pertandingan Debat Alam Sekitar Antara Institusi Pengajian Tinggi yang merupakan anjuran Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pertandingan Debat Kepenggunaan IPT anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan banyak lagi. 

Jika diteliti semula penganjuran Pertandingan Debat di peringkat sekolah menengah, pihak universiti memainkan peranan penting dalam menjadi penganjur serta mengasah bakat-bakat pelajar dalam arena perbahasan.

Misalnya, kita lihat inisiatif yang dilakukan oleh Universiti Malaya dalam menganjurkan Pertandingan Debat Malaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia menganjurkan Kejuaraan Debat Antara Sekolah, Universiti Sains Malaysia menganjurkan Pertandingan Debat Sains, Teknologi dan Inovasi dan pelbagai lagi.

Usaha ini seharusnya diberi pujian dan penghargaan yang sewajarnya kerana pemupukan dan penerapan budaya debat itu sudah dimulakan sejak awal bangku persekolahan lagi.

Kita tidak seharusnya lokek untuk melihat anak muda petah berbicara dan bijak menyusun kata-kata untuk menyampaikan hujah, yang bukan disandarkan pada sentimen semata-mata.

Hakikatnya anak-anak muda berhujah dengan disandarkan pada statistik dan fakta secara ilmiah dalam melontarkan idea-idea yang boleh dimanfaatkan untuk kebaikan sejagat.

DEBAT SEMAI AMALAN POLITIK SEJAHTERA

Jika dibandingkan dengan negara-negara maju lain seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, China, Switzerland dan Sweden, budaya debat secara terbuka dalam kalangan belia dan arena politik sudah menjadi norma biasa dalam kalangan masyarakat di sana.

Budaya debat ini menjurus kepada penekanan proses semak dan imbang (check & balance) secara teratur serta jelas membabitkan perincian setiap dasar dan polisi yang dikuatkuasakan.

Di Amerika Syarikat (A.S) contohnya, sejarah membuktikan bagaimana perbahasan sempena Pilihan raya Presiden antara Kennedy dan Nixon telah mengubah landskap politik A.S kerana ia merupakan pertama kali seumpamanya disiarkan kepada orang awam melalui saluran televisyen.

Kesimpulannya budaya debat itu bukan semata-mata untuk mencari kesalahan pihak lawan, objektif utama budaya debat ialah mencari titik persamaan yang harus diraikan oleh semua pihak. 

Oleh itu, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) sangat mengesyorkan budaya debat ini dikembangkan dalam kalangan masyarakat terutamanya generasi muda, supaya amalan demokrasi dapat dipertingkatkan di samping menampilkan imej yang positif untuk kancah politik negara ini kerana ia membuka ruang yang lebih luas untuk masyarakat menilai sesuatu dasar dan polisi yang ingin dilaksananakan.

PKPIM sangat berbesar hati untuk menjadi pengelola bersama sebarang bentuk aktiviti debat untuk menyokong ekosistem penerapan budaya debat dalam kalangan para pelajar, mahasiswa dan belia di negara ini.  Penulis ialah Exco Intelektual & Pendidikan, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *