PENDIDIKAN AL-HIKMAH DAN CABARAN PELAKSANAANNYA

PENDIDIKAN AL-HIKMAH DAN CABARAN PELAKSANAANNYA

Oleh: Amidi Manan.

PENDAHULUAN
Pendidikan ialah sesuatu yang menjadi keutamaan dalam kehidupan manusia. Pendidikan bukan sekadar petunjuk kepada kemandirian. Tetapi ia juga merupakan petunjuk kepada kegemilangan sebuah tamadun. Berdirinya tamadun manusia bukan sahaja atas kemahiran membina struktur bangunan yang hebat. Sesebuah tamadun itu terbina hasilnya terpasaknya keyakinan yang menunjangi nilai kehidupan masyarakatnya.

Pendidikan bukan sekadar pemindahan maklumat dan kemahiran. Pendidikan seharusnya mampu menemukan manusia dengan fungsi keberadaannya di muka bumi ini.  Daripada penemuan ini, manusia akan mengolah nilai dan mengisi budaya kehidupannya yang sekali gus mencirikan bangsa dan kehidupan masyarakat.  Bangsa yang kuat bukan sahaja bangsa yang gagah di medan peperangan. Bangsa itu juga harus mempunyai nilai kehidupan yang luhur dan terpuji.

PENDIDIKAN DAN GLOBALISASI
Pendidikan tidak dapat lari daripada pengaruh globalisasi kerana perhubungan antara negara, kaum dan bangsa saling mempengaruhi antara satu sama lain. Perdagangan antara benua memerlukan pertukaran maklumat dan pemahaman terhadap budaya dan keperluan setempat. Ia secara tidak langsung mencorakkan pendidikan bagi memenuhi keperluan perdagangan dan menghadapi persaingan sejagat.

Oleh yang demikian Profesor Emeritus Dr. Osman Bakar, meletakkan Islam sebagai tunjang kepada gelombang globalisasi pertama (2014). Islam mendominasi kegiatan dunia sehingga ia tersebar dengan begitu meluas ke seluruh pelosok dunia. Bermula dari kurun ke-10 Masihi sehinggalah kurun ke-17 Masihi.

Islam menonjol ialah pegangan aqidahnya, di mana menerusi pegangan tauhid ini, manusia dibebaskan daripada kepercayaan tahyul yang menyekat potensi dirinya. Justeru kemasukan Islam ke Eropah pada sekitar tahun 1453 yang berlangsung hampir sama waktunya dengan berdirinya kesultanan Melayu Melaka memperlihatkan pengaruh Islam di Timur dan di Barat.

Perkembangan ini secara langsung mempengaruhi sistem pendidikan masyarakat Melayu ketika itu. Kedatangan ulama’ sekali gus pendakwah menyemarakkan lagi pendidikan Islam dan penyebaran Islam di rantau ini.

Kedatangan Portugis menjajah Melaka pada tahun 1511 dan kejatuhan Granada pada 1492 (Osman Bakar, 2014) menandakan bermulanya gelombang globalisasi kedua. Gelombang yang kedua ini adalah gelombang yang didominasi oleh penjajahan bangsa Eropah membawa bersama pelbagai idea Barat seperti sekularisme, modenisme, nasionalisme dan negara bangsa, evolusi, kapitalisme dan komunisme (Osman bakar, 2014).

Sekali lagi kiblat pendidikan di rantau ini berubah. Dari Asia Barat ke Eropah. Para pelajar dari negara kita dipersiapkan untuk memenuhi kriteria dan pra-syarat kemasukan di institusi pengajian tinggi di England.

Dasar pecah perintah Inggeris jelas kelihatan dengan wujudnya sekolah-sekolah jenis kebangsaan yang bertujuan bagi menjamin kelancaran urus niaga British yang memerlukan pekerja yang mampu melaksanakan tugas bagi menjaga kepentingan Syarikat Hindia Timur Inggeris (KHTI).

Tamatnya perang dunia kedua, menandakan gelombang ketiga globalisasi bermula. Gelombang ketiga ini tandai dengan dominasi Amerika (Osman Bakar 2014).

Contemporary globalization is very multi-dimensional in nature, and being American-led it is naturally dominated by the American Global Agenda. Various ideas dear to American society like democracy, civil society, human rights, have been globalized, inviting mixed responses from the non-western world.  (Osman Bakar 2014)

Sudah tentu pendidikan negara juga turut terpalit dengan keadaan ini. Penanda aras kecemerlangan institusi pengajian tinggi pernah suatu ketika menempatkan 4 dari 5 buah universiti terbaik dunia terletak di Amerika Syarikat (QS World Universities rangkings 2015/16).

Maka dihambatlah seluruh institusi pengajian tinggi kita untuk menempatkan diri di dalam senarai yang ditadbir oleh badan yang berpusat di Amerika Syarikat tersebut. Inilah salah satu contoh pengaruh globalisasi terhadap pendidikan. Kini ia telah jauh menusuk ke dalam sanubari pendidikan kita. Globalisasi secara halus menakluki minda dan jiwa kita.

CABARAN PENDIDIKAN HARI INI
Pengaruh Amerikanisasi telah jauh meresap ke dalam masyarakat kita termasuklah dalam bidang pendidikan. Salah satu produk pendidikan Amerika adalah Taksonomi Bloom yang perkenalkan oleh Alan Bloom sekitar tahun 1949. Fokusnya adalah untuk menilai tahap akal minda manusia.

Walaupun pandangan dan pemikiran Alan Bloom khususnya Taksonomi Bloom membincangkan mengenai metodologi pengajaran, namun ia secara tidak langsung telah memberikan kesan besar kepada pencapaian falsafah dan tujuan pendidikan itu sendiri.

Ia terkesan pada Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM). Pembelajaran berfikrah yang diperkenalkan dengan unsur-unsur penaakulan dan pengitlakan menjurus kepada penyelesaian masalah dengan jelas mencedok pandangan Bloom. Apatah lagi pendekatan konstruktivisme yang ternyata menjadi teras kepada kaedah pengajaran KSSR dan KSSM.

Daripada keupayaan penyelesaian masalah inilah pelajar ditaksir. Pentaksiran yang dilakukan ini bagi memastikan kemenjadian yang berpaksikan Taksonomi Bloom. Kemenjadian seseorang pelajar dinilai daripada kemampuannya menyelesaikan persoalan akademik yang dihadapinya.

Permasalahan inilah yang disinggung oleh Malik Bennabi seperti yang diulas oleh Omar Naqib (2006) menerusi buku “Malik Bennabi’s Approach to the Educational Problem in the Muslim World”. Pendidikan yang diamalkan di negara Islam melahirkan Muslim Sukuan (disintegrated muslim) yang merupakan natijah daripada kejatuhan Dinasti Muawahhidin. Beliau menggariskan inilah cabaran utama yang mesti ditangani untuk mengembalikan kegemilangan tamadun Islam agar ia dibina oleh personaliti Muslim yang unggul.

Walaupun Falsafah Pendidikan Kebangsaan dengan jelas menyatakan tentang kesepaduan dan keunggulan watak, namun kelihatan ia semakin tewas dalam pergelutan ‘supply and demand’ pasaran pekerjaan. Sasaran Gred Purata Sekolah (GPS), Gred Purata Mata Pelajaran (GMP) telah menelan rakus hasrat murni yang terkandung dalam falsafah pendidikan ini.

Desakan masyarakat yang panik terhadap kegawatan kehidupan hari ini turut mempengaruhi institusi pendidikan tajaan ABIM. Baik di peringkat prasekolah, SERI dan SEMI kita turut dihambat rasa cemas para ibu bapa.

Desakan inilah yang membuatkan sekolah kita melakukan jalinan tiga kurikulum iaitu Kurikulum Sepadu Sekolah Rendah (KSSR), Kurikulum JAIS (negeri Selangor) dan Kurikulum yang dirumuskan Yayasan Takmir Pendidikan (YTP) yang mengendalikan institusi-institusi pendidikan ABIM.

Maka terhasillah sebuah sekolah yang melaksanakan tiga jenis peperiksaan. Inilah ironisnya apabila kita menentang pendidikan yang berorientasikan peperiksaan namun bagi mententeramkan rasa panik para ibu bapa, sekolah kita merupakan antara yang paling banyak peperiksaan yang perlu dilalui para pelajarnya.

PENDIDIKAN AL-HIKMAH
Falsafah Pendidikan al-Hikmah menyatakan:

“Pendidikan Islam ialah proses pembinaan dan penyempurnaan insan mukmin yang berilmu, berhikmah, berketerampilan, beriltizam dengan nilai-nilai kesalihan dan setia melaksanakan tanggungjawab pengabdian serta kebaktiannya sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya. Berpandukan petunjuk wahyu dan berlandaskan ‘aqidah Islamiah yang berteraskan tauhid, usaha ini bermatlamatkan membentuk peribadi Rabbani yang terpadu, seimbang dan murni demi mencapai keridaan Allah.” (Siddiq Fadzil, 2014)

Falsafah Pendidikan al-Hikmah (FPH) bertunjangkan kepada mesej liberatif dan transformatif kitab al-Qur’an itu sendiri. Liberatif terkandung dalam pengungkapan tauhidik yang membanteras sebarang usaha mempersekutukan Allah dengan apa dan siapa.

Kemerdekaan diri bukan hanya terbentuk menerusi kepercayaan kerana ia perlu melalui proses pemerhatian dan penelitian terhadap ayat-ayat Allah yang terkandung pada alam sekeliling.

Hasil daripada pembebasan ini, maka suatu perubahan diri (transformatif) akan berlaku. Perubahan diri yang dimaksudkan adalah suatu perubahan diri yang mendalam. Bermula dari dhamir dan qasad sehinggalah terpadu menjadi gaya hidup yang merangkumi akhlak dan gaya tindak.

Natijah daripada penghayatan terhadap FPH ini digambarkan menerusi keperibadian ulul al-bab seperti yang terakam dalam surah ‘Ali Imran: 191.

Demikianlah kehebatan daya cerap ulul al-bab, yang menemukan kekuasaan Allah dalam segala segi di segenap penjuru bumi. Daya cerapan ini akhirnya memancarkan keperibadian hamba dalam segala segi kehidupan dalam melambangkan kesungguhan untuk mengesakan Allah.

Ketakutan terhadap kekuasaan Allah inilah yang melahirkan kebaktian kepada persekitaran. Tiada ruang kosong untuk hiburan semata-mata, tiada ruang waktu untuk pembaziran potensi diri. Segala kesempatan dipergunakan untuk merakamkan kehambaan kepada Allah s.w.t.

PENDIDIKAN SEBAGAI TARBIAH-TA’LIM-TA’DIB

Prof. Dr. Siddiq Fadzil (2014), mengutarakan bahawa proses pendidikan seharusnya terangkum dalam tiga rangkai kata iaitu tarbiah-ta’lim-ta’dib. Tarbiah bermaksud pembangunan potensi diri manusia sejajar dengan fitrahnya. Potensi diri manusia perlu dibangunkan secara bertahap menuju ke arah kesempurnaan.

Ta’lim ialah sesuatu yang terkait dengan kelimuan (Siddiq Fadzil, 2014). Ta’lim bermaksud pencerdasan, yang merangkumi kefahaman, penguasaan ilmu dan pemikiran. Inilah potensi manusia seperti yang diperikan oleh al-Quran ketika mula-mula Adam diciptakan.

Ta’dib ialah satu usaha membentuk keperibadian yang berakar kepada pendidikan Allah kepada para utusan-Nya sehingga bergelar uswah al-hasanah (Siddiq Fadzil, 2014). Ia merangkumi tatacara perlakuan, sikap, disiplin diri dan pendirian.

Rangkuman ketiga-tiga proses ini maka akan lahirlah manusia yang berilmu, berhikmah, berketerampilan dan beriltizam dengan nilai-nilai kesalihan. Pernyataan komitmen terhadap nilai-nilai kesalihan ini memberikan kesan terhadap dua perkara berikut:

Pertama, proses pendidikan menghasilkan manusia yang berasa megah untuk terus berdiri di atas paksi kebenaran dan keadilan. Manusia ini tidak tergugah dengan segala pesona dunia yang mengasyikkan. Mereka tidak boleh diperdagangkan demi mencapai keuntungan dunia yang sementara.

Kedua, pendidikan bukan sebuah perindustrian. Pendidikan bukan proses melahirkan tenaga kerja demi memenuhi tuntutan perekonomian semata-mata. Menggandingkan pendidikan bersama perindustrian hanya menyerlahkan kecacatan pendidikan.

Perindustrian yang memberi erti penyeragaman secara besar-besaran menyekat potensi manusia secara fitrahnya. Pembangunan manusia perlu meraikan kepelbagaian dan keunikan yang ada pada setiap individu.

CABARAN PELAKSANAAN PENDIDIKAN AL-HIKMAH

Pendidikan al-Hikmah ialah suatu gagasan hasrat yang terkandung di dalamnya tanggung jawab manusia terhadap diri, keluarga, masyarakat dan persekitaran. Ia adalah sebuah cita-cita yang mesti disempurnakan bagi menjawab ketempangan pendidikan tajaan gelombang ketiga globalisasi pada hari ini. Bagi menyempurnakan gagasan dan cita-cita ini cabaran-cabaran berikut mesti diatasi:


1. Keberanian.

Keberanian untuk mengolah perubahan dalam arus perdanan pendidikan negara. Perubahan inilah yang berupaya menghilangkan tumpuan dan fokus pendidikan al-Hikmah. Perubahan dasar pendidikan negara juga bermaksud perubahan undang-undang dan peraturan. Kita tidak boleh menolak perubahan ini secara semberono, namun keberanian mengolah perlu ada dalam setiap pendukung pendidikan al-Hikmah.

2. Cabaran Mentaliti

Kepanikan masyarakat mesti ditangani sebaiknya. Tuntutan yang bukan-bukan yang hadir bersama kekhuatiran masa depan perlu diatasi. Obsesi masyarakat yang mahu menyogokkan segala bentuk kemahiran demi persiapan masa depan lantas sehingga menghilangkan citra kemanusiaan mesti dihentikan secara berhikmah. Jalan keluarnya adalah dengan membina kefahaman mengenai fungsi dan tanggungjawab manusia sebagai hamba dan khalifah Tuhannya.

3. Persiapan pasukan pelaksana

Pasukan pelaksana perlu dipersiapkan dengan terdiri daripada guru, pentadbir dan ibu bapa. Kefahaman dan anjakan paradigma pemikiran perlu dilakukan. Daripada anjakan, perubahan dari sudut perancangan, strategi dan pendekatan seterusnya pelaksanaan akan berlaku.

4. Perubahan metodologi

Metodologi pengajaran sama pentingnya dengan falsafah, konsep dan hala tuju pendidikan. Jangan kita ulangi kegagalan pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang tersekat apabila metodologi masih bergantung pada produk gelombang ketiga globalisasi. Metodologi yang meliputi teknik pengajaran dan kaedah pengukuran harus berdiri atas falsafah pendidikan al-Hikmah.

5. Kekangan kemudahan.                                                                                                                          

Prasarana perlu diusahakan agar kompeten dengan FPH. Prasarana memainkan peranan penting membantu keberkesanan pembelajaran murid dan pengajaran guru.

6. Institusi pendidikan dan perubahan komuniti

Keterasingan antara komuniti dan institusi pendidikan mesti dihentikan segera. Institusi pendidikan seolah-olah tidak mempunyai pengaruh terhadap masyarakat kerana masyarakat dalam masa yang sama juga tidak merasakan bahawa institusi pendidikan ialah kepunyaan mereka. Suatu usaha kesalingan perlu dilakukan untuk memastikan institusi pendidikan dapat memberikan impak kepada masyarakat sekitar. Sewajarnya pendidikan yang merubah masyarakat bukan sebaliknya.

7. Cabaran globalisasi

Menempatkan suatu gagasan pendidikan di persada dunia bukanlah suatu tugasan mudah. Walau sedikit demi sedikit pendidikan tajaan gelombang ketiga mengakui kegagalan pada sistem pendidikan yang dijaja mereka, namun kerakusan dan ketamakan masih belum menunjukkan tanda-tanda akan tamat. Ketamakan dan kerakusan inilah cabaran sebenar dalam mengembalikan manusia kepada fungsi asalnya.

Ketujuh-tujuh cabaran ini mesti disahut dengan penuh berhikmah. Perjalanan masih jauh namun langkah permulaan perlu dilakukan sekarang kerana ia merupakan tanda kesungguhan bagi proses perubahan menyeluruh umat manusia secara amnya.

Penulis ialah Dekan Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti, Universiti Selangor (UNISEL).

2 thoughts on “PENDIDIKAN AL-HIKMAH DAN CABARAN PELAKSANAANNYA

  1. In the dynamic world of digital marketing, where the competition for online visibility is fierce, understanding and implementing effective Search Engine Optimization (SEO) strategies is crucial for businesses aiming to succeed online. SEO serves as the cornerstone of online marketing, enabling websites to enhance their visibility, attract organic traffic, and ultimately achieve their business objectives. In this article, we delve into the realm of search engine optimization, exploring its significance, key principles, and actionable strategies for maximizing online visibility. https://bit.ly/3JKYpu5

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *