DR. ZHARI ISMAIL: PERMATA PULAU MUTIARA

DR. ZHARI ISMAIL: PERMATA PULAU MUTIARA

Oleh: Firdaus Hamsin.

Generasi Pelopor ABIM United Kingdom

Dalam kalangan aktivis ABIM United Kingdom pada awal 1980-an, Prof Emeritus Dr Zhari Ismail (Dr. Zhari) sewaktu belajar di University of Strathclyde, Glasgow, sangat aktif mengaturkan tamrin di sekitar Scotland.

Sebagai seorang daripada pengasas-pengasas ABIM United Kingdom (UK) pada tahun 1981, di awal penubuhan ABIM UK dia sanggup turun naik ke London dari Glasgow. Kemuncaknya kepada  perjalanan yang jauh ini, pada suatu perjumpaan bersama 30 orang ‘brothers and sisters’ telah sepakat mengasaskan ABIM UK serta titik permulaan baru memugar semula pergerakan ABIM di sana.

Dr Zhari sungguh komited dan berusaha ke sana ke mari bagi merancang, merencana dan menggerakkan program dan memastikan penyertaan dalam kalangan pelajar Malaysia di United Kingdom.

Sekembalinya ke tanah air, dia bergiat bersama ABIM Pulau Pinang dengan memberi tumpuan kepada khidmat dakwah dan pembangunan belia. Dalam masa yang sama beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan pimpinan Majlis Belia Negeri Pulau Pinang.

Aktivis Dakwah Dan Belia Di Pulau Pinang

Dalam kalangan aktivis belia Pulau Pinang mereka sangat menghormatinya sehingga memanggilnya ‘Prof Zhari’ walaupun pada ketika itu dia belum memperoleh kelayakan akademik tersebut.

Ini dikatakan beliau telah berperanan sebagai mentor dengan memberikan bimbingan bagaimana berinteraksi dalam pergerakan belia Pulau Pinang yang mengandungi pelbagai bangsa, agama dan aliran kefahaman.

Dalam masa yang sama, Dr Zhari juga menitipkan strategi bagi menjalankan program-program kesedaran dan kefahaman Islam dalam kalangan pertubuhan-pertubuhan belia di Pulau Pinang. Ini kerana pada waktu itu program dakwah belum menjadi arus perdana dan kefahaman Islam masih belum merata.

Beliau pernah berkongsi dengan seorang senior ABIM Pulau Pinang, memberitahu tentang keterlibatannya dalam ‘Larian Jambatan Pulau Pinang’. Buat pertama kalinya program ini yang merupakan sebuah acara besar-besaran tahunan yang diadakan pada waktu awal pagi,  telah menyediakan sebuah khemah surau khas untuk solat subuh.

Sebelum itu dia telah meminta pihak penganjur untuk menyediakan surau itu pada suatu mesyuarat. Dr Zhari menceritakan bahawa pengerusi mesyuarat berkenaan menyambut cadangannya dengan gembira lantas berkata, “Surau ini khas untuk peserta ABIM nanti. Depa nak sembahyang.”

Beliau membalas dengan senyuman, “Surau itu untuk semua peserta dan petugas Muslim.” Ini menyebabkan ahli-ahli mesyuarat turut ketawa.

Intelektual Dai’e

Dr Zhari memperjuangkan Islamisasi ilmu dan sering menganjurkan kefahaman falsafah Islam diterapkan dengan tepat mengikut epistemologi, ontologi dan axiologi Islam yang tulen agar pendekatan dan perubahan yang dibawa itu bersifat holistik dan menyeluruh.

Beliau juga merupakan seorang daripada pengasas Persatuan Staf Islam Universiti Sains Malaysia PSIUSM, yang juga adalah satu-satunya pertubuhan staf Islam IPTA yang ada di tanah air. Dia merupakan Presiden pertamanya.

Dengan kepimpinannya banyak seminar dan simposium berkait Islamisasi ilmu dan kesedaran Islam di kalangan warga pengajian tinggi dan kampus telah digerakkan. Antaranya ialah Simposium Siswazah Muda, Islam dan Sains, Islamization of Knowledge, Sekretariat Falsafah Islam dan Sains dihasilkan.

Susulan daripada program-program ia membawa penubuhan Hadanah dan Tadika Islam yang merupakan projek-projek perintis yang praktikal di USM. Selain itu PSIUSM tidak absen daripada advokasi membantah aktiviti hiburan tidak Islamik dalam kampus.

Antaranya mengkritik dan menolak secara ilmiah buku anti hadis Kassim Ahmad, memperjuangkan izin pemakaian tudung bagi jururawat hospital dan di samping isu antarabangsa serta kemanusiaan di Palestin, Afghanistan dan Bosnia Herzegovina.

Dr Zhari juga seorang daripada pengasas Islamic Outreach ABIM (IOA) Penang pada 1987. IOA merupakan perintis yang membawa pembaharuan menerusi pemugaran dakwah dan penyampaian untuk meningkatkan kefahaman Islam kepada masyarakat majmuk merentas budaya dengan kaedah baru dan berlainan daripada sebelum ini.

Sumbangan Dalam Bidang Farmaseutikal

Penyelidikan beliau banyak tertumpu kepada bidang Fikokimia dan Farmakognosi tumbuhan ubatan tempatan yang berguna khususnya untuk merawak penyakit batu ginjal, gout, dan anti-angiogenesis. Secara keseluruhannya dia telah menerbitkan lebih daripada 250 artikel saintifik yang diterbitkan jurnal, monograf, prosiding, abstrak peringkat antarabangsa dan kebangsaan, di samping beberapa buah buku dan monograf. Antara yang paling utama termasuk Indeks Tumbuhan Ubat Malaysia.

Dr. Zhari juga terlibat sebagai ahli pasukan Penyelidik dalam Malaysia-MIT (USA) Biotechnology Partnership Program (MMBPP) untuk menyelidik Eurycoma longifolia (Tongkat ali) dan Centella Asiatica (Pegaga).

Dalam bidang aplikasi teknologi maklumat berkaitan dengan bidang teras, beliau telah terlibat dalam kumpulan penyelidik USM bagi bio-sensors, melibatkan kaedah Kromatografi Gas pantas (z-Nose technology), “pattern recognition”, “artificial neural network (ANN)”, kemometrik dan metabolomiks bagi proses piawaian dan QC herba.

Penglibatan dalam penyelidikan ini telah membolehkan beliau turut memenangi beberapa anugerah di peringkat nasional dan antarabangsa.

Walau pun beliau telah bersara pada tahun 2005, namun USM terus memberikan kepercayaan kepada beliau untuk terus berkhidmat sebagai Profesor secara kontrak. Pihak USM juga telah mengamanahkan beliau untuk mengetuai Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) bagi Pusat Penstandardan Herba (CHEST-Centre for Herbal Standardisation) yang merupakan projek kerjasama Bio-tropics Malaysia Berhad dengan USM.

Dr Zhari juga berperanan sebagai sidang editorial “Journal of Tropical Medicinal Plants (Malaysia)” mulai tahun 2000 hingga 2011. Beliau juga telah diundang sebagai ahli sidang editorial “Journal of Ethnopharmacology” yang berpusat di Amsterdam, Belanda bermula tahun 2005 hingga 2011.

Bagi menghargai jasa-jasa dalam bidang kepakaran beliau telah dianugerahkan sebagai Saintis Halal Halal Development Corporation tahun 2010 dan juga penerima Anugerah Khas Negeri Pulau Pinang sempena Maulidur Rasul pada tahun 2011.

Kepimpinan Dr Zhari sangat terserlah di mana beliau telah sebagai diamanahkan untuk menjayakan pelbagai jawatankuasa. Antara jawatankuasa tersebut:

Pembimbing Halal bagi HDC (Halal Industry Development Corporation),

Pengerusi Jawatankuasa MS 2424 (P) garis panduan Halal Pharmaceutical, JAKIM, HDC dan SIRIM.

Ahli Pakar Rujuk dan Editor, “Halal Index Vol 1”, Farmasautikal Berasaskan Khinzir.

Ahli J/K Kebangsaan Monograf Herba Malaysia dan Ahli J/K Teknikal Monograf Herba Malaysia Vols. 1,2 dan ulangan.

Pengerusi Kumpulan Kerja SIRIM bagi Standard Herba & Rempah Malaysia.

Ahli J/K MIG-Herba bagi merangka Malaysian Herbal Framework.

Ketua Klaster Standardization & Product Development, Center of Excellence Projek NKEA, Kementerian Pertanian.

Ketua Projek Pembangunan Ladang Herba di Perlis bagi pihak USM dan Kerajaan Negeri Perlis 2002.

Ahli Lembaga Pengarah Malaysian Herbal Corporation (MHC) dan Kedah Biotechnology Corporation (KBioCorp) dan Perunding bagi penubuhan Makmal BIOSTAQ di Taman Teknologi Tinggi Kulim.

Wakil Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) bagi Perubatan Tradisional dan Komplimentari Medicines dalam Jawatankuasa di Kementerian Kesihatan Malaysia sehingga tahun 2008.

Pengerusi Istilah Farmasi (1988-2000) USM, Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia dan mewakili Malaysia di Persidangan MABBIM di Brunei, Indonesia dan Malaysia.

Dr Zhari gigih memperjuangkan standard dan sistem panduan halal farmaseutikal di negara. Dia sering menganjurkan usaha bagi mengenal pasti agar perkara-perkara mematuhi syariah dan supaya alternatif sentiasa dicari demi memartabatkan yang halal dan yang baik untuk umat. Profesor Zhari telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan atas kepakarannya dalam bidang Kimia Farmaseutikal.

Bagi mengiktirafnya sebagai pemimpin dan pakar dalam bidang farmaseutikal dalam disiplin sains perubatan dan kesihatan, dia dianugerahkan pangkat Profesor Emeritus oleh Universiti Sains Malaysia pada majlis konvokesyen 2021.

Sepatutnya menerima anugerah berkenaan semasa Sidang Konvokesyen 2020 yang tidak dapat diadakan kerana pandemik dan hanya diadakan pada 2 Disember 2021. Walaupun tidak dapat hadir, gelaran Prof Emeritus tersebut ialah pengiktirafan yang tidak dapat disangkal buat tokoh yang baharu sahaja meninggalkan kata pada 18 Januari 2022 yang lalu.

4 thoughts on “DR. ZHARI ISMAIL: PERMATA PULAU MUTIARA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *