ISTIMEWA BUATMU ZAINAB AL-GHAZALI

ISTIMEWA BUATMU ZAINAB AL-GHAZALI

Oleh : Faridah Mohd Tap

Zainab al-Ghazali al- Jubaili

Dirimu bak pahlawan Islam sejati

Sanggup mewakafkan diri

Demi menegakkan Islam agama suci

Walaupun diseksa pemerintah zalim nan keji

Faiza ‘azamta fatawakkal ‘ala Allah teguh di sanubari

Zainab al-Ghazali al-Jubaili

Kau srikandi Islam abad ke-20

Kau menyahut seruan Ilahi

Kau menyambung dakwah warisan Nabi

Demi cinta kepada jihad Islami

Demi iltizam untuk kebangkitan umat ini

Demi kebencian terhadap perhambaan kepada manusiawi

Kalimah Tauhid dijunjung tinggi

Sungguh! cita-citamu murni sekali

Zainab al-Ghazali al-Jubaili

Walau caci maki kau hadapi

Kau tetap punya jati diri

Kau tetap teguh melafazkan Kalamullah ini

“‘Cukuplah Allah menjadi penolong kami

Dan Allah adalah sebaik-baik pelindung’ itulah yang aku yakini”

Pemerintah zalim dan kuncu-kuncunya tetap tuli lagi buta hati

Zainab al-Ghazali al-Jubaili

Kisah perjuanganmu di medan dakwah ini

Membuatkan air mata mengalir di pipi

Walau jasadmu terbelenggu dalam penjara besi

Walau kau dibiar lapar hingga pedih perut ke ulu hati

Walau suamimu pergi menemui Ilahi tanpa dirimu di sisi

Walau jasadmu diseksa ratusan kali

Sekalipun jiwamu dicemeti… disakiti dengan kejam sekali

Namun kau tetap bangkit… dan terus bangkit demi sebuah perjuangan suci

Hatimu…semangatmu tidak pernah mati

Malah kekal hidup dengan cahaya kurniaan Ilahi

Kesan daripada solat dan rintihan hati yang suci

Zainab al-Ghazali al-Jubaili

Kau sungguh terpuji

Kecekalanmu, ketabahanmu, keikhlasanmu senantiasa diingati

Kisah perjuanganmu penuh inspirasi

Bagi kami yang kerdil diri

Walau apa pun mehnah dan tribulasi

‘Cukuplah Allah menjadi penolong kami Dan Allah adalah sebaik-baik pelindung’

Itulah pesanmu pada mereka yang memilih jalan dakwah ini

Semoga diri kita dirahmati Rabbul ‘Izzati

Insya’Allah.

Penulis ialah pensyarah di Kolej Uniti, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *