MANUSIA, KEKAYAAN DAN KEBENARAN

MANUSIA, KEKAYAAN DAN KEBENARAN

Oleh:- Fatin Majdina Nordin

Terjemahan

Maksud daripada ayat Surah Al-Qalam mulai ayat 17 Sehingga 25 perlu kita renungi. Berikut adalah terjemahan ayat tersebut :

17. Sesungguhnya Kami telah timpakan mereka dengan bala bencana, sebagaimana Kami timpakan tuan-tuan punya kebun (dari kaum yang telah lalu), ketika orang-orang itu bersumpah (bahawa) mereka akan memetik buah-buah kebun itu pada esok pagi; –

18. Serta mereka tidak menyebut pengecualian.

19. Maka kebun itu didatangi serta diliputi oleh bala bencana dari Tuhanmu (pada malam hari), sedang mereka semua tidur.

20.Lalu menjadilah ia sebagai kebun yang telah binasa semua buahnya.

21. Kemudian pada pagi-pagi, mereka panggil memanggil antara satu dengan yang lain –

22. (Setengahnya berkata): “Pergilah pada pagi-pagi ke kebun kamu, kalau betul kamu mahu memetik buahnya”.

23. Lalu berjalanlah mereka sambil berbisik (katanya):

24. “Pada hari ini, janganlah hendaknya seorang miskin pun masuk ke kebun itu mendapatkan kamu”.

25. Dan pergilah mereka pada pagi-pagi itu, dengan kepercayaan, (bahawa) mereka berkuasa menghampakan fakir miskin daripada hasil kebun itu.

Kisah Pemilik-Pemilik Kebun

Dalam dua tahun lalu saya berkesempatan mengikut perbincangan surah al Qalam yang meliputi ayat 17 sehingga ayat ke-25. Kupasan mengenai ayat-ayat ini sangat menarik kerana ia menumpukan pada golongan ashabul jannah .

Kisah golongan ini adalah sama dengan kisah dua tentang dua orang pemilik kebun yang diceritakan dalam surah al Kahfi . Kekayaan dalam Surah Al-Qalam digambarkan dalam bentuk hasil kebun.

Ashabul jannah pula merujuk kepada pemilik-pemilik kebun yang kaya serta menyangka bahawa mereka berkuasa penuh terhadap semua usaha, hasil dan kekayaan yang dimiliki. Mereka tidak berhasrat untuk berkongsi dengan masyarakat terbanyak yang miskin akibat sifat bakhil.

Akhirnya pada malam hari sewaktu mereka tidur, Allah s.w.t dengan sekelip mata memusnahkan kebun dan kekayaan mereka sehingga kelihatan gelap gelita kebun-kebun mereka (musnah sama sekali).

Orang Baik Yang Menolak Kebenaran

Yang menarik lagi, surah Al-Qalam turut mengutarakan kisah orang baik yang serta serta tahu akan kebenaran kenabian Muhammad s.a.w akan tetapi akibat kepentingan jawatan, harta dan kemasyhuran, sanggup untuk menolak (menafikan) kebenaran tersebut dan bersama para musyrikin

Begitulah ciri-ciri golongan manusia yang hidup di dunia yang pasti wujud pada setiap zaman dan masa. Seperti yang sering dinyatakan, Allah telah menyediakan balasan bagi setiap yang kita lakukan.

Walaupun ramai mengatakan dalam zaman sekarang tidak mudah untuk berpegang dengan prinsip kerana faktor persekitaran. Antaranya termasuk habuan, harta dan ugutan. Tapi kita perlu jelas prinsip dan kekal teguh memilih kebenaran daripada tunduk pada kebatilan.

Biarpun kita hidup tidak mewah asalkan dapat menjalani kehidupan dengan tenang. Biarpun kita nampak kalah kerana berpegang pada prinsip yang benar, ada masanya akan tiba jua kita akan menang juga kerana berpegang pada prinsip yang teguh.  Ini yang banyak disebut oleh Buya HAMKA sebut dalam Peribadi — Punya Harga Diri

Islam itu bukan hanya pada doa, pakaian, ataupun status pangkat. Tapi Islam itu adalah keyakinan, keimanan dan amalan dalam seluruh kehidupan. Buat baik dan cegah keburukan harus seiring atas kapasiti diri sebaiknya. Bukan tangan kanan tebang pokok-terima rasuah, tangan kiri bagi bantuan-keluar sedekah.

Semoga kita mengambil iktibar dan terhindar daripada menzalimi diri kita sendiri. Amin. Penulis ialah Naib Presiden (Agenda Pembangunan Wanita, Keluarga, Multi-Budaya), ABIM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *