GENERASI MUDA DAN KETAHANAN ZAMAN

GENERASI MUDA DAN KETAHANAN ZAMAN

Oleh: Farhan Rosli

Generasi Unik

Young adults (ages 15–24) around the world are experiencing their second major global crisis within a decade:1 they entered youth in the throes of the financial crisis, and are now exiting at the outset of a pandemic not seen in generations. They will face serious challenges to their education, economic prospects and mental health. (Pandemials: Youth in an Age of Lost Opportunity, World Economic Forum, Global Risk Report,2021)

Meneliti laporan risiko global 2021, permasalahan kekecewaan anak muda (youth disillusionment) merupakan antara 10 permasalahan yang melanda dunia sejagat. Laporan ini disokong dengan beberapa kajian yang wajar itu ditangani secara serius.

Antaranya ia mendapati 80 peratus anak muda berkemungkinan terdedah kepada sindrom kekecewaan, masalah mental serta kemurungan. Kajian ini juga mendapati hampir 30 peratus pelajar tidak mendapat akses pendidikan berkualiti.

Dalam masa yang sama, cabaran terkait perubahan iklim, kerosakan nilai sosial disebabkan kepesatan pendigitalan dan landskap baharu dunia pekerjaan berasaskan kepintaran pembuatan (AI) telah menambah beban dalam kehidupan anak muda hari ini.

Isu-isu ini boleh membawa kepada pembentukan gerakan belia yang lebih radikal selepas krisis kewangan global 2008.

Tinjauan Persepsi Risiko Global, Forum Ekonomi Sedunia menyenaraikan ‘kekecewaan anak muda yang meluas’ sebagai ancaman kritikal kepada dunia yang boleh “mencabar institusi negara yang rapuh, malah juga akan menjejaskan kestabilan sistem politik dan ekonomi.”

Sesungguhnya kita menghadapi cabaran generasi yang unik yang sedang bangkit daripada igauan pandemik. Ekosistem terbuka telah memberi ruang seluasnya untuk anak muda menyatakan pandangan daripada media sosial hinggalah ke jalanan.

Generasi pandemials ialah generasi yang optimistik dan berdaya tahan. Optimisme dan ketahanan anak muda haruslah dimanfaatkan umat. Generasi muda tidak boleh lagi dipandang enteng. Benarkan optimisme dan ketahanan generasi muda membawa keluar dunia daripada belenggu kerosakan dan kebobrokan sistem.

Generasi muda merupakan antara kelompok yang terjejas kerana pandemik. Tetapi wajar diyakini, krisis ini sebagai peluang untuk menetapkan semula dan memacu perubahan yang mereka mahu lihat —mereka mahu melihat PERUBAHAN.

PKPIM Memimpin Perubahan Generasi

Hakikatnya, ledakan perubahan tanpa kompas moral, akhlak dan ilmu ialah suatu perubahan yang tidak punyai nilai.

Menjadi tanggungjawab PKPIM sebagai gerakan pemuda Islam menyediakan kompas perubahan berteraskan kefahaman waqi’iyyah atas pasak jati diri ‘KeIslaman, KeMalaysian dan Kemahasiswaan’ dari sudut pemikiran, kejiwaan dan fikrah haraki.

PKPIM yakin inilah tonik terbaik dalam membangun ketahanan generasi baharu gerakan dakwah yang menjiwai ledakan perubahan yang terisi dengan ilmu dan faham yang tuntas.

Dalam membina ketahanan generasi pelanjut perjuangan, penting buat PKPIM menyebarkan idealisme perjuangan yang murni. Kegagalan terbesar dalam proses pembinaan generasi dalam usaha membenihkan fikrah dan daya juang yang tulen akan mengakibatkan lunturnya idealisme perjuangan.

Fenomena ini diungkapkan Dato Dr Siddiq Fadzil sebagai “the death of idealism” (kematian idealisme). Kematian idealisme dalam kalangan juru islah akan menyumbang kepada kemusnahan etika perjuangan.

Pengungkapan idealisme mewakili suatu aspirasi kolektif sesebuah generasi. Ungkapan idealisme kemudian hadir sebagai suatu nyala rasa, pegangan aspirasi yang menjadi daya motivasi pembebasan daripada kemelut yang melanda.

Idealisme dalam naratif etika oleh Nicholas Rescher ialah ‘prinsip atau nilai yang mana prinsip dipegang oleh seseorang individu dengan penuh dedikasi yang tersusun dari dasar ke pucuk.’

Meghan Elizabeth Kallman dalam The Death of Idealism mengungkap idealisme sebagai fenomena sosial yang dipengaruhi pengungkapan dengan kefahaman yang mendalam, bukan sekadar ungkapan umum tanpa disiplin kefahaman.

Idealisme ialah pengungkapan faham ilmu kepada arena kebaktian keumatan. Idealisme generasi muda ialah hasil mencernakan jiwa yang menderita, menginginkan kejernihan dan keadilan dengan keuletan dan kegigihan mereka menolak rasuah dan kezaliman.

Winston Churchill misalnya dalam ucapan pertamanya, “Blood, toil, tears and sweat’, telah menjadi sumber kekuatan buat tentera Britain dengan ungkapan idealisme; KEMENANGAN!!!

I would say to the House, as I said to those who have joined this Government: I have nothing to offer but blood, toil, tears and sweat. We have before us an ordeal of the most grievous kind. We have before us many, many long months of struggle and of suffering. You ask, what is our policy? I can say: It is to wage war, by sea, land and air, with all our might and with all the strength that God can give us; to wage war against a monstrous tyranny, never surpassed in the dark, lamentable catalogue of human crime. This is our policy. You ask, what is our aim? “I can answer in one word: It is victory, victory at all costs, victory in spite of all terror, victory, however long and hard the road may be, for without victory, there is no survival.”

Idealisme Kepemudaan PKPIM

Dengan cabaran pandemik yang mengekang, PKPIM memperkenalkan tema MUDA sebagai ungkapan aspirasi generasi muda PKPIM. Idealisme MUDA PKPIM diformulasikan seperti berikut.

M : Madani

Dari jawharnya, minda madani melambangkan konotasi Islam bertitik asas daripada faham ad-deen, sifat-sifat peradaban dan ketamadunan (almadinah). Idealisme kepemudaan mengikut acuan PKPIM adalah berasaskan faham Islam yang luhur dan ketamadunan yang tinggi.

Fikrah Madani ialah suatu kepatuhan pada aturan ad-deen, moral, nilai dan etika. Fikrah madani adalah seiring saranan Malek Bennabi dan Ibnu Khaldun yang menitikberatkan soal akhlak masyarakat sebagai bekalan kebangkitan tamadun Islam.

Dua orang tokoh ini menjelaskan kemajuan tamadun Islam bertitik tolak daripada “fikrah dinniyah”, wawasan fikir yang jelas berasaskan penghayatan nilai, tabiat dan tatasusila yang luhur demi kemajuan sesebuah generasi. Fikrah Madani menyediakan kerangka fikir yang kukuh sebagai bekalan ke arah agenda pembangunan tamadun umat sejagat.

U: Ummatik

Saranan untuk umat bersatu dalam satu ‘unifying force’ harus didasari dengan kesedaran penyatuan etika dan akhlak sebagaimana disinggung Anwar Ibrahim yang menganggap konsep ummah bukannya bersifat pembenturan budaya atas normal dominasi buta tetapi siap berkongsi kesedaran keumatan.

Difahami bahawa faham umat tidak boleh lagi dipecahbelahkan. Generasi muda PKPIM harus siap membawa mesej “ummah insaniah”, suatu konsep seruan kesatuan atas mesej keinsanan yang bertitik tolak daripada perlawanan daripada semua nilai yang bercanggah dengan norma keinsanan.

“The ummah as a network of communities is required to acknowledge moral and practical responsibility for the Earth as a trust and its members are trustees answerable for the condition of the Earth. This makes ecological concerns a vital element in our thinking and action, a prime arena where we must actively engage in changing things in rapidly changing times.”

D: Demokratik

Kefahaman kita terkait demokrasi tidak wajar disempitkan soal politik sahaja tetapi harus diluaskan sebagaimana pembahagian Pak Natsir iaitu ‘demokrasi politik yang menjamin kemerdekaan berfikir, berbicara dan berhimpun dan demokrasi ekonomi yang menjamin keadilan sosial bagi setiap anggota masyarakat’.

Menurut Pak Natsir lagi ‘demokrasi menurut Islam ialah usaha untuk mendahulukan kebenaran atas kepentingan individu ataupun golongan sehingga bentuk demokrasi itu memberikan ruang kepada rakyat untuk mengkritik, menegur, membetulkan pemerintahan yang berlaku zalim. Jika tidak cukup dengan kritikan dan teguran, Islam memberikan hak kepada rakyat untuk menentang pelbagai bentuk kezaliman yang terjadi atas nama negara’.

Dalam rangka pemahaman demokrasi inilah anak muda harus mampu menjadi kekuatan bagi menjalankan usaha pendemokrasian demokrasi. Demokrasi tidak boleh dilihat sebagai wacana elit mahupun urusan eksklusif parti politik dan akademia tetapi sudah seharusnya menjadi keprihatinan seluruh rakyat terutama generasi muda.

A: Akomodatif

Idealisme kepemudaan PKPIM harus menangani persoalan kepelbagaian dalam bingkai kesatuan. Latar Malaysia sebagai negara majmuk menuntut kita menghormati keunikan ini sebagai tanda-tanda kebesaran Allah SWT.

Ini menuntut generasi muda PKPIM memahami fiqh at-Taayush as-Silmi, fiqh at-Ta’adduddiyyah, dan fiqh al-Muwathanah yang meliputi kefahaman terhadap hak setiap individu daripada pelbagai latar agama, etnik dan fahaman.

Persoalan ini menuntut anak muda PKPIM memahami Manhaj Malizi seterusnya melebarkan faham pendekatan dakwah yang penuh hikmah.

Keterbukaan kita harus berlunaskan hukum, perlembagaan, rukun negara dan elemen tradisi Malaysia dalam soal kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan kedudukan istimewa orang Melayu.

Idealisme ini dipasakkan atas keterbukaan dengan perubahan yang penuh cermat mengambil kira tradisi, adat dan budaya masyarakat Malaysia seluruhnya.

Inilah idealisme kepemudaan PKPIM. MUDA PKPIM yang tidak tenggelam dengan rempuhan kegalauan pemikiran yang mengelirukan. MUDA PKPIM siap beradaptasi dengan zaman, tetapi masih mempertahan akar tradisi Bangsa Malaysia.

MUDA PKPIM menginginkan keadilan saksama untuk semua rakyat tanpa mengira perbezaan fahaman. MUDA PKPIM tidak akan takut menyanggah kebobrokan sistem dan mempertahankan nilai, moral serta akhlak yang murni.

Penulis ialah Presiden, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

One thought on “GENERASI MUDA DAN KETAHANAN ZAMAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *